Khamis, Februari 27, 2014

Diskusi Dialog Antara Agama di Malaysia bersama Dr Arfah binti Ab. Majid dan ABIM.

Logo Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Bergambar kenangan bersama Saudara
Mohamad Raimi Ab Rahim, Naib Presiden
ABIM. Seorang pemimpin dan sahabat
yang budiman.
10hb Mei 2013: Presiden ABIM, Cikgu Haji
Amidi Abdul Manan (no. 3 dari kanan) bersama
pimpinan FGIS yang bersepakat untuk memupuk
persefahaman antara agama
demi keharmonian. 
Diskusi Dialog Antara Agama di Malaysia bersama Dr Arfah binti Ab. Majid dan ABIM.
Selain dikenali sebagai sebuah negara membangun yang kaya dengan destinasi pelancongan yang indah, Malaysia juga terkenal dengan kepelbagaian dari segi budaya, kaum dan agama. Kendatipun, konflik ekonomi dan politik telah mengheret isu agama sehingga menimbulkan beberapa isu kontroversi; seterusnya menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan perpaduan.
Menyedari akan situasi ini, pada 26hb Februari 2014 sekitar jam 9 malam, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menganjurkan satu program diskusi di Balai Rakyat yang terletak di kediaman Datuk Dr Siddiq Fadzil. ABIM telah menjemput Dr Arfah binti Ab. Majid, seorang Pensyarah Kanan dari Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk program ini dengan tajuk ‘Dialog Antara Agama di Malaysia: Ke Arah Perlaksanaan yang Dinamik dan Berkesan’.
Dr Wan Arfah menekankan soal perlunya kita meraikan keperlbagaian dalam bingkai perpaduan. Di Malaysia, kita perlu mengakui bahawa usaha untuk memantapkan kefahaman antara sesuatu agama lain adalah kurang. Sikap prejudis, menurut Dr Wan Arfah, menjadi antara penyebab kepada kurangnya kefahaman dan usaha tersebut.
Dalam pembentangannya, Dr Wan Arfah menegaskan bahawa interaksi dan kontak (interaction and contact) adalah sangat penting dalam mengurangkan jurang prejudis dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama. Islam merupakan sebuah agama yang menuntut umatnya untuk berkomunikasi dengan cemerlang. Ia mendidik manusia supaya menjaga segala adab dan tertib dalam berkomunikasi. Hal yang demikian, dialog memainkan peranan yang signifikan dalam mendorong keharmonian dalam masyarakat.
Bagaimanapun, menurut Dr Wan Arfah, sesuatu program perlu dijalankan mengikut peringkat, peraturan, format dan reka bentuk yang bersesuaian dengan khalayak dan peserta yang terlibat dengan dialog tersebut. Hal ini menunjukkan betapa perlunya garis panduan dibuat bagi merealisasikan budaya dialog yang subur dalam kalangan rakyat Malaysia.
Dr Wan Arfah menyimpulkan bahawa kefahaman yang lebih baik berkenaan sesuatu agama itu akan dapat dicapai menerusi ilmu dan penjelasan yang bersungguh tetapi berhikmah. Kaedah ini dianjurkan oleh Islam khususnya, di mana dakwah yang disampaikan secara harmonis dan berhikmah dilihat mudah sampai kepada masyarakat, khususnya yang belum memeluk Islam.   
Untuk rekod, ABIM merupakan anggota Kumpulan Persahabatan Khidmat Antara Agama (FGIS). FGIS atau nama penuhnya ‘Friendship Group for Inter Religious Service’ (FGIS) diasaskan sekitar 12 tahun yang lalu dan telah menganjurkan banyak program bersama pelbagai agama bagi mengeratkan hubungan dan menyemai perpaduan dalam kalangan rakyat di Malaysia. 
Selain ABIM, kumpulan itu turut dianggotai oleh beberapa pimpinan Pertubuhan Bukan Kerajaan atau NGO tempatan, antaranya Penasihat FGIS, Datuk J.Jegathesan; Presiden Majlis Pusat Sathya Sai Baba Malaysia, Profesor Dr Suresh Govind; Naib Presiden Majlis Pusat Sathya Sai Baba Malaysia, Billy Fong; Presiden Majlis Gereja Malaysia, Cor Episcopa Philip Thomas dan Naib Presiden Majlis Gurdwara Malaysia, V.Harcharan Singh.
Seperti yang kita sedia maklum, Islam mengajarkan perdamaian dan saling mengenal antara sesama manusia, dan tidak menganjurkan permusuhan abadi. Hal yang demikian, setiap anggota masyarakat bertanggungjawab untuk bersikap dan berfikiran matang demi memberdayakan martabat negara bangsa yang rukun dalam beragama.
Rakyat terbanyak mesti memahami makna sebenar perpaduan dan kesefahaman jitu sesama anggota masyarakat. Sikap saling hormat-menghormati dan bertolak-ansur perlu lebih disemai untuk menghindarkan prejudis.  Hanya menerusi persefahaman dan toleransilah, perpaduan dapat dicapai dalam erti kata yang sebenar.
Semoga banyak manfaatnya program diskusi ini, untuk kemaslahatan bersama. Jumpa lagi dalam program diskusi yang seterusnya. Bersama menegakkan kebenaran dan memperjuang keadilan. Hidup Malaysia kita. Padu.


“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan