Selasa, Februari 24, 2015

Hari Ketiga dan Keempat IYG ke-12 (2015).

Logo IYG ke-12.
Logo ABIM.
Presiden ABIM:
Cikgu Haji Amidi Abdul Manan
Juga mantan Presiden PKPIM.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Juga penerima Anugerah Belia Perdana Malaysia 2014 
dan Tokoh Belia ASEAN 2014.
merangkap CEO MLL4S, 
Saudara Syahrir Azfar Saleh.
Timbalan Pengarah 
International Youth Gathering 
ke-12.
Penolong Setiausaha Agung ABIM: 
Saudara Ahmad Fahmi Samsuddin
Mantan Presiden PKPIM. Pengarah 
International Youth Gathering 
ke-12.
Hari Ketiga dan Keempat IYG ke-12 (2015).
Para peserta telah menaiki bas bagi menyertai aktiviti ‘Kembara Selangor’, di mana mereka berkesempatan melawat beberapa tempat menarik dan indah di negeri tersebut. Selain menikmati keindahan negeri Selangor, mereka juga berkesempatan menyertai aktiviti-aktiviti luar dan riadah, di samping menghayati budaya Malaysia dengan lebih dekat.
Beberapa buah bas yang dinaiki oleh para peserta, dengan diiringi oleh pasukan media dan perubatan IYG 2015 telah melawat ke beberapa buah daerah di Selangor seperti: Kuala Selangor, Sabak Bernam, Klang, Kuala Langat, dan Hulu Selangor.
Antara aktiviti menarik yang disertai oleh para peserta ialah sukan ‘paint ball’, di mana para peserta cukup teruja untuk merasai cabaran sukan tersebut, selepas menerima taklimat berkenaan permainan tersebut daripada pihak penganjur.
 
Para peserta juga telah melawat Galeri Diraja di Jalan Istana, Klang, di mana mereka berkesempatan mempelajari budaya dan kisah sejarah negeri Selangor. Bangunan yang telah dibina sejak 1909 ini mempamerkan koleksi peribadi DYMM Sultan Selangor Kelapan, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Alhaj.
Mereka turut melawat Kilang Beras Rakyat Sekinchan [PLS Marketing (M) Sdn Bhd)]. Kilang pemprosesan beras ini terkenal kerana menghasilkan ‘Beras Mutiara’ (Pearl Rice), selain mempunyai muziumnya sendiri. Para delegasi juga diberikan penerangan berkenaan proses penanaman dan pemprosesan padi serta beras.
Para peserta turut menziarahi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, masjid indah yang turut digelar ‘Masjid Biru’. Para delegasi diberi pengenalan tentang masjid tersebut melalui tayangan video, setelah mendengar ucapan khas daripada imam dan kakitangan masjid serta pihak ‘Tourism Selangor’. Selepas sesi bersama imam dan kakitangan masjid, dengan pimpinan pihak Tourism Selangor, delegasi di bawa bersiar-siar di sekitar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, melihat keindahan masjid dengan lebih dekat. Delegasi dari Turki, Saudara Receb Bakar menyatakan bahawa, “Masjid ini sangat indah. Semoga masjid bukan hanya digunakan untuk ibdah solat, tetapi juga bersifat serba-guna.”
Di Kilang Perusahaan ‘Ros Kerepek’, Banting pula, para peserta dapat mempelajari proses menghasilkan kerepek. Antaranya ialah cara kerepek dihasilkan daripada proses mengupas ubi atau pisang, sehinggalah proses menggoreng dan membungkus kerepek. Menghasilkan lebih 1 tan kerepek setiap hari, para pekerja begitu teliti melakukan kerja, bagi memastikan kualiti kerepek terjaga. Ramai peserta luar negara yang baru kali pertama merasai kerepek buatan tempatan, memuji keenakan dan kerangupannya. Peserta turut melawat kedai Yom's Cookies, di mana mereka diberikan pendedahan berkenaan biskut buatan tempatan.


Selain melawat Kilang Ros Kerepek, Delegasi IYG dibawa pula melawat ke Laman Inap (Home Stay) Anjung Damai, bagi melihat seni bina, rumah orang Melayu dan menikmati air kelapa yang telah disediakan. Tidak mudah untuk sesetengah peserta luar negara menyesuaikan diri dengan cuaca panas terik, jadi peluang untuk menikmati air kelapa yang berkhasiat pastinya menggembirakan.
Seperti yang kita sedia maklum, air kelapa mempunyai manfaat tersendiri untuk sistem tubuh badan manusia. Para peserta bukan sahaja diberikan sedikit penerangan berkenaan kehidupan 1,500 orang penduduk desa tersebut, tetapi juga berkesempatan untuk belajar beberapa istilah Jawa seperti ‘Wes ayem?’ (Sudah kenyangkah?).
Para peserta juga sempat menghayati seni muzik cempuling, yang dikatakan mula bertapak pada tahun 1930 di Klang, Selangor Darul Ehsan.  Tuan Haji Ikhsan (Kasban) dipercayai sebagai pelopor permainan seni cempuling Bukit Kapar, sehingga tahun 60an. ‘Cempuling’ merupakan satu kumpulan alatan muzik yang hanya menggunakan pukulan untuk menghasilkan pelbagai rentak dan irama.  
Ia merupakan gabungan tiga suku kata iaitu ‘cem’ yang bermaksud ‘macam-macam’. Macam-macam yang dimaksudkan di sini adalah dari segi alat muzik itu sendiri dan juga sikap manusia.  Alat muzik seni cempuling mempunyai pelbagai saiz dan juga bentuk dan menghasilkan bunyi yang agak berbeza. Sikap manusia yang digambarkan pula adalah setiap manusia mempunyai perangai atau sifat yang berbeza-beza antara satu sama lain.
Pul’ bermaksud berkumpul.  Kumpulan seni cempuling akan berkumpul jika ingin bermain alat muzik tersebut. ‘Ling’ pula diambil daripada perkataan ‘eleng’. ‘Eleng adalah perkataan ‘Jawa Halus’ yang bermaksud ingat-mengingati antara satu sama lain. Jadi, maksud penuh Cempuling adalah satu kumpulan yang saling ingat-mengingati di dalam pelbagai hal; iaitu hal yang bersangkutan dunia dan akhirat.

Para peserta juga berkesempatan menyertai aktiviti mencanting batik dan menangkap ikan, bertempat di Inap Desa Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, dengan kerjasama pihak Tourism Selangor. Semua delegasi yang turut serta dibenarkan untuk membawa pulang hasil batik ke negara masing-masing. Mencanting batik menuntut latihan keras serta ketelitian yang tinggi untuk menguasai kemahirannya.
Di Kampung Sungai Sireh, Tanjung Karang, para peserta berpeluang menikmati pemandangan sawah padi nan indah terbentang. Para peserta juga diberi peluang untuk merasai pengalaman mengelilingi desa tersebut dengan menaiki traktor. Mereka juga diberikan pendedahan terhadap senibina rumah Melayu tradisional, tumbuh-tumbuhan serta buah-buahan tempatan.
 
Pengarah IYG 2015, Saudara Ahmad Fahmi telah bersiaran langsung bersama Saudara Mehmet Serif, Naib Pengerusi Young UNIW di TV Al-Hijrah, dalam slot terakhir rancangan ‘Assalamualaikum’. Mereka telah berkongsi pengalaman serta harapan program IYG ke-12. 

Sementelah, Pada hari keempat IYG, wakil delegasi IYG dari Syria, Saudara Suhaib Idris (wakil Syria) dan Timbalan Pengarah IYG ke-12, Saudara Syahrir Azfar telah bersiaran secara langsung di Radio Television Malaysia (RTM) untuk slot Selamat Pagi Malaysia. Mereka membincangkan keadaan semasa di Syria yang bergolak, serta usaha bantuan kemanusiaan yang diikhtiarkan oleh Sekretariat Malaysia Life Line for Syria. 
Antara slot yang bermakna buat para delegasi ialah ‘Welcoming Dinner’ (majlis makan malam) dan persembahan ‘Cultural Night’ (Malam Kebudayaan) sempena IYG ke-12. Program ini berlangsung pada pukul 8.30 malam, 3hb Februari 2015 bertempat di Kompleks Belia dan Kebudayaan Shah Alam, Selangor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Ia dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, dan dihoskan oleh YB Amirudin Shari, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan.
Untuk rekod, YB Amirudin baru sahaja dilantik sebagai Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Pasukan Negeri dan Pertandingan Antabangsa, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Beliau menyeru generasi muda dunia untuk membina jaringan yang baik sesama mereka, dan menyatakan bahawa Kerajaan Selangor bersedia menyediakan peluang dan platform yang sewajarnya untuk tujuan tersebut.
Deduksinya, melalui program IYG ke-12 ini, pelbagai konsep dan idea yang sempat dikembang lalu dibincangkan bersama, dari sudut organisasi ke aspek politik negara masing-masing; kepada institusi pendidikan dan juga menyentuh berkenaan dengan pengupayaan belia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan