Selasa, Mei 06, 2014

Forum ‘Simbiosis Intelektual dan Aktivis’ anjuran Intellectual Youth Club (IYC IIUM).


Forum ‘Simbiosis Intelektual dan Aktivis’ anjuran Intellectual Youth Club (IYC IIUM).
Alhamdulillah, pada 5hb Mei 2014 (Isnin), pada lebih-kurang jam 8.30 malam, Intellectual YouthClub (IYC IIUM) telah menganjurkan Forum ‘Simbiosis Intelektual dan Aktivis’. Majlis ilmu ini diadakan di Experimental Hall, Rectory Building, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Forum IYC kali ini menampilkan Saudara Jufitri Bin Joha (Naib Presiden ABIM) serta Saudara Mohd Hilmi Ramli [Mantan Presiden PKPIM dan Pascasiswazah, Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS UTM)]. Untuk rekod, kedua-duanya merupakan mantan Presiden IYC.
Dengan izin ALLAH SWT, Intellectual Youth Club (IYC) berjaya diasaskan di UIAM pada 13 tahun lalu, untuk menyuburkan budaya ilmu di gedung ilmu tersebut. Dengan izin-NYA, IYC masih terus subur memperkukuhkan peranannya di taman ilmu dan budi ini. Pada tahun 2001, Saudara Jufitri dan rakan-rakan diberikan peranan menubuhkan IYC oleh PKPIM setelah dilihat mempunyai kecenderungan mendalam terhadap dunia intelektual serta menolak jawatan haraki kampus; selain bosan dengan politik kampus yang agak sempit ketika itu.
IYC ditubuhkan di bawah Bahagian Pembangunan Pelajar [Student Development Division (S-DEV UIAM)]. Objektif utamanya adalah untuk mempromosikan budaya ilmu dalam kalangan mahasiswa. Mantan Rektor UIAM, Prof. Kamal Hassan ketika peluncuran rasmi IYC menyatakan bahawa ‘IYC merupakan anak sulung UIAM’; memandangkan IYC merupakan kelab pertama yang berjuang untuk ilmu, dan visi serta misi pembangunan IYC bersifat seiring dengan UIAM selaku Taman Ilmu dan Budi.
Visi IYC adalah untuk membentuk pemikiran intelektual dalam kalangan mahasiswa UIAM dan untuk menyemai budaya ilmu di UIAM. Misinya pula adalah untuk mengisi kelompangan dan kekosongan intelektual dalam kalangan mahasiswa Islam, supaya mereka mampu berfikir menerusi paradigm baharu dan keaslian intelektual.
Sepertimana yang kita sedia maklum, PKPIM yang ditubuhkan pada 1961 banyak menyumbang kepada generasi muda dan negara. Antaranya mencadangkan penubuhan UIAM pada 1971, menjadi antara badan gabungan terawal Majlis Belia Malaysia (MBM), mempunyai hubungan baik dengan World Assembly of Muslim Youths (WAMY), International Islamic Federation of Students Organization (IIFSO) dan menjadi penggerak utama Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT).
Forum ini dilihat cuba merungkai penyelesaian dan mengharmonikan antara golongan intelektual dan aktivis. Pernahkah anda terfikir tentang jurang besar yang berlaku di antara golongan intelektual dan golongan aktivis mahupun haraki? Ataupun terfikir atau terlihat perihal para aktivis yang terjun menyelusuri dunia aktivisme tanpa objektif yang jelas mahupun kerangka pegangan yang kukuh?
Tidak kurang juga ahli intelektual yang hanya menjadi ‘armchair intellectual’ yang tidak turun ke medan aktivisme, malahan lagi mencemuh/pesimis/skeptik terhadapnya kerana ilmu yang mereka ada di dada?
Forum IYC ini sedaya-upaya cuba untuk mengetengahkan isu ini ke hadapan; terutamanya kepada para mahasiswa yang bakal menerajui masyarakat.Hal ini bersesuaian dengan Sabda Rasulullah SAW: “Iman dan amal adalah dua perkara yang seiring.” (Riwayat al-Hakim). Semoga forum aras tinggi ini mampu menyegarkan wacana ilmiah di UIAM. Bersama menegakkan kebenaran dan memperjuang keadilan. Julang semangat zaman. Padu.
---------------------------------------------------
Sumber:
  1. https://www.facebook.com/ABIM.Malaysia?fref=ts;
  2. https://www.facebook.com/pkpimalaysia?fref=ts;
  3. https://www.facebook.com/adam.roslan.1?hc_location=timeline;
  4. https://www.facebook.com/pages/IYC-IIUM/302853956444716;
  5. http://intellectyouth.blogspot.com/;
  6. http://iyciium.wordpress.com/about/;
  7. https://www.facebook.com/CASIS.UTM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan