Sabtu, November 23, 2013

Selangor lawan Kedah (1994): SSA dibanjiri 80,000 penyokong fanatik.



Saat gemilang skuad Singa. Kini, kekosongan 
skuad ini dalam saingan bola sepak
 Malaysia, diisi oleh Lions XII.
1994, Aksi terakhir pasukan Singapura dalam 
kancah bolasepak Malaysia. Singapura menjuarai 
Piala Malaysia pada tahun ini 
dan buat kali terakhir
Azman Adnan dan Zolst Bucs tidak dapat 
menahan kekecewaan selepas tewas pada 
peringkat Separuh Akhir 
kepada Singapura.
Selangor lawan Kedah (1994): SSA dibanjiri penyokong fanatik.
Malam epik 2hb Disember 1994. Sesiapa yang berada di SSA (SSA) pada tanggal tersebut pasti tidak akan percaya bahawa ianya hanyalah perlawanan penentuan ke Separuh Akhir Piala Malaysia.
Buat pertama kali sejak perasmiannya, Stadium Shah Alam (SSA) merasai gegak-gempita akibat dilimpahi lebih dari 80,000 penyokong bolasepak yang membanjiri SSA; bagaikan ianya pertembungan perlawanan akhir. Semua pecinta sukan bola sepak berkumpul di SSA yang bernilai RM460 Juta, untuk megembalikan memori indah Piala Malaysia.
Hal ini memandangkan jumlah kehadiran penonton pada malam tersebut mencecah 80,000 orang, menghampiri jumlah maksimum kapasiti SSA iaitu 81,000 orang. Suasana penuh meriah ini ditambah dengan aksi dramatik kedua-dua pasukan.
Seolah-olah sebuah perlawanan akhir, kesesakan jalan raya yang teruk berlaku sepanjang 2 kilometer menuju SSA. Lebih seribu orang penonton terpaksa berpuas hati menunggu di luar stadium kerana kehabisan tiket.
Sedari wisel mula dibunyikan oleh pengadil lagenda, Nazri Abdullah, Kedah FA berjaya menguasai Separuh Masa Pertama dengan aksi penuh bersemangat, ditunjangi oleh pemain utama mereka, Nidzam Adzha Yusoff. Pertahanan Selangor, Asroff Hanafiah dan penjaga gol, Hassan Miskam, terpaksa bekerja keras bagi mengekang asakan Nidzam daripada membolosi gawang Merah-Kuning.
Meskipun penyokong Selangor melangkau jumlah 70,000 orang, ini tidak menggentarkan anggota skuad Kenari untuk terus memberikan tekanan dan asakan kepada pasukan tuan rumah – kendalian Ken Worden - itu. Skuad Hijau-Kuning berjaya mengawal permainan dengan aksi pantas dan penguasaan bola yang baik.
Pada minit ke-44, perancang utama Selangor FA, Malek Rahman telah dilayangkan kad kuning kerana mengasari pemain Kedah. Sebelum itu, Zsolt Bucs telah dilayangkan kad kuning pada minit ke-35, sebelum Faridzuan Che Hamid menerima nasib yang sama pada minit ke-54.
Jurulatih Selangor, Ken Worden telah menggantikan Anuar Abu Bakar dan Yeo Swee Hock dengan Rusdi Suparman serta Paul Raj.
Kedah berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-51, apabila Jan Janostak, antara penjaring terbanyak ketika itu, berjaya memperdaya pertahanan Merah-Kuning yang ketika itu berada dalam situasi kelam-kabut seterusnya menjaringkan satu gol cantik untuk memperdayakan Hassan Miskam.
Ini adalah kekalahan kedua Selangor kepada Kedah pada musim 1994, selepas tewas 1-2 kepada skuad Kenari dalam saingan liga pada 24hb Mei 1994.
Secara keseluruhan, Selangor mencatat 2 percubaan yang menepati sasaran; 12 sepakan percuma; 6 sepakan sudut dan 3 kesalahan ‘off-side’. Sementelah, Kedah melakukan 5 percubaan yang menepati sasaran; 8 sepakan percuma; 8 sepakan sudut dan 2 kesalahan ‘off-side’.
Meskipun tewas, Selangor tetap layak ke Separuh Akhir bersama Kedah, berdasarkan kutipan mata. Pada peringkat seterusnya, Selangor berdepan cabaran Singapura, manakala Kedah menentang skuad Pahang.
Ternyata, perlawanan yang bermutu dan keghairahan penonton yang tidak kunjung padam mampu mendorong puluhan ribu penyokong untuk berkumpul di SSA, satu angka yang tidak pernah difikirkan. Setelah saban tahun kita menjangka gema 45,000 penonton Stadium Merdeka sebagai gema keramat, malam itu SSA menjadi saksi kemeriahan bola sepak Malaysia era 90an. 
Demikianlah, sejarah indah bola sepak Malaysia satu masa lalu -- hampir 20 tahun yang lalu.
  • Selangor FA: Hassan Miskam; Azman Adnan; Rusdi Suparman; Asroff Hanafiah; Anuar Abu Bakar; Malek Rahman; Paul Raj; Yeo Swee Hock; Shahril Arsat; Ismail Ibrahim; K. Ravichandran; Zsolt Bucs; dan Dimitre Kalkanov.
  • Kedah FA: Ahmad Sobri Ismail; Jan Janostak; Faridzuan Che Hamid; S. Thanasegar; Nidzam Adzha; Radhi Mat Din; farouk Ismail; Feridza Ismail; Lee Thean Ewe; Lee Kin Hongl Manja man dan Khamal Idris Ali. 
  • Pengadil: Nazri Abdullah (Pulau Pinang).

---------------------------------------------------
Sumber dan rujukan:
  1. http://myccbest.blogspot.com/2009/10/separuh-akhir-piala-malaysia-dari-1988.html;
  2. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/03/kejohanan-jemputan-mitsubishi-shah-alam.html;
  3. Akhbar Berita Harian;
  4. Akhbar NST;
  5. Majalah Arena Bola Sepak;
  6. https://www.facebook.com/mhazriqfahimy.abdullah?fref=ts. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan