Khamis, Jun 02, 2016

Seputar Seminar Nasional Maqasid al-Shari’ah 2016, Shah Alam.

Logo Wadah Pencerdasan 
Umat (WADAH)
Logo 
Seputar Seminar Nasional Maqasid al-Shari’ah 2016,
Shah Alam.
28hb Mei 2016 (Sabtu): Baru-baru ini, Seminar Nasional Maqasid al-Shari’ah 2016 telah dianjurkan di Auditorium Teater Shah Alam. Seminar ini mengangkat tema “Maqasid al-Shari’ah dan Fiqh Demokrasi” dengan menampilkan pembentang dan pengucaptama; yang terdiri daripada tokoh ilmuan dan pengkaji Maqasid Shariah antarabangsa dan tanah air.
Seminar ini adalah kemuncak kepada beberapa Siri Bengkel Maqasid al-Shari’ah yang diadakan sejak 2015; yang dihadiri oleh pakar dan pengkaji tegar Maqasid al-Shari’ah yang sememangnya berautoriti membicarakan tajuk ini.
Bertepatan dengan realiti yang dihadapi pada hari ini, topik “Maqasid al-Shari’ah dan Fiqh Demokrasi” ini sememangnya sesuatu yang sangat penting dan perlu dibicarakan secara mendalam menerusi perbincangan ilmiah yang dipimpin dan dipandu oleh tokoh maqasid yang berautoriti.
Prof Dato’ Dr. Redzuan Othman, Timbalan Pengerusi IDE, menegaskan bahawa IDE serius ingin menjadikan Selangor sebagai hub ilmu dan rujukan Maqasid al-Shari’ah.
Sheikh Prof. Dr. Abdul Rahman al-Kailani (Pengerusi Rabitah Ulama Jordan serta pengarang banyak kitab dan makalah mengenai maqasid) menyampaikan Ucaptama Perdana bertajuk “Kedaulatan ILLAHI dan Permasalahan dalam Pelaksanaannya dari Perspektif Maqasid al-Shari’ah.” Sheikh Al-Kailani berkata, jalan Shariah itu luas, justeru jangan disempitkan. Kebebasan itu juga terangkum dalam Shariah. Hukum (peraturan) ALLAH SWT, menurut beliau, memandu masyarakat ke arah negara madani (sivil) yang bersumberkan Shariah. Keesokannya, beliau hadir ke Kolej dar al-Hikmah, Kajang untuk menghadiri Sidang Meja Bulat ‘Fiqh Kontemporari Bersama-sama NGO-NGO Islam. Beliau melihat pembinaan sistem sosial dan politik bukan cuma pada nama (atau jenama atau labelnya), tapi jauh lebih penting, pada makna, isi dan amalannya.
Dato’ Dr. Ustaz Siddiq Fadzil, Pengerusi Institut Darul Ehsan dan mantan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) serta bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), mengungkapkan, “Sampai bila bangsa Melayu mahu mengharap pada perlindungan hak bumiputera dalam Perlembagaan Persekutuan?” Beliau mengupas tajuk besar, “Maqasid al-Shari’ah Diratah Politik Demokrasi”.
Menurut Ustaz Siddiq – seorang tokoh ideologue yang tidak asing pada semua, sistem politik Islam selamanya bersifat dinamik dan luwes, sesuai dengan zaman yang berubah dan lingkungan yang berbeza. Yang tetap dan tidak berubah adalah prinsip dan nilai-nilai dasarnya. Bertolak dari premis tersebut, politik Islam dapat menerima unsur-unsur yang positif walau dari mana pun datangnya.
Yang penting, ia harus disesuaikan dengan syariat - prinsip, nilai dan maqasidnya. Seperkara yang perlu dicatat bahawa Maqasid Shariah harus selamanya terpadu dengan fiqh dan usulnya. Kesepaduan ini perlu dipertahankan agar Maqasid Shariah tidak dieksploitasi untuk menjustifikasikan maqasid dan masalih yang terpisah dari nas, dengan menjadikan akal semata-mata sebagai penentunya.
Ustaz Siddiq menekankan bahawa sebahagian intelektual sekularis yang ikut mewacanakan Maqasid al-Shari’ah, terkesan cuba mempromosikan maqasid yang terpisah dari Usul al-Fiqh, atau maqasid yang ditawarkan sebagai alternatif kepada Usul al-Fiqh. Pemikiran seperti itu dapat dikesan dalam tulisan Muhammad Arkoun dan mereka yang sealiran dengannya. (Imam, Muhammad Kamal al-din, 2011:10-11).  
Ramai kalangan cendekiawan Muslim masa kini yang merasakan bahawa politik adalah bidang yang sangat memerlukan pendekatan metodologi maqasidi, malah ada yang menyarankan pembinaan ilmu maqasid siyasi yang khusus, berbeza daripada ‘ilm al maqasid al-‘ammah.
Saranan ilmu khusus maqasid politik ini didasarkan kepada hujah bahawa fiqh tradisi dalam bidang politik terkesan kurang mendapat sentuhan maqasid; yang lebih terasa adalah penyerlahan realiti politik zaman penguasa yang memerintah dengan kekuatan tentera. (Al-Shatiwiy, Muhammad, 2014: 97-98). Kesimpulannya, Maqasid al-Shari’ah harus menjadi bingkai rujukan politik Islam masa kini.
Program kali ini menyaksikan pameran koleksi kitab dan buku mengenai Maqasid Shariah yang pertama kali seumpamanya diadakan; gerai jualan buku-buku mengenai Maqasid al-Shari’ah dan politikal Islam; serta persembahan qasidah oleh Kumpulan Al-Rayyan, Johan Qasidah Kebangsaan.
Antara Pembentang lain kertas kerja seminar ini ialah: Dr. Zaharuddin Abdul Rahman (Pengerusi MURSHID serta penulis kitab “Maqasid fi al-Buyu’”); Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar (Timbalan Pengarah INFAD USIM serta penulis kitab “Maqasid ‘inda Imam al-Shafii”); Prof. Ibrahim Zein (Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM); Prof Madya Dr. M. Tahir al-Misawi (Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM serta pakar maqasid dan penterjemah karya Ibn Ashur); serta YB Dr. Mujahid Yusof Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar).
Dalam seminar ini, turut diedarkan buku bertajuk “Maqasid Puasa: Hikmah dan Tujuan Pensyariatannya” terbitan IDE. Bersempena Ramadhan yang tidak lama lagi akan disambut oleh seluruh umat Islam, buku “Maqasid al-Siyam” ini semestinya antara naskhah yang perlu dimiliki. Semoga dengan memahami Maqasid Puasa ini, Ramadhan kali ini akan lebih bermakna dan lebih baik dari Ramadhan yang lalu, in sya ALLAH.
------------------------------------------
Sumber dan Rujukan:
  1. http://wadahutara.blogspot.my/2016/05/ahmad-azam-navigating-times-islam-and.html;
  2. http://wadahutara.blogspot.my/2016/05/maqasid-al-shariah-aktualisasinya-di.html;
  3. https://www.facebook.com/nur.udzir/posts/10209806878353522;
  4. https://www.facebook.com/wadahpencerdasan.umat/posts/1102669456474751;
  5. https://www.youtube.com/watch?v=aVjGSt3XfYA#t=16;
  6. https://www.facebook.com/abdwahid.abdrazak/posts/1044416545594726.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan