Rabu, Mei 14, 2014

Selangor Juara Piala Sumbangsih 2009.

Selangor Juara Piala Sumbangsih 2009
Seakan-akan mahu memberi amaran awal, Selangor tampil penuh bergaya pada aksi pembuka musim Liga Malaysia (Liga-M) 2009. Buktinya, skuad Gergasi Merah itu berjaya merangkul Piala Sultan Ahmad Shah apabila membelasah Kedah 4-1 pada perlawanan Sumbangsih 2009 di Stadium Darul Aman, Alor Star.
Lebih mengejutkan, Kedah yang turut selaku juara ‘treble’ bagi dua musim berturut-turut dilihat bagai masih tercari-cari rentak sebenar apabila beraksi di gelanggang keramat mereka itu. Sebaliknya, Selangor yang dibimbing jurulatih baru, K. Devan tampil penuh bertenaga sepanjang perlawanan berlangsung.
Keghairahan 30,000 penyokong tuan rumah untuk melihat Sang Kenari mencipta sejarah merangkul tujuh piala dalam masa dua tahun musnah dalam masa 90 minit gara-gara aksi cemerlang skuad Gergasi Merah yang dibimbing oleh K. Devan itu. Selangor tidak menunggu lama untuk menghasilkan gol.
Untuk rekod, Selangor pernah ditabalkan selaku juara Liga Premier pada musim 2005. Ketika itu, Selangor yang dibimbing Dollah Salleh melakar sejarah tersendiri apabila meraih gelaran ‘treble’. Selain muncul juara Liga Premier 2005, skuad Gergasi Merah itu turut menjulang Piala Malaysia 2005 dan Piala FA 2005.
Pada saingan musim 2009, Selangor tampil dengan wajah baru. Selangor yang cukup gah di pentas bola sepak tempatan membuat perubahan drastik dalam barisannya apabila melantik Devan bagi menggantikan Dollah. Bagi menguatkan jentera mereka musim ini, Selangor berjaya mendapatkan khidmat empat bekas pemain Perak.
Mereka ialah dua penjaga gol, Hamsani Ahmad, Nasril Nourdin, pemain tengah, Hardi Jaafar serta K. Nanthakumar. Selangor turut berjaya ‘mengikat’ pertahanan kental, Khairul Anuar Baharom dari Negeri Sembilan selain Rudie Ramli (Kuala Muda Naza), Sanjos Sundawat dan Fazli Baharudin (PDRM). Ternyata percaturan baru Selangor musim 2009 ini menjadi.
Dengan adunan pemain asal seperti kapten Amri Yahyah serta penyerang, Safee Sali, ditambah pula dengan kegarangan beberapa pemain muda seperti Amirulhadi Yahya, Asraruddin Putra Omar, Razman Roslan dan Nasriq Baharom, Selangor sememangnya sebuah pasukan yang harus digeruni. Jika tidak, mana mungkin mereka mudah membelasah Kedah yang turun dengan reputasi tinggi sepanjang 2007-2008.
Tahun 2009 boleh dikatakan tahun gemilang buat Amri Yahyah apabila kali pertama dipilih sebagai kapten pasukan menggantikan Shukor Adan yang berhijrah ke Negeri Sembilan. Amri tidak menunggu lama untuk mencipta nama. Pada Januari 2009 atau lebih tepat lagi pada perlawanan Piala Sumbangsih 2009, Amri hanya memerlukan empat minit untuk menjadi pemain pertama menjaringkan gol pada musim 2009 melalui sepakan percuma.
Bagai menyimpan dendam kepada Kedah yang mengecewakan Selangor dua kali dalam final Piala FA dan final Piala Malaysia 2008, Amri sekali lagi meledak gol kedua peribadi pada minit ke-35. Pada babak kedua, tiada sebarang tanda bahawa Kedah akan bangkit memberi tentangan. Sebaliknya mereka terus dihukum apabila kehilangan seorang pemain, Farizal Rozali yang diperintah keluar padang selepas bertindak kasar ke atas penjaga gol Selangor, Mohd. Nasril Nourdin.
Malam gemilang itu dilengkapkan dengan dua lagi gol dari Zameer Zainun dan Safee Sali buat Selangor menang, 4-1 dan ia adalah piala pertama dijulang Amri sebagai kapten pasukan. Gol sagu hati Kedah hanya hadir pada minit ke-89 menerusi Khyril Muhymeen.
Amri turut memimpin Selangor menjuarai Piala FA 2009. Selangor yang dihampakan Kedah pada final yang sama 2008 berazam mengubat kekecewaan itu dengan membenam pendatang baru yang semakin mencabar iaitu Kelantan. Masa penuh berakhir 0-0 dan masa tambahan tampak begitu memihak kepada Kelantan apabila mendahului 1-0. Namun hantaran lambung D. Surendren disambut dengan ‘flying header’ mencium tanah; buat Amri menyamakan kedudukan 10 minit sebelum tamat. Sepakan penalti jadi penentu, Selangor megah menewaskan Kelantan 4-1.
Bulan Julai 2009 juga sangat bermakna apabila Amri dan Selangor menjuarai Liga Super Malaysia buat kali pertama setelah mengutip 63 mata dengan Amri menjaringkan 13 gol. Namun, kecemerlangan itu disekat oleh Terengganu dalam saingan suku akhir Piala Malaysia apabila mereka menidakkan hasrat Selangor ke separuh akhir dengan sepakan penalti pada pusingan kedua di Kuala Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan