Khamis, Jun 02, 2016

Kota Kinabalu: Sekilas Seminar Antarabangsa Islam dan Keadilan Sejagat.

Logo Wadah Pencerdasan 
Umat (WADAH)
Logo 
Kota Kinabalu: Sekilas Seminar Antarabangsa 
Islam dan Keadilan Sejagat.
29hb Mei 2016 (Sabtu): Alhamdulillah, satu program besar telah berlangsung dengan jayanya di Bumi Di Bawah Bayu, Sabah. Dijalankan di Promenade Hotel, Kota Kinabalu, “International Seminar: Islam and Global Peace” berlangsung hasil usahasama strategik Kerajaan Negeri Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), The Union of NGOs of the Islamic World Malaysia (UNIW), Sabah Islamic Future Network (SIFN) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS) dengan kerjasama JAKIM, Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Abim Sabah dan beberapa NGO Negeri Sabah yang lain
Presiden WADAH, Tuan Haji Ahmad Azam Ab Rahman turut hadir selaku Timbalan Setiausaha Agung UNIW disertai oleh delegasi NGO dari Turki, Kemboja, Sri Lanka dan ramai lagi.
Diskusi berlegar seputar isu berkaitan keluarga, undang-undang kekeluargaan, perancangan untuk perlembagaan keluarga, masalah yang dihadapi oleh negara-negara Islam, bantuan kemanusiaan dan lain-lain.
Bagi memahami situasi dunia hari ini, kita mesti melihat kembali kepada latar belakang sejarah secara objektif serta perspektif yang seimbang. Hal ini adalah cabaran kepada kita semua. Jatuh-bangun mana-mana peradaban bergantung kepada nilai-nilai tatakelola yang baik; keadilan; keamanan dan keharmonian, tanpa mengira bangsa dan agama.
Tuan Haji Ahmad Azam menekankan bahawa kegemilangan sejarah Islam selalunya digambarkan menerusi komitmen kerohanian orang Islam kepada ajaran Al-Quran; sementara kejatuhannya pula, dikaitkan dengan kegagalan untuk menuruti arahan dan tegahan yang terkandung dalam Kitab Suci tersebut. Ingatlah; bahawa sejarah pasti berulang.  
Tambahan, beliau menyatakan bahawa masalah utama kepada dunia Islam hari ini ialah kekurangan kualiti dalam golongan pemimpin dan ulama’ Islam. Masyarakat kita akan menjadi lebih tercerah dan sedar; jika pemimpinnya – dengan sokongan ulama’ yang kompeten dan berkelayakan; memimpin dengan adil dan berkemampuan. Ulama’ yang mampu menegakkan martabat Islam tanpa takut dan ragu – ke arah standard yang paling tinggi: al-Islam ya’lu wa la yu’la alaih.
Antara peserta yang hadir di dalam seminat ini adalah dari Malaysia, Turki, Arab Saudi, Afrika Selatan, Sudan, Sepanyol, Kenya, Lubnan, Indonesia, Kemboja, Bangladesh, Kazakhstan, Syria, Yaman, Afghanistan, Filipina, Britain, Palestin, Pakistan, dan Greece.
Barisan pimpinan Abim Sabah dan Abim Pusat turut bersama YB Datuk Hj Tawfiq Titingan, Menteri Belia dan Sukan Sabah, yang telah menaja Majlis Makan Malam Sempena Seminar Antarabangsa Islam dan Keamanan Sejagat bersama delegasi luar negara antaranya dari Turki, Sepanyol, Syria, Pakistan, Filipina, Indonesia dan lain-lain. 
Sementelah, para delegasi dijamu dengan jamuan makan malam yang dihoskan oleh MUIS. Para delegasi turut diajarkan teknik penggunaan penyepit (chopstick). Inilah kelebihan kita di rantau Nusantara; tempat bertemunya dua tamadun besar, iaitu tamadun Cina dan India.
Para delegasi turut mengambil peluang untuk bertagal ikan di Kampung Luanti Baru, Ranau. Tempat yang terletak 131km dari Kota Kinabalu ini, menempatkan ribuan ikan kelah yang jinak dalam air yang jernih.
‘Tagal’ berasal dari Bahasa Kadazandusun serta merupakan satu sistem pemulihan dan penjagaan ekosistem sungai. Pencemaran dan penangkapan hidupan air di sungai ini adalah dilarang sama sekali.
Turut diselitkan; siri ceramah Malaysian Life Line for Syria (agensi kemanusiaan Syria di atas inisiatif ABIM) di masjid-masjid sekitar Sabah: Putatan, Likas dan Telipuk, bagi memberi pencerahan terkini berkenaan krisis kemanusiaan serta konflik di Syria.
Demikianlah, indahnya hidup dalam keluarga besar dalam Jamaah WADAH-ABIM-PKPIM. Banyak yang kita boleh pelajari dan manfaatkan antaranya ukhuwah, jaringan serta berkongsi kemahiran dan ilmu. Syukur.
------------------------------------------
Sumber dan Rujukan:
  1. http://wadahutara.blogspot.my/2016/05/ahmad-azam-navigating-times-islam-and.html;
  2. http://wadahutara.blogspot.my/2016/05/maqasid-al-shariah-aktualisasinya-di.html;
  3. https://www.facebook.com/nur.udzir/posts/10209806878353522;
  4. https://www.facebook.com/wadahpencerdasan.umat/posts/1102669456474751;
  5. https://www.facebook.com/abdwahid.abdrazak/posts/1044416545594726.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan