Khamis, Februari 27, 2014

Zaman ini akhir zaman.

“Zaman ini akhir zaman. Zaman iman setipis kulit bawang. Sungguh, hidup kita ini umpama persingggahan sementara saja. Justeru, berbaktilah kepada sesama manusia. Redha ALLAH itu penting.” 
– Big Boh Jabal Noor, sahabat dan mentor.

.

Diskusi Dialog Antara Agama di Malaysia bersama Dr Arfah binti Ab. Majid dan ABIM.

Logo Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Bergambar kenangan bersama Saudara
Mohamad Raimi Ab Rahim, Naib Presiden
ABIM. Seorang pemimpin dan sahabat
yang budiman.
10hb Mei 2013: Presiden ABIM, Cikgu Haji
Amidi Abdul Manan (no. 3 dari kanan) bersama
pimpinan FGIS yang bersepakat untuk memupuk
persefahaman antara agama
demi keharmonian. 
Diskusi Dialog Antara Agama di Malaysia bersama Dr Arfah binti Ab. Majid dan ABIM.
Selain dikenali sebagai sebuah negara membangun yang kaya dengan destinasi pelancongan yang indah, Malaysia juga terkenal dengan kepelbagaian dari segi budaya, kaum dan agama. Kendatipun, konflik ekonomi dan politik telah mengheret isu agama sehingga menimbulkan beberapa isu kontroversi; seterusnya menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan perpaduan.
Menyedari akan situasi ini, pada 26hb Februari 2014 sekitar jam 9 malam, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menganjurkan satu program diskusi di Balai Rakyat yang terletak di kediaman Datuk Dr Siddiq Fadzil. ABIM telah menjemput Dr Arfah binti Ab. Majid, seorang Pensyarah Kanan dari Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk program ini dengan tajuk ‘Dialog Antara Agama di Malaysia: Ke Arah Perlaksanaan yang Dinamik dan Berkesan’.
Dr Wan Arfah menekankan soal perlunya kita meraikan keperlbagaian dalam bingkai perpaduan. Di Malaysia, kita perlu mengakui bahawa usaha untuk memantapkan kefahaman antara sesuatu agama lain adalah kurang. Sikap prejudis, menurut Dr Wan Arfah, menjadi antara penyebab kepada kurangnya kefahaman dan usaha tersebut.
Dalam pembentangannya, Dr Wan Arfah menegaskan bahawa interaksi dan kontak (interaction and contact) adalah sangat penting dalam mengurangkan jurang prejudis dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama. Islam merupakan sebuah agama yang menuntut umatnya untuk berkomunikasi dengan cemerlang. Ia mendidik manusia supaya menjaga segala adab dan tertib dalam berkomunikasi. Hal yang demikian, dialog memainkan peranan yang signifikan dalam mendorong keharmonian dalam masyarakat.
Bagaimanapun, menurut Dr Wan Arfah, sesuatu program perlu dijalankan mengikut peringkat, peraturan, format dan reka bentuk yang bersesuaian dengan khalayak dan peserta yang terlibat dengan dialog tersebut. Hal ini menunjukkan betapa perlunya garis panduan dibuat bagi merealisasikan budaya dialog yang subur dalam kalangan rakyat Malaysia.
Dr Wan Arfah menyimpulkan bahawa kefahaman yang lebih baik berkenaan sesuatu agama itu akan dapat dicapai menerusi ilmu dan penjelasan yang bersungguh tetapi berhikmah. Kaedah ini dianjurkan oleh Islam khususnya, di mana dakwah yang disampaikan secara harmonis dan berhikmah dilihat mudah sampai kepada masyarakat, khususnya yang belum memeluk Islam.   
Untuk rekod, ABIM merupakan anggota Kumpulan Persahabatan Khidmat Antara Agama (FGIS). FGIS atau nama penuhnya ‘Friendship Group for Inter Religious Service’ (FGIS) diasaskan sekitar 12 tahun yang lalu dan telah menganjurkan banyak program bersama pelbagai agama bagi mengeratkan hubungan dan menyemai perpaduan dalam kalangan rakyat di Malaysia. 
Selain ABIM, kumpulan itu turut dianggotai oleh beberapa pimpinan Pertubuhan Bukan Kerajaan atau NGO tempatan, antaranya Penasihat FGIS, Datuk J.Jegathesan; Presiden Majlis Pusat Sathya Sai Baba Malaysia, Profesor Dr Suresh Govind; Naib Presiden Majlis Pusat Sathya Sai Baba Malaysia, Billy Fong; Presiden Majlis Gereja Malaysia, Cor Episcopa Philip Thomas dan Naib Presiden Majlis Gurdwara Malaysia, V.Harcharan Singh.
Seperti yang kita sedia maklum, Islam mengajarkan perdamaian dan saling mengenal antara sesama manusia, dan tidak menganjurkan permusuhan abadi. Hal yang demikian, setiap anggota masyarakat bertanggungjawab untuk bersikap dan berfikiran matang demi memberdayakan martabat negara bangsa yang rukun dalam beragama.
Rakyat terbanyak mesti memahami makna sebenar perpaduan dan kesefahaman jitu sesama anggota masyarakat. Sikap saling hormat-menghormati dan bertolak-ansur perlu lebih disemai untuk menghindarkan prejudis.  Hanya menerusi persefahaman dan toleransilah, perpaduan dapat dicapai dalam erti kata yang sebenar.
Semoga banyak manfaatnya program diskusi ini, untuk kemaslahatan bersama. Jumpa lagi dalam program diskusi yang seterusnya. Bersama menegakkan kebenaran dan memperjuang keadilan. Hidup Malaysia kita. Padu.


“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”.
.

Rabu, Februari 26, 2014

Booth KJK di Stadium Malawati pada 15hb Mac 2014 ini.


Bro Pika Ernesto. Gaya ada jiwa.
Gerai Kempen Memartabatkan Jersi di i-City pada 2012. 
Turut kelihatan, lagenda seperti K. Gunalan
dan Anuar Abu Bakar.


Kelab Jersi Kita, diasaskan dengan matlamat 
untuk menyuburkan minat rakyat Malaysia terhadap 
koleksi jersi bolasepak pasukan/kelab tempatan.
Salam.
Kepada semua sahabat budiman yang berkelapangan, sila kunjungi ‘booth’ pameran dan jualan Kelab Jersi Kita (KJK) di Stadium Malawati, Shah Alam pada 15hb Mac 2014 (Sabtu) ini.
Booth ini dibuka bersempena ‘Program Pidato Keamanan dan Pelancaran Kempen #SYRIANEEDSYOU’ yang dianjurkan oleh ‘Malaysia Life Line for Syria’ (MLLFS).
Berikut adalah beberapa aktiviti yang sedang dirancang sepanjang hari dari pagi sehingga program kemuncak pidato keamanan pada waktu malam: Pidato keamanan, ‘flash mob’, gerai jualan dan pameran, derma darah, pameran autoshow (motor dan kereta), ‘hi-tea’ dan lelongan barang oleh artis-artis Usrah Fitrah, persembahan pentomen, aktiviti ‘Kids for Syria’, makan tengahari amal bersama anak-anak yatim dan anak-anak Syria, program basuh kereta amal dan banyak lagi aktiviti-aktiviti lain. 
Sekadar makluman, MLLFS merupakan sebuah badan gabungan yang menaungi 8 buah NGO dengan matlamat menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Syria yang memerlukan. Dilancarkan pada November 2012, misi MLLFS kali pertama telah berjaya dijalankan pada 27hb November hingga 3hb Disember 2012.
Misi yang diketuai oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan disertai oleh beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) lain seperti Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Gabungan Selamatkan Syria (GSS), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Pertubuhan Sinar Damsyik (PERSIDAM), Syrian Youth Assembly in Malaysia (SYAM) dan Malaysia Social Media Foundation (MSMF) telah menghantar bantuan bernilai RM400,000 kepada rakyat Syria di kawasan Atmeh, Idlib.
Antara jersi yang dipamerkan di ‘booth’ KJK ialah jersi nadir (rare) pasukan-pasukan liga bola sepak Malaysia dari era Semi-Pro sehinggalah sekarang.
Bersama kita martabatkan jersi serta liga tempatan kita. Padu!
Sebar-sebarkan. Terima kasih.
.

Isnin, Februari 24, 2014

Kuaci Fans: Sedikit tentang kuaci dan lalang.

Oleh: Saudara Jabal Noor (Pengumpul jersi tegar serta pemerhati Liga-M)
Kuaci fans? Tak tegar? Penyokong lalang?
Mungkin ramai terlupa atau buat-buat lupa atau tak tahu langsung: sebelum wujudnya ‘penyokong yang sangat tegar’ dewasa ini, ‘kuaci fans’ inilah yang datang menghabiskan duit untuk turun ke stadium, menghabiskan duit membeli kuaci, burger, air (yang tak manis) semata-mata untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di samping menyokong bisnes kecil-kecilan geng-geng peniaga kita.
Dan, ‘kuaci fans’ masih ada dan akan tetap ada sampai bila-bila. ‘Penyokong yang sangat tegar’ mungkin boleh berubah bila hati kerap kecewa; jika pasukan yang disokong gagal menunjukkan perubahan. Pendek kata, hormatilah ‘kuaci fans’. Bersama martabatkan jersi serta liga tempatan kita. Padu.
.


2014: Pertemuan Delegasi ABIM bersama beberapa pemimpin kerajaan.


I
Pada 23hb Januari 2014 lepas, delegasi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Belia dan Sukan, YB Encik Khairy Jamaluddin. Delegasi ABIM ini yang diketuai oleh Presiden, Cikgu Haji Amidi Abdul Manan, banyak membicarakan mengenai situasi semasa sosio ekonomi dalam kalangan generasi muda. Antara perkara yang dibincangkan adalah cadangan untuk mengadakan syarahan umum belia persis ketika Tan Sri Muhyiddin menjadi Menteri Belia dan Sukan yang menganjurkan syarahan bersama Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi. Kali ini, ABIM mencadangkan satu program syarahan bersama anak murid Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawiiaitu Dr. Jasser Auda bertajuk ‘Maqasid for Youth’ untuk mencerahkan belia Islam akan kerahmatan dan keluasan Islam. Program ini seharusnya disambut baik demi menyuburkan budaya ilmu dan pemikiran tinggi, in sya ALLAH. 


II
Pada 14hb Februari 2014 pula, Presiden ABIM, Cikgu Haji Amidi Abdul Manan, bertemu dengan Yang Berhormat, Dato’ Haji Irmohizam Ibrahim, Ahli Parlimen Kuala Selangor. YB Dato’ Haji Irmohizam juga merupakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Presiden Majlis Belia Selangor. Perbincangan banyak meneroka serta melihat dakwah dalam bentuk yang praktikal dan bermanfaat untuk ummat. Hal ini bersesuaian dengan pendekatan ABIM yang menekankan ‘gerak tindak yang berkesan dan bukannya retorik yang berlebihan’. 

III
Sementelahan, pada 18hb Februari 2014, delegasi WADAH-ABIM-PKPIM telah berkunjung ke Pejabat Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya untuk sesi penyerahan memorandum dan diskusi ‘Pernyataan Keprihatinan Terhadap Orientasi Pendidikan Negara dalam isu Pemansuhan UPSR-PMR’ oleh PKPIM-ABIM-WADAH. Alhamdulillah.

“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”.
.