Isnin, Mac 18, 2013

Aksi pertama Piya untuk Harimau Malaya.


Piya, antara segelintir pemain pintar dan berpengaruh yang Malaysia miliki ketika ini.
Beraksi cemerlang dan digeruni bersama Kelantan, tetapi tidak pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan.
2011: Satu-satunya aksi Piya bersama skuad kebangsaan ialah bersama skuad tangkap-muat sewaktu menentang Chelsea. Malaysia XI dibarisi oleh lima kapten skuad kelab/negeri di bawah bimbingan Ong Kim Swee.
Piya sewaktu menentang Chelsea FC pada 2011.
2013: Piya menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.
Datuk RG bersaing dengan Manaf Mamat sewaktu sesi latihan sebelum bertemu Arab Saudi. RG dikenali sebagai pemain yang berdisiplin dan jurulatih yang berjasa kepada skuad negara. Tetapi, seperti Arsene Wenger, taktik dan corak kendalian beliau semakin kurang menjadi.

Arab Saudi mencipta polemik awal apabila sekadar menghantar pegawai media sewaktu sidang akhbar, dan bukannya jurulatih atau pengurus pasukan sebagaimana kebiasaannya.
Amri Yahyah antara segelintir pemain negara yang menyerlah dan bersungguh-sungguh dalam aksi menentang Arab Saudi.
Meskipun beraksi cemerlang bersama Selangor FA, Mahalli gagal menyerlah dalam perlawanan menentang Arab Saudi.

Safiq Rahim berjaya menjaringkan satu gol cantik, gol saguhati negara.
K. Rueben juga menampilkan disiplin yang baik.
Mat Yo tenggelam dalam asakan dan kawalan ketat pemain Arab Saudi.
Semoga Mat Yo aka Wak Lan dapat kembali kepada prestasi asal beliau.
Wira hoki kebangsaan.
Skuad hoki kebangsaan, Naib Johan Piala Sultan Azlan Shah 2013.
Pemain negara kelihatan sugul selepas tamat perlawanan.
Terowong masa. Saya mula mengunjungi Stadium Shah Alam bersama ayah, sahabat dan saudara-mara saya sedari 1994, setiap kali ada ruang dan kesempatan. Stadium usang yang gah ini menyimpan banyak sejarah bola negara.
Ultras Malaya, yang terus-terusan bersorak memberikan semangat buat skuad negara, dari sebelum perlawanan sehingga wisel penamat. Tabik hormat.
Untuk perlawanan persahabatan dengan harga tiket yang agak mahal (RM20); siaran langsung di Astro dan prestasi tidak menentu Harimau Malaya; kehadiran penonton seramai kurang lebih 5,000 orang adalah memuaskan.
Marlon Alex James, pemain import yang sinonim dengan Liga Super Malaysia, memberi sokongan kepada skuad kebangsaan dalam ulasan di Twitternya.
Yang ini saya tak pasti mahu beri ulasan apa.

Mac 1997: Kelayakan Piala Dunia 1998 menyaksikan Malaysia seri 0-0 dengan Arab Saudi di Shah Alam, sebelum tewas 0-3 di Jeddah. Azman Adnan dan Che Zambil Ahmad merupakan gandingan yang mantap ketika itu.
Mac 1997: Azmil Azali cuba membantu Khairul Azman daripada diasak oleh pemain Arab Saudi, Obied Al-Dosary di Shah Alam. Kita seri 0-0.



Aksi pertama Piya untuk Harimau Malaya.
17hb Mac 2013, Stadium Shah Alam, 8.45 malam.

1.0. Cerita hoki kita.
Jaringan Trent Milton pada minit ke-71 sewaktu Final Piala Sultan Azlan Shah menguburkan impian skuad hoki kebangsaan untuk mengecap kejuaraan sulung selepas empat kali mara ke perlawanan akhir sebelum ini. Malaysia tewas 2-3 kepada pasukan ranking kedua dunia itu, yang popular dengan gelaran Kookaburras

Sorakan semangat dan tumpuan peminat sukan negara kepada perlawanan dengan Australia, Juara Piala Dunia Hoki 2010 itu seolah-olah menenggelamkan cerita perlawanan persahabatan skuad bola sepak kebangsaan dengan pasukan Arab Saudi. Untuk seketika, hoki seolah-olah merupakan sukan nombor satu dan paling popular di Malaysia, merujuk kepada prestasi semasa dan minat yang ditunjukkan penyokong kita.

2.0. Tentang Piya.
Berkesempatan untuk hadir ke Stadium Shah Alam, sejujurnya saya tidaklah meletakkan harapan kemenangan kepada skuad kebangsaan. Selepas terbaca berkenaan komen jurulatih negara Datuk K. Rajagobal (RG) yang menyatakan bahawa perlawanan itu merupakan medan terbaik menguji pemain, fokus saya hanyalah kepada aksi sulung Piya bersama skuad Harimau Malaya. Bermula dengan kontroversi penghantaran pegawai media oleh skuad Arab Saudi sewaktu sidang akhbar – yang dianggap sebagai kurang sopan oleh media Malaysia – tidak banyak yang boleh kita ulas tentang perlawanan tersebut, selain keterbukaan hati Datuk RG untuk menguji Piya. 

‘Piya’, nama panggilan kapten The Red Warriors, Badhri Radzi, adalah antara nama timangan paling popular dalam Liga Malaysia sejak beberapa musim yang lepas. Beliau tidak pernah dipilih untuk menyarung jersi pasukan senior kebangsaan, khususnya ketika Harimau Malaya di bawah kendalian Datuk RG, sehinggalah perlawanan dengan Arab Saudi. Kita mesti berlaku adil kepada Piya, dan tidak seharusnya menilai kemampuan beliau hanya berdasarkan aksi separuh perlawanan tersebut. 

Sebagaimana ruang dan peluang yang banyak telah diberikan kepada Safiq Rahim dan Ammar Rohidan; begitulah juga peluang yang sama harus diberikan kepada Piya. Bola sepak bukan permainan individu; ia adalah perlawanan berpasukan. Piya bukanlah Superman yang mampu menentang pasukan lawan secara bersendirian; dan ini merupakan aksi sulungnya bersama skuad kebangsaan. Berlakulah adil kepada beliau. 

Kita kekurangan pemain bersifat pemimpin yang berpengaruh dalam skuad Harimau Malaya. Sekurang-kurangnya, seperti Ahmad Shahrul Azhar dan Hairuddin Omar (sekadar menyebut beberapa nama). Dan, saya kira, Piya adalah calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut: berdasarkan aksinya bersama skuad Kelantan FA.

Pernah menyumbang bakti bersama PDRM FC, JPS Kelantan FC dan TNB Kelantan FC, Piya telah dinamakan sebagai ‘Pemain Terbaik Asia’ untuk bulan Oktober 2012 oleh Goal.com. di samping Yuto Nagatomo (Inter Milan FC). Diangkat sebagai pemain tengah terbaik Liga Malaysia oleh majoriti peminat bola tempatan, Datuk RG tidak seharusnya terlepas pandang Piya lagi.   
     
3.0. Malaysia lawan Arab Saudi.
Sementelah, ini adalah kali pertama skuad Harimau Malaya memakai jersi belang Hitam-Kuning; meski pun jersi rekaan terbaru Nike itu sudahpun diperkenal dan dipromosikan sejak Piala AFF Suzuki 2012 yang lepas. Ramai yang merungut bilamana skuad kebangsaan hanya menyarung jersi Biru-Merah-Putih sejak Piala AFF Suzuki 2012; baik sebagai tuan rumah atau bertandang ke tempat lawan.

Untuk rekod, kita tidak pernah kalah kepada Arab Saudi di tanah air kita dalam empat perlawanan sebelum ini. Semalam di Shah Alam, separuh masa pertama menyaksikan Arab Saudi bermain dengan tempo agak pantas, di kala Malaysia bermula perlahan dan berhati-hati; membawa kepada Malaysia untuk ketinggalan 0-2. Pada separuh masa kedua, beberapa pertukaran dilakukan (Piya antara yang dikeluarkan) dan Arab Saudi mula mengendurkan rentak permainan. 

Perlawanan mula berlangsung secara ‘open game.’ Malaysia memperoleh gol saguhati hasil rembatan kencang Safiq Rahim pada minit ke-71. Kemudian Naif Hazazi menambah jaringan Arab Saudi pada minit ke-89 dan satu gol lagi menyusul menerusi Hamdan Al-Hamdan pada minit ke-92. 

4.0. Impian, harapan dan masa depan.
Tidak sedikit yang membandingkan prestasi skuad hoki kebangsaan dengan Harimau Malaya. Ya, situasi sukan hoki berbeda dengan bola sepak. Kendati, ia tidak boleh dijadikan alasan simplistik untuk melepas tangan terhadap masa depan bola sepak negara. Sebagai sukan paling popular dan mendapat peruntukan paling banyak daripada Kerajaan Persekutuan, banyak yang perlu dilakukan bagi menjustifikasikan situasi semasa bola sepak negara.

Tatkala ramai yang mengulas dan merungut tentang persediaan ke Piala Asia AFC 2015, ranking terbaru yang dikeluarkan FIFA menunjukkan Malaysia terus jatuh sehingga ke tangga ke-164. Untuk kesekian kalinya; tidak sedikit yang mendesak agar kerusi jurulatih negara bertukar tangan. Bola masih di kaki FAM; tatkala loceng kecemasan telah lama berdering dan bergema sekuat mungkin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan