Selasa, November 05, 2013

Final Piala Malaysia 2013: Dari Kluang ke Shah Alam.


Majlis perkahwinan Amin dan Fatin.
Kenangan di Kluang, Johor. 
Terdapat 'match detail' pada lengan sebelah kanan jersi Pahang yang tertulis "Misi 83, 92, 13". 
Sekitar suasana di SSA, malam 3 November.
I
Bangi - Tanjong Sepat - Kluang, Johor – Tanjong Sepat – Shah Alam – Bangi.
Hari yang padat, dengan cuaca yang tidak menentu.
Alhamdulillah, saya sempat menyertai rombongan sepupu saya yang berkahwin bersama pasangannya di Kluang, Johor tanggal 3hb November 2013. Sesampainya saya di kampung saya (Kampung Kundang, Tanjong Sepat), saya menerima panggilan daripada sahabat saya dari zaman UiTM, Azrul Hafizie yang popular dengan gelaran ‘Ekan Sugiono’. Beliau memaklumkan bahawa beliau mempunyai sekeping tiket lebih Final Piala Malaysia 2013, dan menawarkan saya untuk hadir ke stadium. Saya melihat jam di tangan. Pukul 6.30 petang. 
Tanpa berlengah, saya mempersiapkan diri dan bertolak menuju Shah Alam, diiringi hujan lebat yang menduga jiwa. Sampai sahaja di kawasan Shah Alam, saya tunaikan Solat Maghrib, sebelum ke stadium bersama sahabat-sahabat yang telah sedia ada di sana.
Stadium Shah Alam yang seharusnya menjadi lambang kebanggaan skuad Gergasi Merah Kuning – The Red Giants – malam itu memang dilimpahi dengan warna merah dan kuning. Tetapi, warna merah adalah dominasi daripada jersi yang dipakai oleh kebanyakan penyokong Kelantan.
Begitu juga halnya dengan warna kuning – dipakai oleh majoriti penyokong Tok Gajah.


Final yang meriah di SSA.
Hujan rahmat dan tangan-tangan yang meraikan kejayaan.
Merah dan Kuning.
Pahang dan Kelantan.
Conti cuba dikekang oleh pemain TRW.
II 
Pahang menamatkan penantian 21 tahun menjulang Piala Malaysia apabila bergelar juara selepas menewaskan Kelantan 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.
Jaringan tunggal penyerang import Tok Gajah, Matias Ruben Conti minit - 58 yang bijak menyambar hantaran lintang dari Azamuddin Akil di sebelah kiri gawang Kelantan sudah cukup memastikan kemenangan mutlak Pahang.
Beraksi dalam keadaan padang basah kedua-dua pasukan dilihat mempamerkan corak permainan berhati-hati dengan lebih banyak melakukan gerakan melalui hantaran jauh.
Pahang hampir berada di depan pada minit ke-10 apabila hantaran lintang dari R Gopinathan gagal ditampan kemas Conti dan Azamudin Akil yang melegakan kira-kira 50,000 penyokong setia Pahlawan Merah.
Tersentak dengan serangan tersebut, Kelantan menyusun serangan menggempur kubu Tok Gajah melalui gerakan tiga serangkai Dickson Nwakame, Norfarhan Mohamad dan Mohd Badhri Radzi.
Sepakan percuma dari luar kotak penalti diambil Indra Putra Mahyudin (m-18) hampir meletakkan Kelantan di depan namun sedikit tersasar di sebelah kiri gawang ketika benteng terakhirnya Pahang, Khairul Azhan Khalid sudah pun tertewas.
Kesilapan pertahanan Pahang, Damion Delano Stewart yang menjatuhkan Nwakaeme (m-24) hampir memberikan sepakan penalti buat Kelantan selepas pemain TRW mendakwa kekasaran tersebut berlaku dalam kotak penalti namun pengadil perlawanan Nagor Amir Noor Mohamed hanya memberikan sepakan percuma.
Tok Gajah yang enggan mengalah turut mengatur gerakan memburu gol dan berpeluang mendahului namun rembatan kencang R Surendren terkena palang gol tiga minit kemudian.
Norfarhan turut terlepas peluang menjaringkan gol apabila rembatannya berjaya ditepis Khairul (m-34) sebelum 10 minit kemudian sekali lagi pemain gagal menewaskan benteng terakhir Tok Gajah sebelum kedua pasukan beredar masuk ke bilik persalinan dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Bermula babak kedua Pahang yang melakukan sepak mula hampir memecah kebuntuan apabila berlaku keadaan kelam kabut depan gol TRW namun Fauzi Roslan gagal menterjemahkan dengan jaringan.
Gol dicari Pahang akhirnya menjelma pada minit-58 apabila Conti menanduk cantik hantaran lintang dari Azamuddin yang gagal ditepis Khairul Fahmi Che Mat.
Ketinggalan 0-1 tidak melemahkan semangat anak didik Bojan Hodak yang melancarkan serangan bertali arus selepas itu namun kekebalan benteng pertahanan Pahang menggagalkan usaha pemain Kelantan.
Berbaki 10 minit perlawanan terakhir Kelantan mempunyai dua peluang menyamakan kedudukan menerusi Ahmad Fakri Sharani dan Norfarhan tetapi Khairul Azhan tetap tangkas memastikan gawang tidak dibocori sehinggalah tamat perlawanan.

Para penyokong Pahang teruja apabila Conti menjaringkan gol, menewaskan Apex.
Matias Ruben Conti, wira Tok Gajah.
Skuad gemilang Pahang, 2013.
Misi 92, tercapai.
Tok Gajah, juara.
Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, bersama para penyokong Tok Gajah. Di sebelah Saudara Dollah ialah ayah kepada pemain Pahang, Hafiz Kamal.
Hujan rahmat buat orang Pahang.
Bersama Hadi aka Manja, insan yang mula-mula menegur saya sewaktu belajar di Fakulti Undang-Undang UiTM dulu. Selain duduk di asrama yang sama, di Kolej Perindu, kami juga menyewa di rumah yang sama - di Padang Jawa - selama tiga tahun.
Sahabat yang baik.
III
Pahang beraksi jauh lebih baik malam tersebut dan memang berhak untuk bergelar pemenang. Kelantan sudah mencuba tetapi aksi tidak menepati jangkaan final. Pada segenap aspek, memang Pahang kelihatan dominan dan Kelantan tidak sedikit pun menghampiri aksi terbaik mereka.
Kegagalan Kelantan menguasai jentera tengah menerusi dua bintangnya; Piya dan Zairo membolehkan skuad Tok Gajah melakukan serangan yang kemas.
Penjaga gol Pahang, Khairul Azhan pula begitu yakin dan berjaya menyelamatkan deretan percubaan berbahaya Pahlawan Merah - The Red Warriors. Apa pun, tahniah kepada kedua-dua pasukan.
Liga-M sudah melabuh tirai. In sya ALLAH 2014 mendatang akan menjanjikan kita saingan lebih hebat.
Tahniah buat skuad Tok Gajah yang beraksi cemerlang. Syabas juga buat The Red Warriors yang menjadi Naib Juara.
This is Shah Alam.
 ----------------------------------------------------------------
Sumber dan rujukan:
  1. http://www.sinarharian.com.my/pahang-juara-piala-malaysia-2013-1.217260;
  2. https://www.facebook.com/muhammad.aiman.33483?fref=ts;
  3. https://www.facebook.com/muzamirhasan?fref=ts;
  4. http://www.mundoalbiceleste.com/.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan