Jumaat, Disember 29, 2017

Kartunis Aie Sulong, dan nostalgia anak-anak 90an.


Saya tidak banyak kenangan dengan kartunis legenda tanah air, Abg Aie Sulong​.
Kami hanya pernah bersua muka sekali, iaitu pada 2013, berhampiran pejabat beliau di Ampang.
Sebagaimana teruja nya saya dapat bertemu idola ketika kecil seperti Abg Azman Adnan​ dan lain-lain tokoh, demikian jugalah rasa bahagia bila dapat berbual semeja dengan Abg Aie.
Beliau tidak mengenali saya, malah tidak pernah membaca blog saya.
Hanya bermodalkan ayat 'teringin nak jumpa' dan 'title' seorang peminat, beliau menerima pelawaan saya dengan senang dan ceria;
"Inche Che Din! Saya kat Ampang, bebila ke mari tepon je, ada rezeki kita jumpa. Sebelah malam lepas kul semilan, cun."
Beliau tidak kenal siapa saya, tetapi malam itu, tetap melayan saya berbual panjang -- dari jam 9:30 malam sampai 5 pagi.
Dulu setiap kali ada perlawanan membabitkan skuad kebangsaan, beliau akan menghantar sms kepada saya, "Che Din, lama benor kita tak nyembang. Good luck untuk Harimau Malaya! Wokeh Che Din, kem salam suma2!"
Saya tidak rapat dengan beliau, tapi saya yakin dan percaya, beliau seorang yang sangat budiman dan baik hati.
Jasanya bukan sedikit, kepada dunia komik dan zaman kanak-kanak serta remaja kita.
Dari ABe, Aku Hidup dalam Blues, Blues Untuk Aku, Aku dan Sesuatu serta pelbagai lagi karya besarnya, tersemat padu dalam ingatan-nostalgia kita semua.
Beliau mungkin sudah lupa akan saya (kerana peminat dan pengikutnya yang sangat ramai), namun saya mohon jasa baik para sahabat yang budiman sekalian;
Bersamalah kita doakan kesejahteraan serta kesembuhan beliau, dipermudahkan segala urusan-rezeki dan kehidupan.
Amin dan in sya ALLAH.
.
.
.
Che Din,
Peminat Karya Kartunis Aie Sulong.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan