Selasa, Disember 21, 2010

Saat Harimau Malaya menentang Garuda: Kalah atau menang; usah ganyang mengganyang, dong!



Bertenang. Sila jangan betulkan skrin laptop anda. Ini bukan gambar-gambar hari rusuhan. Bukan juga gambar aksi ‘pengkhianat ukhwah seberang’ yang membakar Panji Jalur Gemilang kebanggaan kita.

Bukan juga gambar penyokong fanatik sewaktu perlawanan bola sepak di Kejohanan Clausura dan Apertura yang berlangsung di Amerika Latin.


Inilah Ultras Malaya. Penyokong Skuad Harimau Malaya (pasukan bola sepak Malaysia) era baru, yang menampilkan semangat berkobar-kobar dalam menyokong pasukan negara kita.


Sejarah
Meskipun kita pernah memiliki skuad gemilang era The Magnificent Super Tigers -- Raja Bola Ghani Minhat, Edwin Dutton, Namat Abdullah, Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Datuk Soh Chin Aun, Santokh Singh, Dali Omar, James Wong, Hassan Sani, Lim Teong Kim, Shebby Singh, Rashid Hassan dan Mendiang R.Arumugam (The Spiderman) dan;





Meskipun kita pernah layak ke Sukan Olimpik 1972 di Munich, Sukan Olimpik 1980 di Moscow dan memenangi gangsa di Sukan Asia 1974 di Tehran;

(Tanpa menafikan jasa kesemua lagenda dan wira bola sepak negara)

Tidak boleh tidak – kita pasti menyebut nama ini – nama agung dalam lipatan sejarah bola sepak negara – The Supermokh (Allahyarham Mokhtar Dahari).

Supermokh, lagenda yang sangat kita rindui, atas kesungguhan beliau, tahap penumpuan yang tinggi, dan seorang pemain bola sepak berdisiplin yang pasti dikenang atas kemahiran dan teknik, kepantasan berlari dan kemampuannya dalam menggelecek pertahanan lawan.

Supermokh, merupakan penyerang terbaik dan 'sempurna' yang pernah dilahirkan oleh negara kita dan Asia (dalam eranya). Malangnya, sepertimana Giggs dan George Best, beliau (selaku pemain yang unggul) tidak dapat beraksi dalam kejohanan Piala Dunia sepanjang kerjayanya.

Jaringan golnya sewaktu perlawanan persahabatan dengan Juara Piala FA Inggeris, Arsenal pada 1975 (yang dibarisi lagenda The Gunners seperti Rimmer, Mancini, Storey dan Kidd) mengejutkan dunia apabila Malaysia memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 2-0.

Sementelah, beliau juga dikenang atas jaringannya sewaktu seri 1-1 sewaktu menentang England B (yang dilatih oleh Bobby Robson) pada tahun 1978, dengan gaya gelecek dari tengah padang ala Maradonanya.

Beliau (Supermokh) memegang rekod sebagai penjaring 125 gol sepanjang 167 'caps' nya untuk Malaysia. Malah, beliau merupakan satu-satunya pemain bola sepak yang dianugerahkan Olahragawan Kebangsaan.


Piala Suzuki AFF
Kita pernah menaruh harapan yang tinggi kepada pemain hebat seperti Azman Adnan, Khairul Azman Mohamed, Mubin Mokhtar, Che Zambil Ahmad, Azmi Mohamed dan Akhmal Rizal Rakhli (sekedar menyebut beberapa nama).

Kita juga pernah dikecewakan oleh Matlan Marjan dan Azizol Abu Hanifah (kedua-duanya merupakan pemain kebangsaan yang sangat berbakat) akibat skandal rasuah yang menatijahkan kejatuhan liga bola sepak tempatan dan pasukan kebangsaan.


Kendati, skuad yang diketuai oleh Safiq Rahim selaku kapten kali ini, dan Khairul Fahmi 'Apex' sebagai penjaga gawang negara yang 'kebal', kelihatan agak mantap (meski ada juga kelemahan). Saya katakan mantap kerana kita kehilangan ramai pemain yang bagus akibat kecederaan seperti Zaquan Adha, Aidil Zafuan, dan Norhafiz Zamani Misbah. Namun, skuad kita masih mampu melayakkan diri ke peringkat akhir.

Syabas buat Jurulatih Skuad Kebangsaan, K. Rajagobal!

Justeru, perlawanan akhir menentang Indonesia seharusnya kita dokong dengan semangat yang benar-benar ikhlas – bukan hanya untuk menang Piala AFF; tetapi juga untuk memiliki skuad masa depan yang konsisten.

Janganlah jika tewas Piala AFF, kita caci pemain kita. Janganlah kerana kalah final Piala AFF atau mana-mana kejohanan besar, kita bubar skuad kebangsaan (seperti era selepas Sukan Sea 1997 – kita tewas 1-0 kepada Laos).

Janganlah kerana menang Piala AFF, kita 'mandikan' pemain Skuad Harimau Malaya dengan ganjaran dan wang ringgit. Khuatir jadi seperti sesetengah atlit kebangsaan yang jatuh merudum prestasinya akibat limpahan ganjaran yang melimpah-ruah. Jadikanlah Datuk lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David sebagai contoh atlit terbaik.

Buat penyokong Malaysia, sokong terus sokong – jangan sokong hanya waktu menang. Kita sokong zaman-berzaman!



Intihanya, usah biar Bukit Jalil jadi Stadium Gelora Bung Karno kedua. Belilah tiket seawal yang mungkin; dan contohilah penyokong Vietnam yang tetap mendaulatkan semangat kesukanan meski pasukan kebangsaan mereka tewas (malah turut dijulang sebagai wira).

Semoga kita menang bola; dan menang adab serta akal budi. Teruskan rasional dalam berfikir. Kerana yang terlalu taksub itu tidak bertamadun. Sungguh!


** Nota kaki :: Stadium Nasional Bukit Jalil dibuka pada 1998 sempena Sukan Komanwel dan kini merupakan padang utama jika Skuad Harimau Malaya beraksi. Stadium ini mampu memuatkan seramai kurang-lebih 100, 000 orang penonton – terbesar di Asia Tenggara dan kesepuluh terbesar di dunia!


*** Stadium Utama Gelora Bung Karno pernah dikenali sebagai Stadium Gelora Senayan sewaktu era Tata baru (New Order) Suharto yang cuba mengikis sebarang pengaruh dan unsur Mantan Presiden Bung Karno. Ia mampu menampung kepasiti penonton sebanyak kurang-lebih 88,306 orang.

**** Hah, ini pula stadium terbesar di dunia -- Stadium Rungrado May Day, yang terletak di Pyongyang, Korea Utara. Ia merupakan stadium bola sepak terbesar di dunia, yang mampu menampung sebanyak 150,000 orang penonton. Stadium ini juga terkenal kerana pernah menjadi tempat di mana hukuman mati dikenakan terhadap jeneral-jeneral tentera Korea Utara yang cuba membunuh Kim Jong-il. Cara hukuman dilaksanakan? Mereka dibakar hidup-hidup. Na’uzubillah. Aduhai!

Sabtu, Disember 11, 2010

Kisah Benar: Saat yang belum mumayyiz dipandang serong.



Daripada Ubadah bin Samit r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Bukanlah daripada kalangan ummatku orang yang tidak menghormati golongan yang lebih tua, tidak mengasihani golongan yang lebih muda dan tidak mengetahui haknya terhadap golongan yang berilmu." (Riwayat Ahmad dan Tabrani)

------------------------------------------------------------------------------------

Kita sedia maklum bahawa Nabi Muhammad SAW dikenali sebagai seorang pemimpin yang sangat mengasihi kanak-kanak dan faqir miskin. Malah, Baginda SAW tidak malu duduk bersama mereka.

Rasulullah SAW juga sangat menyayangi cucu-cucu baginda iaitu Hasan dan Husain.

Baginda SAW sangat menyenangi dan melayan anak-anak kecil dengan selayaknya. Dalam satu peristiwa, Rasulullah SAW sujud terlalu lama sewaktu menunaikan solat bersama para sahabat.

Apabila ditanya selepas itu kenapa, Baginda SAW memberitahu bahawa cucundanya, Hasan naik di atas tengkuknya sewaktu sujud. Justeru, Baginda lalu menunggu sehingga Hasan turun.

Sementelah, di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah al-Ansori r.h. beliau berkata:
"Aku melihat Baginda SAW mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda SAW rukuk, diletakkannya, dan apabila bangun dari sujud, Baginda SAW mengangkatnya semula."

Malahan, telah sabit dalah kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW membawa Umamah binti Zainab r.a dan membawanya tawaf bersama baginda di atas untanya.

Demikianlah, mulianya akhlak Rasulullah SAW.

-------------------------------------------------------------------------------------

Baru-baru ini, saya telah menyertai Program Daurah Remaja Masjid (selaku fasilitator) di Masjid As-Solehin, Kanchong Darat, Banting. Kem selama 10 hari ini dianjurkan secara bersama di seluruh Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan masjid-masjid yang terpilih.

Program yang cukup menarik ini merangkumi beberapa bahagian tentatif -- termasuklah; ceramah, latihan dalam kumpulan (LDK), riadah (senaman), hafazan Al-Quran serta penerangan mengenai asas-asas Islam seperti Bab Tauhid, Ibadah, Akhlak, Sirah (Sejarah), dan Tajwid.

Kem ini disertai oleh hampir 170 orang peserta dan dibahagikan kepada 10 kumpulan.




-----------------------------------------------------------------------------------
Kendati, apa yang membuatkan saya sedikit kecewa ialah sikap sesetengah 'orang kita' yang masih berfikiran bahawa tempat kanak-kanak bukanlah di masjid.

Ya, saya akui, kanak-kanak yang belum mumayyiz memang tidak digalakkan untuk ke masjid atas alasan mungkin mengganggu orang lain atau mengotorkan masjid. Hal ini adalah berdasarkan apa yang telah diputuskan oleh Lajnah Daimah iaitu majlis fatwa Arab Saudi juga pendapat yang dikemukan oleh Syeikh Soleh al-Fauzan.

Namun, majlis tersebut juga memutuskan bahawa tidaklah pula dihalang sekiranya kanak-kanak yang mencapai umur mumaiyiz (iaitu dalam lingkungan tujuh tahun ke atas) dibawa ke masjid, bahkan ianya digalakkan sebagai latihan untuk membiasakan mereka bersolat di masjid.


Sejelasnya, 'mumayyiz' berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud 'membezakan'. Istilah ini merujuk kepada golongan manusia yang mampu untuk membezakan antara dua keadaan seperti kemampuan membezakan yang baik dan yang buruk.

Ramai dalam kalangan orang kita yang memarahi anak-anak kecil dengan kasar apabila mereka membuat bising. Kadang-kala, bila anak-anak itu tak buat bising pun (hanya berbual-bual) kita marah laksana mereka melakukan dosa besar.

Kita tidak pula menegur orang dewasa yang berbual kosong di masjid dengan nada yang kuat?

Sesungguhnya, anak-anak adalah permata dan harta yang tidak ternilai dalam hidup kita. Kurnia TUHAN bagi mereka yang tahu menghargai nikmat hidup di dunia. Ia boleh membawa kebahagiaan, hiburan, kesenangan bagi ibu bapa di dunia dan akhirat jika kena caranya. Anak-anak adalah aset kita, pelaburan kita untuk keuntungan kedua-dua kehidupan (duniawi-ukhrawi).

Para penceramah juga tidak seharusnya terlalu mudah melabel anak muda dengan caci-maki serta gelaran yang kurang baik. Tuduhan secara 'generalization' akan hanya membuatkan remaja/anak muda tersinggung.

Kata-kata seperti 'remaja sekarang sudah rosak...'; 'remaja sekarang sudah tidak boleh diharap...'; 'remaja sekarang lemah minda dan jiwa...' akan hanya menimbulkan rasa kurang senang di kalangan anak muda yang mendengarnya. Bukan tidak boleh menegur -- boleh.

Bahkan, teguran amatlah digalakkan, atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab.

Cuma, berhikmahlah dalam menuturkan kata-kata, dan lontarkanlah cadangan serta tindakan konstruktif bagi memastikan anak-anak yang didakwa 'sudah rosak' dan 'tidak boleh diharap' ini kembali berada di landasan yang sepatutnya.

Kita tidak harus hanya terus bercakap, bercakap dan bercakap – tanpa sebarang tindakan.

Barang diingat; apa yang kita lakukan kepada anak-anak kita, mereka akan lakukan semula kepada masyarakat.

Di kala kita asyik menuding jari dan mencaci-maki anak muda, mereka mungkin telah dewasa, dan mereka pula akan terus menuding jari dan mencaci-maki anak muda di zaman mereka pula.

Bak kata A. P. Gouthey., "Latihan serta didikan terbaik yang boleh diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anaknya ialah dengan melatih anak-anak untuk melatih diri mereka sendiri."

Berkenaan golongan kanak-kanak, seandainya mereka membuat bising, maka tegurlah setegas yang mungkin, dengan penuh hikmah. Usahlah kita memarahi -- jauh sekali memaki-hamun mereka -- tanpa memberikan sebab dan penjelasan berkenaan kesalahan yang telah mereka lakukan.

Bagi saya, lebih baik mereka membuat bising ketika kecil anak di masjid; daripada mereka terus sepi dan menjauhkan diri dari tempat suci tersebut sesudah mereka dewasa kelak. Tegurlah mereka dengan penuh hikmah. Contohi Sunnah Rasulullah. ALLAH 'Alim.

Intihanya, ini hanyalah pandangan sederhana saya -- seorang hamba ALLAH yang fakir – yang masih perlu banyak belajar soal ilmu dan kehidupan. Saya hanya mahu melihat adik-adik dan anak-anak muda kita mencintai masjid, dan tidak pula menjauhinya.

** Nota kaki :: Pada hari terakhir – hari ke-10 -- Program Remaja Daurah di Masjid As-Solehin, saya meminta ahli-ahli kumpulan yang saya seliakan; ‘Muslimin United’ (Kumpulan 4) untuk mengambil gambar kenangan secara formal.

Namun, inilah hasilnya --



Memang 'formal' sungguh!

Salam. :)

Ahad, Disember 05, 2010

Buaya itu bernama Bujang.



Kata orang bijak pandai, 'manusia yang menyatakan bahawa langit itu adalah batasan, tergolong dalam golongan manusia yang mempunyai imaginasi yang terbatas.' Ya, hidup sebagai khalifah ini perlu jelas. Kita harus tahu perbedaan maksud antara impian, harapan dan imaginasi. Kendati, ALLAH SWT tidak pernah melarang kita daripada mempunyai imaginasi, selagimana ia membawa manfaat kepada diri kita dan manusia lain.

Antara impian saya semenjak kecil anak (selain mengembara ke seluruh bumi Anbiya) adalah menyelam bersama buaya. Pelik, bukan? Saya selalu tertanya-tanya (ketika kecil) – sekiranya kita boleh melihat ikan jerung, pari gergasi, ikan lumba-lumba -- di dalam akuarium berkaca tebal -- secara dekat, kenapa tidak buaya?

Impian ini telah saya tanam sejak kecil. Saya cukup gemar membaca artikel serta menatap gambar-gambar yang memaparkan aksi buaya. Meski pun ia dikenali sebagai haiwan yang ganas, kita seharusnya sedar dan jelas akan fitrah kejadian ciptaan TUHAN. ALLAH SWT telah mencipta bumi, matahari, bintang-bintang dan bulan. Bumi telah dihiaskan dengan begitu terperinci untuk membolehkan hidupan hidup. ALLAH SWT telah memberikan semua perincian ini.

Setiap kejadian diberikan fitrah semulajadi. Inilah Sunnatullah. Begitu juga dengan haiwan pemangsa seperti buaya. Maha Suci ALLAH tidak menjadikan buaya sebagai haiwan pemangsa tanpa membawa bersamanya kebaikan terhadap ekosistem habitatnya. Tanpa kewujudan buaya di kawasan habitatnya, pasti ekosistem atau rantai makanan di kawasan tersebut pincang lagi kucar-kacir.

Dan, gambar-gambar di atas sekedar menyatakan kepada diri saya, bahawa impian yang saya sangkakan mustahil (sebelum ini) itu, boleh jadi kenyataan (dengan adanya wang perbelanjaan yang cukup). Gambar-gambar di atas ditangkap di kawasan ‘Sangkar Maut’ (The Cage of Death), di Crocosaurus Cove, Darwin, Australia.

Pengunjung berpeluang berenang dan menyelam bersama buaya air masin yang bersaiz besar. Ia dikenali sebagai buaya yang tergolong dalam spesis buaya yang paling besar, yang mana buaya jantannya mampu membesar sehingga hampir 20 kaki panjang dan mempunyai berat sebanyak lebih daripada 1 tan.


Di Malaysia, terdapat beberapa taman buaya yang memberikan kita peluang untuk mendekati haiwan prasejarah ini. Saya sendiri pernah beberapa kali berkunjung ke Taman Buaya di Ayer Keroh, Melaka dan Langkawi, Kedah.



Secara peribadi, saya sangat menyenangi Paya Indah Wetlands, yang terletak di Dengkil, Selangor. Setiap bulan, saya akan mengunjungi tempat ini sekurang-kurangnya sekali. Suasanya damai dan menghijau, menjanjikan ketakjuban atas agungnya sifat TUHAN. Terdapat beberapa jenis haiwan di kawasan ini seperti buaya (kurang lebih 18 ekor), badak air (3 ekor), pelanduk, ayam hutan, itik, burung bangau, burung hantu, landak serta beberapa lagi jenis mergastua yang lain. Keseluruhan kawasan paya ini adalah berkeluasan sebanyak 3,100 hektar dan merupakan kawasan eko-pelancongan terbesar di negara kita.



Namun, masih ramai dalam kalangan kita yang keliru dengan fungsi sebenar kawasan paya ini. Meskipun ia mempunyai beberapa tasik seperti Tasik Utama dan Tasik Teratai, serta mempunyai banyak haiwan seperti buaya dan badak air, ianya bukanlah sebuah safari. Justeru, adalah tidak tepat untuk menyatakan kawasan tersebut sebagai 'safari hambar-malap'. Hal ini demikian kerana, kawasan ini lebih memfokuskan kepada kawasan penghijrahan serta habitat burung-burung seperti burung pinggiran hutan, burung air dan burung hutan.


Menurut penjelasan pegawai di kawasan tersebut, badak air dan buaya di situ adalah untuk tujuan kajian mengenai habitat serta haiwan itu sendiri. Kendati, kepada sesiapa yang ingin merasai suasana safari di negara kita, bolehlah berkunjung ke Zoo Taiping & Night Safari. Untuk merasai pengalaman safari yang lebih menakjubkan, bolehlah ke Kota Singapura. Tapi, seperti biasalah, pastikan anda mempunyai wang perbelanjaan yang cukup. :)




Sejelasnya, masyarakat kita telah lama dikaitkan dengan buaya, meskipun secara zahirnya, kita lebih mengaitkan masyarakat Melayu (khususnya) dengan pak belang (harimau) atas sifatnya yang garang dan tangkas. Tak percaya? Berikut saya sertakan senarai peribahasa Melayu yang turut menyelitkan buaya, sebagai salah-seekor haiwan yang paling unggul untuk dijadikan bahasa kiasan yang indah:

Peribahasa 1:
"Adakah buaya menolak bangkai."
Maksudnya: Orang yang jahat tidak akan meninggalkan kesempatan untuk membuat kejahatan.

Peribahasa 2:
"Air yang tenang jangan disangka tiada buaya."
Maksudnya: Orang yang tidak banyak cakap, jangan dipermudah (diperlekeh).

Peribahasa 3:
"Bergalah ke hilir tertawa buaya, bersuluh di bulan terang tertawa harimau."
Maksudnya: Perbuatan yang sia-sia itu ditertawakan orang.

Peribahasa 4:
"Kalau menyeberang sungai biarlah ditelan buaya, tetapi janganlah dipagut oleh ikan-ikan kecil."
Maksudnya: Kalau dibuat salah biarlah dihukum oleh orang besar, jangan dianiayai oleh orang kecil-kecil

Peribahasa 5:
"Tidak akan terlawan buaya menyelam air."
Maksudnya: Tidak mungkin kita dapat melawan orang yang kaya (berkuasa, pandai, dan lain-lain).

Peribahasa 6:
"Tak usah diajar anak buaya berenang, ia sudah pandai juga."
(Peribahasa lain yang sama makna: "Orang tua diajar makan pisang".)
Maksudnya: Tidak usah diajar orang yang sudah tahu.

Peribahasa 7:
"Air yang keruh-keruh kerak, alamat buaya di hulunya" (keruh-keruh kerak = tidak
jernih.)
Maksudnya: Daripada perkataan dapat dimaklumi niat di dalam hati.

Peribahasa 8:
"Buaya setanjung makan tak habis (peribahasa Melayu Sarawak)."
Maksudnya: Terlalu gemuk (tentang orang).

Peribahasa 9:
"Besar berudu di kubangan, besar buaya di lautan."
Maksudnya: Tiap-tiap orang mulia dan besar pada tempatnya masing-masing.




** Nota Kaki :: Simpulan Bahasa "Buaya Darat" bermaksud 'Orang yang suka memperdayakan perempuan'. Selama ini, kalau disebut sahaja buaya darat, pasti di fikiran kita terbayang seorang lelaki kasanova dengan mulut manis (alat penipu dayanya). Sejelasnya, buaya darat iaitu buaya yang betul-betul hidup di darat memang pernah wujud. Fosil seekor reptilia yang didakwa sebagai buaya yang hidup di darat telah dipamerkan kepada orang ramai di Sao Paulo, Brazil. Fosil yang berusia 80 juta tahun ini, dinamakan 'montealtosuchus arrudaccamposi' yang disifatkan sebagai buaya yang sangat tangkas dan hidup di kawasan panas dan gersang di Brazil semasa zaman batu kapur.

Gambar-gambar dicuplik dari:

  1. http://www.flickr.com/photos/wanzai99/;
  2. http://www.worldisround.com/articles/32552/photo9.html;
  3. Pak Google. :)


Salam. :)

Sabtu, Disember 04, 2010

Saya bukan Yusof Gajah: Perpaduan melalui kesenian.

Saya bukan orang seni. Saya bukan Imuda. Bukan Itua. Bukan Ujang. Bukan Aie. Bukan Lambok. Bukan Pak Rejabhad. Bukan Pak Yusof Gajah. Bukan Pak Samad. Jauh sekali Pak Rendra.

Kendati, saya peminat tegar sebuah isme bernama seni. Ia halus, halus nan indah. Melukis itu kegemaran saya, meski saya sedar, bakat saya tak sehebat mana. Kerana seni itu indah, kekadang ia tidak hanya dilihat, tapi juga cuba dihayati dan difahami (meski ramai yang menyalah-tafsirkannya).

Bermula dengan pensel 2B hadiah daripada Abah sewaktu berumur 4 tahun, saya melukis dan melukis, atas dasar minat. Saya ingat lagi, antara lukisan pertama saya -- selain orang lidi -- ialah lori Abah. Lori yang besar jasanya kepada keluarga kami.

Setiap kali melukis, saya akan tunjukkan kepada Emak, dan pada awalnya, Emak akan memujinya, meski seburuk manapun lukisan itu. Kemudian, Emak akan menegur -- roda dan tayar itu mesti bulat. Melukis jangan terlalu keras -- "Nanti koyaklah kertasnya," pesan Emak.

Kurang lebih 14 tahun kemudian, saya berkenalan dengan sosok ini, Brother Syihab Firdaus Mansor. Banyak jasa beliau kepada saya. Beliau pendiam, tapi dalam diam itu wujud seninya.

Beliau mendedahkan kepada saya kaedah menggunakan perisian Adobe Photoshop. Saya memang jenis lambat belajar, jadi beliau tunjukkan satu demi satu, tanpa mengeluh dan rasa jemu.

Hasilnya, antara karya sulung yang sederhana -- yang saya hasilkan atas tunjuk ajar beliau -- adalah poster ini:

Poster ini disiapkan sempena Kempen Selamatkan Umat Sejagat -- anjuran Persatuan Ikatan Mahasiswa Dinamis, UiTM Kedah -- saya hasilkan sebagai respon kepada rasa tersinggung yang teramat sangat terhadap diamnya Liga Arab dan OIC terhadap serangan oleh Rejim Zionis Israel ke atas bumi anbiya Palestina dan Lubnan lewat 2006.

Kemudian, saya mula meneroka perisian Photoscape. Ianya lebih ringkas dan mudah. Saya fikir, adik-adik yang masih bersekolah rendah pun mampu menguasai teknik berkarya menggunakan perisian ini.

Dan, kerana seni itu indah, saya cuba untuk tidak hanya membuat rekaan, tetapi cuba menyampaikan mesej melalui rekaan. Dan, saya pilih mesej perpaduan.

Gaya berpolitik yang bobrok dan pak politikus yang bejat telah kerap kali menjengkelkan kita semua. Seharusnya, kita menyubur dan menyemai perpaduan, bukannya berlagak dengan ego dan keangkuhan kita untuk menjadi wira retorika.

Hasil-mahsul pemerhatian saya, saya cuba hasilkan sesuatu, meski agak sederhana. Dan, ini buah tangan yang sulung -- "Minda Perpaduanisme".

Kemudian, sempena Hari Malaysia 2010, tanggal 16 September, saya hasilkan pula karya yang sederhana ini, sebagai meluahkan kekecewaan hati saya terhadap kesilapan masyarakat kita dalam menterjemahkan sejarah.

Inilah hasilnya, "Pokok Perpaduan adalah K.I.T.A.":


Sejelasnya, tanggal 16 September 1963 -- Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu bersama-sama membentuk Malaysia; bukannya Sabah dan Sarawak masuk Malaysia.

Di balik kita berpusu-pusu mengejar status manusia berpoket penuh dan negara maju menjelang usia 2020, kita tidak seharusnya melupakan soal pembudayaan ilmu, soal akhlak, soal bahasa, soal sastera dan soal seni.

Barang diingat, tamadun-tamadun agung dunia yang runtuh adalah dinatijahkan oleh kerakusan masyarakatnya mengejar kebendaan tanpa menjaga asas serta prinsip peradaban. Untuk apa maju, andai masyarakatnya masih bobrok dan bejat?

Menurut Ibn Khaldun al-Hadrami dalam karya agungnya 'Muqaddimah Ibn Khaldun', "ALLAH SWT akan menghancurkan sesuatu umat itu disebabkan golongan tersebut melakukan perkara-perkara yang keji dan melakukan pelbagai kemungkaran, ekoran dari tindakan tersebut, ALLAH SWT akan menggantikan golongan tersebut dengan kaum yang lebih mulia dan terpuji, sepertimana yang telah dilakukan ke atas kerajaan Saba' dengan berlakunya peristiwa banjir besar sehingga memusnahkan empangan Ma'rib."


Sementelahan,dalam Kitab Suci al-Quran, ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Dan jika KAMI hendak membinasakan sesuatu negeri, maka KAMI perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati ALLAH) tetapi mereka melakukan penderhakaan dalam negeri itu, maka sudah sebaiknya berlaku terhadap perkataan (ketentuan KAMI) kemudian KAMI hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya". (al-Isra':16).


Memetik kata-kata Pak Yusof Gajah, "Tingginya beradaban manusia, maka tingginya apresiasinya terhadap seni."


** p/s :: Dalam banyak iklan perpaduan yang disiarkan di kaca TV mahupun media cetak, saya paling suka yang ini -- ringkas tapi cukup bermakna.

Kita mungkin berbeda ideologi politik, berbeda keturunan dan warna kulit, berbeda darjat dan pangkat. Tapi ingatlah, kita semua Bangsa Malaysia. Kita perlu membuka minda dan beramanah dengan diri kita. Sungguh.

Ayuh, sebar dan kukuhkan perpaduan sesama kita!

Salam. :)

Sumber:
http://sirehdancengkeh.com/?p=1274
http://yusofgajah.blogspot.com/2008/10/yusof-gajah.html

Isnin, November 29, 2010

Jokuk Tongil: Ini bukan Perang Pekan Yong Peng, Johor. Sungguh!


Rasulullah SAW bersabda, "Al-Harj (akan meningkat)". Mereka bertanya, "Apakah Al- Harj itu?". Baginda SAW menjawab, "(Iaitu) pembunuhan (saling membunuh), (iaitu) saling membunuh (pembunuhan)." (HR Bukhari).

Hari Kiamat (As Sa'ah) akan tiba ketika kekerasan, pertumpahan darah, dan kekacauan akan menjadi suatu yang lazim (HR Al-Muttaqi al-Hindi, Muntakhab Kanzul Ummaal).

Dunia ini tidak akan menemui akhirnya, hingga suatu hari akan datang pada manusia, pada hari itu akan ada pembunuhan massal dan pertumpahan darah. (Muslim)

-------------------------------------------------------------------------------------

Salam. :)

Tanggal 23 November 2010 telah mencatatkan serangan yang dilancarkan oleh Tentera Korea Utara terhadap Pulau Yong Pyong, yang terletak di Korea Selatan. Serangan tersebut menatijahkan kematian dua orang awam seta dua orang tentera marin Korea Selatan.



Sejelasnya, sejarah permusuhan Korea Selatan dan Korea Utara sudah berlangsung sejak sekian lama. Sejak sekitar tahun 1945 lagi, Kesatuan Soviet telah menduduki Korea di bahagian utara dan Amerika Serikat di bahagian selatan.

Seperti yang kita sedia maklum; sejarah mencatatkan Perang Korea [juga dikenali sebagai Perang 6-2-5 (yuk-i-o jeonjaeng)] meletus akibat perang saudara pada 25 Jun 1950, apabila Korea Utara menyerang Korea Selatan.

Ini diburukkan lagi dengan campur tangan kuasa besar dunia -- yang ingin membuktikan siapa lebih hebat -- antara Tentera Bersekutu yang diketuai Raja Kapitalisme, Amerika Syarikat dan sekutunya (seperti Britania Raya (United Kingdom), Turki, Kanada, Australia dan beberapa negara lain yang berselindung di balik panji PBB), dengan Kuasa Besar Komunisme seperti Republik Rakyat China dan Kesatuan Soviet (USSR).

Ramai pengkaji sejarah berpandangan bahawa Perang Korea adalah peperangan Kim Il Sung dari Korea Utara yang menyerang Korea Selatan, perang agresif yang didokong oleh Stalin dan Mao Zedong. Pyongyang lah yang didakwa meletuskan tembakan pertama, mencetuskan peperangan.

Namun, menerusi sebuah perjanjian, Korea akhirnya dibahagi sejajar dengan garis lintang 38. Di selatan berdiri Republik Korea dan di utara didirikan Negara Republik Demokratik Rakyat Komunis Korea Utara. Kendatipun, pembahagian ini tidak menuntaskan konflik antara Korea Utara dan Korea Selatan.


Usaha damai dan diplomatik senantiasa diusahakan oleh ramai pihak; sama ada daripada pihak kedua-dua Korea mahupun negara-negara luar. Antara yang muta'akkhir ialah usaha untuk menggunakan hanya satu panji Korea dalam kejohanan Sukan Olimpik tahun 2000 yang berlangsung di Sydney, Australia yang digelar sebagai 'Panji Keamanan keseluruhan Semenanjung Korea.'



Namun, tekanan daripada kuasa-kuasa besar dunia dan keangkuhan kebanyakan pemimpin kedua-dua negara mengakibatkan usaha damai masih menemui jalan buntu.

Ramai yang membahaskan serta membangkitkan isu 'usai keruntuhan Soviet, apakah demokrasi itu sistem yang terbaik?'. Maka, pada hemat saya, sistem pemerintahan yang paling sesuai dan berkebajikan pastinya adalah sistem Islam yang menganjurkan konsep 'Baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur' berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Malangnya, selepas era kegemilangan Islam menerusi pimpinan Baginda SAW dan jatuhnya sistem Khalifah akibat pengkhianat Mustafa Kemal Attarturk di Turki; kita masih belum mempunyai model yang paling ideal untuk dijadikan tamsilan bagi konsep negara berkebajikan versi Islam ini.

Namun, tidaklah pula kita menolak secara total prinsip serta teori Komunisme dan Demokrasi. Kedua-duanya punya kebaikan (dan keburukannya) yang tersendiri. Apa yang penting; pemimpin serta pemerintah – sama ada yang diberi mandat atau memerintah hasil rampasan kuasa (coup de etat) -- hendaklah meletakkan kebajikan rakyat – khususnya yang marhaen – di tahap tertinggi.

Tak guna jika kita berbangga dengan bangunan pencakar langit beratus-ratus tingkat yang menelan belanja berbilion-bilion; jika masih ada rakyat yang terpaksa meneruskan hidup dengan makan siput khinzir.

Berbalik kepada soal Semenanjung Korea pula; perang dan sengketa sesama saudara selamanya takkan membawa kebaikan kepada negara mahupun dunia sarwajagat. Semailah benih kedamaian. Sahutlah seruan keamanan abadi -- dunia menolak apa jua bentuk peperangan -- apatah lagi usaha untuk menganjurkan Perang Dunia Ketiga, kerana yang akhirnya menjadi mangsa pastinya mereka yang tidak berdosa, golongan tua dan kanak-kanak.

Yang kaya dan beruntung daripada perang, pastinya golongan kapitalis yang menghasil dan mengeluarkan berbilion-bilion senjata dan armada, yang telah siap-sedia dijual dan dipasarkan; yang mana industri ini hanyasanya bergantung kepada konflik berpanjangan yang melibatkan persenjataan.

Serangan serta provokasi seperti yang dilakukan oleh Pyongyang ke atas Yong Pyong seharusnya dihentikan dan dielakkan pada masa akan datang. Intihanya, "Jokuk Tongil"; bersatulah Korea!


** p/s :: Sekedar berkongsi, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il dikatakan mempunyai ketinggian 165cm (lebih kurang 5' 5"). Beliau selalu memakai kasut yang mempunyai alas atau tapak yang tebal untuk kelihatan lebih tinggi. Namun, selepas diserang angin ahmar baru-baru ini; beliau dilihat tidak lagi memakai kasut bertumit tinggi; dipercayai bagi mengurangkan rasa sakit di bahagian kakinya.


Sementelah, Pemimpin Nazi dan pendokong Teori Darwinisme yang mengkucar-kacirkan dunia, Adolf Hitler pula sebenarnya adalah seorang yang rabun (tetapi enggan dilihat memakai kaca mata sewaktu berpidato). Beliau menyediakan teks pidato dengan aksara yang ditulis dan ditaip dengan saiz yang besar kerana mahu dilihat sebagai manusia sempurna daripada keturunan Bangsa Aryan yang ‘Agung’ -- Pagan Kuno.

Salam. :)

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...