Khamis, Ogos 20, 2015

THE FLYING DAYAK.

THE FLYING DAYAK.
Anak-anak 90an pasti kenal dua nama besar atlet olahraga negara ini: Watson Nyambek dan Azmi Ibrahim. Pertembungan serta persaingan sengit dua pelari pecut berbakat ini menjadi simbol kecemerlangan serta semangat atlet olahraga negara era tersebut. 
Kedua-duanya telah mengenali sejak 1993; sewaktu bersaing dalam acara 100m Akhir, Sukan MSSM. Ketika itu, Azmi menjadi juara dengan catatan masa 10.70 saat; tatkala Watson di tempat kedua.
Siapa yang tak kenal dengan Watson Nyambek, yang pernah dinobat sebagai raja pecut kebangsaan. Penangan yang ditinggalkan bekas atlet kelahiran Miri ini juga cukup dirasai. 
Daniel St-Hilaire adalah antara jurulatih yang memberi bimbingan kepada atlet hebat yang dilahirkan pada 27 Februari 1976 ini. 
Digelar ‘The Flying Dayak’, legenda pecut negara yang tiada tolok bandingnya, rekod catatannya -- 10.30 saat dalam acara pecut 100 meter masih bertahan sehingga hari ini. Rekod tersebut dilakukan pada Julai 1998 sewaktu Sukan Komanwel di Kuala Lumpur.
Malahan, rekod Sukan Malaysia (Sukma), 10.33 saat yang dilakukan di Pahang pada tahun 1996 masih kekal sehingga kini.
Meskipun nama-nama seperti Nur Herman Majid, Mohd Zaki Sadri, Romzi Bakar, Hamberi Mahat, Annastasia Karen Raj, G. Shanti, G. Saravanan, Loo Kum Zee, M. Ramachandran, dan lain-lain mekar dalam acara olahraga, Watson berjaya mencipta fenomena luar biasa dalam sukan tersebut; khususnya bagi acara reben biru.
Watson pernah diberikan anugerah ketika Majlis Anugerah Ikon dan Sukan Sarawak yang diadakan pada Januari 2011. 
Antara kejayaan lain beliau ialah pingat Gangsa, Sukan SEA Jakarta 1997; pingat Perak, Kejohanan Trek dan Balapan Asia di Fukuoka 1998; pingat Gangsa, Sukan SEA di Brunei 1999; selain mencatat catatan baik ketika Kejohanan Olahraga Dunia di Athens 1997; Kejohanan Olahraga Dunia di Sevilla 1999 serta Sukan Olimpik di Sydney pada tahun 2000.
Dan,seperti yang selalu saya tekankan: Sesungguhnya, hargailah atlet kita -- sementara mereka masih ada.
Jangan hanya kenang kekurangan mereka; tapi kenang juga keringat dan pengorbanan yang mereka curah untuk negara.
Usah hanya hargai; bila sudah terkubur. Usah hanya membalas dengan bintang-bintang di dada; setelah mereka tiada.
Julang panji semangat; kobar jiwa merdeka.
Padu & Grande; selamanya.
-- Che Din.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan