Jumaat, Mac 28, 2014

ABIM Sertai Bantahan di Kedutaan Mesir.


Logo 
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Presiden ABIM: 
Cikgu Haji Amidi Abdul Manan.
Setiausaha Agung ABIM: 
Saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz.
Setiausaha Agung ABIM, Saudara Faisal Abdul Aziz,
menyampaikan pidato ringkas ketika
himpunan di Kedutaan Mesir.
 
ABIM Sertai Himpunan Bantah Hukuman Gantung Pengikut dan Pimpinan Ikhwan Muslimin di hadapan kedutaan Mesir di Jalan Ampang.
Alhamdulillah, pada 28hb Mac 2014 selepas menunaikan Solat Jumaat, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkesempatan menyertai ‘Himpunan Bantah Hukuman Gantung 529 Rakyat Mesir’.
Selain beberapa buah parti politik dan NGO lain, perhimpunan kali ini turut disertai oleh mahasiswa daripada PKPIM, PEPIAS, PPINS, PERKEPIS, UIAM Gombak, UIAM Petaling Jaya, KUIS, dan UNISEL.
Perhimpunan kali ini adalah bertujuan untuk membantah hukuman mati terhadap 529 orang anggota Ikhwan Muslimin. Walaupun Kedutaan Mesir enggan menerima memorandum yang dibawa oleh badan NGO dan parti politik, namun ianya tidak mematahkan semangat ribuan pendemonstran yang hadir. Tahniah rakyat Malaysia!
Berikut merupakan kenyataan rasmi ABIM berkenaan isu terbaharu di Mesir ini:
ABIM KECAM HUKUMAN MATI KE ATAS 529 PENYOKONG MORSI
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Mesir hari ini ke atas 529 orang penyokong Presiden Mesir yang dipilih secara sah menerusi demokrasi, Dr.Mohamad Morsi. 
Sesungguhnya, hukuman ini merupakan langkah ke belakang yang menjanjikan masa depan yang serba gelap terhadap amalan demokrasi serta rakyat Mesir keseluruhannya.
Hukuman ini jelas merupakan rentetan daripada langkah kuku besi yang didalangi oleh regim pemerintah Mesir untuk mengukuhkan cengkaman kuasa mereka. Cengkaman itu meliputi memberikan kuasa yang lebih besar ke atas Supreme Council of the Armed Forces (SCAF) yang bertindak menafikan sama sekali kebebasan serta hak rakyat Mesir untuk bersuara!
ABIM menilai hukuman mati yang dikenakan itu merupakan campur tangan regim pemerintah untuk menakut-nakutkan rakyat Mesir menjelang pilihanraya Presiden Mesir tidak lama lagi. Esok, Selasa 25 Mac 2013, seramai 700 lagi saki baki daripada kira-kira 1200 para penyokong Morsi pula yang akan dibicarakan atas dakwaan mencetuskan huru hara serta mengancam ketenteraman awam.
Usaha untuk memusnahkan gerakan Ikhwan Muslimin yang bergerak serta berdiri di atas dukungan akar umbi rakyat Mesir semakin berleluasa dengan 'pembunuhan kehakiman' terhadap 529 mangsa terbaru ini. Tanggapan bahawa hukuman ini hanya bersifat “domestik” serta tidak mencakupi kepentingan masyarakat awam di peringkat antarabangsa seharusnya dikikis. Pastinya kezaliman terbaru ini bakal merancakkan lagi gerakan diktator negara-negara Arab yang kini bergerak aktif memburu simpatisan Ikhwan Muslimin khususnya di Bahrainn, UAE dan Arab Saudi.
ABIM menegaskan bahawa kemelut politik Mesir ini adalah polemik sejagat yang bakal menjejaskan kestabilan politik dunia. Kebangkitan rakyat Mesir merupakan simbol kebangkitan demokrasi berinspirasikan rakyat yang tertindas. sejak sekian lama. Sikap membisu serta menutup mata masyarakat antarabangsa merupakan pengkhianatan terhadap demokrasi itu sendiri!
Oleh itu, ABIM menggesa rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa untuk menyuarakan secara lantang tentangan mereka terhadap kezaliman ini. Demi ke arah memartabatkan Demokrasi, Kebebasan, Serta Karamah Insaniah rakyat Mesir dan umat secara keseluruhannya. Solidariti buat rakyat dan pejuang Mesir. We Are All Ikhwan. Kita Semua Bersaudara.”
Hidup Biar Berjasa; Menegakkan Kebenaran dan Keadilan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan