Jumaat, Februari 15, 2013

SuperMokh jalani pembedahan lutut (1976).

Supermokh jalani pembedahan lutut (1976).
Tahun 1976, ketika berada di puncak prestasi (berusia 23 tahun), SuperMokh mengalami kecederaan teruk pada lutut kaki kanannya. Beliau terpaksa menjalani pembedahan membetulkan ‘meniscus’ atau dalam bahasa sukannya ‘torn cartilage’. Justeru itu, SuperMokh telah menjalani pembedahan lutut pada Disember 1976.
Operasi meniscus pada era tersebut dikira sebagai pembedahan besar, yang mengambil masa berbulan-bulan lamanya. Hari ini, pembedahan ‘meniscus’ hanya mengambil masa selama 45 minit dan pesakit kebiasaannya dapat beraksi selepas empat minggu.
Pembedahan ini menyebabkan SuperMokh tidak dapat mewakili skuad kebangsaan sewaktu Kelayakan Pra-Piala Dunia 1978 yang berlangsung di Singapura pada April 1977. Skuad kebangsaan yang diletakkan dalam Kumpulan 1, menang 6-4 ke atas Thailand; Seri 0-0 dengan Indonesia; tewas 0-1 kepada Singapura; serta seri 1-1 dengan Hong Kong. Malaysia menduduki tempat ketiga di belakang Singapura dan Hong Kong, sekaligus gagal untuk layak ke Piala Dunia 1978. 
Akibatnya, selepas pulih daripada kecederaan tersebut, prestasi Mokhtar sedikit menurun. Beliau hanya insan biasa, kadangkala ada pasang surut, di samping kecederaan lutut yang menghantui perjalanan kejaya beliau (mana-mana ahli sukan pasti tahu bagaimana sukarnya untuk ‘menjaga’ diri akibat kesan kecederaan lampau).
Hingga lah sampai suatu masa, pihak media dan orang ramai mempertikaikan prestasi Mokhtar lebih-lebih lagi ketika beliau beraksi untuk skuad Malaysia, tanpa ambil kira kesan kecederaan yang beliau alami sebelum itu. 
November 1979, SuperMokh yang ketika itu berusia 26 tahun, mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan.
Gambar Supermokh sewaktu di hospital setelah selesai menjalani pembedahan lutut, telah diabadikan pada kulit depan Novel ‘Arca Berdiri Senja (ABS)’ karya Baharudin C.D. Menurut Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail, naskah ABS memperlihatkan sebahagian monumen dari puncak semangat perjuangan mahasiswa, memaparkan sikap kepimpinan dan dan dunia keilmuannya. 
Naskah tersebut juga menyentuh beberapa persoalan lain seperti kekeluargaan, percintaan, politik, kemiskinan dan kegelisahan sebagai manifestasi zamannya. Semuanya itu tercerna dalam struktur yang meyakinkan. Karya ini telah diangkat sebagai Pemenang Pertama Sayembara Novel Hari Guru 1976.

1 ulasan: