Rabu, Mei 07, 2014

Terengganu FA, Juara Piala Malaysia 2001.


Terengganu FA, Juara Piala Malaysia 2001.
Dalam pertandingan Suku Akhir yang berlangsung pada 16hb dan 20hb Oktober, Perak menewaskan Negeri Sembilan dengan agregat 5-2; Pahang menewaskan Perlis 4-3; Terengganu mengalahkan Selangor 5-3; dan Kelantan seri 2-2 dengan Pulau Pinang (dan menang penalti 5-4). Di Kuala Terengganu dan Terengganu dan Selangor terikat dengan jaringan 2-2 hasil 2 jaringan Sapian Wahid dan 2 gol Yusri Che Lah. Pada perlawanan perlawanan kedua di Shah Alam, Terengganu dengan mudah menundukkan Selangor 3-1 hasil jaringan Rosdi Talib, Wan Rohaimi, dan Subri Sulong. Terengganu layak ke separuh akhir dengan aggregat 5-3.
Sementara itu, pada peringkat Separuh Akhir yang berlangsung pada 23hb Oktober dan 27hb Oktober, Perak mengalahkan Pahang dengan agregat 3-1; manakala Terengganu menang ke atas seteru Pantai Timur, Kelantan 3-1. Terengganu mengecewakan Kelantan 2-0 di Kuala Terengganu hasil jaringan Sapian Wahid dan Nafuzi Zain. Hasrat Kelantan untuk bangkit di Kota Bharu tidak kesampaian apabila Terengganu berjaya mengikat Kelantan 1-1 hasil jaringan Sapian Wahid. Terengganu meneruskan langkah cemerlang mereka dengan melayakkan diri ke final Piala Malaysia 2001.
Lawan yang akan ditentang di pentas final oleh Terengganu adalah juara bertahan Perak. Mereka telah pun bertemu pada peringkat kumpulan di mana Terengganu menundukkan Perak 2-1 di Kuala Terengganu dan tumpas 0-3 di Ipoh. Raja Muda Perak, Tengku Nazrin telah mengucapkan tahniah kepada pemain Perak selepas pasukan itu berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan menewaskan Pahang, 3-0 di Kuantan. Perak mara dengan agregat 3-1.
Kehangatan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara Perak dengan Terengganu hampir sampai ke kemuncaknya apabila 80,000 tiket perlawanan itu habis dijual sejak 2hb November 2001. Perlawanan ‘menebus maruah dan edisi balas dendam’ di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu bermula pukul 8.45 malam, 3hb November 2001. Pertemuan kedua-dua pasukan kali ini ialah ulangan perlawanan akhir pada 1998 di mana Perak menang dengan keputusan 5-3.
Perak yang merupakan juara bertahan menjadi pasukan pertama tiba di Kuala Lumpur dan menjalani latihan sejam di Stadium Nasional untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang. Terengganu pula tiba keesokna harinya.
Ribuan peminat masih mengerumuni kaunter tiket tetapi hampa apabila diberitahu tiket sudah habis. Kehabisan tiket itu mengakibatkan peminat mula naik berang apabila salah seorang daripadanya didakwa cuba menjual tiket pasaran gelap dengan harga yang mahal di pekarangan stadium berkenaan. Mereka bertindak menahan seorang lelaki yang dipercayai menjual tiket berkenaan di Stadium Nasional manakala dua lelaki lain yang dipercayai rakan lelaki terbabit bagaimanapun melarikan diri dengan sebuah kereta.
Lelaki berusia lewat 30-an itu kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan. Difahamkan lelaki berkenaan menjual tiket pada harga antara RM35 hingga RM40 bagi tiket berharga RM20 kepada penyokong yang gagal memperoleh tiket daripada kaunter. Sementara itu, beberapa buah bas yang membawa penyokong kedua-dua pasukan juga sudah mula kelihatan di ibu kota pada 2hb November 2001.
Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merayu peminat Perak dan Terengganu agar tidak menimbulkan kekecohan sewaktu perlawanan berlangsung. Setiausaha Agungnya, Datuk Dell Akhbar Khan berkata, penonton diharap tidak mempamerkan bendera mewakili ideologi politik masing-masing, selain daripada bendera negeri masing-masing atau Jalur Gemilang. Beliau yang juga Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur berkata, penyokong Terengganu akan ditempatkan di sebelah kiri pintu masuk utama (berdekatan stesen LRT) manakala Perak di sebelah kanan (berhampiran pejabat MSN).
Seramai 550 anggota polis pelbagai unit ditugaskan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
Ketika itu, timbul kontroversi terhadap FAM yang didakwa bersikap sambil lewa ketika menyempurnakan anugerah Kasut Emas kepada penyerang Skuad Seladang, Norizam Ali Hassan.
Dalam aksi final tersebut, Terengganu mencipta sejarah baru dalam kancah bola sepak Piala Malaysia apabila menjulang trofi paling berprestij itu buat pertama kali dalam tempoh 80 tahun, selepas menewaskan Perak 2-1 pada perlawanan akhir yang mendebarkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Perlawanan itu adalah percubaan kali keempat Terengganu sepanjang tempoh kempen Piala HMS Malaya yang bermula pada 1921 dan Piala Malaysia pada 1967. Sebelum itu, skuad yang dikenali dengan gelaran Penyu tewas dalam tiga perlawanan akhir. Mereka tewas kepada Selangor pada 1973 dan 1982 dan kalah kepada Perak pada 1998. Tahun 2001, penyu tidak menangis lagi.
Kejayaan itu juga berjaya menebus dendam kekalahan kepada Perak pada aksi akhir kali ke-32 di Stadium Nasional pada 1998. Kerajaan Negeri turut mengisytiharkan cuti umum pada 4hb November 2001 sebagai meraikan kejayaan bersejarah itu.
Pada perlawanan tersebut, pemain tengah Terengganu, Hairuddin Omar yang juga ketua pasukan Bawah-23 mendapat hadiah bonus apabila terpilih sebagai pemain terbaik perlawanan. Pemain itu turut muncul sebagai penjaring terbanyak pasukannya dalam kempen Piala Malaysia dengan jumlah enam gol.
Dalam Final 2001, pasukan Mat Zan Mat Aris dikejutkan pada minit 16 oleh rembatan leret Rafdi Rashid pada minit ke-17 dari luar kotak penalti yang menerjah jaring gol Terengganu. Tersentap dengan jaringan itu, Terengganu meningkatkan tempo serangan mereka yang diketuai oleh Hairuddin Omar dan Sapian Wahid untuk mencari gol kemenangan.
Beraksi di hadapan kira-kira 90,000 penonton, kedua-dua pasukan bermain agak gugup pada babak awal permainan sebelum mendapat rentak selepas memasuki suku jam. Pada separuh masa kedua, Wan Rohaimi ditarik di dalam kotak dan pengadil menghadiahkan sepakan penalti untuk Terengganu dan dengan mudah disempurnakan oleh Rosdi Talib pada minit ke-56 untuk gol penyamaan.
Sapian Wahid menjadi wira skuad penyu dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-59, hasil hantaran lambung Wan Rohaimi dan Sapian Wahid yang hanya mempunyai sedikit ruang dari tepi gol berjaya menolak masuk bola menewaskan penjaga gol Perak. Dengan kemenangan itu, pasukan Terengganu akhirnya berjaya memahat nama mereka selaku pasukan yang pernah menjuarai Piala Malaysia selepas 3 kali hanya mampu bergelar naib juara.
Akhirnya, Terengganu berjaya bergelar juara Piala Malaysia pada tahun 2001. Tarikh keramat 3 November 2001 pasti diingati oleh semua penyokong skuad penyu yang menyaksikan mereka menewaskan Perak 2-1 di Stadium Bukit Jalil untuk membawa pulang Piala Malaysia buat pertama kalinya ke bumi Terengganu.
Bagi Perak, mereka gagal mempertahankan kejuaraan yang disandang musim 2000. Piala Malaysia 2000 merupakan edisi ke-74 Piala Malaysia. Kejohanan ini bermula pada 22hb Ogos 2000. Sebanyak 14 buah pasukan negeri dan sebuah pasukan kelab terbaik menyertai edisi pada kali ini. PDRM FA dan ATM FA tidak menyertai edisi kali ini.
Perak yang memiliki lebih pengalaman pada pentas akhir berbanding Terengganu, nyata gagal mengulangi kejayaan mereka musim 2000; ketika Terengganu jelas lebih konsisten sepanjang kempen Liga Perdana dan Piala Malaysia, musim 2001. Aksi di padang nyata menggambarkan kekecewaan Perak biarpun Rafdi, penyerang berusia 23 tahun yang beraksi untuk Kedah musim ini, tetapi dipinjam Perak untuk kempen Piala Malaysia, menceriakan penyokong Seladang dengan gol pembukaannya.
Pada edisi 2000, format empat kumpulan dengan empat pasukan setiap kumpulan digunakan. Juara kumpulan akan mara ke suku akhir manakala naib juara terbaik akan mengiringi juara kumpulan ke suku akhir. Pada 15hb Oktober 2000, Perak menewaskan Negeri Sembilan, 2-0 di Stadium Shah Alam untuk menjulang trofi Piala Malaysia.
  • PERAK: Azlishan Ibrahim, A. Victor, Chan Kok Heng, Ahmad Shahrul Azhar, Chan Wing Hoong, Azrul Amri Burhan (Norizam Ali Hassan), Indraz Putra Mahayudin, Syamsul Saad (Faizal Zainal), K. Nanthakumar, Mohd. Rafdi Rashid, Khalid Jamlus.
  • TERENGGANU: Zubir Ibrahim, Subri Sulong, Abd. Ghani Malek, Mohd. Nafuzi Zain (Nor Fazly Alias), Sapian Wahid (Alfian Aziz), Rosdi Talib, Wan Rohaimi Ismail, Zulharisam Awang, Marzuki Yusof, Faziallah Mamat, Hairuddin Omar (Shahrulnizam Sahat).
----------------------------------------------------

Sumber:
  1. Majalah Arena Bola Sepak;
  2. https://www.facebook.com/almie.mohd?fref=ts;
  3. http://www.utusan.com.my;
  4. http://hangbola.blogspot.com/2011/10/retro-terengganu-juara-piala-malaysia.html;
  5. http://myfcf.blogspot.com/2011/10/terengganu-2001-mizuno-home-jersey.html;
  6. https://www.facebook.com/shahrul.solskjaer;
  7. http://www.rsssf.com/tablesm/malay01.html;
  8. http://myfcf.blogspot.com/2011/11/perak-2001-umbro-home-jersey.html.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan