Rabu, Februari 23, 2011

Pemimpin Tikus.

***



***

sejelasnya ini bukan tentang haiwan, bukan itu.
kerana manusia itu manusia
dan haiwan itu haiwan

ini bicara tentang pemimpin:
- pemimpin tikus -

di garis mula perkenalan,
tegar mendepani khalayak
ia mula dengan semangat kuat
berjanji, membanting kudrat
untuk rakyat

di tengah jalan perjuangan
ia mula kabur mata, rabun kesedaran
hambar

di permulaan medan pertempuran
ia makin hanyut
menjadi manusia yang dicabut gigi
hingga rongak harga diri

di kolong-kolong jambatan
pada kerling pandang
malam yang berwangi mimpi, terlucut debu nista

aneh – di gedung indah begini;
orang miskin yang merokok akan berpikir ulang untuk membeli rokok
orang fakir yang kelaparan akan berpikir ulang untuk membeli makan
dan, ketidakpedulian menjadi racun

ia hanya diam, menatap kosong lelaki tua yang merintih luka
di tempat sunyi kepulauan hati
pada minyak, tepung, api dan air yang naik harga
pada kepimpinan gelap tiada berjiwa
pada tatakelola bejat yang jadi santapan rakyat

kerana mereka mengira:
"kita hanya tikus
dan kucinglah yang berkuasa"
sedang sebagai wakil rakyat
rakyatlah majikan kepada wakil itu

wahai pemimpin pengkagum relung-relung menara
wahai pemimpin penggila wanita
wahai pemimpin pencari harta
kenapa dikorbankan rakyat
demi selonggok martabat

ingatlah bahasa hati kami,
"kekuatan yang sesungguhnya, tidak memukul dengan keras
tetapi tepat sasarannya."

***
Che Din,
Khamis, 6 Januari 2011.

Manusia Robot.

Aku bukan robot, kita manusia.

Bzzzz Bzzz Bzz
saat manusia berkiblat peperiksaan
tanpa memahami pelajaran
fuqaha' pun tenggelam
dalam gelora laut penghafaz tulisan

Bzzzz Bzzz Bzz
saat manusia bertugas
tanpa memahami matlamat hidup
masyarakat pun bobrok
dalam api kebejatan yang menakutkan

Bzzzz Bzzz Bzz
berbicara hati lebur
aku bukan robot, kita manusia
justeru pendidikan itu adalah penyelamat
tatkala ilmu yang dipelajari telah terlupakan

Anton Chekov melarik bait indah di dalam puisinya:
bacalah puisi anakku
setelah belajar Matematik;
bacalah doa
dalam kekerasan usaha;
jadilah manusia
bukan robot tidak berjiwa!

Mel: Semalam yang hangat.

Semalam Yang Hangat
Sebelum engkau ke mari
tiada resah
tiada khuatir

Menjelang kemesraanku
yang dirindu
hanya syahdu

Mengapa itu
mahu jadi teman
mahu jadi kekasih
selamanya...

Aku bukan lagi mainan dulu
telah kucampakkan kau ke mana
ke lautan hitam yang ku tahu
pasti kita tak jumpa

Semalam
itu semalam
hari ini aku hidup
dalam dunia yang aman
kenangan
kita lucutkan
kita bakar sama-sama
pengalaman hidup
seksa....

Demikianlah lirik lagu 'Semalam yang Hangat' yang pernah popular dan didendangkan oleh mantan vokalis Kumpulan WIngs, Mel. Jom kita kenali sosok hebat ini. :)




Wings
Sejarah pertukaran penyanyi utama kumpulan Wings cukup menarik. Awie (Ahmad Azhar Othman) yang sudah cukup sebati dan merupakan salah satu imej kumpulan muzik ini, tiba-tiba meninggalkan Wings di kala populariti yang memuncak berikutan kejayaan album Bazooka Penaka.

Dua tahun kemudian, barulah pengganti Awie ditemui. Mel (Ismail Zainuddin), penyanyi berbakat yang sudah lama menceburi bidang nyanyian secara tak langsung dipilih menjadi penyanyi utama Wings. Mel pernah mengangkat Wings melalui album Orang Asing.

Walaubagaimana pun, jodoh Mel dengan Wings tidak kekal berpanjangan. Tidak lama selepas itu, Mel keluar dari Wings dan Wings bernasib baik kerana tempat beliau diganti oleh Mus (Mustafa Din), bekas penyanyi utama kumpulan May yang seangkatan dengan Wings.

Sebenarnya, telah lama kedengaran ura-ura yang Mus akan memasuki kumpulan Wings. Sebab itulah setelah Mel dan Wings nyata tidak serasi, Mus segera menerima tawaran dari Wings untuk bersama 3 lagi anggota Wings meneruskan misi perjuangan mereka dalam bidang seni tanahair.

Antara lagu popular beliau sewaktu bersama Wings adalah, Semalam yang Hangat dan Lena diulit Intan.

Mel: Kini
Beliau juga pernah tampil dengan album dakwah Dunia Baru dan album kompilasi Harapanku yang turut disertai artis lain iaitu Hasnul Jamal dan lain-lain lagi.

Kebanyakan lagu yang dinyanyikan beliau sewaktu menyertai kumpulan Rufaqa' Corporation (juga dikenali sebagai Darul Arqam atau Global Ikhwan) adalah berkonsepkan 'world music.'

Album mutakhir yang dirakamkan oleh Mel ialah Kembalinya Pasti. Menariknya, album ini dirakamkan semasa kunjungan beliau ke studio Al Farabi Band. Senarai lagu yang terdapat dalam album ini ialah:
i) Manusia
ii) Huru Hara
iii) Kasih sayang
iv) Ulama ikutan
v) Semalam yang hangat (rakaman secara langsung)

Beliau mempunyai cara tersendiri dalam mengedarkan album. Dalam satu segmen rancangan Melodi di Tv3, beliau telah ditemubual sewaktu menjual albumnya secara santai, iaitu dengan membuat persembahan secara langsung bersama sahabatnya dengan cara 'busking' di Jalan Telawi dan Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Sementelahan, Mel menjual albumnya di setiap tempat yang mengundang beliau berceramah, serta menjualnya melalui laman web beliau.

Beliau mempunyai pandangan tersendiri tentang dakwah secara terang-terangan.
"Penyanyi Barat bentangkan salib di dada ketika menyanyi, itu lebih jelas dan terang mereka berdakwah mengembangkan fahaman mereka. Tapi kita bagaimana? Pada saya, kita mesti bersikap adil dengan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya, iaitu agama mesti dijunjung oleh kita umatnya," ujar Mel. "Kita juga mesti ada strategi untuk mengembangkan ibadah, asalkan tidak menyakitkan hati orang. Bukankah Islam itu mesti ditunjukkan membangun, berkembang maju dan bertaraf dunia?"


** Nota kaki :: Saya terkenang kata-kata seorang ustaz yang dahulunya cukup kental dengan imej 'rock kapak' nya,
"janganlah dihukum kami berdasaran 'jahiliyah' kami, ia sudah berlalu. Tak mustahil satu hari nanti TUHAN letakkan kami lebih baik daripada mereka yang dulunya tak 'rock'."

'Statustik' dan persepsi.

Ini entri ringan. Tentang status.

Ini kisah benar. Tentang persepsi.

Sejujurnya, saya agak prihatin (bimbang) dengan cara masyarakat kita yang sejak sekian lama gemar mengagung-agungkan simbol dan meremehkan esensi (intipati) persoalan. Dari setinggi-tinggi pemimpin, sehinggalah serendah-rendah strata sosial masyarakat, hampir semua di kalangan kita masih terjangkit dengan kebiasaan ini.

Kita gemar melihat yang berkulit cerah, putih gebu, berdahi licin, berbadan kurus dan sasa itu sebagai perempuan yang cantik atau lelaki yang kacak.

Sementelah, manusia yang gemuk dan berkulit gelap itu kita anggap sebagai tidak cantik dan tidak kacak.

Begitu juga dengan soal status. Kita gemar membuat persepsi bahawa yang memandu kereta mewah itu orang kaya. Yang memandu kereta lama itu orang miskin dan kedekut.

Seolah-olahnya, dunia ini hanya untuk mereka yang cantik, segak, berjawatan tinggi dan berharta.


Seputar Che Din
Berikut saya kongsikan sedikit pengalaman saya sepanjang menjadi ‘chambering student’ sepanjang minggu lepas:
Situasi 1:
Pakaian: Baju kemeja putih, tali leher hitam, seluar ‘slack’ hitam dan kasut hitam
Kenderaan: Honda CRV milik ayah saya
Tempat: Pusat servis kereta di Shah Alam
Watak: Che Din dan Dato’ Ali –bukan nama sebenar - seorang pelanggan (kelihatan bergaya) pusat servis tersebut.
Dato’ Ali: Assalamualaikum. Encik ni lawyer ke? Firm kat mana. Senang-senang nanti, boleh saya contact kalau ada apa-apa masalah?

Situasi 2:
Pakaian: Baju kemeja putih, tali leher hitam, seluar ‘slack’ hitam dan kasut hitam
Kenderaan: Motosikal Lagenda yang sudah berusia 6 tahun
Tempat: Warung kopi di Ampang
Watak: Che Din dan Brader Leman – bukan nama sebenar - seorang pelanggan (kelihatan sempoi) warung kopi tersebut.
Brader Leman: (Tanpa memberi salam) Abang ni kerja pegawai banci ke?

Daripada kedua-dua situasi di atas, kita boleh melihat bagaimana kenderaan seseorang individu itu dijadikan simbol untuk menilai (meneka) status seseorang berdasarkan kenderaan yang dipandu atau ditunggang seseorang.

Melalui situasi kedua, kita dapat melihat bagaimana kurang prihatinnya Brader Leman tentang soal program bancian di Negara kita. Bulan Februari macam ni, siapa nak buat bancian, bang?

Bagi saya, apa jua pekerjaan yang kita lakukan, asalkan halal sumbernya, tidak ada yang rendah nilainya. Setiap jawatan, baik pencuci tandas, pekerja Alam Flora, ahli Bomba, penghantar surat, anggota PDRM, Tentera, doktor, pekebun kecil, wakil rakyat, Pak Menteri dan sebagainya, punya peranan masing-masing dalam memastikan Negara kita terus membangun, makmur dan progresif.

Islam tidak menilai manusia berdasarkan rupa fizikal dan kekayaan
Ketika Islam telah memiliki pengaruh yang sedemikian kuat dan disegani, dan ketika para raja di Romawi bergelimang harta, maka Rasulullah SAW masih saja tidur beralaskan tikar di rumahnya yang sederhana.

Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah SAW akan menampalnya sendiri, tanpa menyuruh isterinya. Baginda juga memerah sendiri susu kambing, untuk keperluan keluarga maupun untuk dijual.

Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang siap untuk dimakan, sambil tersenyum, Baginda menyingsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur.

Kehidupan sehari-hari di rumah Rasulullah SAW dipenuhi dengan kedamaian, ketenteraman, dan keharmonian, walaupun rumah itu jauh daripada kemewahan dan keberadaan. Kerendahan hati Rasulullah SAW dan kezuhudan Baginda cukup indah.

“Anas bin Malik, pelayan Rasulullah SAW pernah memperlihatkan kepadaku (Zaid bin Thabit) tempat minum Rasulullah SAW yang diperbuat daripada kayu keras yang dipateri dengan besi. Dengan gelas kayu itulah Rasulullah SAW minum air, perasa kurma, madu dan susu.” (Hadith Riwayat Tarmidzi)


Bilal bin Rabah r.a yang mana sebahagian orang memanggilnya dengan nama ibnus sauda’ (budak hitam) -- sepanjang hayatnya, beliau diakui sebagai seorang yang patuh dan rajin terhadap tanggungjawabnya, ikhlas, amanah, berani, tabah, dan sanggup menghadapi risiko demi mempertahankan kebenaran.

Beliau juga pernah menyertai barisan tentera Islam dalam beberapa peperangan dan dilantik sebagai juru azan oleh Rasulullah SAW dan kerana itulah namanya kini diabadikan kepada setiap juruazan atau bilal.

Demikianlah, ALLAH tidak melihat gelapnya warna kulit. Sebaliknya, ALLAH menilai cerahnya warna hati.

Fatimah Az-Zahrah, puteri kesayangan Baginda SAW sendiri memakai pakaian yang penuh bertampal 12. kalau puteri Rasulullah yang sudah tetap menjadi pemimpin wanita di syurga memakai pakaian bertampung dua belas apa lagi kita?

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya ALLAH tidak akan melihat rupa dan harta kamu, tetapi ALLAH melihat hati dan amalan kamu”


Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Zar, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Lihatlah! Sesungguhnya, kamu tidak menjadi mulia dengan sebab warna merah, dan warna hitam, melainkan kamu dilebihkan kerana ketaqwaan.”


Tuntasnya, bukanlah niat saya untuk menggalakkan kita semua memakai pakaian yang compang-camping atau buruk. Cuma, bersederhanalah. Yang penting, meski pakaian itu tidak berjenama, ia bersih, sopan dan menutup aurat. Qanaah dan wasatiyyah itu besar manfaatnya jika kita amalkan bersama. Sungguh.

Ini pesanan untuk diri saya juga.

Dan, janganlah terlalu mudah menilai seseorang itu berdasarkan bentuk fizikal atau luaran mereka semata-mata. Nilailah mereka dengan mata hati. Kenalilah mereka sebenar-benar kenal.


Janganlah hanya kerana mereka itu memakai kereta mewah, kita terus sahaja percaya bahawa mereka adalah orang kaya, dan segala skim perniagaan (cepat kaya) yang mereka tawarkan, kita terima bulat-bulat. Sedang hakikatnya, mungkin kereta tersebut hanyalah kereta yang disewa sehari dua.

Salam! :)

Selasa, Februari 22, 2011

Jeffersonian Democracy: Idea dan Teori.


Kehendak rakyat adalah asas yang paling asas dalam mana-mana kerajaan, dan seharusnya, matlamat kita yang utama adalah untuk melindungi kebebasan
rakyat untuk bersuara” -- Thomas Jefferson.
*****************

Demokrasi menganut keyakinan bahawa rakyat adalah sesuatu yang nyata dan yang paling penting, dan negara disusun oleh rakyat. Fahaman ini menyatakan bahawa fungsi negara adalah mengabdi kepada warga negaranya. Demokrasi menjunjung tinggi kebebasan individu, persamaan hak, dan perlindungan hak asasi manusia.

Sementelahan, ‘Jeffersonian Democracy’ adalah bentuk ideal terhadap sistem kerajaan yang digagaskan Thomas Jefferson. Jefferson, seorang peladang dari Virginia yang kaya, telah menulis Pengisytiharan Kemerdekaan, sebuah dokumen yang tidak hanya memberitahu kepada dunia sebab Amerika mengisytiharkan kemerdekaan, tetapi juga meletakkan garis panduan berkenaan matlamat sesebuah kerajaan.


Thomas Jefferson adalah seorang penentang sistem Federalisme yang telah memenangi pemilihan untuk menjadi Presiden Ketiga Amerika Syarikat. Kendati pun, peralihan ini hanya berlaku selepas golongan pendokong Federalisme berjaya menghasilkan sebuah kerajaan pusat yang kukuh berdasarkan prinsip serta struktur yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Amerika Sayarikat.


Mereka juga telah berjaya menghasilkan sebuah sistem kewangan yang baik dan mula mempelbagaikan ekonomi negara tersebut.

Kejayaan besar Thomas Jefferson dalam menewaskan golongan pendokong Federalisme telah memberi nafas baru kepada Amerika Syarikat. Rakyat telah menanam kepercayaan yang tinggi terhadap kebebasan dan demokrasi, yang akan membantu dalam pencapaian mereka pada masa akan datang.

Sementelahan, satu keinginan yang tinggi untuk mencapai kejayaan dalam bentuk material serta perluasan bidang perindustrian telah muncul. Mereka mula berkira-kira untuk memperluaskan wilayah taklukan – bukan hanya dari segi geografi, tapi juga menerusi perindustrian dan kebudayaan. Hakikatnya, merekalah perintis yang membangun serta memajukan Amerika Syarikat.

Kebebasan yang baru ditemui ini membolehkan rakyat membuat eksperimen terhadap cara hidup yang baru yang sebelum ini tidak pernah mereka tempuhi. Matlamat mereka adalah untuk mencari cara hidup baru yang lebih baik menerusi percubaan demi percubaan.

Sesetengah individu cuba untuk mempraktiskan kebebasan mereka menerusi amalan-amalan sosialis dan komunis, manakala yang lain mencuba menerusi Utopia keagamaan. Kebebasan yang baru dinikmati ini juga membolehkan mereka untuk memprotes isu-isu yang telah menjadi duri dlaam daging semenjak sekian lama.

Pada waktu tersebut, terdapat banyak tunjuk perasaan berkenaan hak-hak wanita, dan berkenaan penghapusan perhambaan di Amerika.

Perubahan politik juga berlaku seiring dengan perubahan ekonomi Amerika. Kuasa buruh yang besar membolehkannya membentuk sebuah parti politik. Menurut Van Deusen, idealisme ini berasal daripada Revolusi 1776 dan dibantu oleh ‘Jeffersonian Democracy’.

Situasi kesengsaraan serta huru-hara semakin berkurangan dari masa ke masa, tetapi dekad 1880an memperlihatkan suatu pertumbuhan era baru. Pada awal kurun ke-19, kelayakan berasaskan cukai dan harta telah mengawal hak seseorang untuk mengundi di kebanyakan negeri kecuali Vermont dan New Hampshire yang telah memimpin haluan ke arahnya sejak tahun 1790an.

Kendati pun, tidak lama kemudian, kesemua negeri, kecuali Carolina Utara, telah menghapuskan kelayakan berasaskan harta dan hanya enam buah negeri yang masih mengenakan sekatan cukai yang rendah.

Demokrasi dari segi politik telah berkembang dari hari ke hari, sebagai sebuah kaedah politik yang baru. Sebagai tamsilan, pencalonan presiden telah diubah untuk menzahirkan kehendak rakyat. Sebelum ini, pegawai-pegawai yang telah dipilih melalui kongres telah dikanunkan sebagai pilihan raya oleh pihak penggubal undnag-undnag peringkat negeri.

Sebuah kaedah pilhan raya secara demokratik telah direka oleh golongan ‘Anti-Masonic’ yang mana mereka menganjurkan sebuah konvensyen kebangsaan untuk memilih seorang calon presiden. Rakyat telah diberikan kuasa serta peluang untuk mengawal demokrasi milik mereka sendiri.

Jefferson turut menulis Statut Virginia untuk Kebebasan Beragama (Virginia Statute for Religious Freedom), yang menetapkan bahawa agama dan kerajaan seharusnya dipisahkan. Kebanyakan idea yang merupakan sebahagian daripada ‘Jeffersonian Democracy’ bukanlah idea Jefferson; sebaliknya, merupakan idea yang dipinjam oleh beliau daripada ahli-ahli falsafah seperti Montesquieu, Voltaire, dan Plato.

Beliau percaya bahawa agama tidak mempunyai tempat di dalam kerajaan. Pemisahan gereja (agama) dan pemerintahan negara telah menjadi sebahagian daripada ‘Jeffersonian Democracy’.

Kendati pun, banyak intipati ‘Jeffersonian Democracy’ datang daripada idea ahli falsafah Inggeris, John Locke. ‘Jeffersonian Democracy’, adalah berasaskan falsafah liberalisme John Locke, yang menekankan betapa pentingnya hak-hak “semulajadi” manusia, fungsi kerajaan, dan pemisahan antara gereja dan pentadbiran negara.

Terdapat enam ciri yang terkandung dalam idea liberalisme ini iaitu; setiap individu mempunyai hak-hak sendiri dalam hal-hal politik dan social; penduduk mempunyai kebebasan hidup; setiap penduduk mempunyai persamaan hak dalam negara yang didudukinya.

Mereka juga memiliki sepenuhnya harta yang mereka perolehi sendiri; mereka juga boleh memilih pemerintah yang mereka sukai tidak diperintah oleh seorang aristocrat; dan mereka juga mahukan kuasa pemerintah adalah terhad dalam pelbagai aspek negara. Ini adalah apa yang diperkatakan oleh Locke dengan satu perbezaan. Jefferson yang ditentang Alexander Hamilton meletakkan kebahagiaan; di mana Locke meletakkan harta. Dari situ kemudiannya, “Eksperimen Amerika” menekankan kerajaan demokratik dan kebebasan peribadi.


Selain daripada itu, ‘Jeffersonian Democracy’ turut menyatakan apakah fungsi serta peranan sesebuah kerajaan. Kerajaan yang baik tidak sewajarnya menjadi sebuah konflik di antara pihak bangsawan dan rakyat bawahan. Sebaliknya, ia sewajarnya menjadi sebuah pakatan yang kukuh sesama rakyat. Kuasa yang sebenar tidak seharusnya diberikan kepada raja, ia seharusnya diberikan kepada rakyat.


Menurut ‘Jeffersonian Democracy’, rakyat mempunyai hak untuk mengakhiri atau membatalkan pakatan tersebut sekiranya kerajaan gagal melaksanakan amanahnya. Secara idealnya, menurut ‘Jeffersonian Democracy’, kerajaan adalah rakyat, dan rakyat adalah kerajaan.

Hal yang demikian, seandainya kerajaan tersebut tidak lagi menjaga kebajikan rakyatnya, rakyat mungkin dan akan menukar pilihan mereka untuk memilih kerajaan yang lain untuk menggantikannya. Kerajaan ditubuhkan untuk melindungi hak rakyat menggunakan kuasa atau mandat yang diperolehi oleh mereka daripada rakyat.

Melalui idea inilah Thomas Jefferson menyatakan bahawa hak-hak kebebasan dan bahagia yang harus dinikmati oleh rakyat mesti dilindungi oleh kerajaan. Sekiranya kerajaan gagal melindungi hak ini, rakyat berhak memberontak dan menggantikan pemerintahan yang baru.

Beliau juga menyenaraikan dua puluh tujuh tuduhan kepada pihak raja, di antaranya, pemerintah telah memutuskan perdagangan negara mereka dengan negara luar, tidak bersetuju dengan undang-undang di negara Amerika dan sebagainya. Selain itu, beliau telah mengisytiharkan Amerika berhak menjadi sebuah jajahan yang bebas dan merdeka. Deklarasi ini terus dugunakan hingga hari ini sejak ia diutarakan pada 4 Julai 1776.

Revolusi membolehkan Amerika merdeka daripada British dan telah mengubah beberapa keadaan kehidupan penduduk di Amerika. Dari aspek politik, dilihat tidak terdapat pegawai British di Amerika lagi. Seramai seratus ribu orang yang setia kepada Britain telah berpindah keluar menuju ke Canada dan India Barat. Sistem pentadbiran masih menggunakan sistem Britain tetapi telah menghadkan kuasa kepada kerajaan pusat sebaliknya memberi hak sepenuhnya kepada negeri masing-masing di bawah kuasa perundangan masing-masing.

Sesetengah negeri meletakkan kuasa dibawah kumpulan kecil terdiri daripada orang-orang kaya. Namun begitu, wanita dan hamba abdi masih tidak berpeluang dalam hal-hal politik terutama dalam hak mengundi.

Thomas Jefferson percaya bahawa setiap individu berhak terhadap hak-hak asasi yang tertentu; yang telah wujud sejak lahir; dan tidak boleh dirampas begitu sahaja. Ini adalah bukti jelas yang dirujuk di dalam Pengisytiharan Kemerdekaan: “setiap individu telah dijadikan sama, bahawa mereka dijadikan oleh Pencipta mereka dengan hak-hak tertentu yang mana antra lain ialah Kehidupan, Kebebasan, dan hak untuk mengejar Kebahagiaan.”

Namun, Jefferson tidak hanya membuat pertimbangan berdasarkan hak-hak ini. Beliau telah secara teliti menulis dalam Pengisytiharan Kemerdekaan, menggunakan frasa “that among these are” berbanding “that these are.”

Salah-satu hak semulajadi yang Jefferson yakini - tetapi tidak dinyatakan di dalam Pengisytiharan Kemerdekaan – ialah hak untuk memiliki “Harta”. Walaupun deraf akhir Pengisytiharan tersebut tidak menyatakan hak ini atau hak-hak semulajadi yang lain, ia tidak pula menafikannya. Setiap hak semulajadi menekankan apa yang seharusnya menjadikan manusia sebagai manusia sejati.

Hak untuk Kehidupan adalah yang paling asas. Setiap individu berhak untuk hidup, dan berhak untuk wujud. Kebebasan dan kesaksamaan adalah dua perkara yang tidak banyak bezanya. Semua pihak mempunyai hak untuk Kebebasan, dan kesaksamaan tidak boleh wujud melainkan semua manusia menikmati kebebasan.

Hak untuk mengecapi Kebahagiaan adalah hak untuk menikmati kewujudan yang bermakna dan bermanfaat di dunia. Hak untuk memliliki Harta adalah bersangkutan atau berkaitan dengan hak untuk Kehidupan dan hak untuk mengecapi Kebahagiaan.

Harta memberi manusia sebuah makna untuk selamat, hidup, dan memberikan peluang kepada manusia untuk mengecapi kebahagiaan. Hak-hak asasi ini membantu untuk memberikan maksud sebenar berkenaan kewujudan manusia.

Jefferson cenderung kepada kerajaan pusat yang kecil dan lemah. Hal ini demikian kerana, beliau percaya bahawa kerajaan berpusat akan menindas hak rakyat. Jefferson mempunyai pendirian yang berbeza dengan golongan pendokong Federalisme, di mana beliau melihat kerajaan berpusat sebagai satu ancaman terhadap kebebasan individu; dan satu-satunya perlindungan terhadap ancaman tersebut adalah demokrasi dan perlindungan kukuh terhadap kebebasan individu.

Walaubagaimana pun, beliau menolak secara komprehensif pencapaian yang baik oleh pentadbiran berbentuk Federalisme sebelum beliau, dan gabungan sistem tersebut dengan kepercayaannya sendiri yang kemudiannya dikenali sebagai ‘Jeffersonian Democracy.’

Penggal Jefferson selaku presiden memperlihatkan peningkatan sikap berpuak-puak serta beberapa kontroversi lain (khususnya yang melibatkan Aaron Burr dan John Randolph). Kendati pun, beliau sangat diingati di atas sumbangan beliau di luar Amerika Syarikat.

Jefferson telah berusaha bagi menghapuskan lanun-lanun Barbary, membeli Louisiana daripada Perancis (dan menghantar Meriwether Lewis serta William Clark untuk meneroka kawasan tersebut). Beliau juga telah berusaha untuk menjalankan usaha damai di antara Perancis dan British, yang berperang antara satu sama lain ketika itu.

Pihak Amerika telah menerima keuntungan yang besar kerana terlibat membekalkan kedua-dua pihak di dalam perang tersebut, tetapi tindak balas ketenteraan dari kedua-dua belah pihak telah membahayakan pihak Amerika sendiri. Malahan, tindakan pihak British yang menyerang pelayar-pelayar Amerika telah mengancam hak-hak tabii Amerika sendiri.

Sebagai tindak balas, Jefferson dan Kongres Amerika Syarikat telah meluluskan Akta Embargo, yang menghalang semua kegiatan perdagangan ke luar negara.

Natijahnya, ekonomi Amerika telah menerima kesan buruk yang tidak diduga. Tidak berapa lama kemudian, pihak Kongres telah memansuhkan akta tersebut dan menggantikannya dengan Akta Tanpa Perhubungan (Non-Intercourse Act), yang hanya mengharamkan perdagangan dengan Britain dan Perancis, dan membenarkan presiden untuk menamatkan boikot terhadap kedua-dua negara tersebut berdasarkan budi bicaranya.

‘Jeffersonian Democracy’ telah digambarkan dalam bentuk ekonomi secara unggul oleh Thomas Jefferson dalam ucapan sulungnya pada 1801. Selepas dua belas tahun penggal pemerintahan George Washington, kerajaan pusat yang baru itu telah mengikut haluan Hamilton yang mengangkat kehebatan negara.

Jefferson telah memaklumkan seorang wartawan bahawa pilihan raya 1800 adalah “sebuah revolusi hakiki dalam prinsip kerajaan di mana bentuk Revolusi 1776 ada di dalamnya”; ia menyelamatkan Amerika Syarikat daripada dasar-dasar yang membahayakan eksperimennya terhadap kerajaan mandiri yang disenangi rakyat terbanyak (popular self-governance) dan telah merendah-rendahkan asas sosial dan perlembagaan rejim republikan, daripada para pemimpin yang mana komitmen mereka terhadap demokrasi itu sendiri kelihatan seperti tidak pasti.

Jefferson mendakwa bahawa revolusi yang dibawakan oleh beliau akan membawa kembali Revolusi 1776 tersebut kepada asasnya yang disenangi ramai. Sepertimana yang dilihat oleh kebanyakan sejarawan, mereka akan kehilangan roh kesaksamaan dan komitmen kepada kerajaan yang terhad yang akan mencorakkan wajah negara tersebut untuk abad yang mendatang.

Sebaliknya, Pihak Republikan lebih menitik beratkan soal pemuliharaan terhadap sistem pengagihan kekayaan negara secara lebih demokratik. Tatkala mereka kebiasaannya membela perdagangan lautan bebas dan membekalkan pasaran asing untuk para petani.

Mereka percaya bahawa pendokong Federalisme telah menyerahkan kepantingan Amerika kepada Britain dan pada hakikatnya, lebih senang dengan pengenalan semula sistem pemerintahan berdasarkan salasilah keturunan, secara berperingkat.

Cita-cita besar Jefferson yang mahu Amerika memberikan perhatian lebih kepada Barat, di mana sebuah republik yang bergantung kepada bekalan yang kukuh daripada para petani bebas boleh dijana secara berterusan kerana ia melangkaui jarak sehingga ke angkasa raya.

Di bawah arahan Jefferson (dan kemudiannya James Madison), kerajaan pusat akan menarik diri secara sedar dan berhati-hati daripada sempadan dan mereka percaya bahawa ia telah diperuntukkan sejak Perlembagaan mula digunapakai, dengan tanggapan bahawa negara, “dalam kesemua hak mereka,” adalah “pentadbir-pentadbir yang paling berwibawa dan layak untuk hal-ehwal tempatan dan benteng terkuat dalam menentang sebarang kecenderungan anti-republik.”

Kerajaan pusat tersebut akan menganjurkan “keamanan, perdagangan, dan persahabatan yang tulus dengan semua negara, dan tidak menjalankan pakatan dengan mana-mana negara.” Kerajaan tersebut adalah komited kepada “kesaksamaan dan keadilan untuk seluruh manusia, tanpa mengira kedudukan atau pengaruh, agama atau fahaman politik,” kebebasan beragama, kebebasan akhbar, dan perlindungan perlembagaan yang lain (yang mana kebanyakannya, sebagaimana yang digambarkan oleh Jefferson, telah dinafikan sewaktu zaman pemerintahan golongan Federalis), pendokong teori Demokrasi Jefferson akan secara berhati-hati meneruskan “sebuah kerajaan yang bertindak secara bijaksana yang akan menghalang sesorang daripada mencederakan orang lain, bagi membolehkan mereka untuk bebas mengawal industri dan penambahbaikan mereka sendiri.

Kerajaan tersebut juga tidak boleh merampas hasil tani atau industri yang telah diusahakan oleh rakyat.”

Kerajaan Republikan Jefferson, sebagaimana yang digambarkan oleh Jefferson, adalah parti rakyat dan juara Revolusi republik. Pendirian mereka telah mendemokrasikan negara, berjaya membentuk landskap keagamaan, institusi politik dan idea-ideanya.

Thomas Jefferson merupakan antara tokoh yang berjaya memujuk peneroka-peneroka New England untuk menentang kuasa Britain di atas nama “kehidupan, kebebasan dan kesenangan”. Beliau percaya bahawa demokrasilah yang harus dipilih untuk merawat negaranya demi mewujudkan cita-cita nasional.

Jefferson pernah menyindir, katanya, “demokrasi adalah sistem yang buruk, tapi yang lain lebih buruk lagi…” Maksudnya, Jefferson membuka kemungkinan memilih sistem lain, jika sistem itu jauh lebih baik dari sistem demokrasi.

Tuntasnya, terdapat beberapa idea serta unsur di dalam ‘Jeffersonian Democracy’ yang telah mempengaruhi demokrasi Amerika. Antaranya ialah hak-hak asasi manusia -- hak untuk hidup, kebebasan, kebahagiaan, dan memiliki harta benda. Sementelah, matlamat serta fungsi sesbuah kerajaan itu adalah untuk melindungi hak-hak rakyat ini daripada dicabuli dan dinafikan.

Selain itu, ‘Jeffersonian Democracy’ juga menekankan pemisahan gereja (agama) dari pemerintahan kerajaan (sistem sekular). Intihanya, ‘Jeffersonian Democracy’ adalah satu bentuk kerajaan di mana rakyat memiliki kuasa: mereka adalah kerajaan, dan kerajaan adalah rakyat.

*************


Bibliografi
Internet
1.      American President: Thomas Jefferson: The American Franchise, dicapai pada 20 Ogos 2010, boleh didapati di http://millercenter.org/academic/americanpresident/Jefferson;

2.      Famous quotes by Thomas Jefferson, dicapai pada 18 Ogos 2010, boleh didapati di http://www.wow4u.com/thomasjeffersonquotes/index.html;

3.      History of Political Parties - Extinct Political Parties of the 1800s, dicapai pada 22 Ogos 2010, boleh didapati di http://history1800s.about.com/od/presidentialcampaigns/a/pol;

4.      Jefferson on Politics & Government: Property Rights, dicapai pada 21 Ogos 2010, boleh didapati di http://etext.virginia.edu/jefferson/quotations/jeff1550.htm;

5.      Life of Thomas Jefferson, dicapai pada 16 Ogos 2010, boleh didapati di http://etext.virginia.edu/jefferson/biog/;

6.      Revolusi Amerika, dicapai pada 21 Ogos 2010, boleh didapati di http://www.angelfire.com/ms/Msaidi/;

7.      The American experiment: The Heritage Foundation, dicapai pada 24 Ogos 2010, boleh didapati di http://www.heritage.org/Research/Commentary/2007/07/The-American Experiment;

8.      The greatest Thomas Jefferson Quote, dicapai pada 18 Ogos 2010, boleh didapati di http://www.reddit.com/tb/9wnuw;

9.      Thomas Jefferson and the Louisiana Purchase, dicapai pada 19 Ogos 2010, boleh didapati di http://americanhistory.about.com/od/thomasjefferson/a/tj_lap;

10.  Thomas Jefferson: Presidential Series, dicapai pada 20 Ogos 2010, boleh didapati di http://www.ng.mil/resources/photo_gallery/presidential/jefferson.html; dan 

11.  Urban Dictionary: life liberty and the pursuit of happiness, dicapai pada 19 Ogos 2010, boleh didapati di http://www.urbandictionary.com/define.php?term=life liberty.html.

Buku
1.      Banning, Lance, The Jeffersonian Persuasion: Evolution of a Party Ideology, Ithaca, N.Y.: Cornell University Press, 1978;

2.      Benson, Lee, The Concept of Jacksonian Democracy: New York as a Test Case. Princeton, N.J.: Princeton University Press, 1961;

3.      D. Sarasohn, Party of Reform: Democrats in the Progressive Era, 1989;

4.      Everett carll Ladd, The American Polity : The People and Their Goverment (Third Edition), W.W. Norton & Company, New York, London, 1989;

5.      Feller, Daniel, The Jacksonian Promise: America, 1815–1840. Baltimore: Johns Hopkins University Press, 1995;

6.      McCoy, Drew R. The Elusive Republic: Political Economy in Jeffersonian America. Chapel Hill: University of North Carolina Press, 1980;

7.      Schlesinger, Arthur M., Jr. The Age of Jackson. Boston: Little, Brown, 1945;

8.      Ward, John William, Andrew Jackson: Symbol for an Age, New York: Oxford University Press, 1955;

9.      Tocqueville, Alexis de. Democracy in America, diterjemahkan oleh Henry Reeve, dibetulkan oleh Phillips Bradley, New York: Knopf, 1945. 




Ahad, Februari 20, 2011

Epal yang bermanfaat.


Steve Jobs
Steven Paul Jobs (lahir di San Francisco, California, Amerika Serikat, 24 Februari 1955) adalah pemimpin perusahaan mega, Apple Computer, bersama Steve Wozniak dan tokoh utama dalam industri komputer. Sebagai pengasas Apple Computer (bersama Steve Wozniak) pada tahun 1976, beliau mempopularkan konsep komputer peribadi di rumah dengan Apple II.

Beliau juga merupakan antara invidu terawal yang menyedari potensi untuk mengkomersilkan ‘graphical user interface’ dan tetikus yang dikembangkan di Pusat Kajian Palo Alto Perusahaan Xerox, dan kemudian teknologi ini diterapkannya ke dalam Apple Macintosh.

Jobs juga memimpin Pixar Animation Studios, sebuah perusahaan komputer animasi terkemuka di dunia layar lebar. telah menjadi multi-jutawan sebelum berumur 30 tahun. Dimulai dengan perusahaan NeXT untuk mewujudkan sistem pendidikan dengan harga yang berpatutan, beliau mendapati bahawa menjual ‘software’ lebih baik daripada menjual ‘hardware’.

Dilahirkan di San Fransisco oleh ibunya Joanne Simpson dan ayahnya Abdul Fattah Jandali (mahasiswa tamu dari Syria yang kemudian menjadi profesor ilmu politik). Sejak bayi, beliau dijaga oleh Paul dan Clara Jobs dari Mountain View, Santa Clara County, California.


Penyakit barah
Steve Jobs dikatakan mungkin hanya hidup enam minggu lagi ekoran penyakit barah yang dihadapinya. Akhbar National Enquirer menyiarkan gambar Jobs, 55, yang kelihatan amat kurus, sekali gus menunjukkan beliau kehilangan berat badan dalam jumlah yang banyak.

Menurut laporan akhbar itu, Jobs yang mencipta kejayaan menerusi pengeluaran gajet iPod, iPhone dan iPad menghidap kanser pankreas dan mungkin hidup dalam tempoh enam minggu lagi.

Dalam gambar yang disiarkan akhbar berkenaan, Jobs kelihatan lemah semasa beliau memakai seluar jean. Menurut laporan akhbar itu, berat pengasas syarikat Apple itu dikatakan merosot dari 79.37 kilogram sebelum kanser kepada hanya 58.96 kilogram.

Seorang lagi pakar perubatan, Dr. Samuel Jacobson memberitahu akhbar itu bahawa berdasarkan penilaiannya, kematian Jobs semakin hampir.
“Saya boleh menyatakan dia mempunyai tempoh enam minggu lagi (untuk hidup),” katanya.


Harapan
Harapan saya, semoga satu hari nanti akan lahir individu Muslim yang dapat menghasilkan sesuatu yang hebat seperti Steve Jobs dan hartawan lain seperti Bill Gates, Warrent Buffett dan ramai lagi hartawan Yahudi dan belum Islam, tetapi sangat dermawan. Tidak seperti jutawan Arab (beragama Islam) yang terkenal dengan sikap boros dan membazir.

Jobs dianggarkan mempunyai kekayaan sebanyak AS$6 bilion (RM18.26 bilion). Jika dunia kehilangannya, bermakna dunia telah kehilangan sosok keperibadian hebat yang selalu sahaja lahir dengan idea-idea baru yang sentiasa menjadi ikutan. Apapun, ajal maut semuanya di tangan (kuasa) ALLAH SWT.


Lance Armstrong
Lance Edward Armstrong (lahir pada September 1971) merupakan seorang bekas pelumba basikal lebuh raya professional yang terkenal dengan keunggulannya memenangi kejohanan Tour de France sebanyak 7 kali berturut-turut.

Armstrong sebelum ini pernah berdepan dengan penyakit yang mengancam nyawanya selepas mengalami kanser testikal tahap tiga pada 1996 dan dalam masa yang sama dia berjaya muncul juara Tour de France buat kali pertama pada 1999. Warna kuning digunakan sebagai warna jalur pergelangan tangan Livestrong yang dicipta oleh Armstrong untuk membantu mangsa-mangsa dan pesakit-pesakit barah.

Buku beliau bertajuk, ‘It’s Not About The Bike’ berkisar bagaimana basikal menjadi alat beliau untuk memenangi kejohanan lumba basikal yang besar. Tetapi, beliau mengatakan basikal bukan segala-galanya. Ramai pelumba basikal terinspirasi dengan kisah hidup Lance Armstrong. Beliau pernah jatuh sakit kerana kanser, kemudian pulih dan memenangi kejohanan lumba basikal Tour De France.


Neil Armstrong
Pada 20 Julai 1969, Neil Armstrong, seorang angkasawan Amerika Syarikat, dipercayai telah menjadi manusia pertama yang menjejakkan kaki di Bulan. Pendaratan manusia di Bulan bahkan dianggap sebagai sebuah pencapaian tertinggi ilmu pengetahuan ketika itu. Kendati pun, pencapaian ini tetap saja tidak lepas daripada kontroversi. Pro dan kontra muncul kerana ramai yang mempertikai beberapa kejanggalan dalam projek mega ini.

Menurut para peneliti Pro-Teori Konspirasi, ini merupakan perbuatan yang sengaja dilakukan NASA dan pentadbiran Amerika untuk mengangkat imej Amerika yang jatuh -- pasca kekalahan perang di Vietnam, dan juga agar dapat menyaingi Kesatuan Soviet dalam perkembangan teknologi luar angkasa.

Sumber ihsan: Akhbar Utusan Malaysia, Kosmo dan http://www.2lisan.com/biografi/scientist/biografi-steve-jobs-founder/

Khamis, Februari 17, 2011

Maradona: Tangan Tuhan dan Layang-Layang Kosmos


Diego Armando Maradona (lahir 30 Oktober 1960) ialah seorang bekas pemain bola sepak Argentina. Beliau pernah beraksi dalam empat kejohanan Piala Dunia dan berkongsi anugerah Pemain Terbaik Abad Ini oleh FIFA bersama Pele, setelah diundi di tempat teratas dalam satu pungutan pendapat di laman web FIFA sebagai pemain paling cemerlang sepanjang abad ke-20.


Maradona banyak meraih piala bersama pasukan Boca Juniors, FC Barcelona dan SSC Napoli sepanjang kerjayanya. Sepanjang kerjaya bola sepak antarabangsa yang merangkumi 91 kali aksi antarabangsa dan 34 gol, beliau beraksi di empat kejohanan Piala Dunia FIFA, memimpin pasukan kebangsaan Argentina sehingga mencapai kejuaraan pada edisi tahun 1986, yang mana beliau meraih anugerah Bola Emas selaku pemain paling cemerlang sepanjang kejohanan.

Beliau juga dianggap sebagai salah seorang pemain paling kontroversi dalam sukan berkenaan. Maradona digantung selama 15 bulan pada tahun 1991 setelah gagal dalam ujian dadah yang di Itali, sebelum didapati menggunakan efedrina dalam kejohanan Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat.

Setelah bersara dari persada bola pada hari jadi ke-37 pada tahun 1997, beliau pernah bertarung dengan maut akibat masalah jantung, obesiti, ketagihan dadah yang hampir membawanya ke ambang kematian, Maradona diberi peluang kedua apabila menjadi jurulatih Argentina pada 2008 dan pernah menjadi hos TV di Argentina.


Maradona: Sebelum dan selepas rawatan sedut lemak.


Jaringan ‘Tangan Tuhan’ Maradona (1986):
Sewaktu berlumba dengan penjaga gawang England - Peter Shilton (yang mempunyai ketinggian 6 kaki 1 inci) – untuk mengejar bola yang melambung di udara (selepas Steve Hodge terlepas bola tersebut), Maradona (yang hanya mempunyai ketinggian 5 kaki 5 inci) menumbuk bola tersebut dengan penumbuk kirinya.

Sebagai seorang pemain pakar, beliau cuba memperdaya pengadil (Ali Bin Nasser dari Tunisia) dan penjaga garisan dengan membuat gaya menganggukkan kepala -- seolah-olah baru sahaja menanduk bola tersebut ke dalam gol!

Sewaktu sidang akhbar sejurus selepas perlawanan tersebut, Maradona menyatakan bahawa gol tersebut “dijaringkan secara bersama oleh ‘Tangan Tuhan’ dan tandukan Maradona.” Rangkaian televisyen seantero dunia menyiarkan jaringan tersebut berulang-ulang kali, tatkala jaringan ‘Tangan Tuhan’ oleh Maradona menyinar sebagai peristiwa bersejarah dalam sejarah sukan dunia.

Kendatipun, dalam autobiografinya pada 2002, beliau menulis: “Sekarang, saya fikir, saya sudah mampu memperkatakan apa yang saya tak mampu perkatakan waktu itu. Waktu itu, saya menggelarkannya sebagai Tangan Tuhan. Merepek! Ia bukanlah tangan Tuhan. Ia tangan Diego! Dan, rasanya kurang lebih seperti menyeluk saku pasukan England.”


Jaringan Terbaik Abad Ini oleh Maradona (1986):
Ya, jaringan ‘Tangan Tuhan’ Maradona adalah sangat popular – atau mungkin sangat dibenci – tetapi jaringan kedua Maradona sewaktu menentang England dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia Mexico 1986 pasti dikenang sebagai jaringan yang memberikan definisi sebenar terhadap permainan bola sepak.

Dalam masa kurang lebih 4 minit selepas jaringan kontroversi ‘Tangan Tuhan’ Maradona, seluruh dunia menyaksikan detik terbaik dan tercela bola sepak Argentina. Tatkala jaringan ‘Tangan Tuhan’ dicemuh sebagai satu penipuan, gol kedua Maradona, yang kemudiannya dianggap sebagai ‘Jaringan Terbaik Abad Ini’ – sebuah puisi indah terhadap kebijaksanaan dan kelincahan Maradona sebagai antara pemain bola sepak terbaik di Planet Bumi.

Gol tersebut dianggap sebagai gol individu terbaik dunia sepanjang zaman. Hector Enrique menghantar bola kepada Maradona 10 meter di dalam kawasan Argentina. Maradona kemudiannya memulakan aksi menggelecek dan celah-mencelah mengagumkan sepanjang 60 meter memintas lima pemain England -- Hodge, Beardsley, Reid, Butcher dan Fenwick -- dalam masa kurang lebih 10 saat.

Maradona terus menggelecek dan memperdaya Shilton untuk gerakan penyudahnya dengan jaringan 2-0. Jaringan hebat ini digelar El barrilete cósmico (Layang-layang Kosmos) di Argentina.

Argentina diangkat sebagai juara dunia buat kali kedua, pada perlawanan akhir yang penuh epik menentang Jerman. Maradona pula dijulang selaku raja kejohanan tersebut, menjulang trofi Piala Dunia 1986 di bawah terik mentari Mexico.




Maradona dan Supermokh

Dato’ Mokhtar Dahari ( 13 November 1953 – 11 Julai 1991) adalah legenda pemain bola sepak kebangsaan Malaysia dari Selangor. Beliau telah diberi gelaran SuperMokh kerana keberaniannya menjaringkan banyak gol sepanjang kariernya. Beliau mewakili Malaysia dari 1972 hinggalah 1985.




Pada usia 23 tahun, ‘SuperMokh’ diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976.

Kelebihan dimiliki ‘SuperMokh’ banyak dengan sepakan deras bak peluru menjadi elemen penting hinggakan tiga jari bekas penjaga gol negara, mendiang R. Arumugam, pernah patah ketika cuba menampannya. Malah penyerang ternama negara ini juga bijak dalam membaca gerakan lawan dan meloloskan diri dari kawalan pertahanan pihak lawan.

Supermokh, lagenda yang sangat kita rindui, atas kesungguhan beliau, tahap penumpuan yang tinggi, dan seorang pemain bola sepak berdisiplin yang pasti dikenang atas kemahiran dan teknik, kepantasan berlari dan kemampuannya dalam menggelecek pertahanan lawan.

Supermokh, merupakan penyerang terbaik dan 'sempurna' yang pernah dilahirkan oleh negara kita dan Asia (dalam eranya). Malangnya, sepertimana Giggs dan George Best, beliau (selaku pemain yang unggul) tidak dapat beraksi dalam kejohanan Piala Dunia sepanjang kerjayanya.

Jaringan golnya sewaktu perlawanan persahabatan dengan Juara Piala FA Inggeris, Arsenal pada 1975 (yang dibarisi lagenda The Gunners seperti Rimmer, Mancini, Storey dan Kidd) mengejutkan dunia apabila Malaysia memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 2-0.

Sementelah, beliau juga dikenang atas jaringannya sewaktu seri 1-1 sewaktu menentang England B (yang dilatih oleh Bobby Robson) pada tahun 1978, dengan gaya gelecek dari tengah padang ala Maradonanya.

Mokhtar telah membuat penampilan di padang bola sebanyak 167 kaps (penampilan), menjaringkan 117 gol dalam saingan Piala Malaysia dan 125 gol antarabangsa.


Mokhtar telah mengetuai pilihan Selangor menentang Boca Juniors yang diketuai oleh Diego Maradona dalam satu perlawanan persahabatan pada tahun 1982. Selangor tewas 2-1.


Nota Kaki :: * Satu rekod baru telah dicipta di Mexico apabila 2, 407, 431 orang penonton hadir dalam 52 perlawanan kejohanan edisi ’86. Perlawanan bersejarah Argentina-Jerman Barat dihadiri lebih 114,660 orang penyokong. Bagaimanapun, hanya 13,800 orang penonton yang menyaksikan perlawanan pusingan pertama antara Kanada dan Hungary.

** Hugo Sanchez, lagenda dan penjaring terhebat Mexico, merupakan seorang doctor gigi bertauliah.

*** Jose Batista telah dilayangkan kad merah hanya 56 saat selepas sepak mula dalam perlawanan pusingan pertama Piala Dunia 1986 antara Uruguay dan Scotland. Ia merupakan penyingkiran paling awal dalam sejarah Piala Dunia.

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...