Jumaat, November 04, 2016

RTD: PERANAN NGO ISLAM DALAM MEMBANTERAS IDEOLOGI GANAS DAN ESKTRIM.

Logo ABIM.
Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim
Presiden ABIM. Juga mantan
RTD: PERANAN NGO ISLAM DALAM MEMBANTERAS IDEOLOGI GANAS DAN ESKTRIM.
28hb Oktober 2016 (Jumaat): Alhamdulillah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menganjurkan Sidang Meja Bulat “Role of Faith-based Organization in Countering Violent Extremism” (Peranan NGO Islam dalam Membanteras Ideologi Ganas dan Esktrim) bersempena penganjuran Muktamar Sanawi kali ke-45 ABIM (pada 28 Oktober – 30 Oktober 2016), bertempat di Shah Alam, Selangor. 
Untuk rekod, ABIM telahpun mempunyai ‘task force’ dalam membawa agenda ‘countering violent extremism (CVE)’, di mana banyak siri dialog serta wacana dianjurkan bersama badan-badan dalam dan luar negara, dalam menentang fahaman ekstremisme. Malahan, pada 1984, ABIM telah menerbitkan buku “Kebangunan Islam Di Antara Tantangan Dan Ekstrimisme” (Islamic Awakening between Rejection and Extremism) tulisan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi pada 1984.
Sidang yang dianjurkan pada jam 2.45 petang ini diadakan di Acapella Suite Hotel, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Sidang ini berlangsung dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia dan dibawah pengawasan Chatham House Rule.
Antara lain, objektif penganjuran Sidang Meja Bulat adalah sebagai platform pertukaran idea dan perkongsian ilmu serta pengalaman wacana baru dalam membanteras idealogi keganasan dan ekstrim dan lebih khusus membincangkan permasalahan dan analisa kritis mengenai hubungkait agama Islam dengan ideologi tersebut.
Sehingga hari ini, terdapat lebih kurang 240 orang dari pelbagai latar belakang yang ditahan atas disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan Daesh yang 183 dari mereka adalah terdiri daripada golongan belia. Melalui wawancara yang dijalankan oleh Berita Harian bertarikh 4 Mei 2015, Penolong Pengarah Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay memberitahu bahawa hampir 95% suspek yang ditangkap ini direkrut menerusi media sosial.
Ini dengan jelas menunjukkan bagaimana ia adalah tidak mustahil untuk fahaman ekstrim ini menyelusup masuk dalam minda ahli keluarga terutamanya golongan belia yang mempunyai pendedahan yang tinggi terhadap media sosial. Ini ditambah lagi dengan penerbitan majalah DAESH yang pertama dalam Bahasa Melayu berjudul ‘Al-Fatihin’ terbitan Furat Media; salah satu agensi media Daesh, yang memberi penunjuk jelas bahawa wilaayah nusantara (Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei dan Thailand) merupakan antara kumpulan sasar utama DAESH untuk dipengaruhi menyertai kumpulan pengganas tersebut.
Menurut Jasminder Singh – Penganalisis Kanan dari Rajaratnam School of International Studies Singapore (RSIS) – Al-Fatihin telah berjaya menyediakan satu landasan bagi mana-mana simpartisan DAESH berbahasa Melayu untuk merasakan sebahagian (to have a common identity) daripada Daulah Islamiyah yang kononnya diperjuangkan kumpulan pengganas tersebut.
Tambahan beliau lagi, dengan menimbulkan perasaaan ‘sense of identitiy and purpose’ mampu untuk memberi motivasi bagi penyokong DAESH bertindak ganas seperti yang berlaku di Selatan Filipina dan Poso. Merujuk kepada video berjudul “Al-Bunyan Al-Marsus”, Abu ‘Aun al-Malizi, seorang pengganas DAESH berwaganegara Malaysia, mengajak sesiapa sahaja yang ingin berjuang bersama DAESH untuk berhijrah ke Selatan Filipina ataupun membunuh musuh-musuh DAESH yang mereka jumpa di tanah air mereka, termasuk membunuh menggunakan kenderaan sendiri sekiranya mereka tidak mampu untuk berhijrah ke Asia Barat.
Segala kerisauan berkenaan serangan telah pun dibuktikan apabila berita berkenaan serangan bom mini keatas kelab malam Movida pada 28 Jun yang lalu yang telahpun disahkan sebagai serangan pertama yang dilaksanakan oleh DAESH ke atas Malaysia. Serangan pertama DAESH ini semestinya menandakan bahawa ancaman ideologi pembawakan DAESH melalui kumpulan Khatibah Nusantara dan kumpulan-kumpulan pendokong DAESH di rantau ini terhadap Malaysia dan rakyatnya adalah nyata dan merbahaya yang memerlukan orang ramai untuk bersama mengelakkan dari fahaman tersebut menular dan mempengaruhi ahli keluarga dari terlibat dalam kegiatan pengganas DAESH dan seterusnya menghalang dari serangan yang sama berulang dalam masa hadapan.
Oleh yang demikian, mengakui bebanan bersama yang harus dipikul bersama kerajaan dan pihak berkuasa, ABIM sebagai salah satu gerakan Islam terbesar di Malaysia menganjurkan perbincangan meja bulat ini untuk membincangkan hubung kait agama dan ideologi keganasan dan ekstrim yang dibawa oleh DAESH dan seterusnya merencana satu gerak kerja terancang di peringkat masyarakat sivil untuk membanteras ideologi tersebut dari membarah didalam negara.
Semoga jaringan antara gerakan Islam, institusi, institut penyelidikan dan pengajian serta ilmuan dari dalam dan luar negara termasuk pengkaji, penyelidik, ahli akademik, pembuat dasar, aktivis masyarakat, ahli politik dan semua pemegang taruh yang berkaitan – dapat diperkukuhkan lagi, seterusnya berpadu dalam membanteras ideologi ganas dan esktrim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan