Khamis, Mei 15, 2014

Pimpinan ABIM dan PKPIM di Konvensyen Pemerkasaan Belia Negara 2014.

Logo Majlis Belia Malaysia
(MBM).

Naib Presiden ABIM merangkap 
Pengerusi MLL4S: Saudara 

Saudara Jufitri menerima Anugerah Belia
Perdana Kategori Lelaki 2014 daripada YAB
Perdana Menteri Malaysia,
DS Najib Razak.
Presiden Belia Malaysia (MBM).
Pimpinan ABIM dan PKPIM di 
Konvensyen Pemerkasaan Belia Negara 2014.
Alhamdulillah, pada 15hb Mei 2014, pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) serta ahli-ahlinya berkesempatan menghadiri ‘Konvensyen Pemerkasaan Belia Negara 2014’ bersempena Sambutan Hari Belia Negara 2014. Program ini berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya [Putrajaya International Convention Centre (PICC)].
Ketibaan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak telah diiringi oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Encik Khairy Jamaluddin, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Datuk M. Saravanan, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Ybhg. Datuk Jamil Salleh dan Encik Mohamed Maliki Mohamed Rapie selaku Presiden Belia Malaysia (MBM).
DS Najib dalam ucapannya menekankan bahawa ‘belia hari ini adalah pemimpin hari esok’. Selain mengucapkan tahniah kepada semua pemenang, beliau turut menggariskan keperluan untuk generasi belia mengamalkan kesederhanaan dan menjauhi fahaman ekstremis atau melampau. Selain mengamalkan kesederhanaan, DS Najib menyatakan bahawa belia perlu mempunyai beberapa kualiti berikut: keilmuan dan kemahiran; keusahawanan; kesukarelaan; kecintaan kepada negara; serta kerohanian. Sambil menjadikan kejayaan Korea Selatan dan Jepun sebagai contoh yang baik dalam membina ‘modal intelek’ (intellectual capital) menerusi idea yang kreatif dan inovatif.
Sesi konvensyen dimulakan dengan ‘Seminar Pengantarabangsaan Belia Malaysia: Mendepani Realiti 2020’. Antara pembentang dalam konvensyen tersebut ialah Prof. Madya Dr. Haslinda. Sesi ke-2 pula bertemakan ‘Cabaran Global Belia Pasca 2015’ oleh Saudara Rushdi Abdul Rahim, Malaysian Foresight Institute (myForesight), bersama panelis; Tuan Hj. Ahmad Azam Ab Rahman [Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) yang juga aktif memimpin Kesatuan NGO Dunia Islam - Union NGOs of The Islamic World (UNIW)]. Moderator untuk sesi kedua ialah Saudara Jufitri Bin Joha, aktivis MBM serta Naib Presiden ABIM. 
PKPIM turut mengucapkan ‘Selamat Hari Belia 2014’ buat seluruh belia di Malaysia. Menurutt Presidennya, Mohd Aliemran, “…Harapan buat semua belia di Malaysia adalah kita mahukan jiwa yang hidup, kuat dan bertenaga. Kita mahukan hati baru yang menyala. Kita mahukan perasaan yang bergejolak membara. Kita mahukan roh yang bercita-cita tinggi.”
Kita mahukan jiwa yang dapat membayangkan betapa tingginya matlamat dan impian ini supaya dapat dikejar dan dicapai. Falsafah dan semangat ‘hikmah as-syuyukh fi hamasati syabab’ (kebijaksanaan orang tua berada dalam semangat anak muda) seharusnya disemat padu di dalam jiwa merdeka. Hidup biar berjasa.”
Sementelahan, berikut merupakan ucapan sempena sambutan Hari Belia Negara 2014 oleh Presiden ABIM, Cikgu Haji Amidi Abdul Manan:
“Selamat merayakan Hari Belia. Semoga dengan kedatangan hari belia untuk tahun ini, kita berupaya menjadi belia yang bertanggung jawab terhadap masa hadapan negara. Laungan penuh emosi sehingga mengguris hati dan perasaan sahabat yang berlainan bangsa dan agama adalah laungan yang memperjudikan masa depan negara. Justeru atas nama keimanan yang luhur maka kita seharusnya menyusul dengan amal perbuatan yang soleh. 
Jamak agama, budaya dan bangsa adalah fitrah dakwah yang seharusnya kita terima. Islam sebagai agama rahmat kepada sekalian alam, sentiasa mampu untuk berienteraksi dengan kerencaman yang pelbagai dalam masyarakat. Itulah sifat misi Rasulullah s.a.w yang merangkul gelar khatimul anbiya' wal mursalin yang sedari awal meladeni segala macam faham kepuakan dan kebangsaan.
Kerencaman yang merupakan fitrah alami, mengkehendaki kita berusaha untuk saling berkenalan. Perkenalan seharusnya bermula dari kemampuan kita menampilkan imej yang tepat, sedekat mungkin dengan mesej Islami. Jika yang kita tonjolkan itu adalah penonjolan yang salah sehingga menyebabkan salah faham terhadap Islam, maka secara langsung fitnah dan kekeliruan terhadap Islam akan terjelma.
Dakwah Rasulullah tidak berpusat kepada pengungkitan sejarah bangsa semata-mata. Baginda sedar jika pendekatan tersebut dipilih secara berlebihan, maka rasa kepuakan yang melampau akan timbul. Dakwah Rasulullah berpusat kepada nilai-nilai kemanusiaan yang luhur. Rasulullah percaya bahawa manusia hanya akan terbina dengan nilai kemanusiaan mengikut manual Quraniy. Hanya al-Khaliq yang memahami makhluq.
Kepada belia Islam, pertingkatkan iltizam dalam menjadikan misi dakwah sebagai misi menyelamat kemanusiaan. Selamatkan Malaysia dengan dakwah!”.
Sekalungan tahniah diucapkan buat Naib Presiden ABIM dan Pengerusi Malaysia Life Line For Syria, Saudara Jufitri Bin Joha, yang menerima Anugerah Belia Perdana Kategori Lelaki 2014. Anugerah tersebut disampaikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, DS Najib Tun Razak sambil disaksikan oleh Presiden MBM, Saudara Maliki serta YB Khairy Jamaludin.
Saudara Jufitri merupakan salah-seorang senior di dalam ABIM yang sangat menginspirasikan ramai pihak. Graduan UIAM dan Universiti Durham (United Kingdom) ini terlibat secara langsung dengan beberapa projek penting belia negara, teraju utama Majlis Belia Negeri Sembilan dan pelopor Parlimen Belia serta aktif mengkaji dan membentangkan kertas kerja tentang belia.
Kejayaan ini membuktikan bahawa asas dinamika kepemudaan yang membawa mesej intelektual, aktivisme, spiritualisme dan sukarelawan dalam ABIM diiktiraf dan mampu menjadi produk dakwah yg unggul.
Beliau memang selayaknya dikurniakan anugerah tertinggi belia negara. Beliau seorang yang amat sederhana; yang hidupnya sentiasa disumbangkan kepada ummah. Daripada kampus cekal dan gigih menekuni ilmu, aktif menabur budi tanpa kenal erti penat, sentiasa hormat dan merendah diri kepada orang lain hatta tidak pernah terdengar mengeluarkan sepatah kata yang mengguris perasaan orang lain.
Ramai yang mungkin tidak mampu menyamai pencapaian beliau; tetapi iltizam dan sifat kesederhanaan dirinya akan terus memaknai setiap belia yang ingin menyumbang bakti. Isteri beliau, Puan Norazla Abd Wahab, merupakan pendokong watak setia di sisi, yang tidak putus dan sentiasa menyokong dan memudahkan tugas si dia. Moga Saudara Jufitri sekeluarga dirahmati Ilahi. Amin dan in sya ALLAH.
Hormat kepada orang yang lebih tua walaupun berbeza pandangan dan pendirian. Moga lebih ramai kader-kader dakwah yang benar-benar menyerlahkan akhlak seorang pendakwah bagi ditampilkan kepada generasi muda sebagai ikon belia sejati. Tahniah ABIM dan PKPIM. Tahniah juga buat Saudara Jufitri. Dari Belia Untuk belia. Hidup Biar Berjasa. Padu.
-----------------------------------------------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan