Isnin, Mac 11, 2013

Piala Sumbangsih 1998: Selangor lawan Sarawak.



  




 


Piala Sumbangsih 1998: Selangor lawan Sarawak.
(4hb April 1998, Stadium Sarawak, Kuching).
Tahun 1998 menyaksikan prestasi Selangor jatuh merudum. Musim tersebut dimulakan dengan kontroversi yang tercetus antara Azman dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan. Azman dikatakan sudah menyatakan persetujuan untuk menyertai pasukan Hoben Jang Hoben tersebut. Namun, selepas berita tersebut dipaparkan di dada-dada media, akhirnya satu sidang media dianjurkan pihak pengurusan Selangor yang baru, diketuai pengurusnya, Dato’ Mokhtar Ahmad yang menggantikan Dato’ Aini Taib. Sewaktu sidang akhbar tersebut, Azman yang kemudiannya mula menyimpan jambang, kelihatan sangat sugul dan muram. Pengumuman berkenaan kekalnya Azman dalam pasukan Selangor bagi musim 1998 dibuat sewaktu sidang media tersebut. 

Selangor yang menjulang tiga piala pada musim 1997, memulakan langkah sumbang apabila tewas 1-3 kepada Sarawak dalam Perlawanan Piala Sumbangsih 1998. Perlawanan ini dianjurkan di Stadium Sarawak, Kuching, di mana Sarawak, Juara Liga Malaysia 1997, berdepan cabaran The Red Giants yang memenangi Piala Sumbangsih ’97, Piala Fa ’97, Piala Malaysia ’97 dan Piala Emas Raja-Raja ’97. 

Dua gol Sarawak FA dijaringkan oleh Ramos Sari – yang menewaskan Abdul Hadi Tahir pada minit ke-19. Kemudian, harapan Selangor dinyalakan oleh Azman Adnan – yang berjaya menewaskan Mazlan Wahid -- pada minit ke-21. Bagaimanapun, Sarawak terus bangkit dengan dua lagi gol, juga menerusi Ramos pada minit ke-25 dan bekas pemain import Selangor pada musim 1994, Alistair Edwards melengkapkan malam gemilang skuad Ngap Sayot apabila memastikan kemenangan 3-1 Sarawak ke atas skuad Merah-Kuning pada minit ke-29.

Perlawanan ini dikecam hebat oleh peminat Selangor, memandangkan Sarawak hanya bermain dengan sepuluh pemain sepanjang babak kedua permainan, apabila Ahmad Fairuz Yunus dilayangkan kad merah. Hujan renyai-renyai ketika itu seolah-olah menggambarkan musim suram Selangor bakal bermula, apabila skuad The Red Giants gagal memberikan saingan yang baik meskipun diperkuatkan oleh pemain import seperti Mehmet Durakovic, Alexander Freeman dan Jeff Hopkins. Meskipun baru tewas satu perlawanan ketika itu, khabar angin mula tersebar luas, bahawa jurulatih yang membimbing Selangor FA untuk menjuarai tiga kejuaraan pada musim 1997, Steve Wicks akan dipecat.
  • Selangor: Abdul Hadi Tahir; Azman Adnan; Aizal Lamin; Jeff Hopkins; Mehmet Durakovic; Alexander Freeman; Zainal Abidin Hassan; Asroff Hanafiah; Nazzab Hidzan; Rizal Hassan; Shahril Arsat;
  • Sarawak: Mazlan Wahed; Billy Bone; Alistair Edwards; Doug Ithier; Bobby Pian; Dahlan Matusin; Roslan Ismail; Ahmad Fairuz Yunus; Ibrahim Mantali; Ramos Sari; dan Ali Sapiee.
-----------------------------------------
Sumber dan Rujukan:
  1. http://sarawakfootballshirts.blogspot.com/2008/07/1998-charity-sheild-match-shirt.html;
  2. myfcf.blogspot.com;
  3. www.utusan.com.my;
  4. www.nst.com.my;
  5. Majalah Arena Bola Sepak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan