Jumaat, Ogos 04, 2017

ARDILES

Untuk rekod, hari ini merupakan ulang tahun ke-65, bekas pemenang Piala Dunia, legenda Argentina dan Tottenham HotspurOsvaldo Ardiles.
Imej di sebelah Ardiles itu, tidak lain dan tidak bukan, adalah bekas pemain bola sepak negara di era 1970an dan awal 1980an yang juga legenda Pulau Pinang, Shukor Salleh.
Si Ardiles ini lahir pada tahun 1952, sedang Shukor Salleh pula lahir lebih awal, sekitar tahun 1948.
Tengok pada raut wajah mereka berdua, memang saling tak tumpah ada mirip dan irasnya.
Malah gaya permainan mereka berdua juga hampir serupa. Sebab itu, dalam ruangan sukan akhbar tempatan pada era itu, Shukor Salleh ini digelar 'Ardiles Malaysia'.
Kalau orang Argentina dapat lihat aksi si Shukor Salleh pada ketika itu, barangkali lah Osvaldo Ardiles itu pula digelar 'Shukor Salleh Argentina'.
Shukor Salleh pernah dedah, kegagalan Malaysia melayakkan diri ke Piala Dunia 1978 antara detik paling pahit dalam kariernya. Menurut beliau, skuad Malaysia pada ketika itu rata-rata pemainnya sedang di puncah prestasi. Macam buah masak, ranum elok tinggal nak dituai.
Piala Dunia 1978, Sukan Olimpik 1980 (Malaysia layak namun boikot di kemudiannya) dan Piala Dunia 1982, menurut Shukor Salleh sepatutnya Malaysia beraksi apabila melihatkan kekuatan barisan skuad kebangsaan pada ketika itu.
Tahun 1977, skuad kebangsaan Malaysia ada tiga misi. Pertama harus layak ke Piala Dunia 1978 yang berlangsung di Argentina. Pusingan kelayakan diadakan sekitar bulan Mac 1977. Kedua adalah mempertahankan trofi Pestabola Merdeka yang dimenangi pada edisi 1976, di mana ianya dianjurkan sekitar bulan Julai 1977 dan ketiga adalah misi menebus kekecewaan sekadar pingat perak di Sukan SEA 1975, wajib menggondol emas di temasya Sukan SEA 1977 yang berlangsung di laman sendiri sekitar November 1977.
Dengan pasukan negeri, Pulau Pinang, Shukor Salleh menggalas cabarannya pasukannya dalam kancah saingan Piala Malaysia. Beliau bantu Pulau Pinang mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 1977, namun kecundang di tangan Singapura.
Tahun 1977 memang tahun yang sibuk buat Shukor Salleh.
Kelayakan Piala Dunia 1978, Malaysia sepatutnya boleh lepasi saingan kumpulan yang dihuni oleh Thailand, Hong Kong, Singapura dan Indonesia. Daripada empat perlawanan, Malaysia menang sekali 6-4 ke atas Thailand, seri dua perlawanan, 0-0 dengan Indonesia dan 1-1 dengan Hong Kong dan tewas 0-1 kepada Singapura. Kalau Malaysia lepasi saingan kumpulan ini, Malaysia perlu harungi pusingan akhir zon Asia untuk layak ke Argentina. Sayang sungguh, kalau tidak barangkali akan ada dua kelibat pemain seiras segaya, Shukor Salleh dan Osvaldo Ardiles di Piala Dunia 1978.
Pestabola Merdeka 1977, Malaysia gagal mempertahankan piala apabila sekadar menduduki tangga ketiga kumpulan. Korea Selatan juara edisi tahun tersebut, selepas mengalahkan Iraq menerusi gol tunggal Cha Bum-kun.
Sukan SEA 1977, kemuncaknya. Malaysia adalah tuan rumah.
Agaknya selepas dua misi terdahulu sebelum itu gagal dilunaskan, Shukor Salleh dan rakan-rakannya bersungguh-sungguh mahu butirkan kilauan emas dari temasya tersebut di hadapan penyokong sendiri. Pendek cerita, Malaysia meraih pingat emas selepas dua gol oleh Bakri Ibni dan Mokhtar Dahari sudah cukup buat skuad negara untuk membenam cabaran Thailand. Edisi Sukan SEA 1977, lebih diingati dengan amukan Mokhtar Dahari dalam perlawanan separuh akhir menentang Burma. Lepas geram Mokhtar Dahari apabila meledak LIMA gol daripada kemenangan 9-1 ke atas Burma.
Burma usai Sukan SEA 1977 itu, seakan merajuk lepas dibelasah Malaysia. Mereka tarik diri dari menyertai Pestabola Merdeka pada tahun berikutnya kerana tidak tahan menanggung malu dilunyaikan Shukor Salleh, Mokhtar Dahari dan rakan-rakan.
Dan tahun 1977 juga tahun bertuah buat Shukor Salleh apabila beliau diberi penghormatan meraih anugerah Olahragawan Negara 1977 atas sumbangan, jasa dan baktinya untuk skuad bola sepak Malaysia dan Pulau Pinang.
Dalam sejarah Anugerah Olahragawan Kebangsaan ada dua orang sahaja atlet dari sukan bola sepak yang pernah menang.
Pertama Mokhtar Dahari yang menang pada tahun 1976 dan kedua Shukor Salleh 'Ardiles Malaysia' pada tahun 1977.
Bukan calang-calang atlet boleh gapai pencapaian sebegitu.

Osvaldo Ardiles mahupun Shukor Salleh buktikan bahawasanya sukan bola sepak itu bukan berciri fizikal semata-mata. Sebelum orang-orang sekarang teruja lihat aksi David SilvaLionel MessiAndrés Iniesta atau lain-lain pemain bertubuh kecil yang selesa dengan kawalan bola, orang-orang dahulu dah tengok lebih awal aksi sebegitu, samada dari Osvaldo Ardiles di pentas dunia mahupun Shukor Salleh di area tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan