Ahad, Jun 19, 2011

In sya ALLAH, ada jalannya!

Salam.

Seperti yang kita sedia maklum, dalam suasana kita meraikan sambutan Hari Bapa, dua orang tokoh pejuang dan pendakwah besar negara, Datuk Ustaz Ismail Kamus dan Datuk Dr Siddiq Fadhil telah dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan.

Hal yang demikian, bersama-samalah kita berkihtiar – menerusi solat hajat dan doa yang tidak putus-putus – agar dua orang tokoh ini memperolehi kesembuhan dan kesihatan yang baik, in sya ALLAH.

Ustaz Siddiq Fadhil
Sekedar berkongsi, Ustaz Siddiq Fadhil merupakan mantan Presiden PMIUM, mantan Presiden PKPIM dan mantan Presiden ABIM. Beliau kini memegang jawatan sebagai Presiden WADAH dan Kolej Dar Hikmah ABIM.

Ustaz Siddiq Fadhil telah disahkan menghidap “rare Miller Fisher Syndrome viral disorder mickmicking stroke”.

Saya sudah mula mengenal perjuangan Ustaz Siddiq Fadhil semenjak zaman sekolah menengah menerusi pembacaan buku-buku dan makalah berkenaan ABIM dan gerakan jemaah Islam di Malaysia.

Kemampuan beliau mengangkat dan mempertahankan ABIM selepas DSAI meninggalkan jemaah tersebut secara tiba-tiba ( untuk menyertai UMNO ) memang mengkagumkan.

Serangan – dari dalam dan luar ABIM – berjaya ditangkis dan dibidas dengan baik oleh Ustaz Siddiq dan sahabat seperjuangannya.

Saya hanya mula berkesempatan mendengar ceramah dan tazkirah Ustaz Siddiq secara ‘live’ menerusi siri Maqasid Syariah yang dianjurkan ABIM Pusat. Paling mengesankan saya, ialah apabila beliau memetik serangkap puisi hebat penyair tersohor Indonesia, Ainon yang menyatakan bahawa:
“Jangan sampai kita jadi bangsa yang asyik dikempongi (dicabut giginya)
khuatir kelak rongak demokrasi!”

Untuk sedikit biodata ringkas serta sejarah perjuangan Ustaz Siddiq Fadhil, para pembaca yang budiman bolehlah merujuk entri yang ini: ABIM: Imbauan empat dasawarsa


Ustaz Ismail Kamus
Sementelahan, Ustaz Ismail Kamus dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kg. Batang Rening, Ulu Selangor.

Beliau merupakan seorang ustaz, pendakwah, ahli politik dan juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan N17 Gombak Setia atas tiket PAS. Di dalam parti, beliau pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Sedari kecil, saya dibesarkan dengan ceramah-ceramah Ustaz Ismail Kamus, sama ada menerusi kaset-kaset ceramah agamanya, mahupun menerusi siaran langsung Forum Perdana Ehwal Islam di RTM yang pernah popular satu ketika dahulu ( dengan moderatornya, Datuk Hassan Ali ).

Beliau memang terkenal kerana selain kaedah penyampaian ceramah yang menarik, hasil penulisan beliau juga mengkagumkan dan bermanfaat.

Justeru, tidak mengejutkan apabila hasil tulisannya kerap laris terjual sehingga menjadi ‘best seller’.

Semoga kedua-dua pejuang ini dikurniakan kesembuhan kesihatan oleh ALLAH SWT. Amin.

Nota Kaki :: Marilah bersama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah sekudusnya di atas pemergian bapa kepada penyanyi terkenal, Awie Wings, serta di atas pemergian pelakon dan pelawak terkenal, Pak Uda ( Zami Ismail ).

Allahyarham Pak Uda pernah memegang jawatan selaku Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Arah Terpuji Sahsiah Malaysia ( ATS Malaysia ). Sebagai seorang peminat setia Siri Sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, bagi syaa, berita ini adalah suatu kesedihan yang mendalam.

Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Al-Fatihah!


Sumber:
http://jeng3x.blogspot.com/;
Ustaz Dr Siddiq Fadzil Masuk Wad

Sabtu, Jun 18, 2011

Masihkah kau ingat...

“Rata-rata pengunjung giat bertanyakan tentang bila kita bakal mengambil alih pentadbiran di Putrajaya. Pokoknya, kita semakin hampir ke sana. Kelmarin di Pulau Pinang telah saya tegaskan, beberapa teman dari MCA bakal beralih arah.

Insha-Allah, berkat usaha dan doa sdr/i, masanya akan tiba. Saya komited, jika sekiranya hari ini kita memegang tampuk kuasa, esok harga minyak akan diturunkan!”


Pautannya di sini: Pakatan Rakyat semakin hampir ke Putrajaya


:)

Jumaat, Jun 10, 2011

Demi Allah, saya sayang Emak saya.


Assalamualaikum.



Semalam, Khamis, 9 Jun 2011 merupakan hari yang menyedihkan buat saya.

Ibu kesayangan yang telah banyak berkorban – membesarkan dan mendidik saya – sejak saya dilahirkan sehinggalah hari-hari terakhirnya, telah pergi meninggalkan saya.

“Emak”, panggilan saya buat Ibu saya, selalu memanjakan saya sejak kecil. Hampir apa sahaja yang saya inginkan, akan cuba beliau tunaikan.

ALLAH sahajalah yang mampu membalas jasa Emak.

Emak yang dimasukkan ke ICU dua hari lepas kerana sesak nafas, masih cuba menyembunyikan kesakitan yang dialami.

Pada tahun 2008, sebelum menjalani pembedahan lutut di Pusat Perubatan Sunway, Emak ada menasihatkan saya, agar bersedia menghadapi segala kemungkinan: termasuklah sekiranya beliau ‘tiada’ lagi selepas pembedahan dilakukan.

Siang malam saya berdoa, bersolat hajat: memohon agar ALLAH panjangkan usia Emak – seboleh-bolehnya: sepanjang-panjangnya, sampai akhir umur dunia.

ALLAH memang Maha Pemurah, meski saya bukanlah sebaik hamba-hamba-NYA yang soleh, ALLAH perkenankan doa saya. Emak selamat menjalani pembedahan lutut, dan dapat berjalan dengan baik.

Bak kata Abah, “…lepas ni, nak berlari pun boleh”. Heh. Rindu saat itu.

Alhamdulillah, Emak berkesempatan menghadiri Majlis Kecemerlangan saya, sedari saya masih di Tadika, sehinggalah Majlis Konvokesyen saya pada 2010 dan tahun ini. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Meski saya tidaklah sepandai sahabat mahupun sepupu saya yang lain, Emak selalu menyatakan, yang beliau bangga dengan saya. Emak tidak pernah putus berharap dengan saya.

Kalau bukan kerana Emak ( dan takdir ALLAH ), mungkin saya sudah tidak mampu meneruskan hidup. Sedari kecil, selain Abah ( ayah saya ) dan Emak, orang yang paling ikrab dengan hati dan jiwa saya ialah Wak Sukijah ( nenek saudara saya, tetapi saya memanggilnya Wak Jah ) dan Atok Charop ( datuk saya ).

Rumah Tok Charop dan Wak Sukijah hanyalah beberapa langkah sahaja dari rumah saya. Jadi, masa saya lebih banyak dihabiskan bersama Arwah Atok dan Wak Jah, berbanding bersama kawan-kawan sekampung.

Apabila Arwah Atok tiba-tiba jatuh sakit dan meninggal dunia pada tahun 1999, saya jadi hilang arah. Tapi, Wak Jah dan Emak senantiasa beri saya kekuatan.

Kemudian, pada 2006, sewaktu menguruskan satu program di Rumah Anak Yatim Budi di Yan, Kedah, saya menerima satu pesanan ringkas ( sms ) daripada kakak saya, menyatakan Wak Jah meninggal dunia.

Saya sekali lagi jadi bungkam. Namun, Emak tetap berikan dorongan dan semangat, menyatakan: hidup mesti diteruskan, yang pergi kita doakan yang baik-baik. Sayang Emak.

Sehinggalah semalam, dan sedari dua hari yang lepas – sewaktu berada di sisi Emak di ICU – saya masih terus yakin dan berharap yang Emak akan dipanjangkan usia.

Namun, ALLAH lebih sayangkan Emak. Emak pergi dalam keadaan tenang dan tersenyum. Emak nampak bahagia. Sayang Emak.

Rindu Emak. Sayang Emak.

Meskipun Emak tiada lagi untuk menyejukkan hati saya yang asyik remuk-redam sekarang ini, saya akan meredhai kesedihan ini sebagai sesuatu yang membahagiakan.

Kerana kesedihan ini adalah atas kasihnya saya kepada Emak.

Kerana ALLAH beri saya kesempatan untuk berada di sisi Emak sedari Emak sihat, sedari Emak baru jatuh sakit dua hari lepas, sehinggalah saat Emak tidak sedarkan diri, menghembuskan nafas terakhirnya, dimandikan dan disembahyangkan jenazahnya.

Paling indah, sebab ALLAH beri saya peluang untuk menyambut jenazah Emak untuk diletakkan di dalam liang lahad. Tanah yang memenuhi baju dan seluar saya, terasa seperti tanah yang paling bersih dan harum pernah saya temui. Sayang Emak.

Sungguh, masakan Emak enak dan mengenyangkan. Sungguh, kata-kata Emak sangat menenangkan.

Kalimah yang diungkapkan Emak membahagiakan.

Nasihat-nasihat Emak senantiasa menjadi santapan halwa telinga saya. Emak tidak pernah lupa untuk menyayangi dan rasa prihatin terhadap kebajikan anak-anaknya. Sayang Emak.

Meski Emak tidak pernah bersekolah – kerana dibesarkan dalam keluarga yang susah – bagi saya, Emaklah manusia paling bijak: kerana Emak mengajar saya ‘erti hidup.’

Sayang Emak. Sayang Emak. Sayang Emak.

Oh, Emak, kesayanganku 
hari ini, pada kematianmu 
semuanya telah selesai 
lalu orang pun berangkat 
yang tinggal cuma kesan 
titis air masih basah 

nisan kayu serta kuntum bunga 

mula layu 

pun aku sayu 

rindu syahdu 


Kain putih 

lenyapkanlah 

wajah bening Emak 

di dalam litup tenang selimutmu 


Kapas 

selesakanlah 

tidur abadi Emak 

di atas bahagia kelembutanmu 


Kapur barus, air mawar dan serbuk cendana 

iringkanlah 

kembara akhir Emak 

bersama harum baumu 


Oh, Emak, kesayanganku 

sungguh, pada masa hayatmu 

aku terima banyak nasihat hidup 

namun hari ini, pada kematianmu 
sungguh 
aku terima lebih banyak nasihat hidup 


Oh, Emak, kesayanganku 

hari ini, pada kematianmu 

berakhir sudah riwayat hayatmu 

moga rohmu tenang, bersemadi 
dicucuri rahmat, kasih ILLAHI 
al-Fatihah untukmu 
oh, Emak, kesayanganku.

Abu Hurairah r.a pernah mendengar sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
“Dunia ini adalah (umpama) penjara kepada seseorang mukmin dan syurga buat orang kafir”. (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Salam.

Selasa, Jun 07, 2011

Terima kasih, Chowrasta!

Salam. :)

Alhamdulillah, saya telah selamat kembali dari Pulau Pinang dengan menaiki bas. Perjalanan yang seharusnya mengambil masa hanya kurang lebih 5 jam, menjadi lebih panjang -- 10 jam. heh.


Kesesakkan jalan raya - telahan saya mungkin kerana musim cuti sekolah - benar-benar menduga iman.

Namun, saya tetap bersyukur kerana diberikan peluang untuk memenuhi impian yang telah tertangguh sejak 4 tahun lalu, untuk melawat Bazaar Chowrasta, syurga buku terpakai.

Pembaca yang budiman boleh rujuk entri ini: Terkenang: Bazaar Chowrasta dan bau bukunya.

Apa yang lebih menarik, bukan hanya buku terpakai yang saya temui di kedai buku Chowrasta, malah, dokumen-dokumen mahkamah, poskad, setem, gambar-gambar lama, serta keratan-keratan akhbar yang punya nilai sejarah yang sangat tinggi.

Sahabat saya, Khairul aka General, membeli dua dokumen yang difailkan pada tahun 1934. Lama tu. heh. Kertasnya cukup berkualiti tinggi -- seolah-olah baru difailkan beberapa tahun yang lalu.

Kendatipun, fokus saya tetap pada Kedai Buku Chowrasta, kedai buku kesayangan saya. hehe. Banyak juga buku dan majalah lama yang saya beli.

Hampir RM100 saya belanjakan untuk tujuan tersebut.

Membazir untuk sesetengah orang, tapi, berbaloi untuk saya: kerana, bahan-bahan tersebut boleh dikatakan hampir tidak boleh didapati lagi di tempat lain.

Antara sebabnya, pastilah kerana ia tidak diterbitkan lagi.

Chowrasta merupakan tempat pertama yang saya dan sahabat saya kunjungi, sebelum berkelana sekitar bandar Pulau Pinang ( yang agak sesak tetapi menarik ).

Bangunan-bangunan warisan indah di sekitar Pulau Pinang menghilangkan rasa penat berjalan kaki yang disulami terik panas matahari. Sungguh, memang indah.

Apa-apa pun, terima kasih Chowrasta, untuk segala indah kenangan. Aku akan datang lagi!

* Nota kaki :: Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah buat sahabat-sahabat saya yang selamat menjadi pengantin baru bulan ini. Semoga bahagia duniawi dan ukhrawi. Amin.

Tahniah Wafi. :)

Tahniah Anwar aka Kurt Tom. :)

Tahniah Esah. :)

Salam. :)

Sabtu, Mei 28, 2011

Darul Arqam: Sejarah suka-duka (Bahagian II).

Meluaskan Pengaruh
Sememangnya pertumbuhan ekonomi dan luasnya pengaruh tidak harus dijadikan piawai yang mengukur keberhasilan dan kecemerlangan organisasi dakwah tertentu. Tidak dinafikan aspek kewangan sangat penting untuk keberlangsungan sesuatu gerakan, namun banyak lagi faktor lain yang perlu diambilkira seperti aspek kepimpinan, keagamaan, keilmuan dan keintelektualan, kepengikutan, pengurusan, pembinaan dan lainnya. Sebanyak 52 buah kedai runcit dibangunkan di seluruh perkampungan Al-Arqam, 20 buah pasar mini, 36 buah kedai buku dan alat ibadat dan 18 buah restoran di seluruh Malaysia. Al-Arqam juga memiliki 56 buah kilang perusahaan di seluruh Malaysia. Pada tahun 1993, Al-Arqam mengambil langkah yang drastik dengan menumpukan perhatian kepada dunia antarabangsa. Langkah pertama adalah dengan menubuhkan Al-Arqam Group of Companies (AGC) yang menghimpunkan 22 buah anak syarikat milik jemaah Al-Arqam. Setelah membuka pusat hubungan antarabangsa di Islamabad, Pakistan dan diberi nama Al-Arqam International Centre (AIC). Pada tahun inilah Ustaz Asaari mengisytiharkan terbentuknya Daulah Islam di bumi Malaysia, Indonesia dan Khurasan.
________________________________________________

Krisis Kepimpinan
Krisis kepimpinan Al-Arqam bermula setelah berlakunya penyingkiran Akbar Anang pada tahun 1979 yang merupakan Ketua Unit Perkhidmatan Ummah. Menurut Akbar Anang, penyingkirannya bersama adalah kerana beliau mempersoalkan ajaran Al-Arqam. Namun, menurut Ustaz Asaari, Akbar Anang disingkirkan kerana beliau cuba membentuk pakatan yang bertujuan menyingkirkan Ashaari daripada tampuk kepimpinan Al-Arqam. Akbar Anang memberontak dan mendedahkan keperihalan Aurad Muhammadiah sehingga dihadapkan ke Pusat Islam pada 1979. Asaari dilapor menafikan Kiyai Syeikh Muhammad As-Suhaimi adalah Imam Mahadi dan berjaya membersihkan Darul Al-Arqam daripada kesangsian asas.

_____________________________________________________



SN Pak Shahnon dan Darul Arqam
Seperti yang kita sedia maklum, Sasterawan negara, Profesor Emeritus Datuk Shahnon Ahmad (selepas ini dirujuk sebagai Pak Shahnon), pernah menyertai pergerakan Al-Arqam selama empat tahun. Selepas Al-Arqam diharamkan, ramai yang menyifatkan karya Shahnon, novel ‘Tok Guru’ dan ‘Ummi dan Abang Syeikhul’ sebagai kritikan pedas terhadap amalan poligami dalam Al-Arqam. Ada yang beranggapan Shahnon kecewa dengan Al-Arqam. Wartawan Helmi Mohd. Foad dalam majalah Mastika, keluaran September 1998 menyatakan bahawa ‘jiwa Pak Shahnon menggelegak dengan penyelewengan agama di dalam Arqam’. Lantas, ‘secara sinis, kritikannya terhadap eksplotasi wanita dalam Al-Arqam dimuntahkan melalui penanya hingga lahirlah novel ‘Ummi dan Abang Syeikhul.’ Namun demikian, ternyata dalam buku autobiografinya, ‘Perjalananku Sejauh Ini: Sebuah Autobiografi’, Shahnon menjelaskan bahawa kedua-dua novelnya itu bukanlah bermakna beliau tidak bersetuju dengan poligami amalan Al-Arqam. Tetapi sebenarnya segala “ungkapan olok-olokan, sindiran-sindiran, kata-kata yang bersifat figuratif, simbolik dan kiasan-kiasan yang penuh sinikal” adalah sebagai caranya dalam memaniskan poligami itu. Hanyasanya khalayak tersalah mentafsirnya. Lebih menarik lagi, menurut Pak Shahnon, isi ucapannya sempena penganugerahan Sasterawan Negara yang kedua pada 1982 juga, diinspirasikan dari Ustaz Asaari (waktu itu beliau masih aktif dalam Al-Arqam). Pak Shahnon menegaskan bahawa beliau keluar daripada Arqam kerana “jemaah Al-Arqam telah diharamkan oleh pemerintah dan sebagai seorang yang patuh kepada undang-undang, beliau tidak lagi bersama Al-Arqam.”
________________________________________________


Kontroversi pengharaman Darul Arqam dan polemik politikus
Terdapat beberapa pihak yang mendakwa bahawa Al-Arqam telah membantu menaikkan dan berkempen untuk beberapa orang pemimpin politik tanah air. Tan Sri Zainudin Maidin dalam bukunya, ‘Hari itu sudah berlalu’ menyatakan bahawa pada suatu bulan puasa, ketika berbuka puasa di rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) di Damansara, beliau mendapati bahawa DSAI turut menjemput ramai jemaah Al-Arqam. Beliau membuat kesimpulan bahawa DSAI pada asalnya menyokong jemaah Darul Arqam. Hj. Hassan Mokhtar, mantan Setiausaha Majlis Syuyukh (Tertinggi) Al-Arqam, merupakan sahabat ikrab DSAI sejak sekian lama. Akan tetapi, sewaktu DSAI memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau menyokong tindakan ke atas Darul Arqam dan menegaskan bahawa ia adalah semata-mata atas alasan pertubuhan tersebut melanggar ajaran Islam, selain menafikan bahawa Al-Arqam dianggap sebagai satu ancaman politik kepada UMNO-BN. Beliau menekankan lagi, hal ini demikian memandangkan ahli-ahli Darul Arqam ‘bukan pengundi berdaftar’ dan tidak mampu mengubah atau mempengaruhi trend undian. 

Dalam satu sidang media bersama wartawan Thailand, DSAI menidakkan Darul Arqam sebagai masalah agama yang kecil yang tidak perlu ditangani sebagai ‘isu keselamatan’ (akhbar ‘Bangkok Post’, 21.9.94). Beliau juga berharap agar ISA dikenakan terhadap 8 orang pemimpin Darul Arqam, termasuklah Ustaz Asaari Mohamad. Sementara itu, mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas berpandangan bahawa Darul Arqam secara jelas telah melakukan dua kesalahan, iaitu: kegagalan mendaftarkan pertubuhan tersebut serta menyebarkan doktrin-doktrin yang salah. Namun, beliau berpandangan bahawasanya kesalahan-kesalahan tersebut tidak menghalalkan penggunaan ISA ke atas mereka. Dengan pengaruh dan populariti yang semakin meluas, pada tahun 1991, Darul Arqam secara yakin mengisytiharkan bahawa ia telahpun menerobos era bagi menyempurnakan thoifah (gerakan) kepada ummah: yang merupakan asas membentuk daulah (negara). Pada 1994, selepas Al-Arqam diharamkan oleh kerajaan dan para pemimpinnya dikenakan tahanan ISA, segala kegiatan ekonomi dan pendidikan Al-Arqam yang bergiat cergas sebelum ini dipantau dan ditamatkan dengan pukulan ‘maut’ oleh kerajaan yang diketuai oleh Pusat Islam.

Dalam hal ini, Parti Islam Semalaysia (PAS) lebih kepada bersikap tunggu dan lihat. Manakala tuduhan sesat yang dilemparkan kepada Al-Arqam turut diperakui oleh pimpinan PAS. Pimpinan PAS seperti Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presidennya, Dato’ Fadzil Noor sekitar Ogos 1994 membuat kenyataan menyokong fatwa berkenaan pengharaman Darul Arqam dan usaha bagi membendungnya. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menerusi Presidennya ketika itu, Dr Mohd. Noor Manutty turut menyatakan sokongannya terhadap usaha pengharaman Al-Arqam. Tindakan dua jemaah Islam ini agak mengecewakan Ustaz Asaari yang mengharapkan sokongan kepada Al-Arqam. Namun, Pertubuhan Nadhatul Ulama di Indonesia menyatakan sokongan dan membela Al-Arqam menerusi sepucuk surat rasmi yang disiarkan dalam akhbar ‘Pikiran Rakyat.’
________________________________________________


Diharamkan
Pengharaman di Malaysia
JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – dahulunya dikenali sebagai Pusat Islam) pimpinan Ketua Pengarahnya, Datuk Zainal Abidin Abd Kadir, telah melihat adanya penyelewengan akidah dalam organisasi ini. Namun, pihak yang mula-mula memanggil pemimpin Al-Arqam pada tahun 1979 bukanlah Pengarah Pusat Islam (JAKIM) atau para pegawai atasannya, tetapi adalah Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun), merangkap Menteri Dalam Negeri. Setelah bermuzakarah dengan pemimpinnya, Asaari Mohamad, antara perkara pertama yang telah dilakukan oleh Kerajaan Pusat adalah mengharamkan buku “Aurad Muhammadiyah Pegangan Darul Arqam” pada tahun 1986. Ahli Jawatankuasa Syariah memperakui dan mengesahkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Hal Ehwal Islam Malaysia dalam Muzakarah ke-20 di Kuching, Sarawak pada 2 April 1988 mengenai buku tersebut, iaitu dengan mengharamkannya, sekaligus menjawab tindakan oleh Ustaz Asaari Mohamad kerana ianya mengandungi ajaran yang bertentangan dengan syariat Islam dan amat mengelirukan masyarakat Islam.

Dalam satu pengubahsuaian terhadap fatwa yang disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Pahang pada 18 haribulan Ogos 1988 yang dibuat oleh Mufti Pahang atas kelulusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, menurut subseksyen 38 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 adalah disiarkan menurut subseksyen 36 (2) Enakmen itu bahawa buku yang bertajuk ‘Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan’ yang ditulis oleh Ustaz Haji Ashaari Muhammad dan isi kandungannya; dan ‘Manaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad bin Abdullah As Suhaimi’ yang ditulis oleh Mohamad Taha As Suhaimi dan juga yang ditulis oleh pihak-pihak lain dalam semua bahawa dan isi kandungannya adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah dan syariah Islamiah serta mengelirukan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan. Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa mengenai pengharaman Darul Arqam pada 5 Ogos 1994. Fatwa Majlis Kebangsaan itu memutuskan bahawa ajaran dan fahaman kumpulan Al-Arqam bertentangan dengan akidah dan syariah Islam sekali gus mengakibatkan syirik. Sekali lagi, pada 12 September 2006, Muzakarah kali ke-75, Majlis fatwa Kebangsaan telah mengharamkan kumpulan Al-Arqam walaupun dinamakan semula sebagai Syarikat Rufaqa' Corporation Sdn Bhd atas alasan bercanggah dengan akidah umat Islam di Malaysia.

____________________________________________________


Pengharaman di Indonesia
Majlis Ulama Indonesia (MUI) Pusat juga mengeluarkan fatwa tentang kesesatan kelompok ini pada tanggal 13 Ogos 1994. Keputusan MUI tersebut adalah selari dengan keputusan Majlis Ulama Indonesia Daerah Istimewa Acheh, Majlis Ulama Indonesia Tingkat I Sumatera Barat, Majlis Ulama Indonesia Daerah Tingkat I Sumatera Selatan, Majlis Ulama Indonesia Daerah Tingkat I Riau, dan Keputusan Rapat Komisi Fatwa Majlis Ulama Indonesia, serta kesepakatan silaturrahmi nasional Majlis Ulama Indonesia dan Majlis Ulama Indonesia Daerah Tingkat I, tanggal 16 Julai 1994 di Pekanbaru, yang pada intinya menyatakan bahawa ajaran Darul Arqam adalah ajaran yang menyimpang daripada Aqidah Islamiyah. MUI juga mendukung sepenuhnya Keputusan Jaksa dalam mengharamkan buku berjudul “Presiden Soeharto Ikut Jadual ALLAH”, yang dikarang oleh Ustaz Asaari, disusun oleh Khatijam Aam dan diterbitkan oleh Penerbitan Al-Arqam Indonesia (PAI).

________________________________________________



Penangkapan, ‘Keinsafan’ dan ‘Pengakuan Terbuka’
Daripada keputusan Majlis Fatwa inilah, pihak Kerajaan Pusat pada 3 September 1994 telah membuat tangkapan terhadap Ustaz Asaari Muhammad dan para pengikutnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ustaz Asaari dan beberapa orang pemimpin kanan Darul Arqam juga telah membuat ‘pengakuan terbuka’ mengenai penyelewengan Al-Arqam dan menyatakan ‘insaf’. Peristiwa bersejarah ini berlangsung di Masjid Negara pada 1994 dan disiarkan di kaca televisyen.

___________________________________________


Selepas pengharaman Darul Arqam
Selepas Darul Arqam diharamkan, para pemimpin dan ahlinya telah menjalani Kursus Pemurnian Aqidah. Namun, tidak semua pemimpin dan ahlinya berhenti daripada menghidupkan kembali ajaran Aurad Muhammadiah dan gerakan Al-Arqam. Kini, kumpulan Al-Arqam tidak lagi wujud kerana telah diharamkan oleh kerajaan pada tahun 1994. Kendati pun, yang wujud ialah Kumpulan / Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd (kemudiannya dikenali sebagai Global Ikhwan Sdn Bhd). Ustaz Asaari pernah dikenakan tahanan rumah di Rawang dan Labuan atas dakwaan cuba mengembangkan semula Jemaah Darul Arqam atas nama syarikat Rufaqa’ Corporation. Beliau dibebaskan pada 25 Oktober 2004.

Isu Darul Arqam dan Aurad Muhammadiah kembali meledak dalam kalangan masyarakat Malaysia apabila kemunculan satu klip video dalam bentuk VCD bertajuk “Mengenal Mursyid” iaitu sebuah ceramah yang disampaikan oleh orang kanan Rufaqa, Abu Zaharin Taharim. Bukti kedua tentang usaha menghidupkan Al-Arqam menerusi Rufaqa’ Corporation (kini dikenali sebagai Global Ikhwan) boleh dilihat melalui buku penulisan isteri Ustaz Asaari, Khatijah Aam atau lebih dikenali sebagai Ummu Jah. Buku bertajuk: ‘Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya’ itu lebih sarat-padat dengan usaha menghidupkan semula Al-Arqam. Ayat pertama di dalam satu tajuk khusus ‘Aurad Muhammadiah’ secara terang-terangan menegaskan bahawa Asaari tidak dapat dipisahkan dengan Aurad Muhammadiah. Akhbar Harian Metro edisi 7 Disember 2006 telah menelanjangi pembohongan itu secara jelas. Adalah aneh, pengakuan Khadijah Aam yang begitu tegas, keras dan lantang dalam bukunya tiba-tiba bertukar lembik, lesu dan tidak bermaya apabila Asaari mengakui yang dia dan keluarganya (termasuk Khatijah Aam) tidak mengamalkan Aurad Muhammadiah.

_________________________________________________


Meninggal dunia
Pengasas Darul Arqam, Ustaz Asaari Mohamad meninggal dunia di Hospital Ipoh pada 13 Mei 2010 akibat jangkitan paru-paru. Jenazah beliau telah dibawa ke Rembau, Negeri Sembilan selepas solat jenazah diadakan di Ipoh. Setelah kematian Ustaz Asaari Mohamad, terdapat usaha daripada pihak tertentu yang didakwa masih meneruskan agenda kesesatan dengan mengadakan persembahan berbentuk pentomin untuk menguatkan akidah pengikutnya bahawa Abuya tidak mati. Cuma ghaib sebentar dan akan kembali semula dengan jasad asal dalam waktu terdekat. Namun, perkara ini dinafikan oleh anak sulung Ustaz Asaari.

__________________________________________





Khatimah
Sebagai sebuah pertubuhan Islam dan gerakan dakwah, peranan dan penglibatan Al-Arqam dalam arus kebangkitan semula Islam di negara kita tidak boleh diketepikan. Sejak ditubuhkan pada tahun 1968 sehingga membawa kepada pengharamannya pada tahun 1994, Al-Arqam telah memainkan peranan sebagai agen perubahan sosial yang penting di kalangan masyarakat Islam di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.  Al-Arqam bukan sahaja memaparkan satu cara hidup yang tersendiri, malahan telah memperkenalkan sistem, model dan cara hidup Islam berdasarkan keyakinan yang dipegang oleh para anggota Jemaahnya. Suatu kenyataan pahit yang mungkin sukar untuk diterima atau ditelan oleh pencinta Islam di Malaysia ialah lompang atau kekosongan yang ditinggalkan akibat pengharaman Darul Arqam seperti aktiviti kemasyarakatan dan penampilan Islam seperti sosial, ekonomi dan politik bukan sahaja tidak terisi, bahkan tidak mampu diisi oleh mana-mana pihak: sama ada berbentuk individu atau kumpulan organisasi.

Apa yang telah berlaku pada Al-Arqam patut diambil dan dijadikan iktibar. Janganlah kita taksub kepada pemimpin sepertimana yang telah dilakukan oleh para pengikut Darul Arqam. Yang baik pada Al-Arqam, jika ada dan menepati syariat, ambillah sebagai panduan agar kebaikan itu dapat ditebarkan ke tengah masyarakat. Yang batil dari Al-Arqam, tolak dan buang sahajalah jauh-jauh. Islam tetap agung tanpa Al-Arqam. Bersama-samalah kita serahkan kepada ALLAH SWT untuk Pengadilan-Nya. Penulis, Saudara Mohd Sayuti Omar (MSO) menukilkan dalam bukunya, ‘Hitam Putih Darul Arqam’:
Perjuangan berteraskan akidah tidak mudah goyah. Tapi apalah gunanya kalau akidah atau keyakinan yang kita pegang itu terbatal atau salah.”

Kepada ALLAH SWT jugalah sebaik-baik Pengaduan dan sebaik-baik Pengadilan. ALLAH ‘Alim.

Salam. :)

********************************************************

Bibliografi:
Sumber daripada bahan bercetak (buku, jurnal dan majalah):
1. Ab. Aziz Mohd. Zin. Dakwah Islam di Malaysia, 2006. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya;
2. Abdul Rahman Haji Abdullah. Gerakan Islam tradisional di Malaysia (Sejarah dan pemikiran : Jamat Tabligh & Darul Arqam), 1992. Penerbitan Kintan;
3. Ahmad Zaki Engku Alwi. Ajaran Sesat: Mengenali Jalan Yang Terpesong, 2007. Pahang: PTS Islamika;
4. Ahmad Redzuwan Mohd. Yunus, Badlihisham Mohd. Nasir, Berhanundin Abdullah. Dakwah gerakan Islam alaf baru, 2000. Bangi: Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia;
5. Ajaran sesat: Satu ancaman terhadap keselamatan negara, 1995. Kor Agama, Angkatan Tentera;
6. Ann Wan Seng. Al-Arqam Di Sebalik Tabir, 2005. Pahang: PTS Millennia Sdn. Bhd.
7. Ashaari bin Muhammad. Berhati-hati Membuat Tuduhan,1989. Kuala Lumpur: Penerangan Al-Arqam;
8. Ashaari bin Muhammad. Aurad Muhammadiah: Penjelasan Darul Arqam, 1988. Kuala Lumpur: Penerangan Al-Arqam;
9. Dusuki bin Haji Ahmad. Islam di Malaysia: Kebangkitan dan masa depan, 1980. Al-Hilal;
10. Farahwahida Mohd Yusof. Al-Arqam dan Ajaran Aurad Muhammadiah: Satu Penilaian, 2007;
11. Farahwahida Mohd. Yusof. Aliran kepercayaan: Sejarah dan perkembangannya di Malaysia, 2007. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia;
12. Hartono Ahmad Jaiz. Aliran dan paham sesat di Indonesia, 2002. Pustaka Al-Kautsar;
13. Haswan. Menangani ancaman Al-Arqam, 1993. Penerbitan Al Munir;
14. Imron Arifin dan Agus Sunyoto. Darul Arqam: Gerakan mesianik Melayu, 1996. Kalimasahada Press;
15. Mohd. Lazim Lawee. Penyelewengan Jemaah Al-Arqam dan Usaha Pemurniannya, 2004. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM);
16. Mohd. Nizamuddin dan Laila Ahmad. Abuya H. Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim. Malaysia: Giliran Timur Books;
17. Mohd. Roshdi Yusoff. Arqam Sesat, 1994. Bukit Mertajam: Insani Enterprise;
18. Mohd. Rushdi Yusof. Bahaya Arqam kepada ummah dan negara. Pustaka Reka;
19. Mohd. Sayuti Omar. Hitam putih Darul Arqam: Realiti disebalik pengharaman, 2004. NZ Dynamic;
20. Mohd. Sayuti Omar. Mujaddid alam Melayu: Harapan dan impian Darul Arqam, 1993. Tinta Merah;
21. Penjelasan terhadap buku Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam, 1986. Kuala Lumpur: Bahagia Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri;
22. Penyelewengan Arqam dari Ajaran Islam, 1994. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri;
23. Syed Hussien Alattas. Memo kepada Perdana Menteri, 1992. Al-Suhaimi;
24. Yusuf Harun. Anak Bulan Di Kota London, 1990. Kuala Lumpur: Yayasan Gerakbakti Kebangsaan; dan
25. Zabidi Mohamed. Tersungkur di Pintu Syurga, 1998. Kuala Lumpur: Zabidi Publication.

Sumber internet:
1. http://aboutmiracle.wordpress.com/2008/07/08/sekilas-gelombang-dakwah-abuya-ashaari-muhammad/;
2. http://en-gb.facebook.com/topic.php?uid=123143384380741&topic=452;
3. http://mengenal-abuya.blogspot.com/;
4. http://mufakkir-islami.blogspot.com/2010/05/ghaibkah-ashaari-muhammad.html
5. http://msianhistoryx.blogspot.com;
6. http://muslim.or.id/manhaj/darul-arqam-dan-wajah-barunya.html;
7.http://pak-mail.blogspot.com/2011/04/pak-mail-dan-al-arqam.html; http://riwayatmelayu.blogspot.com/2010/08/alter-terahsia-bangsa-melayu-viii.html;
8. http://s13.invisionfree.com/mysahabat/ar/t112.htm;
9. http://tomatosusu.blogspot.com/2010/05/al-arqam-kesesatannya.html; dan
10. http://www.mail-archive.com/mencintai-islam@yahoogroups.com/msg00987.html.

Jumaat, Mei 27, 2011

Darul Arqam: Sejarah suka-duka (Bahagian I).


Allahyarham Ustaz Asaari bin Mohamad pernah menukilkan:

Tujuan manusia hidup adalah untuk menyembah dan beribadah kepada Allah. Hal ini sesuai dengan wahyu, dibenarkan juga oleh akal dan hati manusia. Dengan menyembah dan beribadah kepada Allah, manusia mendapatkan keselamatan dunia dan akhirat Hari ini kita sangat kurang memahami ajaran Islam, oleh kerana itu kita hidup dalam gelap gelita, dalam suasana yang tidak ada panduan. Kemajuan yang dicapai tidak menimbulkan krisis sesama sendiri. Tetapi kalau kita tidak dapat memahami ajaran Islam dan lalai pula mengamalkannya, maka kita tidak akan mendapat kemajuan walaupun kita usahakan, sebaliknya kita bahkan akan berkrisis sesama sendiri.”
________________________________________________________


Mukadimah

Al-Arqam merupakan gerakan agama di Malaysia yang diasaskan oleh Allahyarham Asaari Muhammad (lahir pada 30 Oktober 1937 dan meninggal dunia pada 13 Mei 2010) (selepas ini dirujuk sebagai “Ustaz Asaari”).

Ia juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan telah mengembangkan pengaruhnya dalam kalangan berbagai lapisan masyarakat Islam di seluruh Malaysia dan beberapa negara di Asia. Dalam Bahasa Arab, Arqam bermaksud ‘Ular Besar’. Nama Al-Arqam diambil daripada nama sahabat Nabi SAW, Arqam bin Abil Arqam. Ketika agama Islam baru berkembang, Arqam bin Abil Arqam R.A. dengan rela hati menyerahkan rumahnya untuk digunakan sebagai pusat kegiatan dakwah Rasulullah SAW, sedangkan risiko yang terpaksa ditanggungnya amatlah besar. Gerakan ini bermula dengan 10 hingga 12 orang ahli pada tahun 1968 di Rumah Putih, Kampung Keramat, Kuala Lumpur dan kemudian berpindah ke Kampung Sungai Pencala, Selangor. Kemudian, ahli Jemaah Arqam bertambah kepada 40 orang ahli jemaah pada tahun 1976, keahlian jemaah ini, menurut penulis, Ann Wang Seng, kemudian bertambah secara mendadak pada tahun-tahun berikutnya sehingga pada tahun 1987 jemaah itu mencatat sekitar 5,000 hingga 6,000 keahlian. Menurut Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1994 dianggarkan seramai 6,000 pengikut yang fanatik dan 15,000 simpatisan. Namun, Utusan Melayu edisi 4 Julai 1994 pula melaporkan seramai 10,000 pengikut. Aktiviti Darul Al-Arqam bermula pada 1971-72 di Kampung Datuk Keramat dan beroleh perhatian dan penerimaan ramai setelah bertapak di Sungai Pencala pada 1973-75.
__________________________________________________


Sejarah awal Arqam

Sewaktu era 1970an, hanya slogan “Al-Quran dan As-Sunnah” sahaja yang kedengaran. Belum ada slogan “Imam Mahdi - Syeikh Suhaimi”, “Pemuda Bani Tamim” dan sebagainya seperti pada tahun-tahun 1990an. Pada peringkat awal dakwah Arqam, ramai orang yang takut. Ramai orang yang bimbang. Ramai orang yang tidak senang. Macam-macam tuduhan dilemparkan. Berbagai cemuhan, tohmahan dan kata-nista dihalakan kepada dakwah dan orang-orang yang terlibat dengan dakwah. Tuduhan dakwah songsang, buang dunia, balik ke zaman unta, ajaran baru dan bermacam-macam lagi tuduhan dilemparkan. Dakwah diperkecil-kecilkan dan dihina. Ketika itu, slogan Al-Arqam ialah “Bergembiralah dengan Al-Quran dan As-Sunnah”. Polemik-polemik yang mengaitkan Al-Arqam dengan ajaran sesat, pegangan Aurad Muhammadiah, Imam Mahdi, Asy-Syeikh Suhaimi dan seumpamanya belum tersebar.

Dalam suasana penghayatan Islam dalam kalangan rakyat Malaysia masih baru, tidak ramai yang bertudung, bahkan ketika itu siapa yang mula bertudung digelar “gagak hitam”, “hantu kongkong”, “ninja”, “dakwah songsang” dan sebagainya. Kendatipun, dakwah Ustaz Asaari di peringkat awal bersama Darul Arqam (dengan ciri fisikalnya yang menonjol: berjubah dan berserban), berjaya menembus banyak lapisan bangsa dan masyarakat, dengan menghidupkan Sunnah Nabi SAW, akhlak mulia serta kasih sayang. Kemunculan ribuan ahli gerakan Al-Arqam di tengah-tengah masyarakat dengan imej serban, jubah dan purdah memberi nafas baru kepada usaha-usaha kembali kepada Islam.

Imej dan risalah “Islam yang Syumul (menyeluruh)” diperkuatkan lagi dengan penonjolan Islam bersepadu dan aktiviti muamalah yang giat melalui produk media seperti kaset-kaset ceramah 3 jam Ustaz Asaari yang berjudul: “Keindahan Islam”, “Hakikat Iman”, akhbar-akhbar Al-Arqam, risalah Fardhu Ain, kaset dan persembahan nasyid Islam kumpulan Al-Arqam seperti Nada Murni, The Zikr, penghasilan produk makanan halal seperti mee, kicap, sos dan sebagainya yang ketika itu rata-rata umat Islam bergantung kepada kilang masyarakat belum Islam.
___________________________________________________



Nasyid Arqam: Nada Murni
Kumpulan nasyid Arqam, Nada Murni dengan berani telah membuat persembahan di pentas yang lebih besar seperti di Dataran Merdeka. Tidak terkecuali mereka turut membuat persembahan di pusat-pusat hiburan dan disko. Dengan penampilan pakaian mereka yang berjubah dan berserban, berbekalkan hati yang tulus ikhlas, mereka mampu menjalankan semua undangan persembahan dengan baik. Perjuangan Nada Murni turut dilakukan melalui penyiaran dan persembahan di media. Memasuki Angkasapuri untuk berkerjasama dengan RTM. Juga bersama-sama TV3 dan juga mana-mana media seperti radio dan akhbar. Lagu-lagu Nada Murni sering disiarkan di siaran televisyen. Satu kejayaan yang sangat baik. Asri Ibrahim dan rakan-rakannya mula merasai perjuangan mereka menjadi semakin jauh, semakin tinggi, dan semakin menyeronokkan. Setiap ahli kumpulan Nada Murni sangat teruja.

_________________________________________________


Klinik, Buku dan Majalah Arqam
Darul Arqam juga bersaing hebat dengan Kumpulan Utusan dalam hal pasaran bahan bercetak seperti akhbar, majalah dan buku. Arqam pernah menerbitkan Al-Ain, Komik Dakwah, Comel dan Anak Soleh yang bersaing dengan majalah Utusan Pelajar keluaran Utusan. Sementara itu, majalah Al-Mukminah dan An-Nasihah keluaran Arqam cuba menyaingi majalah Wanita keluaran Utusan. Majalah Al-Islam keluaran Utusan pula terpaksa bersaing hebat dengan majalah Al-Munir dan Al-Qiadah yang mendapat sambutan baik daripada para pengikut setia dan simpatisan Darul Arqam. Ramai tentunya masih ingat Klinik Bersalin Al-Arqam di Desa Minang, Gombak, yang merupakan klinik pertama anjuran gerakan Islam di Malaysia beridentitikan doktor dan jururawat berpurdah dan berjubah putih, mengazankan bayi pada telinga kanan dan mengiqamahkannya pada telinga kiri.

___________________________________________________


Ekonomi Al-Arqam didakwa semakin besar sehingga mampu membeli Pajero, bot, bas dan kereta-kereta mewah yang dahulunya hanya hartawan Cina sahaja mampu menggunakannya. Sehingga terdapat suara sinis yang mengatakan, ‘jika ternampak orang Melayu menaiki pajero, tentu dia daripada Al-Arqam.’ Tuntasnya, kumpulan ini menyebarkan kegiatan dakwah Islamiah melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, percetakan, perusahaan, perniagaan, perubatan, dan pertanian.

___________________________________________________


Pemimpin kanan

Berikut beberapa pemimpin kanan Al-Arqam yang menjadi tulang belakang kejayaan Jemaah Al-Arqam selama 26 tahun dari 1968 – 1994 (sebelum difatwakan sebagai haram):
1. Allahyarham Ustaz Asaari Mohamad (pengasas pertubuhan Al-Arqam);
2. Khatijah Aam / Ummu Jah (isteri Ustaz Asaari);
3. Haji Abdul Halim Abbas (bekas orang kanan Ustaz Asaari dan pakar strategi Al-Arqam);
4. Akhbar Anang (mantan Ketua Unit Perkhidmatan Ummah Al-Arqam);
5. Ustaz Mohktar Yaakob (sarjana syariah);
6. Khairil Anuar Ujang (peguam dan mantan penasihat undnag-undang (1) Al-Arqam;
7. Zabidi Mohamed (mantan Majistret dan penasihat undang-undang (2) Al-Arqam);
8. Haji Hassan Mokhtar (Setiausaha Majlis Tertinggi Al-Arqam: Majlis Syuyukh);
9. Soid Sulaiman (mantan Mudir Syukbah Dakwah dan Perhubungan Antarabangsa Al-Arqam);
10. Ibrahim Mohamad (mantan Mudir Syukbah Mal (Kewangan) Al-Arqam);
11. Jailani Jasmani (mantan Setiausaha Akhbar Ustaz Asaari);
12. Khadijah Din (adik Ustaz Abu Hasan Din Al Hafiz dan bekas Pengurus Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. cawangan Kedah);
13. Pak Salleh / Mohd Salleh Abu Bakar (mantan pegawai kerajaan dan wakil Syeikh Al-Arqam).
____________________________________________________


Ajaran

Mantan Majistret dan Penasihat Undang-Undang(2) Al-Arqam, Saudara Zabidi Mohamed berkata, gerakan Al-Arqam dilihat mula menyeleweng daripada ajaran Islam selepas tahun 1986 yang mana ketika itu Ustaz Asaari berubah daripada aktiviti dakwah kepada aktiviti ghaib selain turut mengumumkan beliau bakal menjadi Perdana Menteri. Di antara kepercayaan mereka adalah kepercayaan bahawa Syeikh Muhammad As-Suhaimi yang telah meninggal pada tahun 1925 dinyatakan tidak mati, sebaliknya masih hidup. Menurut Ustaz Asaari, Sheikh al-Suhaimi adalah Imam Mahdi yang ghaib buat seketika sebelum kembali untuk memimpin umat Islam. Asaari juga telah mengqiyaskan (menganalogikan) Syeikh Muhammad As-Suhaimi dengan Ashab al-Kahfi dan Nabi Khidir.
____________________________________________________


Ciri-Ciri

Pegangan Al-Arqam adalah berpunca dari pengajaran Ashaari Muhammad dan pegangan pengikut-pengikutnya terhadap Aurad Muhammadiah yang diantara lain memberi ajaran dan fahaman seperti berikut:
1. Rasulullah SAW, para sahabat dan para aulia didakwa boleh ditemui secara jaga (Majlis Yaqazah) selain melalui mimpi. Mereka datang untuk mengesahkan sesuatu yang diperlukan oleh pengikut-pengikut Al-Arqam umpamanya mengenali siapa yang taat dan siapa yang tidak taat kepada Al-Arqam dan pemimpinnya;

2. Muhammad bin Abdillah As-Suhaimi (meninggal tahun 1925) atau Syeikh Muhammad As-Suhaimi, pengasas Aurad Muhammadiah, berjumpa Rasulullah SAW dalam jaga dan menerima Aurad Muhammadiah daripada Baginda Rasulullah SAW di dalam Kaabah;

3. Ajaran ini mendakwa Syeikh Muhammad As-Suhaimi adalah keturunan Rasulullah S.A.W. dan mendakwa akan bangkit sebagai Imam Mahdi satu hari kelak.

4. Asaari dalam bukunya “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam” pada halaman 55, 56 dan 57 mendakwa bahawa Syeikh Muhammad as-Suhaimi tidak mati tetapi menghilangkan diri dan akan muncul semula sebagai Imam Mahdi;

5. Syeikh Muhammad As-Suhaimi adalah Khalifah Rasulullah SAW dan meletakkan setaraf dengan Khulafa’ Al-Rasyidin;

6. Syeikh Muhammad As-Suhaimi dipercayai kononnya boleh datang menolong apabila diseru namanya;

7. Asaari Mohamad dipercayai, selain seorang yang soleh, wali yang mempunyai karamah, adalah seorang Mujaddid akhir zaman;

8. Asaari mendakwa dirinya daripada keturunan Bani Tamim, iaitu satu rumpun dengan keturunan Nabi Muhammad SAW yang memegang panji-panji Al-Mahdi;

9. Mendakwa bahawa Imam Mahdi akan muncul tidak lama lagi, iaitu setelah terbentuknya Daulah Islamiah di Malaysia setelah tiga atau empat tahun ke depannya;

10. Mendakwa bahawa Imam Mahdi akan menerima ‘serah terima kekuasaan’ daripada Putera Bani Tamim setelah enam bulan ia menampakkan dirinya di Mekah;

11. Ustaz Asaari didakwa memiliki ilmu laduni (ilmu yang didapatkan langsung daripada ALLAH SWT). Dan, mereka menyakini bahawa Asaari adalah tafsir Al-Qur’an dan As-Sunnah yang bergerak (rujuk buku “Abuya H. Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim,” muka surat 28 dan “Taqwa Menurut Ustadz Hj Asaari Mohamad” oleh Mejar (B) Abu Dzar, terbitan Penerbitan Minda Ikhwan: Malaysia, muka surat 82);

12. Mereka menambahkan dua kalimat syahadah. Selain kalimah syahadah kepada ALLAH dan Rasul-NYA, mereka menambahkan dengan kalimah syahadah kepada Saidina Abu Bakr, Saidina ‘Umar, Saidina Uthman, Saidina ‘Ali dan kepada Muhammad bin Abdillah As-Suhaimi dan menyatakan bahwa dia adalah Imam Mahdi. Bunyi syahadah mereka yang terakhir adalah: “Muhammad al-Mahdi, khalifatu Rasulillah.” [Lihat ‘Kesesatan Rufaqa Di Dalam Aurad, Al-Mahdi Dan Bani Tamim’ (http://www.islam.gov.my/ (JAKIM)].

**********************************

Bersambung ke bahagian kedua: 



********************************************************

Bibliografi:
Sumber daripada bahan bercetak (buku, jurnal dan majalah):
1. Ab. Aziz Mohd. Zin. Dakwah Islam di Malaysia, 2006. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya;
2. Abdul Rahman Haji Abdullah. Gerakan Islam tradisional di Malaysia (Sejarah dan pemikiran : Jamat Tabligh & Darul Arqam), 1992. Penerbitan Kintan;
3. Ahmad Zaki Engku Alwi. Ajaran Sesat: Mengenali Jalan Yang Terpesong, 2007. Pahang: PTS Islamika;
4. Ahmad Redzuwan Mohd. Yunus, Badlihisham Mohd. Nasir, Berhanundin Abdullah. Dakwah gerakan Islam alaf baru, 2000. Bangi: Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia;
5. Ajaran sesat: Satu ancaman terhadap keselamatan negara, 1995. Kor Agama, Angkatan Tentera;
6. Ann Wan Seng. Al-Arqam Di Sebalik Tabir, 2005. Pahang: PTS Millennia Sdn. Bhd.
7. Ashaari bin Muhammad. Berhati-hati Membuat Tuduhan,1989. Kuala Lumpur: Penerangan Al-Arqam;
8. Ashaari bin Muhammad. Aurad Muhammadiah: Penjelasan Darul Arqam, 1988. Kuala Lumpur: Penerangan Al-Arqam;
9. Dusuki bin Haji Ahmad. Islam di Malaysia: Kebangkitan dan masa depan, 1980. Al-Hilal;
10. Farahwahida Mohd Yusof. Al-Arqam dan Ajaran Aurad Muhammadiah: Satu Penilaian, 2007;
11. Farahwahida Mohd. Yusof. Aliran kepercayaan: Sejarah dan perkembangannya di Malaysia, 2007. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia;
12. Hartono Ahmad Jaiz. Aliran dan paham sesat di Indonesia, 2002. Pustaka Al-Kautsar;
13. Haswan. Menangani ancaman Al-Arqam, 1993. Penerbitan Al Munir;
14. Imron Arifin dan Agus Sunyoto. Darul Arqam: Gerakan mesianik Melayu, 1996. Kalimasahada Press;
15. Mohd. Lazim Lawee. Penyelewengan Jemaah Al-Arqam dan Usaha Pemurniannya, 2004. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM);
16. Mohd. Nizamuddin dan Laila Ahmad. Abuya H. Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim. Malaysia: Giliran Timur Books;
17. Mohd. Roshdi Yusoff. Arqam Sesat, 1994. Bukit Mertajam: Insani Enterprise;
18. Mohd. Rushdi Yusof. Bahaya Arqam kepada ummah dan negara. Pustaka Reka;
19. Mohd. Sayuti Omar. Hitam putih Darul Arqam: Realiti disebalik pengharaman, 2004. NZ Dynamic;
20. Mohd. Sayuti Omar. Mujaddid alam Melayu: Harapan dan impian Darul Arqam, 1993. Tinta Merah;
21. Penjelasan terhadap buku Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam, 1986. Kuala Lumpur: Bahagia Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri;
22. Penyelewengan Arqam dari Ajaran Islam, 1994. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri;
23. Syed Hussien Alattas. Memo kepada Perdana Menteri, 1992. Al-Suhaimi;
24. Yusuf Harun. Anak Bulan Di Kota London, 1990. Kuala Lumpur: Yayasan Gerakbakti Kebangsaan; dan
25. Zabidi Mohamed. Tersungkur di Pintu Syurga, 1998. Kuala Lumpur: Zabidi Publication.

Sumber internet:
1. http://aboutmiracle.wordpress.com/2008/07/08/sekilas-gelombang-dakwah-abuya-ashaari-muhammad/;
2. http://en-gb.facebook.com/topic.php?uid=123143384380741&topic=452;
3. http://mengenal-abuya.blogspot.com/;
4. http://mufakkir-islami.blogspot.com/2010/05/ghaibkah-ashaari-muhammad.html
5. http://msianhistoryx.blogspot.com;
6. http://muslim.or.id/manhaj/darul-arqam-dan-wajah-barunya.html;
7.http://pak-mail.blogspot.com/2011/04/pak-mail-dan-al-arqam.html; http://riwayatmelayu.blogspot.com/2010/08/alter-terahsia-bangsa-melayu-viii.html;
8. http://s13.invisionfree.com/mysahabat/ar/t112.htm;
9. http://tomatosusu.blogspot.com/2010/05/al-arqam-kesesatannya.html; dan
10. http://www.mail-archive.com/mencintai-islam@yahoogroups.com/msg00987.html.

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...