Rabu, Ogos 28, 2013

Selangor lawan Sime Darby: Sedikit tentang luahan dan keluhan.

Para penyokong 'mengepung' bas FAS.
Sebelum sepak mula Selangor FA-Sime Darby FC.
I
“Hidup tidaklah untuk mengeluh dan mengaduh.
Hidup adalah untuk mengolah hidup.”
-- ‘Sajak Seorang Tua untuk Istrinya’ (W.S. Rendra).
Hadir ke Stadium Selayang yang agak jauh dari tempat saya tinggal bukanlah satu isu besar. Ini isu kecil. Ramai lagi penyokong Selangor yang mengharung perjalanan jauh dari Tanjong Karang, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan lain-lain tempat untuk tetap hadir setiap kali The Red Giants beraksi di Shah Alam.
Isu yang lebih besar ada tiga: satu, aksi longlai pasukan yang digelar Gergasi Merah ini. Kedua, soal bagaimana penerimaan para peminat Merah-Kuning terhadap aksi longlai ini. Ketiga, soal sejauh mana relevannya slogan ‘Misi 33’ digunakan.

Keluhan lagenda Selangor era baru, Amri Yahyah. Syahdu.
II
Pada hemat saya, Selangor FA turun dengan pemain yang tidak cergas dan tidak mempamerkan aksi terbaik mereka. Lihat sahaja gol pertama Karlo Primoric untuk Sime Darby FC. Kelemahan paling ketara Selangor pada perlawanan malam tadi ialah pada bahagian tengah.
Sementelah, dua-tiga menjak ini, ada khabar-khabar yang menyatakan kontrak jurulatih berjasa, Haji Irfan Bakti tidak akan dilanjutkan. Ada juga khabar bahawa sudah ada pemain yang dipancing dengan tawaran lumayan oleh beberapa pasukan. Saya tidak tahu sama ada berita angin ini benar-benar mengganggu emosi-komitmen pemain atau tidak, tetapi, sebagai peminat, kita boleh melihat para pemain tidak memberikan sepenuh raga jiwa untuk permainan malam tadi.

Penyokong Merah-Kuning era awal 90an di Stadium Merdeka.
Kenangan Final 1996, menentang Sabah FA.
Pasukan gendang yang bekerjasama dengan SSFC.
Ultras Selangor.
III
Berkenaan penerimaan penyokong, saya tidak berminat untuk terlalu mengulas lanjut. Saya percaya, baik Ultras Selangor mahupun SSFC -- mahupun penyokong yang tidak terikat dengan mana-mana sepanduk – ada pandangan dan hujah masing-masing: untuk mempertahankan tindakan mereka yang mencaci atau memuji pemain dan pihak pengurusan FAS.
Tetapi, bagi saya, asasnya mudah: sebagai penyokong, kita perlu ada rasa hormat kepada pasukan dan pemain. Begitu juga pemain dan pegawai pasukan, mesti hormat pada penyokong dan kontrak yang telah ditandatangani pada awal musim.
Skuad 1998.
Skuad 2008.
Skuad 2013.
IV
Ini adalah lumrah dalam sukan bola sepak. Skuad yang mempunyai bintang tidak semestinya menang. Skuad yang menang itu – selain takdir – adalah atas dasar konsistensi, disiplin serta komitmen pemain yang tinggi. Selangor pernah mempunyai skuad hebat pada tahun 1992, 1993 dan 1994, yang tidak memenangi Piala Malaysia. Skuad 1995 yang dibarisi ramai pemain muda pula yang akhirnya mencipta sejarah manis, sebelum dilengkapi oleh skuad 1996 dan 1997. Ah, kenangan.
Tahun 1998 dan 2008 juga adalah dua tahun yang agak mengecewakan. Pada 1998, kita ada Azman Adnan, Zainal Abidin Hassan, Alexander Freeman, Shahril Arsat, Nazzab Hidzan, Jeff Hopkins, Asroff Hanafiah, Aizal Lamin, Rizal Hassan dan Abdul Hadi Tahir (sekadar menyebut beberapa nama). Adakah Selangor menang Piala Malaysia? Tidak.
Tahun 2008 pula, Selangor FA diperkuatkan oleh barisan bintang: Frank Seator (mendiang), Safee Sali, Elie Aiboy, Shukor Adan, Akmal Rizal Rakhli serta Indra Putra Mahyuddin (juga sekadar menyebut beberapa nama). Kita tewas dua perlawanan akhir. Dan, kita tidak menang Piala Malaysia.  
Menarik untuk dikongsi kata-kata sahabat saya, Bro Jabal Noor, tentang aksi skuad Malaysia era gelap 2000an dulu: “Ada kelapangan, turun je ke stadium. Kita memanglah nak menang, tapi yang penting, kita nak tengok cara permainan pasukan kita. Kalau bukan kita yang nak sokong, siapa lagi? Kalau menang, alhamdulillah… Kalau kalah, dah biasa dah…” 

Lagenda Selangor FA: Raja Bola Ghani Minhat, Supermokh dan Man Turn (Azman Adnan).
V
Sejelasnya, saya konsisten menyatakan bahawa istilah ‘Misi 33’ tidak seharusnya digunakan. Mana-mana pasukan bola sepak perlu memberi fokus kepada setiap perlawanan yang mereka hadapi – satu-persatu – kerana bola itu bulat, dan tidak sedikit tekanan yang perlu ditanggung pegawai dan pemain jika terpaksa dihambat kejuaraan silam. Seharusnya, fokus diberikan kepada prestasi semasa dan perancangan jangka panjang sedari awal musim lagi.
Saya percaya, harapan menggunung yang dihambur untuk memenangi Piala Malaysia untuk kali ke-33 ini bukan sahaja memberi tekanan kepada pemain dan pasukan, tetapi juga kepada peminat Selangor sendiri.
Skuad Selangor 2013 adalah skuad yang kuat, dibarisi ramai pemain kebangsaan yang berbakat. Kendati, tidak semua yang mempamerkan aksi sekomited Amri Yahyah dan Forkey Doe. Sedarlah semua, ini bukan pasukan ‘Raja Bola’ Ghani Minhat. Ini bukan skuad ‘SuperMokh’. Bukan juga yang dipertajamkan oleh ‘Man Turn’. Ini pasukan Selangor FA 2013.

Wajah-wajah yang penuh pengharapan. Sayu.
Misi Mengeteh: Tercapai.
Solidariti buat kesetiaan dan persaudaraan. Viva Mesir.
VI
Hadapilah cabaran dengan kenyataan, bukan hambatan kejayaan silam. Bak kata Steve Maraboli, seorang pengkaji tingkah laku manusia, “Learn from your history, but don’t live in it.” Belajarlah daripada sejarah kita, tetapi usah hidup di dalamnya. Memetik puisi nukilan Rendra, ‘Kita adalah kepribadian. Dan harga kita adalah kehormatan kita. Tolehlah lagi ke belakang. Ke masa silam yang tak seorang pun kuasa menghapusnya.’ Sokong jangan hanya ketika menang. Sokong; waktu gagah dan rebah. Hadirlah ke stadium setiap kali ada kelapangan dan kemampuan. Bersama buktikan sokongan buat Selangor Darul Ehsan. Solidariti buat kesetiaan dan persaudaraan.
Selamanya, Viva Selangor!
--------------------------------------------------------- 
Sumber dan rujukan:
  1. https://www.facebook.com/groups/285351638583/?fref=ts;
  2. www.thestar.com.my;
  3. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2013082806022420130828060224/Article/index_html.

2 ulasan:

  1. yang penting both sides kene give and take.. team Selangor give the best performance at every matches and supporters at least come to the stadium to support.. Supporters jugak kene give semangat and positif aura to the team and the team kene score la jugak no matter what..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terbaik. setuju, Wan.

      Terima kasih sudi baca blog aku.

      Padu. :)

      Padam