Jumaat, Disember 29, 2017

‘Flyover’ Bandar Saujana Putra: Sebuah Penantian Panjang.


‘Flyover’ Bandar Saujana Putra: Sebuah Penantian Panjang.
Dilancarkan pada 2003, Bandar Saujana Putra (BSP) dahulunya dibangunkan dengan pembinaan rumah kedai dan kediaman kos rendah serta sederhana. Ia semakin berkembang sejak tahun 2009-2010, dengan pembinaan projek pelbagai fasa rumah dua tingkat, Saujana Business Park dan Saujana Putra Avenue. Pada 2012-2014, Royal Ivory 2; Royal Garden; Saujana Putra Skypark; dan BSP21 pula dibina.
Ketika fasa awal para penghuni menduduki rumah di BSP sekitar 2004, tidak terdapat sebarang tol, kedai atau infrastuktur lain. Para penduduk perlu melalui Jalan Taman Mas, Sepang.
Meskipun asalnya dikenali sebagai tempat ‘jin bertendang’ dek kerana jauhnya BSP ketika awal pembangunannya; penting untuk disebut di sini bahawa sejak awal promosinya (2003-2004) kepada para pembeli, memang sudah diletakkan grafik laluan bertingkat (flyover) pada setiap brosur dan penernagan daripada ejen penjual, kepada pembeli yang berpotensi. Malah, dalam pelan D.O yang dikongsi dalam beberapa laman sosial, ‘flyover’ memang sudah ada dalam perancangan.
Malangnya, bukan sahaja ‘flyover’ masih belum dibina sehingga tarikh artikel ini ditulis (Disember 2017), BSP masih belum mempunyai masjid, sekolah rendah dan hanya mempunyai satu jalan utama dari arah SP4 menuju ke arah bulatan BSP.
Apalagi dengan adanya Universiti MAHSA dan beberapa projek blok perumahan bertingkat yang banyak, jumlah akses jalan yang terhad membuatkan puluhan ribu penduduk BSP rasa agak terhimpit dan tersepit: oleh kesesakan dan kualiti jalan yang menyedihkan.
Ramai penduduk BSP yang sangat mengharapkan agar ‘flyover’ tersebut akan menjadi kenyataan dalam masa yang terdekat, memandangkan ujikaji penggunaan lampu isyarat di bulatan BSP kelihatan agak gagal, dan sekadar memburukkan lagi kesesakan sedia ada.   
Selain itu, ada juga cadangan bahawa ‘flyover’ ini akan dijadikan sebagai jalan alternatif (tanpa bayaran tol), menuju ke kawasan bandar yang baru iaitu Rimbayu, Tropicana Aman, Ecoworld untuk pusing masuk ke Kota Kemuning, Shah Alam.
Ada yang mengesyorkan agar dibuka satu laluan keluar-masuk bertol dari jalan tepi hutan (SP6 dan SP7) yang sedia ada ke Lebuh Raya Elite.
Ada juga cadangan supaya longkang tepi menghala masuk ke Kuwait Finance ditambun atau ditambak, bagi membolehkan adanya susur masuk ke BSP dari tol Elite. Ini mungkin boleh mengurangkan sedikit kesesakan, khususnya ketika waktu puncak para penduduk yang pulang dari tempat kerja.
Terdapat juga cadangan agar dihadkan masa untuk kenderaan berat melalui jalan yang menghubungkan antara Tol SKVE-Elite, khususnya pada waktu puncak.
Sejelasnya, para penghuni BSP sangat memerlukan laluan lain, memandangkan satu laluan keluar-masuk ke BSP memang merupakan penganiayaan buat para pembeli atau penyewa.
Tol BSP dari/menuju Lebuh Raya SKVE-Elite mengalami kesesakan yang teruk setiap kali waktu puncak, khususnya ketika pagi dan petang pada hari bekerja, dan pada bulan Ramadhan menjadi semakin meruncing, bila mana ramai yang pulang awal untuk menyiapkan atau membeli juadah berbuka untuk keluarga.
Para ibu bapa dan anak-anak terpaksa berkejar-kejar setiap pagi dan petang untuk menghantar dan mengambil anak-anak dari tempat pengasuh atau sekolah mereka.
Disebabkan kepadatan penduduk dan bilangan pengguna kenderaan yang begitu banyak telah menyebabkan satu-satunya jalan utama keluar-masuk ke arah Bulatan BSP, menjadi ‘bottleneck’, di mana para penduduk terpaksa menunggu lama dan berbaris panjang untuk menuju ke destinasi seperti tempat kerja mahupun rumah sendiri.
Ramai penduduk BSP yang merasa tertekan kerana perlu berhimpit dan bersesak, selain terkejar-kejar setiap kali keluar atau pulang mencari rezeki. Tak kiralah siapa yang perlu bertanggungjawab: Ahli Parlimen Kuala Langat; ADUN Telok Datok; Majlis Daerah Kuala Langat; pihak pemaju (LBS) atau sesiapa pun, pastinya para penduduk BSP mengharapkan agar ada solusi serta penyelesaian alternatif kepada masalah sedia ada; yang entah bila kesudahannya...
Lagi tentang BSP di sini:
  1. https://www.bharian.com.my/node/301692;
  2. http://azizulwmc.com/2017/06/30/bandar-saujana-putra-di-manakah-silapnya/;
  3. http://eppics1978.blogspot.my/2010/07/bulatan-bsp.html;
  4. https://www.youtube.com/watch?v=Pv0MIGmnzl4&feature=youtu.be;
  5. https://www.thestar.com.my/metro/community/2017/01/17/losing-patience-in-daily-jams-bandar-saujana-putra-folk-say-new-developments-have-increased-volume-o/.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan