Ahad, Ogos 21, 2011

POLEMIK JAIS-DUMC-HK: JANGAN CETUSKAN KERESAHAN UMAT ISLAM .

Kenyataan Media (Rasmi) ABIM-WADAH-PKPIM.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berasa terpanggil untuk memberi penegasan pendirian terhadap polemik antara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Harapan Komuniti (HK) dan Damansara Utama Methodist Church (DUMC).

Sejak polemik pemeriksaan JAIS ke atas majlis ‘Thanksgiving’ pada 3 Ogos 2011, pelbagai pihak telah mengeluarkan kenyataan dan pendirian yang berbeza. Dalam menanggapi kenyataan dan pendirian ini, WADAH-ABIM-PKPIM menilai ia lebih bersikap melulu dan tidak memberi keadilan yang sewajarnya kepada semua pihak.

Kami merujuk kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh tokoh-tokoh seperti Reverend Thomas Philips, Ketua Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) dan Pastor Daniel Ho, yang membina persepsi umum kononnya kekerasan telah digunakan oleh JAIS dalam pemeriksaan yang diadakan ke atas Harapan Komuniti (HK) serta Damansara Utama Methodist Church (DUMC).

Kami juga ingin melahirkan rasa kesal dengan sikap membisu pihak penganjur iaitu HK serta ingin mempersoalkan motif HK untuk membiarkan pihak gereja menjawab segala persoalan dari awal. Sebagai organisasi yang mendakwa dianggotai oleh ahli-ahli pelbagai agama dan lapisan masyarakat, HK seharusnya memahami konteks sosial masyarakat Malaysia di mana kita hidup saling hormat-menghormati.

Pihak kami ingin melahirkan rasa kesal apabila HK secara langsung tidak mengormati sensitiviti umat Islam dengan menyanyikan dua lagu kesyukuran dalam Bahasa Melayu iaitu - “Allahu Akhbar” dan “Allhamdulillah” dan tentang sebuah kuiz yang mencetuskan persoalan-persoalan berikut; Adakah soalan-soalan dalam kuiz tersebut ditujukan untuk semua peserta? Atau ia khusus untuk 15 atau lebih peserta Islam yang hadir?

Sepanjang polemik ini berlaku, pihak JAIS telah memberikan kerjasama serta penjelasan yang sewajarnya berhubung dengan beberapa isu yang diketengahkan. Pihak kami telah mendapat penerangan dan penjelasan daripada pihak JAIS. Meskipun begitu, usaha kami untuk mengadakan dialog dengan DUMC dan penganjur telah menemui jalan buntu sekaligus menghalang kami untuk mendapatkan pandangan mereka berhubung dengan isu ini.

Ini selari dengan pendirian kami yang menggalakkan dialog secara sihat serta tertutup tanpa perlu digembar-gemburkan menerusi saluran media. Mengambi kesempatan ini, ABIM-WADAH-PKPIM ingin menzahirkan penghargaan kami terhadap keprihatinan sesetengah kelompok gereja serta sebahagian besar masyarakat Kristian yang menghormati sensitiviti umat Islam serta kedudukan istimewa Islam sebagai agama Persekutuan di negara ini. Bahkan, pihak kami juga sering berusaha untuk menjalinkan hubungan yang baik dengan mereka di samping bekerjasama dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan menggalakkan dialog antara agama.

Sebagai penegasan dan teguran, kami merasa amat kesal dengan keengganan pihak DUMC dan HK untuk menggunakan saluran dialog menyelesaikan kemelut ini. Kami juga ingin mengetengahkan peringatan tegas agar sebarang aktiviti serupa yang meragukan sepertimana membabitkan HK dan DUMC tidak diulangi lagi.

Sepanjang pemerhatian kami ketika polemik ini, kami memandang berat terhadap tindakan segelintir ahli politik yang seakan menjadikan insiden ini sebagai batu loncatan mencetuskan polemik politik yang tidak menyenangkan. Pihak kami juga ingin melahirkan kekesalan terhadap tindakan NGO-NGO tertentu yang seakan merelakan diri mereka diperkudakan untuk memenuhi agenda politik pihak tertentu, dengan memanipulasi keprihatinan serta kegusaran di kalangan umat Islam di negara ini mengenai beberapa isu yang menyentuh secara langsung sensitiviti serta kepentingan mereka.

Berkenaan polemik JAIS-DUMC-HK, kami menyokong tindakan JAIS membuat pendakwaan di mahkamah sekiranya terdapat bukti yang kukuh bahawa wujud usaha memurtadkan umat Islam oleh pihak yang berkenaan. Mengambil iktibar dari kemelut ini, kami menyeru agar masyarakat tidak mudah tertipu dan sentiasa bersikap objektif dan mengambil pendekatan dialog dalam menyelesaikan isu berkaitan ini. Kami juga berharap agar pihak institusi agama di setiap negeri mempergiatkan aktviti dakwah dan mendekati golongan sasar yang memerlukan bantuan dan sokongan.


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM);
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH); dan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Khamis, Ogos 18, 2011

Haji Subky Latif: Peneroka 'new journalism' di Malaysia.


“Kalau Babylon lenyap dan Khibti pun musnah, maka Melayu pun boleh ada dan boleh tidak ada. Tetapi kalau orang Melayu bersyukur jadi orang Islam dan syukur itu tidak sekadar disebut, tetapi diamalkan seperti yang dianjurkan Islam: Islam selamat, Melayu pun selamat.” -- Haji Subky Latif, SIASAH, 5 Februari 2008.
___________________________________________________



Subky Abdul Latif (lahir 28 Julai 1940 di Setiawan, Perak) adalah seorang pengarang dan wartawan di Malaysia. Beliau berpendidikan Melayu dan menengah Inggeris.

__________________________________________________


Kerjaya selaku wartawan dan penulis
Haji Subky pernah menjadi pemberita Utusan Melayu dan Warta Negara di Pulau Pinang mulai 1963. Beliau pernah menyertai Kursus Diploma Kewartawanan di Berlin Barat, Jerman. Subky memulakan kerjayanya sebagai seorang wartawan di Utusan Melayu. Beliau merupakan mantan wartawan Kanan Kumpulan Akhbar Utusan Melayu yang sangat disegani dan popular dengan tulisannya yang sangat berwibawa selaku pengarang tajuk rencana dan penulis pojok.

Pada masa itu, Subky berada di barisan ketiga dalam hirarki pimpinan Utusan Melayu, iaitu Mazlan Nordin (Tan Sri), Osman Abadi dan beliau ditempat ketiga. Hal ini demikian kerana, antara wartawan kanan yang telah lama bertugas di Utusan waktu itu, termasuk Zainudin Maidin (kini Tan Sri), Ali Salim (Jiro) dan lain-lain, Subky Latif lah yang ada latar belakang pendidikan yang agak tinggi iaitu MCE dan pelajaran agama di Gunung Semanggol, Perak.

Tambahan pula, beliau mempunyai kepintaran menulis dengan hebat dan disukai ramai. Beliau kerap mengikuti kursus sambil belajar di negara-negara luar khususnya di negara Eropah yang ditaja oleh pejabat kedutaan asing di Kuala Lumpur. Sementelahan, beliau turut menjadi pengasas beberapa buah akhbar seperti dwi mingguan ‘Suara Rakyat’ dan ‘Suara Merdeka.’ Begitu juga dengan beberapa majalah yang ‘diciptanya’ seperti ‘Sarina’, ‘Keluarga’, ‘Kisah Cinta’ dan ‘Kritik’.

Pada tahun 1976, Tan Sri Mohd Khir Johari melancarkan akhbar ‘Harian Watan’ yang tujuannya untuk menjadi suara bebas. Akhbar dwibahasa itu adalah untuk menjadi alternatif kepada akhbar arus perdana. Bagaimanapun, akhbar yang dipimpin oleh Haji Subky Latif (yang juga merupakan mantan pengarang majalah ‘Mastika’) itu gagal dan kemudian menjadi tabloid politik mingguan.

___________________________________________________


Seandainya beliau tidak berhenti dari Utusan untuk menyertai PAS, sudah tentu beliau dilantik oleh pemegang saham terbanyak Utusan menjadi Ketua Pengarang Utusan dan mungkin sampai ke hari ini. Subky menceritakan tujuannya memasuki PAS adalah ‘untuk memastikan demokrasi di Malaysia selamat’. Haji Subky merupakan pengasas akhbar lidah rasmi PAS iaitu Harakah pada tahun 1978. Beliau juga telah diberikan tugas sebagai Ketua Penerangan PAS di zaman Datuk Asri selain mengendalikan Harakah. Selain itu, beliau turut merupakan penulis kepada beberapa buah buku politik. Buku tulisan beliau, ‘PAS Masuk Lubuk Merbau’ yang diterbitkan oleh Penerbit gedung Gua telah diwartakan haram oleh Kementerian Dalam Negeri Malaysia pada 11.7.1985. Buku itu diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri bersama-sama risalah ‘Peristiwa Berdarah di Lubuk Merbau’ tulisan Suhaimi Said, peguam PAS waktu itu. Subky Latif juga pernah menulis pada tahun 1980an, orang yang wajar memimpin PAS selepas Datuk Asri ialah Tuan Guru Haron Din, Dr Sanusi Daeng Mariok dan Anwar Ibrahim (DSAI). Namun, ramalan ini tidak menjadi kenyataan. Malahan, DSAI yang pernah terkenal dengan retorik radikalnya terhadap UMNO, akhirnya menjadi Timbalan Presiden parti tersebut (sebelum disingkarkan pada 1998). Beliau merupakan penulis ruangan ‘1,2 dan 3...’ dan ‘Mens Sana in Corpore Sano’ (dahulunya dikenali sebagai ‘Min aina ila aina’) dalam Harakah dan juga Siasah. ‘Mens Sana in Corpore Sano’ merupakan istilah Latin yang bermaksud ‘akal yang sihat berada di dalam badan yang sihat.’

___________________________________________________


Ahli Politik
Kira-kira pada akhir tahun 60-an dan awal 70-an, Subky Latif diterima umum sebagai pembicara politik yang berpotensi. Beliau amat kritis dan analitis dalam setiap pembicaraan, terutama pembicaraan tentang politik dalam setiap pembicaraan, terutama pembicaraan tentang politik dalam negeri. Ketika beliau berketuakan Datuk Asri dulu, Haji Subky pernah ‘merestui’ penyingkiran Datuk Muhammad Nasir. Dalam suatu forum di Universiti Malaya ketika Muhammad Nasir disingkir dulu, Haji Subky memberikan pandangan yang amat tidak popular. Hal ini berlaku kerana Muhammad Nasir terlalu popular pada waktu itu. Hadirin benar-benar tidak menyenanginya apabila beliau menyarankan bahawa pembelaan terhadap Muhammad Nasir adalah sia-sia. Ketika itu, Subky bagaikan mewakili (menyebelahi) Asri untuk berusaha memudarkan imej Muhammad Nasir. Bagi para hadirin pula, usaha Subky sudah tidak menarik lagi, kerana ia telah menyebelahi suatu pihak yang sedang dipersoalkan. Kemudian, apabila kepimpinan Datuk Asri sudah tidak lagi disenangi ramai (kerana didakwa terlibat dengan beberapa skandal seperti nepotisme), Subky mengkritik kerajaan kerana tidak berusaha bersungguh-sungguh membasmi kemungkaran. Ini adalah bertentangan dengan pandangan Datuk Asri yang menyatakan bahawa usaha-usaha kerajaan menerapkan nilai-nilai Islam ke dalam pemerintahan adalah ‘baik dan dialu-alukan’.
__________________________________________________


Pandangan Subky ketika itu jelas sekali mirip kepada pandangan Ustaz Abdul Hadi Awang, yang dilihat sebagai pemidato pintar oleh satu pihak, dan pemimpin muda radikal oleh pihak yang lain. Sewaktu menjawat Setiausaha Pemuda PAS Pusat sekitar tahun 1982, beliau telah memulakan usul dan menjadi pelopor konsep ‘Kepimpinan Ulama’. Apabila Asri disingkirkan oleh kumpulan Muda PAS yang pro-Revolusi Iran, kaum muda PAS seperti Mustafa Ali dan Subky Latif menguasai Dewan Pemuda PAS. Subky pernah menjadi ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 1982 hingga 2005. Beliau pernah juga menjawat jawatan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan. Haji Subky merupakan antara individu yang bertanggungjawab ‘mendekatkan’ PAS dengan masyarakat bukan Islam pada tahun 1985 dan 1986 sehinggakan di Kuala Lumpur dibuat seminar-seminar yang memberi penerangan konsep pemerintahan Islam kepada kaum Cina. Kemudiannya, PAS mengorak langkah dengan mengadakan ceramah-ceramah di Dewan Perhimpunan Cina sehingga tertubuhnya CCC (Chinese Comunity Council) yang dianjurkan PAS.
___________________________________________________


Menyertai Pilihan Raya: Menentang Tun Mahathir
Selain menulis, beliau sendiri pernah bertanding pada pilihan raya kecil Pelabuhan Kelang, 1 Disember 1979.  Pilihanraya kecil parlimen Pelabuhan Kelang 1979 diadakan berikutan kematian Tan Sri V. Manikavasagam, Menteri Buruh dan Presiden MIC. Manikavasagam meninggal dunia pada 12 Oktober 1979. Pengundi di situ hampir 30,000 keturunan Jawa dan 7000 pengundi India. Subky Latif tewas,hanya mendapat 7000 undi sahaja. Calon MIC, Guvindaraj menang. Selepas kalah pilihan raya itu, Subky menulis buku ‘Anak Jawa Pelabung Klang’. Subky merupakan antara pemimpin yang banyak menyertai pilihan raya. Bertanding di Perak, Terengganu, Setapak Kuala Lumpur, dan pernah ‘melawan’ Tun Dr Mahathir di Kubang Pasu, Subky yang tidak pernah menang kerusi sekalipun tetap istiqamah dalam perjuangannnya.

___________________________________________________


Pengiktirafan
Sementara itu, pada 25 April 2011, Haji Subky telah diberikan ‘Anugerah Jasa Baktimu Dikenang’ oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Machang, memandangkan penglibatan besar, kuat dan mendalam beliau sejak PAS belum dikenali hingga kini terus menulis dalam usaha mengambangkan pengaruh perjuangan Islam dalam negara ini.
___________________________________________________


Khatimah
Haji Subky pernah menukilkan,
“Apa yang paling penting dalam dada seorang wartawan, ialah prinsip tidak teragak-agak untuk menyatakan kebenaran walaupun kadang-kadang salah… Kalau tidak betul akhirnya akui kesalahan kita. Sesiapa yang tidak puas hati dan kata salah, mesti buktikan kesalahan dan sanggah saya dengan penuh yakin, jika tidak saya tidak akan terima.”
Haji Subky Latif, seorang pejuang, akan senantiasa dikenang, sebagai penulis yang menulis tulisan-tulisan yang strategik, khususnya yang tertakluk dan bersesuaian dengan cita-cita besar dan matlamat parti yang disayanginya. Khalas.

*******************************

Sumber dan pautan:
i. Halim Mahmood. Senario Pemilihan UMNO, 1986. Semenyih: Marwilis Publisher;
ii. Kamal Amir. Era Melayu Baru, 1993. Petaling Jaya: Warkah Tulin Sdn Bhd;
iii. Kamal Amir. Episod Gelora Melayu, 2007. Petaling Jaya: Putrajaya Bumi Communications Sdn Bhd;
iv. Ruhanie Haji Ahmad. Musa Hitam: Serene in the Storm, 1987. Petaling Jaya: Media Indah Sdn Bhd;
v. Subky Latif. Istimewa Terkenang: Siri Koleksi Rencana Terpilih Siasah, 2009. Kuala Lumpur: Media Icon Sdn Bhd;
vi. Syed Hussein Al-Attas. Musa A Traitor?, 1986. Kuala Lumpur: AlNujum Sdn Bhd;
vii. Yahaya Ismail. Siapa Kebal: Mahathir atau Raja-Raja Melayu?, 1993. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd.;
viii. Yahaya Ismail. Siapa Presiden UMNO 1987: Mahathir-Tengku Razaleigh?, 1987. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd.;
ix. Zabidi Mohamed. Lelaki UMNO Terakhir: Iktibar Untuk Pejuang Islam, 1999. Kuala Lumpur: Zabidi Publication;
x. Zainuddin Maidin. Mahathir Di Sebalik Tabir, 1994. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd;
xi. Zakri Abadi. Mahathir Machiavelli Malaysia?, 1990. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise;
xii. http://yazidothman.com/index2.php?option=com_content&do_pdf=1&id=185;
xiii. http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=22968:menghayati-nasihat-penulis-produktif&catid=91:wartawan&Itemid=129;
xiv. http://www.facebook.com/profile.php?id=1209437285;
xv. http://sgburong.wordpress.com/2010/06/;
xvi. http://mzubairafandi.blogspot.com/2011_01_06_archive.html;
xvii. http://sanggahtoksago.blogspot.com/2008_01_27_archive.html;
xviii. http://bumiperak.blogspot.com/2009/10/sukby-latif-penulis-first-news-bukan.html>;
xix.
http://alhusseyn51.blogspot.com/2010_11_01_archive.html; dan
xx. http://sanggahtoksago.blogspot.com/2010/07/subky-latif-dakwa-mahathir-lagi-bebas.html .

Jumaat, Ogos 12, 2011

Tun Musa Hitam: Tenang dalam gelora.


“Dalam suatu budaya demokrasi… prasangka orang yang tidak mengetahui adalah lebih senang untuk dihapuskan daripada prejudis orang yang berkepentingan.” 
-- Tun Musa Hitam, 17 September 1986.
---------------------------------------------


Biodata
Dilahirkan di Segamat, Johor. Musa belajar di English College (kini “Maktab Sultan Abu Bakar”), Johor Bahru dan memperoleh ijazah Sarjana Mudanya dari Universiti Malaya. Beliau kemudian mengambil kursus sarjana dalam bidang hubungan antarabangsa di Universiti Sussex, United Kingdom. Selain daripada menerima pelbagai anugerah dan penghargaan, termasuk Doktor Kehormat dari Universiti Sussex, Musa juga pernah memegang pelbagai jawatan di peringkat antarabangsa beberapa kali. Ini termasuklah Pengerusi Persatuan Parlimen Komanwel, Ahli Lembaga UNESCO, Ketua Perwakilan Pemerhati Komanwel untuk pilihan raya umum Malawi, serta Ahli Perwakilan Menteri Komanwel ke Nigeria, Pakistan, Fiji, dan Gambia.


Kehidupan Peribadi
Tun Musa Hitam (lahir 18 April 1934) ialah Timbalan Perdana Menteri kelima di Malaysia dari 1981-1986 di bawah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Tun Musa berketurunan Melayu di sebelah bapanya dan Cina di sebelah ibunya.

________________________________________________



Perkahwinan pertamanya ialah dengan Datin Ines Maria Reyna, seorang rakyat Peru berketurunan Sepanyol, yang mana mereka bertemu buat kai pertama di Lima, Peru pada 1959 sewaktu menjadi seorang pelajar antarabangsa. Mereka dikurniakan 3 cahaya mata: Mariana, Carlos Abdul Rashid dan Rosana. Carlos terbunuh bersama isteri Tun Musa, Rozita Datuk Abu Bakar sewaktu tragedi Highland Towers pada Disember 1993.

________________________________________________



Tun Musa kemudiannya berkahwin dengan Zulaikha Sheardin (kini Toh Puan), yang mana mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Hanif. Tun Musa mempunyai tiga orang cucu: Marisa, Lara dan Kaelen.

________________________________________________



Kerjaya politik
Dalam tahun 1960-an, Tun Musa dilantik menjadi Pemangku Setiausaha Agung UMNO. Beliau masuk Parlimen Malaysia buat pertama kali pada tahun 1969 dan berkhidmat sebagai timbalan menteri untuk suatu tempoh yang singkat. Tun Musa kemudian dipecat daripada UMNO, akibat pengingkaran semasa Peristiwa 13 Mei, oleh Tunku Abdul Rahman, Presiden UMNO dan Perdana Menteri ketika itu. Semasa dipecat, beliau mengambil sarjananya di Universiti Sussex. Apabila kembali ke Malaysia pada tahun 1971, beliau diterima semula menyertai UMNO oleh Tun Abdul Razak.
________________________________________________


Tun Musa dilantik sebagai Timbalan Whip Parlimen untuk parti campuran Parti Perikatan dan dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau juga dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada 1978.
________________________________________________


Pada tahun 1981, Musa dipilih menjadi Timbalan Presiden UMNO dan seterusnya sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Sebelum menjawat Timbalan Perdana Menteri Malaysia, dan Menteri Dalam Negeri pada 1981-1986, Musa telah menjawat beberapa jawatan dalam kerajaan seperti Pengerusi FELDA, Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri, Menteri Perusahaan Utama (1974-1978) dan Menteri Pendidikan (1978-1981).
_______________________________________________


Peristiwa Memali
Peristiwa Memali terjadi pada 19 November 1985, ketika Musa menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Seramai 3,600 orang anggota polis terdiri daripada Unit FRU, Unit Tindakan Khas, Senoi Praq dan anggota dari Bukit Aman terlibat dengan operasi yang diberi nama “Operasi Angkara” dan/atau “Operasi Hapus”. Operasi itu di bawah seliaan pegawai Bukit Aman. Tujuannya menangkap Ustaz Ibrahim Mahmud untuk ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Peristiwa tersebut berlaku ketika Dr. Mahathir melakukan lawatan ke China. Ketua Polis Negara ketika itu adalah Tun Mohammed Hanif bin Omar (kini Timbalan Pengerusi Genting Berhad).

Usaha untuk menangkap Ibrahim Libya dilakukan bermula dari 2 September 1985 sehingga beliau berjaya diberkas. Situasi di mana orang kampung sendiri memberhentikan OCPD Baling, Tunku Muzaffar dan dua orang lagi pegawai polis yang sedang dalam perjalanan pada 22 Oktober 1985 adalah di antara titik permulaan kepada ketegangan. Meskipun ramai yang mengepung OCPD, mereka dapat ditenangkan sehingga Tunku Muzaffar dibebaskan.

Pada 19 November 1985, sewaktu berlaku kepungan dan tindakan polis, seramai lebih kurang 160 orang kampung berkumpul di kawasan rumah Ibrahim Libya. Polis melepaskan tembakan apabila tiga, empat orang pengikut Ibrahim Libya meluru keluar dari tempat persembunyian mereka. Peristiwa yang berlaku di kawasan pendalaman di mukim Siong, Baling, Kedah itu mengakibatkan 14 orang kampung terkorban dan 4 orang anggota polis terbunuh.
________________________________________________


Kepimpinan 2M
Musa dan Dr. Mahathir adalah senasib di zaman Tunku. Kedua-duanya dipecat dari UMNO kerana mengkritik kepimpinan dan kewibawaan Tunku selepas terjadinya Peristiwa 13 Mei 1969. Dr. M telah menyokong Musa (secara tidak langsung) sebanyak dua kali bagi membolehkan Musa mengekalkan jawatan Timbalan Presiden UMNO, Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Menteri Dalam Negeri. Kedua-dua tokoh kontroversial ini dianggap sebagai pemimpin besar UMNO yang berada di kemuncak ketika tahun 1987. Kedua-duanya pernah dipecat di zaman Tunku dan diterima balik kemudiannya ke dalam UMNO pada zaman Tun Abdul razak. Kerana pengaruh kedua-duanya yang besar di dalam parti dan kerajaan, kerajaan mereka dianggap sebagai ‘Kerajaan 2M’.

Kedua-duanya dianggap setaraf dari segi pengalaman, pengaruh dan kelayakan untuk memimpin.Sewaktu era Kerajaan 2M tersebut, gambar mereka berdua pernah tergantung seimbang di pejabat, bilik-bilik mesyuarat kerajaan dan swasta, di kedai-kedai kopi dan di mana-mana jua. Sewaktu khabar angin bertiup kencang bahawa ‘Kerajaan 2M’ sedang bergolak, kebanyakan anggota Kabinet mengatakan bahawa soal keretakan itu hanyalah rekaan akhbar dan musuh politik UMNO. Dr M sendiri berusaha bergambar mesra dengan Tun Musa bagi menggambar serta memperlihatkan keakraban mereka.
________________________________________________


Meletakkan Jawatan
Pada satu masa, Tun Musa Hitam kelihatan mempunyai potensi besar dan dikatakan sebagai calon paling cocok untuk dijadikan sebagai pengganti Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Kendatipun, Tun Musa dilihat mempunyai pendekatan yang sedikit berbeza berbanding Dr M. Tun Musa merestui kemenangan PBS di Sabah tanpa mengambil kira perasaan Datuk Harris Salleh. Hakikatnya, Dr M tidak pun membuat sebarang komen berkenaan kemengangan tersebut.

Selanjutnya, sewaktu krisis MCA, Musa juga dilihat mendahului Dr M dalam menyarankan MCA agar keluar daripada BN buat sementara waktu. Tun Musa juga dikatakan kurang senang dengan perlantikan Tengku Razaleigh sebagai menteri oleh Dr M, meskipun Ku Li telah tewas dalam perebutan sengit jawatan Timbalan Presiden UMNO. Akhirnya, Tun Musa membuat keputusan mengejut dengan meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 27 Februari 1986 - setelah hanya beberapa tahun memegang jawatan tersebut - disebabkan percanggahan pendapat dengan Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir terhadap dasar-dasar negara.
________________________________________________


Selepas meletak jawatan, beliau cuba melakukan “come back” dengan bergabung dengan Tengku Razaleigh melawan team Dr. M, tetapi gagal. Pada 1987, beliau dicabar oleh Tun Ghafar Baba (ketika itu Encik) untuk jawatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan ditewaskan oleh Ghafar.
________________________________________________


Setelah berlakunya perebutan dan persaingan tersebut dalam parti, maka UMNO telah berpecah menjadi dua kumpulan; team A dan B. Hal yang demukian, bukan sahaja ahli PAS dan UMNO yang bercakaran (berkrisis) ketika itu, tetapi juga sesama ahli UMNO sendiri. Pada 1987, Tun Musa Hitam (yang ketika itu memegang jawatan selaku utusan khas ke PBB) menjalinkan kerjasama dengan Ku Li (yang merupakan mantan Menteri Kewangan Persekutuan dan mantan Menteri Perindustrian dan Perdagangan) untuk mencabar Dr M dan Tun Abdul Ghafar.

Dr Mahathir cuma menang 43 undi sahaja, tetapi kemenangan tersebut ‘memadamkan’ sisa-sisa harapan Ku Li dan Tun Musa untuk kembali berkuasa. Ku Li mendakwa bahawa beliau terperangkap dalam insiden pengiraan undi yang dianggap sebagai perbuatan khianat pihak tertentu yang menipu undi. Dikatakan bahawa lampu di dewan penjumlahan undi terpadam (black out) sedangkan beberapa alatan elektrik di bilik sebelah berfungsi seperti biasa.

Kemudian, kumpulan 11 yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mendakwa bahawa ada ahli dari cawangan UMNO yang tidak sah turut sama menjadi perwakilan dan mengundi. Mahkamah kemudiannya mengharamkan UMNO. Apabila UMNO diharamkan, Dr. M menubuhkan UMNO Baru. Menubuhkan UMNO baru bukanlah suatu yang sukar bagi beliau kerana pada ketika, itu Pendaftar pertubuhan (ROS) adalah agensi kerajaan di bawah kementeriannya.

UMNO Baru telah ditubuhkan pada 1988 dengan Dr Mahathir memegang nombor keahlian 000001. UMNO Baru walaubagaimanapun tidak menerima Ku Li dan pengikutnya sebagai ahli. Ku Li terpaksa menyertai sebuah parti baru yang didaftarkan dengan nama Parti Semangat 46, mengambil semangat UMNO lama yang ditubuhkan pada tahun 1946.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) membuat kejutan apabila mengisytiharkan kerjasama dengan Pasti Semangat 46 (yang didakwa bersifat ‘secular-centric’ seperti UMNO oleh sebilangan pemimpin dan ahlinya ketika itu) menerusi pakatan yang digelar ‘Angkatan Perpaduan Ummah’ (APU). Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Pada masa yang sama, S46 juga bekerjasama dengan DAP, PBS, dan PRM untuk menubuhkan ‘Gagasan Rakyat’ demi bertanding dalam Pilihanraya Umum 1990.

Ku Li mendakwa bahawa Parti Semangat 46 ini ialah parti UMNO yang sebenar dan asal, manakala UMNO Baru yang ditubuhkan oleh Dr M itu merupakan satu tiruan sahaja. Dalam PRU 1990, APU dan Gagasan Rakyat hanya mampu menguasai Kelantan dan Sabah. Hanya beberapa kerusi Dewan Rakyat sahaja yang berjaya dirampas. Kemudiannya dalam PRU 1995, Ku Li sekali lagi gagal memenangi banyak kerusi Dewan Rakyat. Pada tahun 1996, Ku Li membuat satu keputusan yang sangat mengejutkan. Beliau membubarkan Semangat 46 dan kembali menyertai UMNO. Beliau sudah tidak yakin dengan parti yang beliau pimpin.
________________________________________________


Tragedi Highland Towers yang memilukan
“Nampaknya tiada siapa pun yang belajar daripada tragedi itu (Highland Towers). Jika semua pihak yang terbabit dalam pembangunan termasuk pihak berkuasa yang memberi kelulusan, para jurutera, arkitek, juru ukur dan pemaju perumahan tidak mengambil serius akan tanggungjawab mereka, kejadian seperti itu akan terus berlaku.” Itulah reaksi Tun Musa Hitam apabila diberitahu mengenai kejadian tanah runtuh yang mengorbankan empat nyawa di Taman Bukit Utama dan Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa pada Disember 2008. “Sudah bertahun-tahun tragedi itu berlalu dan hari ini insiden seperti itu berlaku lagi, (juga) mengakibatkan kematian,” katanya kepada Bernama ketika itu berada di Amsterdam.

Anak lelaki Tun Musa, Carlos Abdul Rashid dan isterinya Rozita, adalah antara 48 orang yang terkorban apabila Blok A, iaitu sebuah daripada tiga blok kondominium Highland Towers di Taman Hillview, terletak 1.5 kilometer dari tempat kejadian tanah runtuh pada Sabtu, runtuh pada pukul 1.35 petang, 11 Disember 1993. Jenazah kedua-duanya ditemui pada tanggal 21 Disember 1993, dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang selepas disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Baru.

“Ia satu memori yang amat tidak menyenangkan, sungguh memilukan. Saya sendiri yang mengalaminya. Harapan ialah agar siapa jua yang bersalah mesti menerima hukuman,” kata Tun Musa. Blok A pangsapuri itu tumbang berikutan berlaku gelungsuran tanah akibat aliran air pada bukit curam di belakang ketiga-tiga blok kondominium itu disebabkan reka bentuk tembok penahan tanah yang tidak baik dan tidak mencukupi ketika pangsapuri itu dibina. Tragedi Highland Towers mengejutkan seluruh negara memandangkan kejadian seumpama itu julung kali berlaku dalam sejarah negara sejak merdeka.
________________________________________________


Polemik Sime Darby
Tun Musa Hitam diberitakan telah menghantar notis ingin berhenti dari jawatan sebagai Pengerusi Sime Darby hujung tahun 2011 (jawatannya sebagai Pengerusi akan berakhir November 2011). Sime Darby Berhad dikatakan menanggung kerugian besar berjumlah RM1.64 bilion yang memberi kesan terhadap ekonomi negara. Sebagai Pengerusi, banyak pihak telah memberi tekanan pada Tun Musa agar dia meletakkan jawatan ekoran terdedahnya kerugian tersebut. Kerugian yang ditanggung adalah didakwa berpunca daripada ‘lebihan kos, penyelewengan dan salah urus tadbir’ bahagian tenaga dan utiliti konglomerat terbabit. Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan (CEO) Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid, bersama empat yang lainnya diberikan notis saman oleh Sime Darby Group.
________________________________________________


Untuk rekod, Tengku Razaleigh dan Tan Sri Khalid Ibrahim merupakan antara individu yang terlibat secara langsung di dalam peristiwa bersejarah mengambil alih firma Sime Darby daripada tangan penjajah, yang digelar oleh London Stock Exchange sebagai “The London down raid”. Tan Sri Khalid Ibrahim (kini Menteri besar Selangor) pernah dijulang sebagai wira negara dan menjadi terkenal pada 1981 setelah menyelesaikan “dawn raid” di London Stock Exchange, yang mana Permodalan Nasional Berhad (PNB) mencatat agihan 51% pegangan di dalam syarikat perindustrian British iaitu Guthrie kurang daripada dua jam. Khalid kemudian menjadi CEO Malaysianized Guthrie, yang kemudiannya dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Bhd, dari 1995 hingga 2003.
________________________________________________

Selepas politik
Antara tahun 1990 dan 1991, Tun Musa dilantik sebagai Utusan Khas Malaysia untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan sejak 1995, beliau merupakan Utusan Khas Perdana Menteri untuk Kumpulan Bertindak Peringkat Menteri Komanwel (CMAG). Beliau juga mengetuai perwakilan Malaysia untuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB (UNCHR) dari 1993 sehingga 1998, dan dipilih sebagai Pengerusi Sesi Ke-52 untuk Suruhanjaya tersebut pada tahun 1995. Musa dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dari 1999 hingga 2002.
________________________________________________

Anugerah
Beliau telah dikurniakan Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada 3 Jun 2006. Beliau juga dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung, pada 1994.
________________________________________________


Khatimah
Tun Musa Hitam pernah diramalkan oleh majalah TIMES sebagai salah seorang ahli politik yang pintar dan mempunyai potensi menjadi pemimpin negara. Malahan, beliau telah dinobat sebagai Malaysian of the Year oleh akhbar The Star beberapa bulan sebelum perletakan jawatannya yang drastik itu. Akhbar tersebut menggambarkan beliau sebagai lebih daripada seorang pemimpin dan merupakan seorang negarawan yang ulung. Kendati pun, semuanya telah menjadi sejarah dan Tun Musa Hitam akan tetap dikenang sebagai antara pemimpin UMNO yang banyak berjasa pada UMNO dan kerajaan sepanjang beliau berkhidmat sejak dari zaman Tunku sehingga era Tun Dr. Mahathir.

----------------------------------------------------

Sumber dan pautan:
i. Halim Mahmood. Senario Pemilihan UMNO, 1986. Semenyih: Marwilis Publisher;

ii. Kamal Amir. Era Melayu Baru, 1993. Petaling Jaya: Warkah Tulin Sdn Bhd;

iii. Kamal Amir. Episod Gelora Melayu, 2007. Petaling Jaya: Putrajaya Bumi Communications Sdn Bhd;

iv. Ruhanie Haji Ahmad. Musa Hitam: Serene in the Storm, 1987. Petaling Jaya: Media Indah Sdn Bhd;

v. Subky Latif. Istimewa Terkenang: Siri Koleksi Rencana Terpilih Siasah, 2009. Kuala Lumpur: Media Icon Sdn Bhd;

vi. Syed Hussein Al-Attas. Musa A Traitor?, 1986. Kuala Lumpur: AlNujum Sdn Bhd;

vii. Yahaya Ismail. Siapa Kebal: Mahathir atau Raja-Raja Melayu?, 1993. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd.;

viii. Yahaya Ismail. Siapa Presiden UMNO 1987: Mahathir-Tengku Razaleigh?, 1987. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd.;

ix. Zabidi Mohamed. Lelaki UMNO Terakhir: Iktibar Untuk Pejuang Islam, 1999. Kuala Lumpur: Zabidi Publication;

x. Zainuddin Maidin. Mahathir Di Sebalik Tabir, 1994. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd;

xi. Zakri Abadi. Mahathir Machiavelli Malaysia?, 1990. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise;





Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...