Selasa, Jun 11, 2013

Harimau Malaya, mahu ke mana kita?

Janji? Janji? Janji?
Mat Yo aka Wak Lan tenggelam di Canberra.
 
Kenangan yang menyedihkan, tatkala semua pemain sudah cuba yang terbaik, keputusan masih tidak menyebelahi kita.
Ya, kita pernah tewas 0-6 kepada Indonesia.
I
  1. 16hb November 1967 (Kuala Lumpur): New Zealand 8-2 Malaysia;
  2. 1hb Disember 1968 (Bangkok, Thailand): Thailand 6-0 Malaysia;
  3. 26hb Ogos 1971 (Singapura): India 6-0 Malaysia;
  4. 31hb Ogos 1972 (Ingolstadt, Jerman): Maghribi 6-0 Malaysia;
  5. 20hb Disember 1978 (Bangkok, Thailand): China 7-1 Malaysia;
  6. November 1991 (Stadium Peringatan Rizal, Manila): Filipina 1-0 Malaysia;
  7. 1995 (Chiang Mai, Thailand): Vietnam 2-0 Malaysia;
  8. 14hb Oktober 1997 (Jakarta): Laos 1-0 Malaysia;
  9. 2hb Ogos 1999 (Bandar Seri Begawan, Brunei): Indonesia 6-0 Malaysia;
  10. 20hb November 2012 (Stadium Shah Alam): Bangladesh mengikat Malaysia, 1-1 (Bangladesh beraksi dengan 10 orang pemain).

Senarai di atas menunjukkan sekelumit bukti bahawa pasukan kebangsaan Malaysia – meskipun pada zaman kemuncaknya – tidak pernah sunyi daripada kekalahan besar dan keputusan mengaibkan. Ya, tatkala Malaysia dibarisi oleh lagenda bola sepak negara, kita tetap terpaksa mengakui bahawa kita telah – dan sedang - melalui jalan turun-naik yang penuh ranjau dan berliku.  

Ya, bola itu bulat dan kadang-kala kekalahan tidak dapat dielakkan. Argentina sendiri pernah tewas 1-6 kepada Bolivia, atas alasan kesukaran para bintang ‘Albicelestes’ seperti Messi untuk beraksi dalam keadaan altitud tinggi. Tapi, itu kisah Argentina. Kisah kita, kisah bola sepak Malaysia, yang jarang menang perlawanan meskipun kejohanan besar, waimah di Asia Tenggara.

Seperti yang kita sedia maklum, lawan seterusnya bagi Harimau Malaya untuk Kelayakan Piala Asia ialah Bahrain, sebuah negara Arab yang bercuaca panas. Justeru, tidak sedikit peminat-penyokong bola sepak Malaysia yang sukar menerima pembatalan perlawanan persahabatan dengan Singapura dan memilih Australia – yang sedang mengalami musim sejuk lagi mendinginkan.


Arjen Robben dikawal ketat di Stadion Bung Karno.
John Heitinga, bintang Belanda yang mempunyai darah Indonesia, bangga menceritakan kehadiran skuad Oranje ke Jakarta.
II
Jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal menyatakan bahawa Australia dipilih sebagai medan latihan kali ini kerana faktor cuaca, memandangkan ‘bulan Oktober nanti kita akan beraksi di cuaca sejuk kerana negara ini berada di Teluk Arab, hampir sama cuaca seperti Qatar, dan perlawanan pertama hari itu bertemu Qatar,kita beraksi dalam cuaca sejuk.’

Baik, bab cuaca itu kita rasionalkan. Kendati, bagaimana dengan pemilihan pasukan yang dihadapi oleh Malaysia? Tidak adil untuk kita secara mudah menghukum kekalahan kepada Canberra FC sebagai kekalahan paling memalukan, tanpa mengkaji beberapa aspek yang menjurus kepada tercetusnya faktor ketewasan ini. Bukan mudah untuk kita – sebagai sebuah pasukan kerdil dengan ranking rendah – mahu mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan berkelas ‘A’. Ini realiti. Tetapi, apalah kiranya FAM mengusahakan untuk skuad kita menentang pasukan berstatus negara? Kenapa sampai terpaksa menentang sebuah kelab yang meminjam beberapa pemain dari kelab lain?  

Tiga jaringan oleh Alex Oloriegbe, Ryan Keir dan Philippe Bernabo benar-benar menggusarkan kita berkenaan status kemantapan barisan tengah dan pertahanan negara. Kita gembira – sekurang-kurangnya – dengan dua gol yang dihasilkan oleh Safee Sali, hasil gandingan bersama Nazmi Faiz dan Nazrin Nawi. Tidaklah kita terlalu ketandusan penyudah sebenarnya, meskipun pemain yang bagus seperti Bobby Gonzales seharusnya diberikan ruang dan peluang oleh Datuk K. Rajagobal untuk mewakili Harimau Malaya.


Bambang Pamungkas bersama jurulatih dan pengendali Belanda, memberi pendedahan kepada para pemain belia.
Bintang Belanda bersama gaya ala Melayu Betawi.
 
 
III
Tatkala Repubik Indonesia meraikan kehadiran pasukan bintang Belanda ke Jakarta, pasukan kebangsaan Malaysia pula sibuk menjalani latihan di Canberra untuk menentang Kelab Liga Australian Capital Territory ACT, Canberra FC. Meskipun masih bermula perlahan, Persatuan Sepak bola Seluruh Indonesia (PSSI) sudah semakin pulih sejak kemelut politik-merebut kuasa dua-tiga tahun kebelakangan ini.

Di dalam perlawanan yang menyaksikan bekas wira Arsenal FC yang kini beraksi untuk The Red Devils, Robin van Persie menyarung lilitan kapten buat kali pertama pada lengannya, Stadion Bung Karno menjadi saksi bagaimana skuad The Oranje yang dikendali oleh Louis van Gaal membariskan deretan bintang mereka seperti Jasper Cillessen; Janmaat; Ron Vlaar; Erik Pieters; Miguel Nelom; Jonathan De Guzman; Jens Toornstra; Wesley Sneijder; Ruben Schaken; Robin van Persie; Jeremain Lens dan Arjen Robben. Skuad Indonesia bimbingan Jacksen F. Tiago terpaksa menyerah dengan keputusan 0-3 melalui dua gol Siem de Jong dan satu gol Arjen Robben.

Persie, kali pertama sebagai kapten, gagal menyerlah di balik asakan pemain naturalisasi Indonesia.
IV 
Di balik kemarahan dan kekecewaan peminat bola sepak Malaysia, masih ada berita positif untuk kita semua. Ranking FIFA untuk bulan Jun 2013 menunjukkan Malaysia naik 2 anak tangga, 161 ke 159. Brazil pula jatuh merudum ke tangga 22. Meskipun kenaikan ini secara zahirnya tampak tidak akan kekal lama, namun tidak salah untuk kita senyum sedikit di atas berita ini. Untuk rekod, di dalam Ranking Dunia FIFA, kedudukan tertinggi Malaysia adalah di dalam keluaran pertama perangkaan tersebut iaitu pada bulan Ogos 1993, pada tangga ke-75. 

Apa cerita sasaran kita tahun depan?
Mahalli, pemain yang berbakat, tetapi melakukan kesilapan mudah di Canberra.
Barisan Harimau Malaya, yang cemerlang beberapa tahun lalu, tetapi masih gagal mengembalikan prestasi dan komitmen lama.
Ramai yang melatah apabila portal Canberra menggunakan tajuk ‘Part-timers steal win over internationals’ untuk laporan mereka. Dari sisi rasional, adalah sesuatu yang normal untuk sesebuah kelab/negara berbangga dengan pencapaian pasukan mereka. Dan, lebih normal – tetapi bukanlah sesuatu yang baik – untuk sesuatu media itu menggunakan tajuk yang kontroversi bagi menangkap perhatian para pembaca. Terguris? Sudah tentu. Kecewa? Apatah lagi. Tetapi, berjuang; kan tidak boleh mudah patah hati. Sokong mesti terus. Kritik biar berisi.

Kita berhujjah dan menegur kerana kita sayangkan skuad kebangsaan dan maruah sukan negara kita. Bukan sekadar kerana kita tidak berpuas hati dengan kaedah pembangunan bola sepak negara. Sudah beberapa kejohanan kita lepaskan, tatkala peminat sudah jenuh mengkritik di kedai-kedai kopi. Pada akhirannya, soalan cepumas yang akan ditanya ialah: “Quo vadis, Harimau Malaya? Mahu ke mana kita?”

-------------------------------------------------

Sumber:
  1. http://www.goal.com/id-ID/news/1387/nasional/2013/06/08/4033949/galeri-foto-indonesia-0-3-belanda?ICID=OP;
  2. http://www.canberratim.es.com.au/sport/football/parttimers-steal-win-over-internationals-20130606-2ntc8.html

2 ulasan:

  1. hmm rugi ye chedin pg austrlia. harap2 ada manfaatnya yg kita smua xnmpk. nk mrah2 dh xguna dh , diorg dh kt sana dah. ni smua kita berbalik pada pihak pengurusan la ye (FAM). entah apa yg dibuat pun tak tahu la.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Bro. :)

      Hm, saya pun hilang punca sebenarnya nak ulas. Penat cari unsur positif untuk rasionalkan minda dan sejukkan hati. Bila kita kritik, depa tuduh tak patriotik. Tapi, kita jugalah yang penuhkan stadium setiap kali HM main, keluar duit poket beli tiket, beratur panjang, berdepan dengan kesesakkan jalan raya.

      Nak kata rugi 100% tu tidaklah: pendedahan cuaca sejuk kita dapat, dan kemahiran-fizikal Canberra FC pun bagus juga sebenarnya. Tinggal lagi, kekalahan ini adalah memalukan, dan tidak membantu ranking negara, meski kita menang sekalipun ke atas Canberra.

      Anggap sajalah kita tewas kerana belum sesuaikan diri dengan cuaca sejuk, dan kita tunggu dan lihat dua perlawanan lagi. :)

      Padam