Rabu, Ogos 28, 2013

Selangor lawan Sime Darby: Sedikit tentang luahan dan keluhan.

Para penyokong 'mengepung' bas FAS.
Sebelum sepak mula Selangor FA-Sime Darby FC.
I
“Hidup tidaklah untuk mengeluh dan mengaduh.
Hidup adalah untuk mengolah hidup.”
-- ‘Sajak Seorang Tua untuk Istrinya’ (W.S. Rendra).
Hadir ke Stadium Selayang yang agak jauh dari tempat saya tinggal bukanlah satu isu besar. Ini isu kecil. Ramai lagi penyokong Selangor yang mengharung perjalanan jauh dari Tanjong Karang, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan lain-lain tempat untuk tetap hadir setiap kali The Red Giants beraksi di Shah Alam.
Isu yang lebih besar ada tiga: satu, aksi longlai pasukan yang digelar Gergasi Merah ini. Kedua, soal bagaimana penerimaan para peminat Merah-Kuning terhadap aksi longlai ini. Ketiga, soal sejauh mana relevannya slogan ‘Misi 33’ digunakan.

Keluhan lagenda Selangor era baru, Amri Yahyah. Syahdu.
II
Pada hemat saya, Selangor FA turun dengan pemain yang tidak cergas dan tidak mempamerkan aksi terbaik mereka. Lihat sahaja gol pertama Karlo Primoric untuk Sime Darby FC. Kelemahan paling ketara Selangor pada perlawanan malam tadi ialah pada bahagian tengah.
Sementelah, dua-tiga menjak ini, ada khabar-khabar yang menyatakan kontrak jurulatih berjasa, Haji Irfan Bakti tidak akan dilanjutkan. Ada juga khabar bahawa sudah ada pemain yang dipancing dengan tawaran lumayan oleh beberapa pasukan. Saya tidak tahu sama ada berita angin ini benar-benar mengganggu emosi-komitmen pemain atau tidak, tetapi, sebagai peminat, kita boleh melihat para pemain tidak memberikan sepenuh raga jiwa untuk permainan malam tadi.

Penyokong Merah-Kuning era awal 90an di Stadium Merdeka.
Kenangan Final 1996, menentang Sabah FA.
Pasukan gendang yang bekerjasama dengan SSFC.
Ultras Selangor.
III
Berkenaan penerimaan penyokong, saya tidak berminat untuk terlalu mengulas lanjut. Saya percaya, baik Ultras Selangor mahupun SSFC -- mahupun penyokong yang tidak terikat dengan mana-mana sepanduk – ada pandangan dan hujah masing-masing: untuk mempertahankan tindakan mereka yang mencaci atau memuji pemain dan pihak pengurusan FAS.
Tetapi, bagi saya, asasnya mudah: sebagai penyokong, kita perlu ada rasa hormat kepada pasukan dan pemain. Begitu juga pemain dan pegawai pasukan, mesti hormat pada penyokong dan kontrak yang telah ditandatangani pada awal musim.
Skuad 1998.
Skuad 2008.
Skuad 2013.
IV
Ini adalah lumrah dalam sukan bola sepak. Skuad yang mempunyai bintang tidak semestinya menang. Skuad yang menang itu – selain takdir – adalah atas dasar konsistensi, disiplin serta komitmen pemain yang tinggi. Selangor pernah mempunyai skuad hebat pada tahun 1992, 1993 dan 1994, yang tidak memenangi Piala Malaysia. Skuad 1995 yang dibarisi ramai pemain muda pula yang akhirnya mencipta sejarah manis, sebelum dilengkapi oleh skuad 1996 dan 1997. Ah, kenangan.
Tahun 1998 dan 2008 juga adalah dua tahun yang agak mengecewakan. Pada 1998, kita ada Azman Adnan, Zainal Abidin Hassan, Alexander Freeman, Shahril Arsat, Nazzab Hidzan, Jeff Hopkins, Asroff Hanafiah, Aizal Lamin, Rizal Hassan dan Abdul Hadi Tahir (sekadar menyebut beberapa nama). Adakah Selangor menang Piala Malaysia? Tidak.
Tahun 2008 pula, Selangor FA diperkuatkan oleh barisan bintang: Frank Seator (mendiang), Safee Sali, Elie Aiboy, Shukor Adan, Akmal Rizal Rakhli serta Indra Putra Mahyuddin (juga sekadar menyebut beberapa nama). Kita tewas dua perlawanan akhir. Dan, kita tidak menang Piala Malaysia.  
Menarik untuk dikongsi kata-kata sahabat saya, Bro Jabal Noor, tentang aksi skuad Malaysia era gelap 2000an dulu: “Ada kelapangan, turun je ke stadium. Kita memanglah nak menang, tapi yang penting, kita nak tengok cara permainan pasukan kita. Kalau bukan kita yang nak sokong, siapa lagi? Kalau menang, alhamdulillah… Kalau kalah, dah biasa dah…” 

Lagenda Selangor FA: Raja Bola Ghani Minhat, Supermokh dan Man Turn (Azman Adnan).
V
Sejelasnya, saya konsisten menyatakan bahawa istilah ‘Misi 33’ tidak seharusnya digunakan. Mana-mana pasukan bola sepak perlu memberi fokus kepada setiap perlawanan yang mereka hadapi – satu-persatu – kerana bola itu bulat, dan tidak sedikit tekanan yang perlu ditanggung pegawai dan pemain jika terpaksa dihambat kejuaraan silam. Seharusnya, fokus diberikan kepada prestasi semasa dan perancangan jangka panjang sedari awal musim lagi.
Saya percaya, harapan menggunung yang dihambur untuk memenangi Piala Malaysia untuk kali ke-33 ini bukan sahaja memberi tekanan kepada pemain dan pasukan, tetapi juga kepada peminat Selangor sendiri.
Skuad Selangor 2013 adalah skuad yang kuat, dibarisi ramai pemain kebangsaan yang berbakat. Kendati, tidak semua yang mempamerkan aksi sekomited Amri Yahyah dan Forkey Doe. Sedarlah semua, ini bukan pasukan ‘Raja Bola’ Ghani Minhat. Ini bukan skuad ‘SuperMokh’. Bukan juga yang dipertajamkan oleh ‘Man Turn’. Ini pasukan Selangor FA 2013.

Wajah-wajah yang penuh pengharapan. Sayu.
Misi Mengeteh: Tercapai.
Solidariti buat kesetiaan dan persaudaraan. Viva Mesir.
VI
Hadapilah cabaran dengan kenyataan, bukan hambatan kejayaan silam. Bak kata Steve Maraboli, seorang pengkaji tingkah laku manusia, “Learn from your history, but don’t live in it.” Belajarlah daripada sejarah kita, tetapi usah hidup di dalamnya. Memetik puisi nukilan Rendra, ‘Kita adalah kepribadian. Dan harga kita adalah kehormatan kita. Tolehlah lagi ke belakang. Ke masa silam yang tak seorang pun kuasa menghapusnya.’ Sokong jangan hanya ketika menang. Sokong; waktu gagah dan rebah. Hadirlah ke stadium setiap kali ada kelapangan dan kemampuan. Bersama buktikan sokongan buat Selangor Darul Ehsan. Solidariti buat kesetiaan dan persaudaraan.
Selamanya, Viva Selangor!
--------------------------------------------------------- 
Sumber dan rujukan:
  1. https://www.facebook.com/groups/285351638583/?fref=ts;
  2. www.thestar.com.my;
  3. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2013082806022420130828060224/Article/index_html.

Ahad, Ogos 25, 2013

Mengeteh bersama Bro Aie Sulong, kartunis lagenda.


“Salute Tinggi Kelab Jersi Kita dan Retro Bola Sepak. Salam Hormat!”
* Nukilan istimewa Bro Aie Sulong, kartunis lagenda Malaysia, buat dua page bersekutu, KJK dan RTB. 
Alhamdulillah, dapat juga sampaikan novel saya yang sederhana, 'Wajah Hati Redha' -- serta lukisan saya yang sederhana -- buat Bro Aie Sulong

Alhamdulillah, dapat berjumpa dengan Bro Aie Sulong yang budiman -- yang banyak mewarnai zaman kecil anak-anak 90an dengan karya kartun dan komik grafiknya.

Kata-kata hikmah yang sentiasa beliau pegang daripada pesan seorang hamba ALLAH,“Bagaimana susah pun hidup kita, jangan sampai kita buruk sangka pada TUHAN.”

Beliau popular dengan kartun dan komik grafiknya seperti ‘Abe’, ‘Aku Hidup dalam Blus’, ‘Blues Untuk Aku’, ‘Aku dan Sesuatu’ dan beliau bakal muncul dengan karya terbaru. Nantikan di pasaran.

* Sedikit tentang beliau di sini:
http://chedinsphere.blogspot.com/2011/07/aie-kartunis-lagenda-2.html

Terima kasih, Bro Aie. Semoga terus sakti dan istiqamah.

Grande. Padu! :) 

Rabu, Ogos 21, 2013

Al-Fatihah buat Almarhum Ustaz Dahlan Arshad.


1997: Kelihatan (mantan) Presiden ABIM, Dr Muhammad 
Nur Manutty sewaktu Wacana Khas anjuran ABIM 
sempena kehadiran Syeikh Yusuf al-Qaradhawi.

Senyumannya manis. Raut mukanya ceria. Ada ‘Nur’ di sebalik wajahnya. Janggut, misai dan rambutnya sudah putih beruban. Memang dia sudah agak berusia; tua hampir mencecah usia 80 tahun (76 tahun ketika itu). Namun langkahnya masih cergas bak seorang pemuda. Sepatah kata-katanya sarat dengan ilmu dan penuh makna. Intonasi suaranya tatkala berbicara masih bertenaga bagai seorang pemidato hebat memukau para pendengar. Dia dengan penuh tawaduk seakan-akan mahu berkongsi segala idea, pemikiran dan pengalamannya dengan pemuda seperti saya. Inilah dia Ustaz Dahlan Arshad.

Di lobi Hotel Grand Madya, Istanbul Turki itu menyaksikan pertemuan saya dengan beliau yang turut serta bersama rombongan Malaysia (PKPIM-ABIM-WADAH-Yayasan Takmir Pendidikan-Global Peace Mission) ke International Seminar On Islamophobia anjuran The Union of NGOs of The Islamic World (UNIW) pada 7-9 Disember 2007.

Sepanjang perjalanan saya hampir seminggu di kota Istanbul, Turki, saya banyak menghabiskan masa bersama dengan Ustaz Dahlan Arshad ini. Banyak ilmu dan pengalaman yang dapat saya kutip hasil perbincangan dan sembang-sembang dengan beliau.

Teringat saya ketika menanti masuknya waktu solat Subuh di sebuah masjid berdekatan hotel penginapan kami, Ustaz Dahlan menunjukkan saya beberapa hiasan ‘frame’ ayat Al-Quran yang diletakkan di dinding masjid sambil menceritakan bagaimana usaha secara halus menghilangkan minat umat Islam untuk mendalami dan memahami Al-Quran iaitu dengan menulis ayat-ayat Al-Quran dengan tulisan ejaan Turki bukannya dengan bahasa Arab Al-Quran. Beliau juga sempat berbicara tentang kepentingan memperjuangkan tulisan Jawi di Malaysia dalam usaha mendekatkan umat kepada Al-Quran.

Tatkala berhenti rehat ketika International Seminar On Islamophobia pula, saya bersembang panjang dengan Ustaz Dahlan di luar dewan seminar tentang pelbagai topik dan saya masih ingat antaranya tentang tulisan khat yang mana di tingkat bawah dewan seminar tersebut terdapat pameran tulisan khat karya penulis khat Turki yang cukup kreatif dan penuh seni .

Kami masih bersembang di luar dewan tatkala seminar bersambung semula sambil mendengar dan menonton seminar tersebut melalui skrin tv di luar dewan dan kebetulan perwakilan yang berucap ketika itu merupakan seorang wanita. Ustaz Dahlan menimbulkan persoalan mengapakah tiada wakil wanita dari Malaysia yang berucap dalam seminar bertaraf antarabangsa tersebut. Beliau mengimbas kembali bagaimana suatu ketika dahulu Malaysia mempunyai tokoh pemidato wanita yang cukup hebat dan lantang bersuara seperti Khalijah Salleh (Saya masih mencari maklumat berkenaan beliau). Bagi beliau gerakan dakwah di Malaysia perlu mengenengahkan lebih ramai tokoh-tokoh dari kalangan wanita di seminar dan program antarabangsa seterusnya menjalinkan hubungan dan membina jaringan dengan organisasi wanita Islam seluruh dunia.

Saya juga mengambil kesempatan bertanya kepada beliau tentang gerak kerja dakwah pada zaman beliau dahulu dan beliau juga banyak menekankan keperluan generasi kini untuk terus membaca karya-karya tokoh-tokoh terdahulu terutamanya kitab-kitab tafsir dan saya sengaja meminta pandangan beliau tentang kitab tafsir yang paling bagus untuk dihadam oleh generasi muda kini dan jawapan yang keluar dari mulut beliau ialah kitab karangan Syed Qutb, Tafsir Fi Zilalil Quran. Saya memberitahu beliau yang saya juga pernah membaca karya tersebut dalam bahasa Melayu dan beliau menasihatkan saya supaya cuba sedaya upaya membaca karya tersebut dalam versi bahasa asalnya iaitu dalam bahasa Arab memandangkan karya tersebut memuatkan ilmu yang cukup bermanfaat dengan unsur sastera yang tiada tolok bandingnya itu.

Mendengar tutur kata Ustaz Dahlan Arshad cukup mengasyikkan. Bahasa Melayu beliau cukup teratur, penuh sastera dan beliau juga sangat fasih dengan bahasa Arab dan juga bahasa Inggeris. Sesekali terkeluar dari mulut beliau ayat suci Al-Quran dengan tafsirannya sekali untuk menguatkan hujah dan juga pepatah-pepatah Arab dan Inggeris memaniskan lagi bicaranya.

Antara yang turut membentangkan kertas kerja pada International Seminar On Islamophobia ini ialah cucu kepada Almarhum Hassan Al-Banna iaitu Tariq Ramadhan. Ustaz Dahlan Arshad pernah bekerja dan rapat dengan ayah Tariq Ramadhan dan beliau memberitahu saya beliau rasa berat hati untuk berjumpa dengan Tariq Ramadhan memandangkan beliau akan terimbas kenangan silam beliau bersama ayah Tariq Ramadhan apabila melihat wajah Tariq Ramadhan yang bagi nya ayah Tariq Ramadhan cukup mulia akhlaknya dan pemergiannya ke rahmatullah cukup menyedihkan hati beliau.

Dato Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir ke seminar tersebut juga cukup rapat dengan Ustaz Dahlan Arshad. Dan saya melihat Ustaz Dahlan sanggup berdiri menunggu agak lama untuk bertemu dengan beliau di luar bilik khas media tatkala Dato Seri Anwar Ibrahim diwawancara oleh para wartawan seluruh dunia.

Kalau ada ilmu tetapi tak sihat, susah juga…’ Begitulah lebih kurang kata-kata Ustaz Dahlan Arshad tatkala kami berada dalam van sebaik sahaja selesai melawat Hayret Vekfi,sebuah NGO Islam yang mengikuti aliran pemikiran Badiuzaman Said Nursi.

Beliau nampaknya begitu menekankan aspek kesihatan yang sering diabaikan oleh pendokong gerakan Islam.Mungkin sebab menjaga kesihatanlah beliau walaupun sudah tua tetapi tetap cergas dan sihat walafiat.

Saya juga masih teringatkan nasihat beliau berkenaan pentingnya kita mempunyai 'critical mind'. (untuk maklumat lanjut berkenaan 'critical mind', boleh klik: (http://www.criticalthinking.org/resources/articles/critical-mind.shtml).

Menurut Ustaz Dahlan, beliau semenjak dahulu mempunyai 'critical mind' dan bagi beliau pemikiran sebegini amat penting bagi seseorang terutamanya pendokong gerakan dakwah.

Begitulah sedikit kenangan saya dengan Ustaz Dahlan Arshad. Bila agaknya saya berpeluang bertemu dengannya sekali lagi ya?.... Saya rindu sekali untuk menadah sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman daripadanya. Orang tua ini bukan sebarangan orang. Tua mungkin fizikalnya. Tetapi ‘muda’ pemikirannya....

----------------------------------------------------------------
* Petikan tulisan Mohd Rumaizuddin Ghazali (mantan Timbalan Presiden ABIM) dalam Pemikiran Al-Qaradawi: (Siri 2) - Sejarah Hidup dan Pemikiran. (http://www.abim.org.my/minda_madani/modules/news/article.php?storyid=112)

  • Rakan-rakannya (Yusuf Qaradhawi): Antara rakan-rakan karibnya ialah Abdullah Uqail, Ahmad Asal, Abdul Wahab al-Batattuni, Muhammad Saftawi, Abdul Wadud al-Syalabi . Manakala rakannya dari Malaysia ialah Ustaz Dahlan Arshad yang merupakan kenalan mereka sejak tahun 1970an ketika al-Qaradhawi datang ke Malaysia dan beliau merupakan orang yang dipercayai oleh al-Qaradhawi untuk menterjemahkan ceramahnya apabila al-Qaradhawi berada di Malaysia.
23 Mac 2008
1.05 am
Kolej Kediaman Ungku Aziz.
-------------------------------------------------------------------
Sumber: