Sabtu, September 01, 2012

Memaknai Erti Sebuah Kemerdekaan: Mengangkat Karamah Insaniyyah, Memberdaya Ummah.

 

Memaknai Erti Sebuah Kemerdekaan:
Mengangkat Karamah Insaniyyah, Memberdaya Ummah

Oleh: Puan Fadhlina Dato' Dr Siddiq,
Ketua Hal Ehwal Wanita (HELWA) ABIM dan sahabat Grup Peguam ABIM (GPA).

Bertahun-tahun saya mengikuti amanat kemerdekaan dan tema kemerdekaan yang berselang seli. Bertahun-tahun juga saya dungu mengikut laungan merdeka tanpa menyedari apa yg dimerdekakan? Seiring dengan kedewasaan saya, makin kuat persoalan di benak,apa merdeka ini hanya ada tema dan perbarisan? Mengisi kemerdekaan bukan dengan tema, logo dan perarakan. Islam telah lama memerdekakan ummatnya dengan kalimah tauhid. Tidak sedikit sejarah perjuangan Musa AS yang berdakwah untuk mengeluarkan kaumnya dari jiwa hamba setelah ditindas oleh Firaun berdekad lamanya. Bilal Bin Rabah menjadi manusia terhormat dan mencapai tahap kemuliaan insan dengan syahadah. Umar Al-Khattab dan Saidina Hamzah RA mengetuai demonstrasi pertama dalam Islam ketika meingiklankan pengislaman mereka. Luar biasa kalimah tawhid ini dengan makna memerdekaan manusia dari sifat kehambaan manusia kepada manusia reformis yang melalui proses transformasi aqidah sehingga punya keberanian untuk hidup dengan lebih bermaruah dan keyakinan sebagai manusia yang dijanjikan segala karamah insaniyyah.

Bicara kemerdekaan tidak tertumpu kepada laungannya tetapi pengisian maknanya yang membawa mesej liberatif-emansipasif~tahriry dan tanwiriy. Tahriry yang membawa maksud pembebasan dan tanwiriy yang hadir dengan semangat pencerahan. Aspirasi pembebasan dan pencerahan ini sangat terkait rapat dengan proses pendidikan dan hanya akan terlaksana di kala ummat benar-benar memiliki citra tentang harga diri, maruah dan kehormatan. Maka sekali lagi yang memaknai karamah insaniyyah itu apabila citra maqasid syariyyahnya ditunjangi dengan penuh adab dan hormat.

Ada rasa cemas yang menikam di balik kibaran Jalur Gemilang andai ummat yang kita lahirkan pasca kemerdekaan hanya bermentaliti Labu dan Labi. Hidup dalam ketakutan kerana ugutan dan hukuman. Mereka hanya berani menentang Haji Bakhil yang zalim di dalam mimpi! Dikerjakannya Haji Bakhil cukup-cukup di dalam mimpi! Setakat itu sahajalah keberanian yang ada kepada mereka, sekadar mampu bermimpi. Amat malang sekali andai kita terus membiarkan manusia yang sisinya terpancar sebaik-baik kejadian Tuhan terus dihina dan diperkuli ibarat nasib sepatu yang malang, “dari atas diinjak kaki, dari bawah ditusuk duri, sudah usang dibuang orang”.

Mengapa saya begitu kritikal dengan pengisian kemerdekaan? Kerana saya belum benar-benar memaknai kemerdekaannya. Saya mahu ia diisi dengan objektif yang jelas bukan dengan pesta iklan serta lagu patriotik dan konsert para artis. Atau diulang tayang filem Bukit Kepong, Leftenan Adnan dan Hati Malaya sebagai hidangan kemerdekaan. Pendita Zaaba pernah dengan kritis merumuskan kemelut ummat Melayu dengan perkataan “miskin”. Kemiskinan yang bukan sedikit tetapi kemiskinan yang mencakupi kemiskinan moral, ilmu, material, intelektual dan spiritual. Menurut Zaaba, kemelut ini hanya akan reda dengan reformasi pendidikan, pemurnian dan penyegaran agama serta pembinaan budaya dan watak bangsa yang sihat. Inilah jiwa merdeka yang dimaknai dalam sentuhan keramat Dr Burhanuddin Al Helmi lewat seruannya,” Di atas runtuhan Kota Melaka, Kita bangunkan jiwa merdeka.”

Mutakhir ini, kisah korupsi, kezaliman, pembunuhan, pemerkosaan, pencabulan hak dan penindasan kian menjadi-jadi. Indeks jenayah dan gejala sosial tidak pernah gagal mendatangkan rasa tidak tenteram dan kebimbangan hilang nyawa. Paling kurang kita hanya mampu bersimpati, paling tidak kita berdoa mengikut tahap iman masing-masing, paling kerdil pun kita hanya mengikuti bicaranya di layar kaca atau media cetak. Nah,selepas kita jelas dengan pengisian kemerdekaan, maka kemuncaknya adalah pemberdayaan! Institusi-institsi rakyat mesti dipulangkan pemilikannya kepada rakyat. Rakyat hampir tidak punya apa-apa di saat haknya boleh diambil, dikurangi, dihapus dan dicabul sesuka hati.

Melahirkan masyarakat madani adalah sebahagian pakej pemberdayaan selain pendidikan demokrasi dan pelestarian ekonomi yang adil bagi menghapuskan kesenjangan ekonomi rakyat. Rakyat mesti didik dengan kesedaran hak agar suara rakyat disampaikan dengan lebih efektif dan diambil perhatian.Penting untuk mendidik rakyat agar mengurangkan kebergantungan kepada pimpinan mereka kerana sikap terlalu bergantung adalah penyakit orang lemah dan kerdil. Jauh sekali dari citra jiwa merdeka!

Sejarah kemerdekaan akan terus diulang cetak sehingga adakalanya ia hanya terfokus kepada Tunku Abdul Rahman dan laungannya. Sedang wira kemerdekaan itu bukan hanya Tunku seorang, moga-moga dengan pengisian kemerdekaan yang lebih bertanggungjawab akan mendamaikan seluruh wira bangsa yang sedang dalam peristirehatan mereka apabila pengorbanan dan perjuangan mereka telah menghasilkan ummat yang benar-benar merdeka. Selamat menyambut kemerdekaan dengan citra jiwa merdeka, moga-moga kita akan memaknai kemerdekaan kali ini dengan komitmen untuk mengangkat karamah insaniyyah, memberdaya ummah!


** Untuk sejarah ringkas ABIM, boleh rujuk pautan ini:
****************************

Sumber:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan