Isnin, April 15, 2013

Sedikit tentang ‘Minda Tertawan’ dan ‘Tercipta dari Tanya’.

'Minda Tertawan', karya besar.


'Tercipta dari Tanya', nukilan SN Anwar Ridhwan.
Naskah 'Tercipta dari Tanya' yang sempat saya dapatkan di Kinokuniya, Suria KLCC Sabtu lepas.
Naskah milik saya yang ditandatangani oleh Dr Anwar Ridhwan.
Pak Engku dan SN Dr Anwar Ridhwan sedang berkongsi rasa.
Sekitar sesi peluncuran buku di Kinokuniya, Suria KLCC.
Antara karya yang dipamerkan di Galeri RA Fine Arts.
Pak Engku bergambar kenangan.
Hafizul, Pak Engku dan saya, di Galeri RA Fine Arts, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Begitu juga dengan sindrom ‘cium-tangan’ pemimpin yang sinonim dengan ampuisme. Biasanya budaya cium tangan ini diamalkan terhadap seseorang yang berkuasa. Apabila orang berkenaan hilang atau tamat bidang kuasanya, maka para pencium tangan tadi akan mencari sasaran tokoh baru untuk dicium tangannya.”

-- YM Raja Ahmad Aminullah (Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa, 2011).
I
Alhamdulillah, pada 13hb April 2013 yang lepas, saya sempat berkunjung ke Galeri RA Fine Arts di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur untuk menziarahi pemilik galeri tersebut iaitu budayawan mapan, YM Raja Ahmad Aminullah yang mesra dengan panggilan ‘Pak Engku’. Pak Engku dilahirkan di Ipoh, Perak pada 1955. Menamatkan pengajian di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di Institut Teknologi Mara (ITM) dan pengajian undang-undang di London pada akhir 1970-an. Pernah bertugas di The New Straits Times (NST), Pak Engku juga pernah menulis untuk majalah ‘Impact International’ ketika di London. 

Dalam bidang seni budaya, Pak Engku adalah antara pengasas Yayasan Kesenian Perak (YKP) selain kerap diundang sebagai penceramah seni halus dan kesusasteraan dalam dan luar negara. Ketika Raja Ahmad adalah pengarah galeri seni RA Fine Art.  Selain antologi puisi ‘Menyarung Jiwa’ (2004) dan ‘Kata-Kata Hati’ (2004), Pak Engku juga menghasilkan ‘Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa’ (2011). ‘Menyarung Jiwa’ sudah diterjemahkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia.

Pak Engku kelihatan ceria sewaktu peluncuran naskah 'Minda Tertawan' pada 2011.
Antara yang hadir memberi sokongan ketika peluncuran 'Minda Tertawan' ialah Nizal Mohamad, U-Wei Haji Shaari dan Dr Syed Husin Ali.
Pak Engku berkongsi pandangan berkenaan tulisan beliau.
II
Saya mula mengenali nama Pak Engku menerusi karya besarnya, ‘Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa’ (2011). ‘Minda Tertawan’ mengemukan pandangan-pandangan kritikal Pak Engku tentang keadaan intektual dan juga akademia di negara ini, yang disifatkannya tertawan oleh penguasaan politik. Apa yang menjadikan pandangan ini menarik untuk dinilai ialah ia datang daripada seorang yang hingga hampir 10 tahun lalu, satu tempoh panjang dalam hidupnya, terlibat dalam politik secara langsung, di kedua-dua belah garisan yang memisahkan dua kumpulan politik terbesar di negara kita. 

Satu pandangan yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana politik kepartian menguasai segenap ruang aktiviti manusia di negara ini, sehingga hampir tidak ada lagi yang bebas daripada takrif dan penguasaan politik kepartian. ‘Minda Tertawan’ adalah tulisan yang mempersoalkan persoalan-persoalan seputar dunia akademik, golongan-golongan inteligensia yang semakin tidak memainkan fungsinya terhadap masyarakat dewasa ini. Ditulis dan dikupas dengan pandangan-pandangan kritikal penulis, ia membawa pembaca ke sebuah dunia permasalahan para cendekiawan. 

Karya besar ini mendedahkan kemunafikan, sifat tidak mahu dipertanggungjawabkan dan ketamakan golongan berkuasa (dan mereka yang masih bergelut untuk mendapatkan kuasa!) dengan cara yang lemah lembut dan penuh kiasan. Beliau menekankan satu-satunya jalan keluar daripada lubuk pemikiran yang membelenggu negara ini adalah dengan kembali kepada warisan intelektual dan budaya mengupas dengan mendalam sebagai cara mengembalikan integriti, kebertanggungjawaban dan akal budi yang telah lama hilang.

Ucapan Dr Anwar antara yang paling dinantikan oleh para hadirin.
Di balik buku dan ilmu.
Suasana pada Sabtu lepas.
Kedai Buku Kinokuniya yang terletak di Suria KLCC. Untuk ke Coffee Club Express, pengunjung boleh menaiki tangga di sebelah dalam kedai buku ini.
III
Selepas sesi bual-santai dan makan tengah hari, saya dan Pak Engku menyertai Majlis Pelancaran Buku ‘Tercipta Dari Tanya’ yang diadakan pada hari yang sama di Coffee Club Express, Kinokuniya, Suria KLCC. Buku ‘Tercipta Dari Tanya’ adalah sebuah antologi puisi karya Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan. Selain itu, penganjuran majlis ini juga bertujuan untuk meraikan dan menghargai jasa serta sumbangan Sasterawan Negara ke-10 ini dalam memperjuangkan sastera dan persuratan Melayu. Majlis ini juga secara tidak langsung membantu menyemarakkan lagi aktiviti penerbitan dan penghayatan sastera, selain mengeratkan hubungan antara pelbagai pihak khususnya penerbit, sasterawan, peminat-penggiat sastera dan juga pihak media.

Bergambar kenangan bersama selebriti TV3 yang bertugas sebagai pengacara majlis, Saudara Ahmad Fedtri Yahya. Seorang yang petah dan berbakat besar.
 
Naskah 'Tercipta dari Tanah'.
IV
‘Tercipta dari Tanya’ tercipta daripada pertanyaan demi pertanyaan akan persoalan yang sentiasa membayangi kehidupan manusia. Persoalan yang ditimbulkan adalah perkara asas tentang pengertian mistik dalam kehidupan, sebab-musabab kejadian serta pengakhiran dan perjuangan hidup. Buku yang mengandungi 99 buah puisi ini merupakan kumpulan puisi kedua beliau, selepas kumpulan puisi pertamanya ‘Tercipta dari Tanah’ (1984). ‘Tercipta dari Tanah’ yang diterbitkan semula pada 2010 agak istimewa kerana mengandungi sebuah esei ringkas ditulis oleh Prof. Rahman Shaari (Universiti Malaya), yang memperkatakan dan memperkenalkan kembali sebahagian sajak-sajak yang terhimpun di dalamnya. 

SN Dr Anwar Ridhwan.
V
SN Dato’ Dr. Anuar bin Haji Rethwan (Anwar Ridhwan) dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Lulusan Sarjana Muda Sastera (1973) dari Universiti Malaya, beliau kemudiannya memperolehi Ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D)(1998): kesemuanya dari Universiti Malaya. Beliau menumpukan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah bersara pada tahun 2005 dengan jawatan terakhirnya Pengarah Penerbitan DBP. 

Dalam dunia penulisan, beliau terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Novelnya yang pertama ialah ‘Hari-hari Terakhir Seorang Seniman’ yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah, 1979. Sebuah lagi novelnya ‘Arus’ (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985. Antara cerpen karyanya ialah ‘Perjalanan Terakhir’ (1971), ‘Dunia adalah Sebuah Apartmen’ (1973), ‘Sesudah Perang’ (1976) (edisi bahasa Rusia oleh Victor Pogadaev, 1996) dan ‘Dari Kiev ke Moskova’ (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada tahun 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul ‘Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto’ diterbitkan dalam bahasa Rusia (penterjemah Victor Pogadaev) pada tahun 2006 di Sanct-Petersburg.

Bersama Prof Dr Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP yang mesra dan budiman. Tulisan beliau boleh dibaca di sini:
http://kembarabahasa.blogspot.com/.
Pak Khalid Salleh, mesra dengan panggilan 'Wak', aktivis yang saya senangi.  Antara filem lakonan beliau ialah 'Kaki Bakar':
http://chedinsphere.blogspot.com/2012/04/filem-kaki-bakar-1995.html
Bersama Saudara Pyanhabib Abd Rahman aka 'Osman Tikus'. Sedikit tentang 'Kembara Seniman Jalanan' di sini: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/01/filem-kembara-seniman-jalanan-1986.html
Pyanhabib dan Khalid Salleh, nama besar dalam dunia seni kita.
Saudara Pyanhabib, SN Dr Anwar Ridhwan and Prof Dr Awang Sariyan.
Saudara Pyan bersama rakan-rakan beliau.
VI
Majlis ilmu seperti peluncuran buku ini mempunyai manfaat yang besar, khususnya buat penggemar buku yang marhaen seperti saya. Di dalam majlis-majlis seperti inilah para aktivis, budayawan, tokoh sastera dan masyarakat terbanyak dapat duduk bersama dan bertegur-sapa di samping bertukar-tukar pandangan dengan lapang dada dan tanpa protokol. Semoga negara kita akan terus makmur dengan pencerahan ilmu dan maklumat yang luhur. Kobar jiwa semangat. Hidup Malaysia kita. Padu.

------------------------------------------------------------------


Tiada ulasan:

Catat Ulasan