Ahad, Disember 16, 2012

Di sebalik Naskah “Jibam” (Ujang, 1992).

 Naskah “Jibam” (Ujang, 1992). 
Hasil karya Kartunis Ujang.
“Jibam” versi 2008. 

Dunia yang bulat, adalah bersegi baginya. Benda yang hodoh menjadi cantik pada pandangan mata. Katak pisang dan binatang kecil adalah teman sepermainannya. Nyanyian untuknya amat pilu mengusik jiwa. Dia di sambut bukan di pesta besar. Sambutan diterima adalah sepak terajang dan penghinaan. Air mata adalah teman, tetapi tak pernah dimengertikan. Dia terus hidup, terus bermain di dalam dunianya. Jibam terus melangkah, penuh gah, memburai rahsia kematian ayahnya. Namun dia tetap tabah.” 
-- Ujang, “Jibam” (1992).

Di sebalik “Jibam.”
“Jibam” merupakan tajuk sebuah novel yang ditulis oleh Ibrahim Anon (terkenal dengan nama pena “Ujang”) dan diterbitkan oleh Creative Enterprise sekitar tahun 1992. Ujang mula mencipta namanya di “Majalah Gila-Gila” dengan kartun ‘loose’ “Si Tenggang”. Waktu itu, kartun beliau kelihatan agak kurang matang dan ‘stroke’nya terlalu ringkas. Walau bagaimana pun, Ujang berjaya meyakinkan penerbitnya bahawa karyanya suatu ketika akan diterima pembaca. Beliau telah membuktikan kegigihannya melalui watak-watak yang diciptanya melalui pengamatan dunia kelilingnya. Watak-watak dalam dirinya diterjemahkan dalam bentuk visual yang agak kartun tetapi menyentuh jiwa lewat karya-karyanya seperti: “Aku Budak Minang”, “Aca”, “Atuk” dan banyak lagi.

Di dalam novel Jibam, Ujang berjaya mengolah cerita ini dengan begitu menarik sekali sehinggakan ianya mendapat sambutan luar biasa daripada pembaca. Sehingga kini, Novel Jibam masih diulang cetak dan ditampilkan dengan kulit novel terkini, yang dilukis oleh pelukis muda yang berbakat besar, iaitu Syaffeq Syahman Jaafar (anak kepada Jaafar Taib). Selain novel Jibam, Ujang juga pernah menulis novel lain yang tak kurang hebatnya seperti “Cinta Terakhir” (terbitan CESB) dan “Fiona” (terbitan MELATI Publisher).

Sinopsis.
Jibam – nama sebenarnya Ashraf -- anak yang unik. Sedikit lembap otak dan fikirannya. Namun, mempunyai keistimewaan yang tersumbunyi. Jibam mewarisi kepandaian bapanya Suman mengubat penyakit. Suman mati terbunuh dalam perut hutan. Dan kematiannya sungguh misteri. Novel ini juga mengetengahkan watak seperti Tok Ngah Sudin yang pasti menimbulkan kebencian/kemarahan setiap pembaca kepada watak ini kerana sikapnya yang mengkhianati persahabatan dan permusuhannya dengan Jibam sehingga sanggup untuk menamatkan riwayat anak kecil ini. Selalu benar Tok Ngah Sudin memperdajalnya. Dan sesering itulah Jibam dibantai teruk oleh Tok Ngah Sudin. Bukan watak Tok Ngah Sudin saja yang membencikan, malah watak Fakir juga amat memberikan kesan. Fakir merupakan abang sulung Jibam namun sekadar abang pada nama. Fakir bukanlah abang mahupun anak yang baik. Tidak memperdulikan kesusahan keluarga sendiri, pandang rendah dan langsung tidak membela nasib adik sendiri. Yang Fakir tahu hanyalah bermain cinta dengan anak Tok Ngah Sudin dan harta-harta peninggalan Suman.

Jibam juga dibenci Usin Singai. Marahnya Usin Singai memuncak tatkala basikal tuanya dicat biru oleh Jibam. Hinggakan ayam dalam rebannya pun biru dikerjakan Jibam. Usin Singai menetap di atas tanah Tok Ngah Sudin yang sebenarnya dimiliki oleh Suman. Dan Jibam, anak yang bodoh alang itu, perlahan-lahan membongkar rahsia kematian ayahnya. Ilmu ghaib yang diwarisi dari ayahnya serta khianat dan dendam kesumat Tok Ngah Sudin dan Usin Singai. Watak seperti watak Kadir, abang kedua Jibam, dan Piah, ibu Jibam, menghidupkan lagi jalan cerita. Kadirlah yang banyak membela Jibam walau caranya agak kasar.

“Jibam The Movie.”
Naskah Jibam juga pernah cuba diadaptasikan kepada sebuah filem iaitu “Jibam The Movie”. Filem ini sepatutnya menjadi filem sulung terbitan Jajja Production Sdn. Bhd. Filem tersebut juga asalnya dihasilkan dengan memberi penekanan pada konsep asal novel Jibam iaitu kemanusian, pengkhianatan, kasih sayang, kekeluargaan, kemasyarakatan dan semangat perpaduan. Menurut beberapa sumber lagi, Jibam juga akan di animasikan seperti karya ciptaan Ujang sebelum ini, “Usop Sontorian”. Namun, filem ini masih tertangguh pembikinannya sehingga kini.

Ulasan.
Mengikut definisi seorang ahli panel Bengkel Kajian Novel Popular anjuran DBP baru-baru ini, Jibam saya kategorikan sebagai novel popular. Kerana Jibam merupakan antara novel Melayu terlaris. Novel Pop biasanya berkisar latar belakang bandar. Tapi Jibam kanvasnya ialah sebuah kawasan kampung yang sangat pedalaman. Jibam banyak unsur humor memanfaatkan kebodohan watak utama yakni Jibam sendiri. Ini klise dalam masyarakat Melayu. Mempersendakan orang bodoh, orang pekak, orang tua dan lawak cakap jerit-jerit. Lawak barat ialah lawak bercakap-cakap-mengenai-keburukan-sendiri-selepas-mabuk-todi selain lawak baling-kek-ke-muka serta lawak baling-tepung-buat-kek. Jibam novel santai yang sarat dengan drama dan konflik dilukis dengan cara yang santai namun masih mengekalkan keindahan bahasa.

-------------------------------------------------- 

Sumber dan entri berkaitan:
  1. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/07/komik-abe-ujang-dan-aie.html;
  2. http://chedinsphere.blogspot.com/2011/07/aie-kartunis-lagenda-1.html;
  3. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/07/punk-rock-di-sebalik-fesyen-dan-muzik.html;
  4. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/05/bbb-borak-dan-bedah-buku.html;
  5. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/03/buku-mahasiswa-menggugat-satu-magnum.html;
  6. http://chedinsphere.blogspot.com/2011/12/bacaan-novel-ali-sastro.html;
  7. http://akujohan.blogspot.com/2008/03/jibam-bikin-fenomena-baru.html;
  8. http://www.syokdownload.com/2010/07/novel-jibam_5425.html.


3 ulasan:

  1. Boleh saya tahu kat mana nak dapatkan novel ni?

    BalasPadam
  2. Saya pon sedang mencari juga... Yang dulu punya hilang dah..

    BalasPadam
  3. saya dah tonton filem Jibam ni dan ada buat review pasal filem ni dekat blog saya...jemputlah baca dan beri pandangan =)

    http://at-tarmizi.blogspot.my/2017/12/review-filem-jibam.html

    BalasPadam