Sabtu, Mei 31, 2014

Sekitar Pelancaran Kempen #SaveTheChildrenOfSyria.

Presiden ABIM:
Cikgu Haji Amidi Abdul Manan

Juga mantan Presiden PKPIM.

Naib Presiden ABIM merangkap 
Pengerusi MLL4S: Saudara 
Jufitri Joha. Juga Penerima Anugerah 
Perdana Belia Negara 2014.
merangkap CEO MLL4S, 
Logo Malaysia Life Line
For Syria (MLL4S).
Sekitar Pelancaran Kempen #SaveTheChildrenOfSyria
Alhamdulillah, pada 31hb Mei 2014 (Sabtu), pada lebih kurang jam 10 pagi, satu sesi sidang media pelancaran kempen #SaveTheChildrenOfSyria telah diadakan, bertempat di Hotel Putra, Kuala Lumpur. Kempen #SaveTheChildrenOfSyria ini telah dianjurkan oleh Malaysia Life Line For Syria (MLL4S) dengan kerjasama beberapa NGO seperti Haluan, Green Project, MAPIM (Malaysian Consultative Council for Islamic Organization), ROAD FOR PEACE, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Gabungan Selamatkan Syria, Palestine Reconstruction Team dan juga turut terlibat 100 buah NGO ASEAN dari pelbagai negara.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MalaysiaLife Line For Syria (MLL4S), Saudara Syahrir Azfar Saleh berkata, tempoh sebulan diberi kepada gabungan NGO itu untuk membantu ribuan kanak-kanak Syria yang menjadi mangsa konflik di sana dengan sasaran kutipan RM4 juta, sebelum jumlah kutipan diumum dalam majlis khas pada minggu pertama Ramadan, Julai ini.
Kita akan hantar pelbagai bantuan untuk meringankan beban mangsa konflik di sana terutama kanak-kanak Syria supaya mereka turut bergembira menyambut Aidilfitri,” katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran Kempen #SaveTheChildrenOfSyria.
Dalam pada itu, Saudara Syahrir Azfar berkata, kerajaan perlu menghulurkan bantuan kepada penduduk Syria sama seperti yang pernah dilakukan dalam konflik di Bosnia dan Herzegovina pada 1990-an dulu. Menurutnya, bantuan yang diberikan itu perlu merangkumi beberapa aspek termasuk pendidikan.
Kempen ini bertujuan untuk membela nasib kanak-kanak Syria sekaligus untuk menyedarkan orang ramai terhadap kezaliman berlaku di Syria. Revolusi berdarah di Syria ini telah masuk tahun ke-tiga dan telah mengorbankan hampir 160,000 kematian jumlah ini termasuk 11,000 daripadanya adalah kanak-kanak. Sumbangan boleh disumbangkan melalui:
Maybank: SALAM SURIAH RESOURCES
No. Akaun : 5645-5733-8496
No. Telefon: 03-41416732 / 013-2226057
*Untuk mendapatkan resit pengecualian cukai, sila emelkan kepada MLL4S: nama penuh, alamat, nombor telefon dan bukti sumbangan. 
Mari kita berbakti untuk ummah: sekecil-kecil yang kita lakukan tapi besar dari pandangan ALLAH SWT, in sya ALLAH. Teruskan membantu rakyat Syria.
----------------------------------------------
Sumber:
  1. https://www.facebook.com/adeqashah?fref=ts;
  2. https://www.facebook.com/faisal.hamdi?hc_location=timeline;
  3. https://www.facebook.com/abdullahashraf.refikoglu?hc_location=timeline;
  4. https://www.facebook.com/ABIM.Malaysia?fref=ts.

Khamis, Mei 29, 2014

Pimpinan ABIM hadiri Debat Ala Doha: “Adakah ASEAN Seharusnya Menjadi Lebih Seperti EU?”.

Logo 
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Presiden ABIM:
Cikgu Haji Amidi Abdul Manan

Mantan Presiden PKPIM.
Saudara Raimi Ab Rahim, Setiausaha
Agung ABIM. Juga mantan
Presiden PKPIM.
Pimpinan ABIM hadiri Debat Ala Doha: “ASEAN Seharusnya Menjadi Lebih Seperti EU”.
I
Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia dan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) telah menganjurkan Program Debat Ala Doha: “Adakah Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Association of Southeast Asian Nations – ASEAN) Seharusnya Menjadi Lebih Seperti Kesatuan Eropah - EU” pada hari Isnin, 26hb Mei 2014, dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari di Hotel The Westin, Kuala Lumpur.

Debat tersebut telah dijalankan berdasarkan model debat Doha, yang diilhamkan daripada kaedah debat Kesatuan Oxford (Oxford Union debate) yang penuh dengan tradisi tersendiri. Terdapat satu usul, dengan dua orang pendebat yang menyokong serta dua lagi membangkang. Sebaik sahaja setiap pendebat menyampaikan hujahnya, beliau akan diajukan soalan oleh moderator. Perbincangan selanjutnya dibuka kepada para hadirin untuk dibahaskan dan kemudiannya, undian akhir (final vote) dijalankan. 


II
Usul untuk debat kali ini ialah: ‘This House believes that ASEAN should be more like the EU?’ (Dewan ini percaya bahawa ASEAN seharusnya menjadi lebih seperti Kesatuan Eropah - EU). Perbahasan serta penghujahan daripada sebuah panel yang merangkumi para pendebat yang berwibawa ini berpusat seputar sama ada integrasi yang lebih mendalam, sebagaimana yang dilakukan di EU, adalah kaedah terbaik untuk ASEAN bagi memelihara masa depan politik dan ekonominya.
10 buah negara ASEAN, dalam menuju ke arah Komuniti Ekonomi ASEAN (ASEAN Economic Community - AEC) pada 2015, dilihat harus menjadi lebih fleksibel, khususnya dalam perkara berkaitan mobiliti buruh atau kemudahan peralihan kerja (labour mobility). Meskipun terdapat aliran modal dan teknologi yang lebih bebas merentasi rantau ini dan barangan yang menerima pengurangan cukai atau tarif, pasaran buruh yang lebih berintegrasi belum dapat direalisasikan.

III
Puan Ng Yeen Seen, Naib Presiden Kanan, Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) ditugaskan untuk menjadi moderator untuk sesi debat kali ini. Tuan Yang Terutama Encik Luc Vandebon, Duta dan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, dalam ucaptamanya, menyeru EU dan ASEAN untuk saling belajar daripada satu sama lain, dan menekankan kesediaan EU untuk berkongsi pengalamannya dalam integrasi bersama ASEAN.   
Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia telah ditubuhkan pada 2003, sebagai misi diplomatik kesatuan tersebut, untuk mempromosikan hubungan politik, perdagangan dan kebudayaan yang lebih akrab dengan Malaysia.
Tuan Yang Terutama Encik Declan Kelly, yang menyokong usul selaku pendebat pertama menegaskan bahawa, “Adalah sesuatu yang logik untuk ASEAN bersatu, tetapi bukan dalam keadaan ‘setengah masak’. Kita perlu lebih berani dalam merealisasikannya demi menuai hasil yang sepatutnya.”
Sementara itu, Koordinator Kanan untuk ASEAN, Encik Andreas List mengajukan persoalan sama ada negara-negara ASEAN mempunyai kebimbangan yang sama dengan Perancis sebelum ini, berkenaan kemasukan pekerja asing dari Poland. “Di EU, tiga peratus daripada populasi rantau tersebut kini bekerja di negara lain, tetapi ia masih mampu dikendali dan diurus dengan baik. Justeru itu, ASEAN seharusnya menjadi lebih seperti EU.”

IV
Bekas Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Dr Fong Chan Onn menghujahkan bahawa senario ASEAN adalah amat berbeza berbanding EU. “Oleh kerana struktur ekonomi yang bercapah, sesebuah negara perlu menghadkan pengambilan pekerja asing, atau seluruh rantau akan menerima risiko tidak lagi menjadi pusat penghasilan intensif pekerja yang utama.”
Tidak seperti EU, ASEAN tidak pernah mempunyai cadangan untuk mempunyai badan Pan-ASEAN, khususnya apabila negara-negara tertentu dibuli dan dijajah serta dipisahkan secara kekal oleh Barat,” tambah Dr Fong yang menentang usul yang dibawa.

V
Dr Lili Yulyadi Arnakim dari Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Malaya, menyatakan bahawa model ekonomi ekuiti ASEAN mencontohi model EU, memandangkan kedua-duanya mempunyai intipati yang sama – pasaran bebas. “Kita mempunyai konteks yang berbeza, namun untuk melaksanakannya, ASEAN seharusnya belajar daripada EU berkenaan pergerakan pekerja, modal dan barangan. ASEAN menghadkan gerakan pekerja, menjadikannya ‘lebih kapitalis’ daripada EU,” jelas beliau lagi.
Prof. Madya Dr. Ruhanas Harun dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menjelaskan bahawa, “ASEAN meraikan kepelbagaian dalam bingkai perpaduan. Setiap anggota ASEAN mahu mengekalkan karektornya yang tersendiri, menerusi prinsip kerjasama dengan matlamat yang sama, untuk hidup dalam keadaan aman dan makmur. Namun, visi ASEAN tidak pernah melibatkan penyatuan politik dan tidak akan pernah melibatkan yang demikian.” 

VI
Encik Bunn Nagara yang mewakili Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan menentang usul pula menghujahkan bahawa, “ASEAN bersifat majmuk dan pragmatik. ASEAN perlu menjadi lebih inklusif daripada EU untuk memenuhi kehendak setempat. EU ditubuhkan berdasarkan identtiti sejarah dan budaya yang sama, yang membolehkan penubuhan institusi ekonomi yang bagus, sementara ASEAN lebih bersifat persatuan negara-negara berdaulat dengan konsep ‘kedaulatan Westphalian’, yang menyanggah campur tangan pihak asing dalam struktur domestiknya.”
Rangkaian serta jaringan seharusnya berkembang di ASEAN, daripada infrastruktur kepada sempadan yang bebas, seterusnya membolehkan perjalanan dan pergerakan dengan hanya melalui satu visa.



VII
Sebelum debat dimulakan, 44% peserta mengundi untuk menyokong usul, tatkala 56% yang lain menentangnya. Walaubagaimanapun, selepas sesi penghujahan tamat, 54% mengundi untuk menyokong ‘ASEAN supaya menjadi lebih EU’ dan 46% tidak bersetuju. Secara keseluruhannya, pasukan yang menyokong usul menyatakan bahawa ASEAN akan menjadi lebih baik dengan ‘satu suara’ sahaja apabila berdepan perbalahan atau isu politik.
Pasukan yang menentang usul pula membangkang, dengan menghujahkan perbezaan yang rencam sesama ahli ASEAN menjadikannya mustahil untuk berbuat demikian. Isu perbalahan wilayah serta pelanggaran hak asasi manusia juga diangkat dalam sesi debat kali ini. Ucapan penutup disampaikan oleh YBhg Tan Sri Dato’ Dr Michael Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah ASLI. 

VIII
Sesungguhnya, melihat kepada kemajmukan yang wujud di dalam negara-negara ASEAN, pastinya tidak mudah untuk menyatukan semua negara menjadi satu. Namun, kerjasama yang erat dalam pelbagai bidang serta tolak-ansur dalam menyelsaikan isu serta pertelingkahan yang membabitkan sesama ahli ASEAN, dilihat sebagai kunci realistik ke pintu ASEAN yang lebih matang, pragmatik dan progresif. Khalas.
------------------------------------------------------------
Sumber:
  1. http://eeas.europa.eu/delegations/malaysia/index_en.htm;
  2. http://www.asli.com.my/;
  3. https://www.facebook.com/pages/ASLI/319651169182;
  4. http://www.nst.com.my/business/nation/should-asean-be-more-like-eu-1.605692;
  5. http://www.theedgemalaysia.com/index.php?option=com_content&task=view&id=291354&Itemid=79;
  6. https://www.prod.facebook.com/EUinMalaysia?fref=nf.