Jumaat, Mac 15, 2013

Koleksi bacaan minggu ini.

1. Novel ‘Habibie & Ainun’ (Prof Dr Ir. Bacharuddin Jusuf Habibie, 2010).
Novel ini adalah sebuah karya yang ditenun dan dibingkai dengan perasaan cinta suci yang mendalam, tulus dan sarat nilai. Suka-duka penulisnya berdampingan selama 48 tahun dengan isteri yang dikasihi, Bu Ainun, bertumpah-ruah dengan penuh kejujuran dalam karya ini. Sebuah karya mantan Presiden Republik Indonesia yang dapat dijadikan ilham bagi para pencari resepi rohani bagi pembinaan rumah tangga bahagia. 
2. Buku ‘Mahasiswa Menggugat’ (Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohamad Abu Bakar, 1973).
Buku ini menceritakan tentang kelahiran gerakan mahasiswa di Universiti Malaya. Buku yang mencerminkan kegiatan mahasiswa dalam lapangan politik ini, ditulis oleh Prof Mohamad Abu Bakar sewaktu menjadi tutor di UM dan telah diterbitkan oleh Pustaka Antara pada 1973. Prof Diraja Ungku Aziz menyatakan bahawa ‘Mahasiswa Menggugat’ adalah bersifat ‘peneroka’. Beliau menyatakan, “...Oleh itu wajib ia dibaca oleh semua orang yang ada hubungan dengan masalah pelajaran umumnya atau universiti khususnya dan pemuda pemudi umumnya serta mahasiswa khususnya”. Sedikit tentang penulis buku ini di sini:
3. Buku ‘Ke Luar Jendela’ (Allahyarham Datuk Dr Hassan Ahmad, 2009).
Buku ini memaparkan sejumlah 55 makalah hasil tulisan Allahyarham Dr Hassan Ahmad yang pernah tersiar dalam Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya. Makalah dalam kumpulan yang dipilih ini menyentuh tiga persoalan penting dan besar dalam kehidupan, kepercayaan, pemikiran dan kemajuan atau pembangunan manusia iaitu bahasa, budaya dan agama. Penulis melihat bahasa tidak hanya sebagai sistem atau struktur bahasa atau linguistik tetapi lebih penting lagi dari segi fungsinya, iaitu bahasa sebagai cara manusia membentuk fikirannya dan membina budaya dan tamadunnya. Dr Hassan melihat kejahilan akal, fikiran dan ilmu sebagai punca sering berlakunya perbuatan menghina sesuatu agama. Buku ini sangat sesuai dibaca oleh semua golongan pembaca.
4. Kertas Kerja Muktamar ABIM ke-9, 28-31hb Ogos 1980.
Kertas Kerja ini dibentangkan sewaktu Muktamar Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang kesembilan, yang berlangsung di Maktab Perguruan Islam Petaling Jaya, Selangor. Muktamar ini berlangsung dari 28-31hb Ogos 1980, bersamaan 17-19 Syawal 1400H. Sedikit tentang Muktamar ABIM ke-41 di sini:
5. Teks Ucapan Presiden ABIM -- ‘Islam: Penyelesaian Kepada Masyarakat Majmuk’ (DS Anwar Ibrahim, 1979).
Kertas Kerja ini dibentangkan oleh DSAI ketika masih menjadi Presiden ABIM sewaktu Muktamar ABIM kelapan pada 14hb Julai 1979. Muktamar tersebut dianjurkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). DSAI berpandangan bahawa Islam menyediakan alternatif terbaik dalam hal penyelesaian masalah perpaduan di Malaysia. Menurut DSAI lagi, masalah masyarakat majmuk di negara ini tidak dapat diselesaikan tanpa penyelesaian melalui ‘karamah insaniyah’ - kemuliaan dan kehormatan manusia - yang menjadi dasar hubungan kemanusiaan dalam Islam. Ucapan ini adalah berdasarkan tema muktamar ABIM pada tahun tersebut, dan turut disiarkan dalam majalah ‘Risalah’ (keluaran nombor 3, 1979) serta majalah ‘Panji Masyarakat’ (keluaran Ogos 1979). Topik ini turut dikupas oleh beberapa tokoh lain seperti Mohd Nor Haji nawawi, Datuk Dr Siddiq Fadzil dan Kamaruddin Jaafar. 
6. Koleksi bacaan minggu ini.

Alhamdulillah, selain berkesempatan memborong buku di Pesta Buku yang berlangsung di Pasaraya Space U8, Bukit Jelutong, saya juga sempat membeli beberapa naskah buku ketika Konvensyen Pencerdasan Rakyat di Dewan Kompleks Belia Selangor, Shah Alam. Di Space U8, akhirnya saya ketemu sebuah buku yang telah lama saya cari, iaitu buku berjudul ‘Football’ yang diterbitkan pada tahun 2000. Buku ini mengandungi ratusan gambar berwarna dan hitam-putih, dari awal kemunculan bola sepak moden sekitar 1880an sehinggalah sekitar tahun 2000. Juga terima kasih kepada sahabat budiman sekalian yang sudi meminjamkan saya beberapa naskah besar seperti ‘Pendidikan Al-Hikmah’ (Ustaz Siddiq Fadzil, 2009) dan ‘Mutiara Taman Adabi’ (Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, 2003).  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan