Rabu, Julai 25, 2012

Dato’ Seri Anwar Ibrahim: Mantan TPM Malaysia (Bahagian Kedua).


Salam.


Saya merujuk kepada entri:  
Memandangkan agak sukar untuk saya mengemaskini entri yang asal (kerana terlalu panjang), saya terpaksa membahagikan entri tersebut kepada dua bahagian. Bahagian yang asal dikira sebagai bahagian pertama. Dan, entri yang ini dikira sebagai bahagian kedua.

Harap maklum. Terima kasih.

________________________________________________



Hanya dengan jiwa merdeka mampu kita robohkan kerawang dan tembok yang membelenggu pemikiran, memundurkan negara dan menindas rakyat. Tokoh politik, sarjana, aktivis, pekerja dan mahasiswa harus merasa tercabar untuk berfikir dengan waras dan bertindak dengan bijaksana”. 
-- DSAI.

________________________________________________


Pada 7 Ogos 1988, DSAI telah dianugerahkan gelar ‘Tokoh Pembaca’ anjuran Majlis Kemajuan Buku Malaysia di PWTC, Kuala Lumpur. Anugerah disampaikan oleh Pengerusi Majlis tersebut, Datuk Haji Hassan Ahmad. Rustam A. Sani (penulis tersohor dan anak kepada tokoh pejuang kemerdekaan tanah air, Ahmad Boestamam), telah menyampaikan pidatonya sewaktu penganugerahan tersebut.


________________________________________________

Pada 29 Mei 1990, Perdana Menteri yang ketiga, Tun Hussein Onn meninggal dunia di San Francisco kerana sakit jantung dan jenazahnya dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Negara, Kuala Lumpur.

_________________________________________________


 
Pada 21 Oktober 1990, Pilihan Raya Umum yang ke 8, diadakan dan Barisan Nasional memenangi 127 kerusi daripada 180 kerusi yang dipertandingkan. UMNO (Baru) memenangi 71 daripada 86 kerusi yang diperuntukkan.

_________________________________________________

Pada 6 Disember 1990, Perdana Menteri yang pertama dan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meninggal dunia kerana sakit tua. Jenazahnya dikebumikan di Makam DiRaja Alor Setar, Kedah.

_________________________________________________



Pada tahun 1990, DSAI mengekalkan jawatan Naib Presiden UMNO (Baru) dengan majoriti terbanyak, 1067 undi. Sanusi Junid dapat 953 undi dan Pak Lah dapat 750 undi.

_________________________________________________

Pada 28 Februari 1991, Dr Mahathir membuat pengumuman berkenaan gagasan “Wawasan 2020.” Pandangan ini dikemukakan pada persidangan Majlis Perdagangan Malaysia pdalam kertas kerja bertajuk “Malaysia - The Way Forward. Wawasan 2020 ialah pandangan Tun Dr. Mahathir Mohammad untuk menjadikan Malaysia negara membangun dengan corak negara Malaysia yang diingini menjelang tahun 2020. Wawasan 2020 bermatlamat untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Menjelang tahun 2020, Malaysia akan menjadi sebuah negara perindustrian yang maju tetapi mengekalkan nilai-nilai murni, menikmati taraf hidup yang tinggi, keamanan dan keadilan sosial serta bangga terhadap negara.


_________________________________________________




Pada 15 Mac 1991, DSAI dilantik sebagai Menteri Kewangan menggantikan Tun Daim Zainuddin. Sebagai Menteri Kewangan sejak Mac 1991, DSAI dilihat sebagai anggota kabinet yang memperkenalkan perkataan-perkataan dan istilah-istilah baru ketika menyampaikan ucapan belanjawan.

Sebagai tamsilan, ialah istilah-istilah seperti ‘nawaitu’, ‘iltizam’, ‘ketirisan’, ‘kegawatan’, ‘kebobrokan’, ‘madani’ dan sebagainya. Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu tidak pernah kontang dengan kosa kata dan perbendaharaannya adalah kaya serta indah.

_________________________________________________



Akhbar NST bertarikh 25 April 1993 melaporkan DSAI sebagai berkata, beliau tidak akan mencabar Tun Ghafar untuk jawatan No.2: “Datuk Seri Anwar Ibrahim announced today he will not challenge Ghafar Baba for the Umno deputy presidency during the party’s elections in November. The Finance Minister, who is also an Umno vice-president, said his decision was based on his belief that party unity and strength must be enhanced so that the country can continue to enjoy peace and prosperity.”

Pada 10 Mei 1993, Tun Ghafar mengucapkan terima kasih kepada DSAI kerana bersifat ‘tidak mementingkan diri.’ NST melaporkan bahawa: “Umno deputy president Ghafar Baba said he appreciated the statement by party vice-president Datuk Seri Anwar Ibrahim that he would not challenge him for the number two post in the November party elections. Ghafar said this when asked about Anwar’s statement in a radio talk show over Radio Televisyen Malaysia this morning.”

Pada 20 Mei 1993, NST melaporkan DSAI sebagai berkata bahawa beliau tidak mempunyai niat untuk mencabar Tun Ghaffar. Beliau berkata, “I do not want to go all out to take on Ghaffar… this I want to make clear. I serve the party and I will bow to its decision and wisdom.”

Pada 12 Jun 1993, Berita Harian melaporkan bahawa: “Naib Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusannya tidak mencabar Timbalan Presiden, Ghafar Baba, dalam perhimpunan agung parti itu, November ini, adalah muktamad. “Tiada yang berubah. Apakah ada apa-apa yang berubah? (Ini) kenyataan yang sama daripada dulu. Tidak ada tukar. Saya dah katakan sebelum ini.” katanya.”

_________________________________________________



Pada 1993, DSAI yang pada asalnya menafikan bahawa beliau akan menentang Tun Ghafar, secara tiba-tiba membuat pengisytiharan -- dalam satu sidang media – bagi mengumumkan kesediaannya bertanding.

Sewaktu pengisytiharan tersebut, hampir kesemua pimpinan tertinggi UMNO (Baru), diketuai Setiausaha Agung UMNO (Baru) ketika itu, Tan Sri Mohamed Rahmat, hadir bagi menyatakan sokongan mereka.

8 Menteri Besar UMNO (Baru), seorang Ketua Menteri, 9 daripada 14 Menteri Kabinet UMNO (Baru), dan 16 Timbalan Menteri UMNO (Baru) hadir untuk memberi sokongan kepada DSAI.

DSAI telah memperolehi pencalonan yang terbanyak untuk kerusi Timbalan Presiden UMNO (Baru). Penyandang jawatan pada ketika itu ialah Encik Ghafar Baba (Almarhum Tun) telah gagal mendapatkan kuota yang mencukupi bagi mempertahankan kerusi. Pada tahun tersebut, 95 % ahli UMNO (Baru) menyokong DSAI. 143 bahagian mencalonkan DSAI. Ghaffar hanya 7 bahagian sahaja.

Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Tun Ghafar Baba, boleh rujuk pautan ini: Tun Ghafar Baba: Dari Penjual Kayu Api ke Parlimen.

_________________________________________________


Ketua Wanita UMNO (Baru) ketika itu, Datuk Seri Rafidah Aziz menjadi pemimpin paling vokal yang menentang usaha menjatuhkan Tun Ghaffar. Beliau menggambarkan pihak yang menuntut Tun Ghaffar agar berundur adalah ‘pihak yang mempunyai hanya sedikit nilai kemanusiaan dan etika.’ Beliau juga menekankan bahawa “ahli UMNO boleh menyokong sesiapa sahaja yang mereka mahukan, tetapi mereka tidak berhak untuk menegah pemimpin veteran UMNO daripada bertanding.”

_________________________________________________



Pada 30 September 1993, sewaktu berusia 68 tahun, Tun Ghaffar Baba meletakkan jawatan selaku Pengerusi Perhubungan BN Negeri Sabah. Tun Ghaffar adalah antara individu yang bertanggungjawab melebarkan sayap UMNO di Sabah. UMNO Sabah dilihat sebagai kubu kuat kumpulan beliau.

Namun, menjelang pemilihan UMNO 1993, Tun Ghaffar hanya memperoleh 1 pencalonan, iaitu daripada UMNO Kota Marudu, yang diketuai sekutu beliau, Tun Datu Mustapha Harun. DSAI mendapat 19 pencalonan.

Tun Datu Mustapha turut menyerahkan surat perletakan jawatan Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Sabah. Tan Sri Sakaran Dandai kemudiannya memegang jawatan Ketua UMNO Sabah.

Kemudian, pada 15 Oktober 1993, Tun Ghaffar meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dikatakan bahawa surat perletakan jawatan Tun Ghaffar ditulis pada kertas Penerbangan Malaysia di bilik VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, sebelum berlepas ke Korea Selatan bagi tugas rasmi.

_________________________________________________




Pencalonan untuk Pemilihan UMNO 1993 didahului dengan persepakatan politik beberapa orang pemimpin muda UMNO (Baru) yang popular yang dikenali sebagai ‘Team Wawasan’. Team Wawasan dikaitkan dengan Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Dr M yang ketika itu merupakan Presiden UMNO (Baru).

Pakatan tersebut terdiri daripada individu seperti Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak (kini Perdana Menteri Malaysia), Tan Sri Muhyiddin Yassin (kini Timbalan Perdana Menteri Malaysia), dan Tan Sri Muhammad Haji Muhd Taib (mantan Menteri Besar Selangor) yang mana mereka telah memenangi jawatan Naib Presiden UMNO (Baru).

Sementelahan, Tan Sri Rahim Thamby Chik (mantan Ketua Menteri Melaka) memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO (Baru).

Oleh yang demikian, DSAI telah memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO (Baru) tanpa bertanding pada Perhimpunan Agung UMNO (Baru) yang dijalankan pada 4 November 1993.

_________________________________________________



Susulan daripada itu, sebagai memenuhi tradisi BN, Dr M telah melantik DSAI sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tanggal 1 Disember 1993.


_________________________________________________



Gabungan Dr M-DSAI pada tahun 1994 telah memberi janji “Gagasan Sabah Baru”, di mana ia telah dicetuskan melalui manifesto UMNO-Barisan Nasional semasa pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sabah pada tahun 1994.

Program Diskusi Sabah Baru, anjuran bersama Jabatan Ketua Menteri Sabah, IDS, IKD, UPKR dan BTN Sabah telah berlangsung pada 4-6 Julai 1994 di Labuan. Begitu juga “Seminar Agenda Pembangunan Sabah Abad 21” telah dianjurkan oleh ABIM Sabah pada Jun, 1994.

Selain itu, tersiar juga tulisan-tulisan rencana, seperti melalui uangan “cetusan Minda” dalam majalah Wadah (DBP Cawangan Sabah) keluaran Disember 1994, di bawah tajuk “Agenda Pembangunan Sabah Abad 21.”

Pada 15 Februari 1994, Ketua Pembangkang ketika itu, Lim Kit Siang yang merupakan Ahli Parlimen Tanjong, mengkritik DSAI dan UMNO-BN sebagai memberikan janji dan harapan palsu kepada rakyat Sabah. Antara manifesto yang dilihat janji kosong ialah UMNO-BN akan ‘menghapuskan kemiskinan di Sabah dalam masa hanya 6 tahun.’

_________________________________________________



Selepas empat penggal berturut-turut, Parti Bersatu Sabah (PBS) -- yang ditubuhkan oleh Datuk Joseph Pairin Kitingan pada tahun 1985 di Sabah – tumbang pada 1994 selepas beberapa ADUN nya melompat partai ke dalam UMNO-BN.

Sebelum itu, PBS telah memenangi 25 kerusi, berbanding 23 kerusi yang dimenangi oleh UMNO-BN. PBS telah meninggalkan UMNO-BN sewaktu PRU 1990.

Tindakan PBS meninggalkan UMNO-BN dicemuh oleh Dr Mahathir sebagai menikam belakang UMNO-BN. PBS telah menyertai Gagasan Rakyat yang turut dianggotai Semangat 46 dan DAP.

Datuk Joseph Pairin terpaksa menunggu selama 36 jam di dalam Mercedez-Benz dan kemudiannya Toyota Landcruiser nya di luar istana sebelum mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri sabah.

Namun, Datuk Joseph Pairin hanya memegang jawatan selaku Ketua Menteri selama dua minggu, selepas beberapa ADUN PBS melompat partai dan menubuhkan partai mereka sendiri. Peristiwa ini membawa kepada perlantikan Ketua Menteri Sabah pertama dalam kalangan pemimpin UMNO dan seterusnya sistem penggiliran Ketua Menteri.

Setelah insiden lompat-melompat tersebut, PBS cuma mempunyai 3 wakil rakyat: Jospeh Pairin, Dr. Maximus Ongkili dan Datu Amirkahar Tun Datu Mustapha. Dalam keadaan sedemikian, Pairin tiada pilihan lain selain melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada 17 Mac 1994. Keadaan ini menggemparkan seluruh rakyat Sabah.

_________________________________________________



Pada bulan November 1994, setahun selepas DSAI bergandingan dengan Dr M, negara dikejutkan dengan sejarah pengkhianatan ‘Brutus’ yang dibangkitkan oleh Dr M sewaktu berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO 1994. Ucapan itu dipercayai merujuk kepada DSAI dan pasukannya yang dilihat semakin menggugat pengaruh Dr M di dalam UMNO (Baru).


_________________________________________________


Pada April 1995, PRU yang ke-9 diadakan, dan UMNO memenangi 89 kerusi Parlimen daripada 102 kerusi yang dipertandingkan. 


_________________________________________________


Pada 20 September 1995, Dr Mahathir menjelaskan tidak wujud perselisihan faham di antara beliau dengan DSAI selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (Baru).

_________________________________________________


Pada 6 Ogos 1996, Dr Mahathir berkata akibat terlalu banyak teori konspirasi mengenai hubungannya dengan DSAI, telah timbul pelbagai keadaan yang tidak menyenangkan dalam UMNO (Baru).

_________________________________________________


Pada 20 November 1996, mantan Presiden Partai Melayu Semangat 46, Ku Li yang menganggotai semula UMNO (Baru) menyatakan beliau tidak mempunyai rancangan untuk mencabar DSAI selaku Timbalan Presiden UMNO (Baru).

_________________________________________________


Pada 22 November 1996, Dr Mahathir menyatakan sokongan penuh kepada DSAI sebagai penggantinya.

_________________________________________________


Pada 24 November 1996, Naib Presiden UMNO (Baru) ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pertikaian mengenai siapa yang akan menggantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri tidak harus timbul, jika pemimpin dan ahli UMNO menghormati hierarki dalam parti.

_________________________________________________


Pada 25 November 1996, Ketua Pemuda UMNO (Baru), Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata Pemuda memberi amaran kepada semua pihak termasuk media asing supaya tidak membuat spekulasi mengenai hubungan baik Dr Mahathir dan DSAI.

_________________________________________________



‘Team Wawasan’ tidak bertahan lama, apabila satu-persatu tokohnya mulai tumbang. DSAI juga didakwa sudah tidak berminat untuk membantu kempen rakan-rakannya dalam pasukan tersebut selepas menduduki jawatan TPM dan Timbalan Presiden UMNO.


Maka, pada Pemilihan UMNO Oktober 1996, baharulah para perwakilan diberi peluang untuk memilih calon berdasarkan kemampuan masing-masing. Tan Sri Muhyiddin Yassin tewas kepada Pak Lah. Tan Sri Muhammad Taib dan Tan Sri Rahim Thamby Chik pula terpaksa berundur ekoran skandal yang melingkari kerjaya politik masing-masing.

_________________________________________________



DSAI yang mempertahankan jawatan Timbalan Presiden UMNO untuk penggal kedua pada 1996, telah diberi kepercayaan untuk memangku jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO selama dua bulan sejak 19 Mei 1997.


_________________________________________________


Pada 23 Mei 1997, Akhbar NST melaporkan bahawa Dr Mahathir telah dinamakan sebagai pemimpin kedua paling berkuasa di Asia.

_________________________________________________


Pada bulan Jun 1997, ketika Dr Mahathir masih bercuti di luar negara, surat beracun pertama berkenaan tuduhan salah laku seksual terhadap DSAI mula disebarkan.

_________________________________________________

Pada bulan Julai 1997, ketika kegawatan ekonomi mula melanda seluruh Asia, Dr Mahathir kembali dari cuti-dua-bulannya.

_________________________________________________



Pada 25 Ogos 1997, Dr Mahathir berkata, dakwaan kononnya DSAI terbabit dalam skandal seks merupakan fitnah yang bermotifkan politik.


_________________________________________________



Pada 26 Ogos 1997, DSAI mendedahkan bahawa beberapa surat tohmahan terhadapnya diedarkan kebelakangan ini dalam usaha yang terancang, teratur dan teliti bagi tujuan memendekkan kerjaya politiknya.


_________________________________________________



Pada 1 September 1997, Akhbar NST melaporkan bahawa Dr Mahathir membuat kenyataan yang tegas dalam akhbar menyatakan bahawa sesiapa yang cuba untuk mempersoalkan kedudukan DSAI atau cuba membuang DSAI dari pejabatnya ‘patut ditembak’.

Dr M menegaskan, “I do not know what to do with these people (rumous-mongers)... we should shoot them.” Beliau bercakap kepada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA ke-44 di Wisma MCA.

Beliau membuat kenyataan tersebut pada 31 Ogos 1997, Hari Kebangsaan. Tarikh tersebut juga merupakan tarikh kematian Puteri Diana.

_________________________________________________


Pada 5 September 1997, Perhimpunan Agung Khas UMNO (Baru) telah mencadangkan agar perkataan ‘Baru’ pada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Baru) dimansuhkan. Dengan itu nama yang diguna pakai ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.

_________________________________________________



Pada 7 September 1997, sewaktu Perhimpunan Agung UMNO, Dr Mahathir menangkis segala tohmahan yang bertujuan merosakkan imej DSAI yang bakal menggantikannya.


_________________________________________________


Pada bulan September 1997, Dr M dilihat mula berbeda pendapat secara jelas dengan DSAI dalam soal dasar ekonomi Negara. Dr M melantik orang kepercayaan beliau, Tun Daim Zainuddin, untuk mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), mengurangkan kuasa dan kedudukan DSAI selaku Menteri Kewangan.

_________________________________________________



Dato’ Seri Zahid Hamidi yang kemudiannya menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Datin Siti Zaharah Sulaiman selaku Ketua Wanita UMNO dan Timbalan Menteri Kesihatan, dilihat sebagai ‘rakan pakatan baru’ yang cenderung menyokong dan sealiran dengan DSAI.


_________________________________________________



Sewaktu menjadi TPM, antara jawatan-jawatan lain DSAI ialah, beliau pernah dipilih menjadi Presiden Persidangan Tahunan UNESCO dan Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan dalam mesyuarat besama Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada tahun 1998.


_________________________________________________


Benarkah DSAI ‘berubah’?
DSAI dikatakan sudah ‘berubah’ selepas menyertai UMNO. Baik dari segi berpakaian dan gaya hidup, beliau didakwa tidak lagi menuruti gaya hidup Islam yang dipopularkan oleh beliau sendiri sewaktu di dalam ABIM.

Sebagai bekas pemimpin gerakan Islam, komitmen DSAI dengan penghayatan Islam juga dikritik, khususnya berkenaan adat bersalaman dengan wanita yang bukan mahram.

Selain daripada itu, DSAI dikatakan menjadikan Biro Tata Negara (BTN) serta media seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan BERNAMA sebagai jentera untuk mengangkat imej hebat beliau. Hal ini demikian kerana, DSAI dikatakan melantik individu yang dilihat cenderung menyokong beliau untuk memimpin syarikat-syarikat media tersebut.

Kepada PAS, terutama individu seperti Haji Subky Latif, merasakan DSAI gagal membawa misi Islam ke dalam UMNO.

Para pemimpin PAS seperti Haji Muhammad Sabu dan Ustaz Nakhaie Ahmad (kini Dato’) mengkritik DSAI dengan keras sewaktu DSAI memegang jawatan sebagai Menteri Kabinet dalam Kerajaan UMNO-Barisan Nasional.

* [Pada tahun 1989, Ustaz Nakhaie Ahmad telah meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PAS dan menyertai UMNO. Suhaimi Said juga menuruti jejak beliau.]

Haji Subky pernah menyatakan bahawa DSAI terlalu ‘lunak’ terhadap kepimpinan UMNO-BN sewaktu menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, berbanding sewaktu memimpin ABIM. Haji Subky pernah memetik bagaimana DSAI sering menyindir pemimpin UMNO, “…Apalah… siang rasmi masjid, malam lulus judi.”

DSAI (ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO) pernah mengatakan bahawa, “…jangan minta saya serang Presiden parti (Dr Mahathir), kerana saya merasakan perjuangan Pemuda UMNO mesti seiring dengan pucuk pimpinan dan jika ada sebarang teguran, ia hendaklah dibuat mengikut saluran tertentu sama ada dalam Mesyuarat Jemaah Menteri atau Majlis Tertinggi.”

DSAI juga dilihat seringkali mengkritik pemimpin PAS yang dahulunya merupakan sahabat seperjuangan beliau di dalam ABIM, secara lantang.

Pada 14 April 1986, NST melaporkan bahawa DSAI melabelkan pakatan PAS dengan beberapa NGO Cina sebagai ‘kerjasama antara dua kumpulan ekstrimis.’

Akhbar NST melaporkan pada 3 Mei 1986 bahawa DSAI menyindir PAS sebagai sebuah partai yang ‘mencemburui kejayaan-kejayaan BN’ dan lebih banyak menghabiskan masa untuk ‘membohongi rakyat dan mengkritik dasar-dasar kerajaan BN’.

Malahan, sewaktu membahaskan Belanjawan 1993 pada bulan November 1992, DSAI menggelarkan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa (ketika itu), Haji Nik Abdullah Arshad, sebagai ‘ulamak jumud’ dan ‘pemimpin picik’.

DSAI juga dikritik oleh pemimpin pembangkang dan penulis buku politik kerana sering berdiri teguh di belakang Dr Mahathir ketika tercetusnya isu pemakaian purdah di UTM, pindaan AUKU dan ISA, demonstrasi konsert Sheila Majid di UM, skandal kerugian Bumiputra Malaysia Finance (BMF) (1983), Operasi Lalang (1987), Peristiwa Memali (1985), Krisis Kehakiman (1988), dan Krisis Pengurangan Imuniti Diraja (1983 dan 1993).

Pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh – secara konsisten – mengkritik DSAI sepanjang DSAI memegang jawatan Menteri Kewangan. Hal ini demikian kerana, DSAI didakwa gagal bertindak dengan sewajarnya serta tidak memberi penjelasan yang meyakinkan, berkenaan beberapa skandal kewangan negara. Antaranya ialah kerugian Forex RM30 bilion oleh Bank Negara pada 1994.

Pada 1995, DSAI dilaporkan sebagai berkata di Hulu Terengganu bahawa,“Rakyat diminta menolak PAS kerana bersandiwara kononnya memperjuangkan kepentingan umat dan syiar Islam sedangkan pada masa sama membantu DAP melenyapkan kepentingan serta masa depan orang Melayu di Pulau Pinang.

Beliau juga menegaskan bahawa, beliau “mempunyai bukti bahawa calon DAP yang bertanding menentangnya bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, Abdul Raman Manap, adalah Timbalan Yang Dipertua Pas Bukit Mertajam.”

Ketika menjadi pemimpin UMNO, DSAI sering menerima kritikan keras daripada penulis politik seperti Saudara Mohd Sayuti Omar dan Saudara Luthfi Othman, baik dalam buku-buku yang ditulis mereka, mahupun artikel-artikel yang ditulis dalam akhbar.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO 1990 di PWTC, Kuala Lumpur, buku tulisan Saudara MSO berjudul ‘Anwar Ibrahim: Mimpi & Realiti’ (1990) diedarkan secara percuma. Buku ini menghentam peribadi DSAI dan mendapat sambungan yang hangat ketika itu.

Media cetak seperti Aliran, Harakah dan Tamadun membuat serangan besar-besaran dalam mendedahkan keaiban DSAI dengan tujuan untuk menggunakan isu dan dakwaan salah laku seks beliau sebagai senjata untuk menjatuh kerajaan UMNO-BN. Isu-isu berkenaan jelas menjejaskan imej DSAI ketika beliau masih berada dalam kerajaan.

Serangan ini mula memuncak sekitar 1997 sehingga 1998, iaitu sebelum DSAI dipecat.

_________________________________________________


Pada bulan April 1998, lebih banyak surat beracun berkenaan skandal DSAI disebar luaskan.

_________________________________________________


Pada bulan Mei 1998, buku ’50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM’ diedarkan. Buku ini mengandungi dakwaan-dakwaan bahawa DSAI terlibat dengan ‘rasuah dan homoseksualiti’.

_________________________________________________



Selepas 32 tahun memerintah Indonesia, Presiden Suharto berhadapan dengan tekanan terbesar dalam sejarah politiknya. Gerakan Reformasi dijana di Republik tersebut dengan tujuan mendaulatkan undang-undang, menegakkan keadilan dan membanteras ‘Kolusi, Korupsi, dan Nepotisme’ (KKN).

Setelah beberapa tunjuk perasaan, rusuhan, tekanan politik dan tentera, Presiden Suharto mengundurkan diri pada 21 Mei 1998, untuk mengelakkan perpecahan dan ketidakstabilan di Indonesia. Pemerintahannya dilanjutkan oleh Naib Presiden Republik Indonesia, B.J. Habibie.

_________________________________________________


Konvensyen UMNO Johor
Istilah ‘Reformasi’ dikatakan mula bergema sewaktu Konvensyen UMNO Johor di Pulau Sibu, Mersing pada 8 Jun 1998 yang bertemakan ‘Agenda Ekonomi: Reformasi, Keadilan, Keseimbangan’. Konvensyen ini dirasmikan sendiri oleh DSAI.

Akhbar Berita Harian 9 Jun 1998 melaporkan bahawa Datuk Abd Ghani telah bercakap tentang reformasi. Beliau menyatakan bahawa, “…Malaysia memerlukan barisan kepemimpinan yang mampu membawa idealisme serta berupaya bersama-sama mengharungi perjuangan dan cabaran dalam melaksanakan reformasi dan keadilan.”

Sambung beliau lagi, “Sejak dua dekad lalu, tumpuan kita ialah mengecap kemajuan ekonomi menerusi pertumbuhan ekonomi. Tapi kita perlu bertanya, apakah pertumbuhan sebagai matlamat akhir sehingga kita abaikan ketahanan bangsa, keadilan sosial dan keseimbangan dari segi pembangunan.”

Beliau menggesa supaya pemulihan ekonomi mesti berteraskan ‘reformasi, keadilan dan keseimbangan kepada semua rakyat’.

Sementelahan, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru ketika itu, Datuk Shahrir Samad menyatakan bahawa ‘reformasi memulihkan ekonomi memerlukan penyertaan semua pihak dan bukannya menyelamatkan kelompok tertentu, sekaligus memastikan keadilannya lebih seimbang.’

Sewaktu berucap dalam Konvensyen tersebut, DSAI menyatakan bahawa, “kerajaan harus mengakui hakikat wujud kelemahan dalam sistem dalamannya, sekaligus perlu melakukan perubahan sebelum terlambat dalam mengatasi krisis ekonomi sekarang.”

_________________________________________________



Datuk Zahid Hamidi menyatakan bahawa beliau akan mendedahkan semua unsur nepotisme dalam pemberian projek-projek gergasi pada Persidangan Agung Pergerakan Pemuda UMNO, pada 18 Jun 1998.

Kenyataan ini disambut dengan sokongan terbuka oleh golongan mahasiswa, antaranya, Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Presidennya, Muhyddin Jaffar.

Dr M dilihat tersinggung (baca: tercabar) dengan dakwaan Zahid, sebelum mendedahkan senarai nama individu yang mendapat keuntungan daripada kontrak dan saham kerajaan – termasuklah Zahid sendiri, serta sahabat dan keluarga DSAI.

_________________________________________________



Pada 17 Jun 1998, DSAI memperoleh perintah injunksi interim terhadap penulis buku bertajuk ‘50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM’. 

Pada tarikh tersebut juga, satu Majlis Pra-Perhimpunan Agung UMNO telah dilangsungkan, dihadiri pemimpin tertinggi UMNO, termasuklah DSAI dan Dr Mahathir.

_________________________________________________



Pada 18 Jun 1998, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi pada perhimpunan pergerakan itu mendesak unsur nepotisme dan kronisme dalam kerajaan dihapuskan.

_________________________________________________



Pada 19 Jun 1998, DSAI menyampaikan pidato terakhirnya apabila beliau berucap merasmikan serentak Perhimpunan Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ucapan tersebut menyentuh pelbagai perkara antaranya tumpuan kepada agenda Melayu, menggilap semangat berkorban kepada semua golongan, meneruskan pembaharuan dan reformasi, bersatu di belakang pucuk pimpinan menghadapi kegawatan ekonomi dan memperjuangkan keadilan sosial dan pengagihan saksama.

Seramai 526 perwakilan Pemuda dan 528 anggota perwakilan Wanita menghadiri perhimpunan sehari itu sebelum disusuli dengan Perhimpunan Agung UMNO keesokan harinya.

DSAI juga menekankan soal ‘Reformasi’ apabila menyebut, “Tanpa reformasi, bangsa Melayu akan menjadi bangsa yang jumud, bangsa yang tenggelam dalam lipatan sejarah, bangsa yang dilupakan”.

Antara petikan ucapan terakhirnya yang paling diingati ialah: “Kepentingan peribadi perlu diketepikan; dan sikap berkelompok atau berpuak harus dielakkan”; “Jangan kita menjadi bagai orang terpijak bara hangat, menjadi tak senang diam. Kita jangan hilang pedoman”; dan “Jangan kita menari menurut rentak golongan yang kecewa dan tersisih.”

_________________________________________________


Pada 20 dan 21 Jun 1998, senarai nama syarikat dan individu yang mendapat saham dan projek kerajaan diedarkan kepada para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO.

_________________________________________________



Pada 21 Jun 1998, Dr Mahathir dalam ucapan penggulungan pada perhimpunan itu menegaskan, tiada amalan nepotisme wujud sebagaimana didakwa dan secara terbuka menyebut nama Ahmad Zahid antara mereka yang terdapat dalam senarai tersebut.

_________________________________________________



Pada 24 Jun 1998, Dr Mahathir kemudiannya melantik Tun Daim sebagai Menteri Tugas-tugas Khas untuk mengendalikan isu pembangunan ekonomi, sebelum mengarahkan agar siasatan dijalankan terhadap tuduhan-tuduhan terhadap DSAI. Dr M dilihat mula mempercayai dakwaan-dakwaan tersebut.

_________________________________________________



Pada bulan Julai 1998, sahabat baik DSAI, S. Nallakaruppan, ditahan di bawah ISA. Nalla merupakan Bekas Pengarah Magnum Corporation, Malaysian Plantations, Kamunting Corporation dan Chongai Corporation.

_________________________________________________



Kronologi ringkas pemecatan DSAI
Pada 7 Ogos 1998, DSAI menyifatkan spekulasi kononnya beliau melepaskan jawatan Menteri Kewangan sebagai ‘tidak berasas’. Katanya, beliau masih bertanggungjawab penuh di Kementerian Kewangan.

_________________________________________________


Pada 22 Ogos 1998, Dr Mahathir menyatakan di Kota Bharu bahawa terdapat usaha pihak asing untuk menumbangkan kerajaan dengan menggantikannya dengan Timbalannya, DSAI tetapi ‘beliau bernasib baik kerana cubaan itu gagal’.

_________________________________________________


Pada 24 Ogos 1998, Naib Presiden UMNO ketika itu, Pak Lah, mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya mengekalkan perpaduan dengan berpegang teguh kepada prinsip sebuah parti hanya mempunyai seorang ‘jeneral’.

_________________________________________________

Pada 25 Ogos 1998, DSAI mendedahkan beberapa surat tohmahan terhadapnya sebagai usaha yang ‘terancang, teratur dan teliti’ bagi tujuan memendekkan kerjaya politiknya.

_________________________________________________


Pada 31 Ogos 1998, DSAI menafikan khabar angin buat kali ketiga dalam tempoh sebulan kononnya beliau mengemukakan surat peletakan jawatan.

_________________________________________________



Pada 1 September 1998, Dr Mahathir mengejutkan dunia dengan melanggar kesemua arahan IMF yang ortodoks, dengan mengenakan kawalan ke atas matawang yang terpilih, menamatkan spekulasi ke atas mawatang Malaysia dengan mengikat nilai ringgit kepada dolar (RM3.80 kepada US$1).

Pada tarikh tersebut juga, Utusan Malaysia melaporkan Dr M sebagai berkata bahawa beliau akan menerima peletakan jawatan DSAI jika beliau (DSAI) dapat mengemukakan alasan yang kukuh. Kenyataan ini dilihat seolah-olah ‘kata-dua’ supaya DSAI meletakkan jawatannya sebagai TPM.

_________________________________________________



Pada 2 September 1998, DSAI dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Kemudian, pada 3 September 1998, DSAI disingkirkan daripada UMNO oleh Majlis Tertinggi partai tersebut selepas beliau tidak mempertahankan dirinya dari dakwaan rasuah dan liwat selepas peluang luas diberikan kepadanya untuk memberi penjelasan. Dengan penyingkiran itu, beliau menjadi anggota bebas Parlimen.

_________________________________________________


Deklarasi Permatang Pauh 
Pada 12 September 1998, seminggu selepas disingkir dari kerajaan, DSAI melafazkan “Deklarasi Permatang Pauh”. Ada tiga thesis besar dalam deklarasi ini; hak asasi manusia, demokrasi dan kebejatan pemerintahan dalam bentuk amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme dan nepotisme. Ini merupakan tema kekal Reformasi sehingga kini.

_________________________________________________


Pada 14 September 1998, The Asian Wall Street Journal melaporkan 8,000 penyokong DSAI berhimpun di kediaman bapa DSAI di Cherok Tok Kun – antara yang berucap ialah Ahmad Ismail. Katanya (atas kapasiti Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera), “Kami sokong Dr Mahathir, tetapi kadang-kadang dia buat silap”.

_________________________________________________


Kemudian, pada 15 September 1998, Akhbar theSun melaporkan Ahmad Ismail dan UMNO Bahagian Bukit Bendera menyokong penuh DSAI. Ahmad Ismail membuat kenyataan itu ketika berucap di kediaman DSAI, bersama penyokong-penyokong bekas TPM itu.

_________________________________________________



Pada 15 September 1998 juga, satu mesyuarat Kelab Penyokong BN (BNBBC) telah dianjurkan dan dihadiri oleh Dr Mahathir dan 75 orang daripada 92 orang ahlinya. Kelab tersebut yang diketuai oleh Ruhanie Ahmad, menyeru kepada kesemua Ahli-Ahli Parlimen BN agar menyokong Dr Mahathir dan memberi penjelasan kepada rakyat berkenaan isu pemecatan DSAI.

_________________________________________________



Reformasi
Pergerakan Reformasi di Malaysia dilaksanakan oleh DSAI dan para penyokongnya sebaik sahaja beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1998.

Gerakan ini terdiri daripada beberapa acara tunjuk perasaan dan perbarisan besar-besaran untuk menentang kerajaan campuran UMNO-BN yang lama memerintah, yang berterusan sehingga DSAI ditahan lalu dipenjarakan pada tahun 1998.

Ratusan ribu rakyat bangkit membantah pemecatan DSAI: pendokong reformasi, seniman, pemandu teksi, peniaga kecil, dan pekerja kilang turun ke jalan raya dengan teriakan ‘reformasi’.

Era Reformasi turut ditandai dengan kelahiran tokoh-tokoh anak muda yang asalnya merupakan pemimpin pelapis UMNO-BN, seperti Ezam Mohd Noor, Azmin Ali, Lokman Noor Adam dan Ruslan Kassim (sekadar menyebut beberapa nama).

Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata YB Senator Ezam Mohd Noor, boleh rujuk pautan ini:

_________________________________________


Pada 20 September 1998, DSAI ditahan di bawah ISA, selepas mengetuai demonstrasi jalanan menentang pentadbiran Dr M. Pada malam beliau ditahan, beliau dikatakan telah dikasari sewaktu berada di dalam sebuah lokap di Bukit Aman.

_________________________________________________


Pada 29 September 1998, DSAI didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di atas empat pertuduhan meliwat dan empat pertuduhan mengamalkan rasuah bagi melindungi salah laku seksnya. DSAI hadir ke mahkamah dengan kesan lebam di mata kanannya. Beliau mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut.

_________________________________________________


Pada 2 November 1998, perbicaraan DSAI terhadap empat pertuduhan rasuah bagi melindungi salah laku seksnya dijalankan di hadapan Yang Arif S. Augustine Paul (mendiang).

_________________________________________________



Pada pertengahan bulan November 1998, Sewaktu Sidang Kemuncak APEC 1998 di Kuala Lumpur, Naib Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Al Gore – yang dikenali sebagai seorang yang akrab dengan DSAI -- memberi ucapan yang menyokong DSAI dan pergerakan reformasi di hadapan Dr Mahathir dan pemimpin Asia-Pasifik yang lain. Keesokan harinya, pemimpin UMNO-BN mengkritik Ucapan Al Gore tersebut. 

_________________________________________________



Pada 8 Januari 1999, Naib Presiden UMNO, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi (Pak Lah – kini Tun) dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri. Tun Dr M juga melantik Tun Daim sebagai Menteri Kewangan.

_________________________________________________



Partai Keadilan telah ditubuhkan oleh Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 4 April 1999, selepas pemecatan DSAI. Asalnya, ia bermula sebagai gabungan NGO dan partai pembangkang yang digelar Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK), sebelum diikuti oleh penubuhan Pergerakan Keadilan Sosial (Adil).

Kemudian, penggerak Reformasi telah mengambil alih Partai Ikatan Masyarakat Islam Malaysia yang ditubuhkan pada 1990, sebelum dinamakan sebagai Partai KeADILan Nasional (KeADILan).

_________________________________________________



Pada 14 April 1999, selepas 77 hari menghadapi perbicaraan yang panjang, DSAI dijatuhkan hukuman penjara enam tahun oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu, Yang Arif S. Augustine Paul ke atas empat pertuduhan rasuah bagi melindungi salahlau seksnya.

Penghakiman Augustine setebal 320 halaman untuk kes tersebut, dianggap sebagai yang terpanjang dalam sejarah penghakiman di Malaysia. Perbicaraan kes DSAI telah mendapat liputan meluas seluruh dunia.

_________________________________________________


Pada 6 Jun 1999, Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Arifin Jaka, memulakan pendengaran terhadap DSAI dan adik angkat beliau, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja di atas pertuduhan meliwat pemandu bagi keluarga DSAI, Azizan Abu Bakar.

_________________________________________________


Pada 13 Jun 1999, Mingguan Malaysia melaporkan bahawa Datuk Abd Ghani Othman, Menteri Besar Johor, berkata di Batu Pahat pada 12 Jun 1999, bahawa reformasi yang dibawa oleh parti-parti pembangkang ialah reformasi palsu. Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam Konvensyen UMNO Johor.

_________________________________________________



PRU yang ke-10, pada bulan November 1999 menyaksikan UMNO memenangi 72 kerusi Parlimen daripada 104 kerusi yang dipertandingkan. UMNO-BN memperolehi antara pencapaian terendahnya selain pada PRU 1969 (kemudiannya pada 2008).

Antara modal yang dijadikan kempen politik, selain penahanan DSAI ialah insiden ‘mata lebam DSAI’, yang mana gambar mata lebam DSAI sewaktu dalam tahanan, tersebar luas, dan beliau mendakwa dizalimi sewaktu disoal siasat.

Meskipun UMNO-BN masih mendapat majoriti undi kaum bukan Melayu seperti Cina dan India, sokongan kaum Melayu merosot teruk. Akibatnya, Terengganu jatuh ke tangan PAS, sementara Kelantan kekal di bawah teraju Datuk Nik Aziz Nik Mat.

PAS memegang majoriti kerusi Parlimen terbanyak dalam kalangan partai pembangkang. Hal yang demikian, Dato’ Fadzil Noor (Allahyarham) diangkat sebagai Ketua Pembangkang, sebelum digantikan oleh Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (selepas pemergian Dato’ Fadzil ke rahmatullah).

PRU 1999 juga menyaksikan kemunculan Barisan Alternatif (BA), iaitu parti campuran yang terdiri daripada Partai Islam SeMalaysia (PAS), Partai Tindakan Demokratik (DAP), dan Partai Keadilan Nasional (KeADILan).

Sewaktu PRU ke-10 tersebut, ketika DSAI disabitkan kesalahan rasuah dan dipenjarakan, Datin Seri Wan Azizah, yang membentuk Partai KeADILan Nasional (KeADILan), bertanding bagi kerusi Permatang Pauh dan memenanginya setelah menewaskan calon BN yang juga sahabat ikrab DSAI, Datuk Ibrahim Saad.

KeADILan berjaya memenangi 5 kerusi Parlimen di Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu serta 4 kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor, Pahang, Pulau Pinang dan Negeri Perak.

Wan Azizah, yang menjadi ahli politik atas desakan keadaan, berjaya mempertahankan kerusi Permatang Pauh dalam tiga PRU yang getir lagi mencabar.

_________________________________________________


Pada 18 Julai 2000, perbicaraan DSAI berakhir selepas 117 hari berlalu. Kemudiannya, pada 8 Ogos 2000, DSAI didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman 9 tahun penjara atas tuduhan melakukan seks luar tabii (liwat).

_________________________________________________


Pada 3 Ogos 2003, Partai KeADILan dan Partai Rakyat Malaysia bergabung menjadi Partai Keadilan Rakyat (PKR) di dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur.

_________________________________________________

Sewaktu PRU ke-11 pada Mac 2004, calon-calon PRM bertanding di atas platform KeADILan, memandangkan pendaftaran PKR masih belum diluluskan ketika itu. Calon tunggal yang menang ialah Datin Seri Dr. Wan Azizah di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Dalam PRU tersebut, Pak Lah mengetuai UMNO-BN untuk mencapai keputusan undi yang besar, yang mana UMNO-BN merampas semula negeri Terengganu di bawah teraju Datuk Idris Jusoh. Pentadbiran Pak Lah mencipta sejarah apabila menguasai 92% kerusi dalam Parlimen, rekod terbaik UMNO-BN sejak PRU diadakan di negara kita.

Selepas PRU tersebut, akhirnya Parti Keadilan Rakyat diluluskan penubuhannya. Ketika ini, kemampuan PKR untuk ‘survive’ dalam kancah politik tanahair mula dipertikaikan serta dilihat semakin kabur dan samar.

_________________________________________________



Pada 2 September 2004, setelah hampir enam tahun dipenjarakan, DSAI dibebaskan apabila ketiga-tiga hakim Mahkamah Persekutuan bercanggah dari segi tarikh sebenar kejadian liwat, walaupun pada umumnya ketiga-tiga hakim tersebut bersetuju berlakunya aktiviti liwat antara DSAI, Azizan dan Sukma.

_________________________________________________



Akhbar the Star melaporkan pada 5 September 2004 bahawa DSAI mengesahkan bahawa Khairy Jamaludin, iaitu menantu Perdana Menteri ketika itu (Pak Lah), telah datang menemui DSAI dan membantu DSAI menguruskan urusan penerbangannya ke Munich, Jerman. Pertemuan tersebut dikatakan berlangsung dengan suasana mesra dan penuh silaturrahim pada malam pembebasan DSAI.

_________________________________________________



Pada jam 11.50 malam, 4 September 2004, kurang lebih 10,000 orang mengiringi DSAI yang akan menjalani rawatan di Munich. Suasana yang sesak – dengan teriakan ‘Reformasi!’ dan ‘Hidup, hidup! Hidup Anwar!’ -- seolah-olah melaungkan amaran awal kebangkitan DSAI.

_________________________________________________



Pada 5 September 2004, DSAI selamat sampai di Munich, Jerman, untuk menjalani pembedahan tulang belakangnya. Sebelumnya, DSAI disambut oleh Duta Malaysia ke Jerman, Kamal Ismaun di Frankfurt. DSAI menjalani rawatan di Alpha Clinic, Munich, sebuah pusat perubatan milik Dr Thomas Hoogland dari 6 September sehingga 27 September 2004.

_________________________________________________



Munich juga menjadi saksi pertemuan khas antara DSAI, Abdurrahman Wahid (Gus Dur) dan Paul Wolfowitz, seorang Yahudi neo-konservatif yang ketika itu berjawatan Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat.

_________________________________________________


Kepulangan DSAI ke tanah air dari Munich, disambut dengan meriah, sehingga menyebabkan kesesakkan yang teruk di KLIA. Sahabat-sahabat dan pemimpin yang tidak pernah kelihatan bersama DSAI dan KeADILan sewaktu era Reformasi 1998, mula dilihat mendekatkan diri dengan DSAI.

DSAI memberikan sinar harapan kepada hubungan yang lebih harmoni antara pembangkang dan kerajaan, apabila sewaktu sidang akhbarnya, memuji Pak Lah di atas keterbukaan dan usaha untuk membentuk sistem kerajaan yang lebih baik di Malaysia.

_________________________________________________

Selepas berjaya menjalani pembedahan dan rawatan pemulihan di Munich, Jerman, DSAI berkhidmat sebagai ‘Consultant on Governance of World Bank’ (Washington, A.S.); Presiden Kehormat AccountAbility (London, United Kingdom); dan Profesor Tamu di Georgetown University (Washington, A.S.).

Sementelahan, DSAI berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Al Baraka Banking Group; Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Pearl Oriental Innovation Limited (China Merchants Dichain Asia Ltd.) dari 24 Mei 2006 hingga September 2007; dan Ahli ‘Supervisory Board’ di PT Bank CIMB Niaga Tbk sehingga 2010.

_________________________________________________

DSAI kemudiannya mula membuat lawatan ke luar Negara seperti Afrika Selatan, Indonesia dan seterusnya menetap untuk sementara waktu di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Tetapi dalam masa sama, DSAI pulang bercuti ke Malaysia untuk membantu pengurusan partai. Ketika ini, ramai yang mengeluh dan mengkritik DSAI kerana lebih banyak menghabiskan masa di luar negara berbanding tanah air sendiri. Kemudian, timbul cakap-cakap bahawa DSAI akan kembali menyertai UMNO.

_________________________________________________


Pada 16 September 2004, Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara bersetuju menutup pintu terhadap DSAI dan menolak sebarang usaha untuk membawanya kembali ke dalam UMNO.

_________________________________________________


Pada 23 April 2006, Tun Ghaffar Baba meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 7:35 pagi kerana komplikasi jantung, paru-paru dan buah pinggang. Beliau berusia 81 tahun ketika menghembuskan nafas terakhirnya. Jenazah beliau dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Tun Ghaffar Baba, boleh rujuk pautan ini: Tun Ghafar Baba: Dari Penjual Kayu Api ke Parlimen.

_________________________________________________


Pertabalan selaku Ketua Imam Khalifah Besar Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia 
Pada 7 Ogos 2007, DSAI telah dilantik sebagai Ketua Imam Khalifah Besar Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia (SSPGM). Jawatan tersebut belum terisi sejak peninggalan Allahyarham Dato’ Harun Idris. Pertabalan itu diberikan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan SSPGM, Cikgu Majid Mat Isa yang disaksikan oleh anak pengasas Seni Silat Gayung Malaysia, Dato’ Mior Abdul Rahman Daeng Kuning Mohd Hashim, iaitu Siti Fadhilah. Majlis diadakan sempena ‘Seminar Memartabatkan Perpaduan Gayong’ yang diadakan di hadapan Yayasan An-Nahdhoh, Kampung Petani, Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

_________________________________________________



Pada 19 Mei 2008, Dr Mahathir mengisytiharkan keluar dari parti UMNO. Beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan UMNO sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini. Dr Mahathir mendakwa, UMNO kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Pak Lah sebagai Presiden UMNO dan mengutamakan kepentingan keluarga Pak Lah sehingga membelakangkan negara. Pengumuman keluar UMNO ini dibuat ketika beliau berucap di hadapan 1,000 orang di Alor Setar, Kedah.

Namun, sehari selepas perlantikan secara rasmi Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Dr Mahathir bersama-sama isterinya, Dr Siti Hasmah dan anak mereka, Datuk Mokhzani telah menyerahkan borang untuk menjadi ahli UMNO semula.

_________________________________________________


Pada 14 Julai 2008, ketua pembangkang ketika itu, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, telah mengetuai 14 Anggota Parlimen daripada PKR, PAS dan DAP mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Pak Lah di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2). Bagaimanapun usul itu ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan alasan peraturan 18(7).

_________________________________________________


Debat Harga Minyak
Pada 15 Julai 2008, AgendaDaily telah menganjurkan satu debat harga minyak bersejarah, di Dewan bahasa dan Pustaka (DBP) dengan tajuk “Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak” yang telah berlangsung antara DSAI dan Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Ahmad Shabery.

Meskipun Datuk Shabery dikritik kerana lebih banyak menyerang peribadi DSAI berbanding mengupas topik debat tersebut, beliau seharusnya dipuji kerana membenarkan debat ala Presiden Amerika Syarikat ini disiarkan secara langsung di TV9, Bernama TV dan Astro Awani 501.

Bukan mudah, untuk mana-mana pemimpin kerajaan UMNO-BN di Malaysia berada di atas pentas yang sama, berdebat dengan DSAI – salah seorang pemidato terbaik pernah dilahirkan Malaysia.

Moderator pada debat tersebut ialah Datuk Johan Jaffar, dan ahli panelnya ialah editor Siasah, Zulkifli Sulong (bagi pihak DSAI) dan Datuk Nordin Kardi (mewakili Datuk Shabery Cheek).

_________________________________________________



Sekedar berkongsi, ketika menuntut di UM, Datuk Shabery adalah seorang aktivis kampus. Walaupun dilabel sebagai liberal, Shabery tetap digolongkan dalam lingkungan kumpulan aktivis Islam pro-PAS dalam kampus yang menghadapi golongan nasionalis yang menjadi proksi UMNO-ABIM di kampus UM era 1980an (selepas era DSAI menyertai UMNO).

Pada pilihan raya kampus sesi 1981/82 yang diadakan pada 24 Julai 1981, ‘Islamic Group’ yang dipimpin oleh Ahmad Shabery Cheek telah berjaya menguasai MPP. Kumpulan Islam dikenali sebagai ‘Kepimpinan Dinamis Mahasiswa Progresif’ berjaya memenangi pilihan raya kampus dan Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai Presiden PMUM. Kemenangan ini meningkatkan imej kumpulan Islamis yang tercalar pada pilihan raya sesi sebelumnya. Di bawah pimpinan Ahmad Shabery, kekuatan mahasiswa Islamis mula terserlah dengan penyertaan dalam demonstrasi anti-Amerika.

Ketika menyertai UMNO, Datuk Shabery dilihat cenderung memihak kepada Team B yang dipimpin oleh Ku Li. Kemudian, setelah UMNO lama diharamkan dan UMNO (Baru) ditubuhkan, beliau menyertai Partai Semangat 46 dan memegang jawatan selaku Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Partai tersebut. Beliau kembali menyertai UMNO (Baru) selepas Partai Melayu Semangat 46 dibubarkan dan menyokong kepimpinan Dr Mahathir.

_________________________________________________



Pada Julai 2008, DSAI telah ditahan sekali lagi atas pertuduhan bahawa beliau telah meliwat pembantu peribadinya, Saiful Bukhari. Saiful telah bersumpah laknat pada 14 Ogos 2008.

_________________________________________________



Pada 26 Ogos 2008, DSAI telah berjaya memenangi pilihan raya kecil PRK Parlimen Permatang Pauh dengan menewaskan calon BN yang juga ADUN Seberang Jaya, Arif Shah Omar Shah bersama-sama calon AKIM, Hanafi Mamat seterusnya kembali ke Parlimen sebagai ketua pembangkang Malaysia. DSAI menang dengan majoriti 15,671 undi pada PRK tersebut. DSAI, 61, memperolehi 31,195 undi sementara Datuk Arif Shah, 51, mendapat 15,524 undi. Hanafi Mamat, 61, hilang wang pertaruhan selepas mendapat hanya 92 undi. Sebanyak 447 undi rosak.

_________________________________________________



Pada 28 Ogos 2008, DSAI mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen seterusnya dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen yang baharu.

_________________________________________________



Projek 16 September 2008
DSAI menggemparkan negara apabila mengumumkan ‘Projek 16 September 2008’ untuk Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan di Putrajaya, bermula sejak 8 Mac 2008. Beliau memilih tarikh 16 September, memandangkan ia merupakan tarikh penubuhan Malaysia.

DSAI mendakwa bahawa sekurang-kurangnya 30 orang Ahli Parlimen akan melompat parti kepada Pakatan.

Berita Astro Awani pada 6 September 2008 melaporkan Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) meminta Ahli Parlimen BN menyerahkan pasport bagi memudahkan urusan lawatan sambil belajar pada 8-19 September 2008 ke Taiwan.

Unsur ‘suspen’ semakin memuncak sedari tanggal 14 April 2008, yang menyaksikan DSAI sangat ‘digeruni’, sebelum ditertawakan oleh para wartawan semasa sidang media pagi Selasa, 16 September 2008, dan terpaksa berdepan dengan sindiran sinis selepas kegagalan melaksanakan kata-katanya.

DSAI hanya mengakui bahawa wujud ‘kesukaran’ dan masalah untuk merealisasikan Projek 16 September pada 24 Oktober 2008, seterusnya meredakan Tsunami DSAI-Pakatan Rakyat sejak Mac 2008.

Ketika DSAI masih gagal membuktikan kejayaan Projek 16 September, UMNO menganjurkan mesyuarat bagi membincangkan peralihan kuasa (baca: perletakan jawatan) Pak Lah pada Jun 2009, setahun lebih awal daripada yang dijanjikan pada asalnya.

_________________________________________________



Meskipun Projek 16 September digelar sebagai satu kegagalan besar DSAI, ia juga membawa satu perubahan yang sangat positif buat rakyat Malaysia secara keseluruhannya: tanggal 16 September diiktiraf sebagai tarikh penting penubuhan negara kita.

Sebelum ini, hanya tarikh 31 Ogos 1957 yang diangkat sebagai tarikh penting kemerdekaan negara. Malah, sewaktu DSAI mendesak agar 16 September dijadikan tarikh cuti umum, cadangan ini ditolak oleh para cendiakawan dan pemimpin kerajaan.

Pada 2 September 2008, Utusan Malaysia melaporkan Prof. Datuk Dr. Zainal Kling sebagai berkata, ‘cuti umum Hari Malaysia ialah taktik pembangkang untuk meraih sokongan rakyat. Cuti itu tidak perlu kerana boleh menjejaskan produktiviti’.

Sementelahan, akhbar sama pada 3 September 2008 melaporkan Prof. Mohamed Mustafa Ishak daripada Universiti Utara Malaysia pula sebagai menyifatkan cadangan DSAI itu sebagai ‘gimik daripada seorang ahli politik yang ketandusan idea dan bertujuan mengalih perhatian daripada isu-isu besar.’

Kendatipun, pada 18 Oktober 2009, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan Hari Malaysia yang disambut setiap 16 September sempena penubuhan Persekutuan Malaysia dengan penyertaan Sabah dan Sarawak pada 1963, sebagai cuti umum di seluruh negara mulai tahun 2010. Dengan demikian, rakyat Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar.
_________________________________________________


Pada 8 Mac 2010, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pemecatan DSAI pada 1998 daripada jawatannya dalam Kabinet oleh Dr Mahathir adalah sah mengikut undang-undang.

_________________________________________________

 
Sekitar Mac 2010, DSAI mula dilihat tidak lagi berkaca mata, selepas membuat pembedahan laser ke atas matanya. Ini sekaligus memudarkan imej berkaca mata yang sangat berikat-rapat dengan DSAI sedari jaman belianya.

_________________________________________________



Pada 30 Mac 2010, DSAI mendakwa di dalam Dewan Rakyat bahawa Gagasan 1Malaysia merupakan cerminan kepada Konsep “One Israel”, yang mempunyai kaitan dengan Mindteams Sdn Bhd dan Apco Worldwide. Kemudian, pada bulan Mei 2010, B’nai B’rith International, sebuah pertubuhan hak asasi Yahudi terkemuka menghentam DSAI di dalam sepucuk surat kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Negara Amerika Syarikat (AS). Pertubuhan tersebut mendakwa bahawa DSAI cuba menyemai dan menyebarkan kebencian terhadap masyarakat Yahudi dan meminta Kerajaan AS supaya menggantung kesemua bentuk hubungan dengan DSAI.

_________________________________________________


 
Pada 8 Februari 2011, DSAI melancarkan album ‘Teratak’ yang merupakan sebuah projek amal yang dijalankan oleh Ahli Parlimen Kelana Jaya, YB Gwo-Burne Loh dan kumpulannya, d*Crew. Album ‘Teratak merupakan sebuah projek amal bagi mengumpulkan dana membantu meningkatkan prasarana di kawasan penempatan pengundi berpendapatan rendah.

Untuk lagu ‘Teratak’, DSAI menyumbangkan suaranya bersama the Wayfarer (Ibu Lin, Iman, Muadz dan Mus’ab). Berkenaan pengalamannya merakamkan suara, DSAI bergurau sambil menyatakan, “Apabila Gwo-Burne bawa saya ke studio, saya mendapati bahagian saya paling susah! Tetapi saya ‘enjoy’ dan cuba menjiwai lirik sebaik mungkin. Ada sedikit perubahan dibuat agar lebih sesuai dengan saya,” katanya.

_________________________________________________




Pada Mac 2011, negara digemparkan dengan penayangan serta penyebaran video seks yang didakwa melibatkan ahli politik tertinggi pembangkang di Hotel Seri Carcosa, oleh tiga lelaki bergelar ‘Datuk T’ iaitu Datuk Shazryl Eskay, Tan Sri Rahim Tambhy Chik dan Datuk Shuaib Lazim. Mereka kemudiannya bersumpah laknat pada bulan April, sebelum didakwa di Mahkamah Majistret Jalan Duta. Mereka bertiga hanya dikenakan hukuman denda pada bulan Jun 2011.

_________________________________________________


Perbicaraan Liwat Kedua
Pada 9 Januari 2012, Yang Arif Hakim Dato’ Zabidin Mohd Diah memutuskan -- berlandaskan undang-undang dan fakta -- bahawa dakwaan seseorang tanpa saksi dan sebarang bukti sokongan adalah tidak dapat diterima. Malah keterangan forensik dan DNA yang dikemukakan pihak pendakwaan turut dipertikaikan kesahihannya.

Perbicaraan yang digelar ‘Perbicaraan Liwat Kedua’ DSAI ini, mencatat sejarah baru apabila pihak PDRM menampakkan kematangan yang positif, dengan membenarkan – dengan syarat-syarat tertentu -- penyokong DSAI berhimpun di tempat meletak kenderaan, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. Perhimpunan penyokong DSAI ini dinamakan sebagai ‘Perhimpunan 901’.

_________________________________________________


Kontroversi ‘Two-State Solution’
Pada 26 Januari 2012, DSAI seperti dilaporkan Wall Street Journal (WSJ), telah berkata: “I support all efforts to protect the security of the state of Israel,” said Mr. Anwar, although he stopped short of saying he would open diplomatic ties with the Jewish state, a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians

(“Saya menyokong semua usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel,” kata DSAI, namun apa yang DSAI katakan itu tidak bermaksud DSAI akan membuka hubungan diplomatik dengan negara Israel, satu langkah yang menurutnya bergantung sama ada Israel akan menghormati aspirasi rakyat Palestin.”)

Duta Fatah-Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Abughoush menyifatkan kenyataan DSAI sebagai “pelik dan janggal”. Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman pula secara sinis menyifatkan kenyataan DSAI dalam WSJ tentang isu Israel sebagai ‘menakjubkan’.

Sementara itu, bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, berkata kerajaan Hamas-Palestin kecewa dan terkejut dengan kenyataan DSAI yang menyokong usaha melindungi keselamatan Israel ketika rejim itu terus melakukan keganasan terhadap penduduk Palestin.

Katanya, ia disuarakan sendiri Perdana Menteri Hamas-Palestin, Ismail Haniyeh kepadanya ketika pertemuan di Istana Amir Kuwait, baru-baru ini. Nasharuddin mengadakan pertemuan itu sebagai pengerusi Pengurusan Yayasan al-Quds Malaysia.

Beliau berkata, beberapa pegawai kanan Hamas turut menyuarakan rasa dukacita terhadap kenyataan DSAI kerana ia jelas bercanggah dengan keputusan fatwa 66 mufti muktabar pada 1988 yang menegaskan sebarang tindakan mengiktiraf kewujudan Israel termasuk menyokong usaha menjaga keselamatannya, adalah perbuatan mengkhianati Islam.

DSAI dan Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty (mantan Presiden ABIM dan kini Timbalan Presiden WADAH), mendakwa bahawa kenyataan DSAI telah diputarbelitkan media milik UMNO-BN.

_________________________________________________


Pada 28 Januari 2012, apabila isu ini menjadi kontroversi, DSAI mengeluarkan kenyataan di laman blog rasminya, menjelaskan maksud sebenar kenyataannya di WSJ adalah bersetuju dengan cadangan ‘Two-State Solution’. Beliau menghujahkan, “...pandangan saya ini ternyata selari dengan Resolusi 1397 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab (Arab Peace Initiative) yang berteraskan Penyelesaian Dua Negara atau lebih dikenali sebagai ‘Two-State Solution’.”

Two state solution’ merupakan gagasan idea yang dilobi oleh badan antarabangsa yang dianggotai DSAI, iaitu International Crisis Group (ICG) yang mengesyorkan agar Israel dan Palestin sama-sama diiktiraf sebagai sebuah negara yang sah dan berdaulat, di samping mencadangkan agar dunia Islam khususnya negara-negara Arab membuka hubungan diplomatik dengan Israel.

_________________________________________________



Pada 11 Februari 2012, selepas dilanda kontroversi berhubung kenyataannya menyokong Israel, DSAI muncul dengan kempen memulihkan imej melalui pertemuan dengan Khaled Mishaal, Dr Yusuf al-Qaradawi dan Menteri Kebudayaan Qatar, H.E Dr.Hamad bin Abdul Aziz bin Ali Al-Kuwari di Doha, Qatar.

_________________________________________________



Pada 13 Februari 2012, Mursyidul Am PAS, Ustaz Nik Aziz Nik Mat menggesa DSAI menarik balik kenyataannya yang menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti yang dilaporkan WSJ, baru-baru ini ataupun menyaman majalah itu jika laporan berkenaan adalah tidak benar.

Ustaz Nik Aziz menegaskan, “Wajib ke atas umat Islam bukan sahaja di bumi Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Palestin sepenuhnya. Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram. Maka PAS menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi-Zionis.”

_________________________________________________


Penjelasan kepada Al-Ustaz Nik Aziz
Pada 21 Februari 2012 jam 9:15 pagi, DSAI menemui Ustaz Nik Aziz di di Apartmen PNB Darby Park, Kuala Lumpur, yang turut dihadiri Ketua Penerangan PAS, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man. Pada 22 Februari 2012, akhbar The Star melaporkan DSAI sebagai berkata, “He (Ustaz Nik Aziz) listened and understand my stand. I, too, understand PAS’ views on the issue of Israel. I feel good now that I have cleared any doubt.”

Akhbar Sinar Harian melaporkan DSAI sebagai berkata, “Alhamdulillah, pertemuan saya bersama (Ustaz) Nik Aziz baik. Kita bukan sahaja membincangkan tentang soal Israel, tetapi mengenai Pakatan Rakyat (PR) juga. Saya menjelaskan kenyataan saya di Wall Street Journal dan saya turut menyebut tentang reaksi Ketua Hamas, Khaled Mashal. (Ustaz) Nik Aziz dengar dan faham pendirian saya. Saya sendiri pun faham pendirian PAS yang tegas tentang Israel.”

Selain itu, DSAI menegaskan, dalam kenyataan beliau dalam WSJ, penekanan terhadap syarat-syarat tertentu perlu bagi pembebasan Palestin.

Saya juga sebut tentang reaksi Ketua Hamas apabila dia melihat kenyataan saya itu. Saya ingin memberi penekanan di sini iaitu prasyarat pertama undurkan tentera Israel dari Palestin; kedua, hentikan keganasan; ketiga, hentikan kepungan di Gaza dan keempat; Iktiraf Baitulmaqdis. Ini syarat-syarat yang saya sebut tetapi media di sini hanya gunakan bahagian pertama iaitu kesediaan mengiktiraf keselamatan Israel tetapi tidak letak kontinjen dan prasyarat,” katanya.

DSAI dan Ustaz Nik Aziz kemudiannya membuat kenyataan secara berasingan, menyelar kerajaan UMNO-BN kerana membenarkan dua buah kapal yang didakwa milik Israel, Zim USA dan Zim Atlantic berlabuh di Pelabuhan Klang. Kedua-dua buah kapal dikatakan milik syarikat yang berpengkalan di Israel, Zim Integrated Shipping Services Ltd.

Sejurus selepas pertemuan itu, DSAI menuju ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

_________________________________________________


 
Pada 25 Jun 2012, DSAI menyampaikan pidato penghargaan sewaktu pelancaran buku “Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat.” Buku ini dikarang oleh mantan Presiden ABIM, Dato’ Dr Ustaz Siddiq Fadzil. Karya besar tersebut, antara lain, mengandungi hujah progresif berkenaan hukum Islam serta pentingnya pemberdayaan rakyat yang meliputi pendidikan demokrasi, agar rakyat faham maksud serta bagaimana perlaksanaan sistem demokrasi seharusnya berjalan.

_________________________________________________


Pada 3 Julai 2012, akhbar yang beroperasi di London, Financial Times melaporkan bahawa DSAI membayangkan, beliau mungkin bersara daripada politik sekiranya Pakatan Rakyat tidak berjaya merampas Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang. DSAI, 65, berkata, selepas bersara, beliau akan kembali kepada aktiviti asalnya sebelum menyertai politik, iaitu mengajar. 

Namun, DSAI tidak pula menyatakan sama ada akan mengajar di dalam atau di luar negara. Sebelum ini, DSAI pernah menjadi pensyarah jemputan di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat. Sementelah, sekitar 1973-1974, DSAI pernah menjadi tutor mata pelajaran ‘Islam dan Kebudayaan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pensyarah untuk kursus tersebut ialah Prof Syed Muhammad Naguib al-Attas.   

Kita persembahkan manifesto, dasar-dasar kita, dan sudah tentu sekiranya diberikan mandat, saya teruskan, atau pun saya akan fikirkan kembali untuk mengajar,” beliau dipetik sebagai berkata dalam wawancara dengan akhbar itu.

Akhbar yang beroperasi daripada London itu juga memetik DSAI sebagai mengakui, PRU ke-13 “mungkin” menjadi peluang terakhirnya untuk menjadi Perdana Menteri. Dalam masa yang sama, harian yang diedarkan di seluruh dunia itu menulis, DSAI kelihatan “letih” untuk seseorang yang mencari peluang terbaik mentadbir negara. DSAI sebelum ini dilaporkan berkata, beliau yakin akan berlaku pertukaran kerajaan dalam PRU akan datang.

Tidak sedikit kalangan pemimpin dan rakyat yang terkejut dan menolak pertimbangan DSAI untuk bersara, tatkala yang lain mempersoalkan kenyataan DSAI sebagai satu strategi atau taktikal politik bagi mendapatkan undi simpati. 

_________________________________________________

Pada awal Julai 2012, DSAI dilihat kembali memakai cermin mata sewaktu mendepani khalayak. Antara imej terawal DSAI sewaktu kembali berkaca mata ialah sewaktu beliau menyertai Siri Jelajah Zon Sandakan, Sabah. Ini mengembalikan semula imej berkaca mata yang cukup sinonim dengan beliau.


_________________________________________________


Hobi dan Sukan
Sewaktu zaman mudanya, DSAI dikenali sebagai seorang pemimpin yang aktif, lincah dan tangkas. Tidak seperti politikus lain yang lebih gemar menghabiskan masa di padang golf, DSAI lebih meminati sukan menunggang kuda, jet ski dan bot. DSAI juga pernah menjadi Pengerusi Persatuan Equestarian Malaysia.

DSAI pernah beberapa kali jatuh sewaktu menunggang kuda, sehingga mengalami beberapa kecederaan pada bahagian badannya, antaranya ialah kecederaan pada lehernya. Saudara Ahmad Luthfi Othman dalam bukunya, ‘Anwar lawan Ghaffar’ (1993) telah memasukkan petikan akhbar berbahasa Cina yang melaporkan DSAI jatuh kuda semasa menunggang kuda di Country Resort Bukit Kiara.

Tun Dr M dalam bukunya, ‘A Doctor In The House’ (2011) turut menyebut perihal hobi menunggang kuda DSAI dan peristiwa jatuh kudanya: “Selama bertahun-tahun, kami (Dr M dan DSAI) mempunyai hubungan peribadi yang baik. Beliau menunggang kuda sepertimana yang saya lakukan, walaupun beliau terbukti adalah penunggang yang tidak sabar. Sebelum beliau pandai menunggang dengan betul, (tetapi) beliau (sudah) mula menunggang kencang. Beliau jatuh dan hampir patah lehernya dan terpaksa dimasukkan ke hospital. Kemudian beliau menuduh pihak polis telah mencederakan lehernya.”

_________________________________________________





Hasil karya
DSAI sememangnya dikenali sebagai seorang pemimpin yang mencintai buku dan mempunyai hubungan rapat dengan golongan wartawan, sasterawan dan seniman.

Di samping mempunyai hubungan ikrab dengan Almarhum WS Rendra (penyair tersohor Indonesia) dan memenangi Anugerah Tokoh Pembaca 1988, DSAI pernah menulis dua buah buku: ‘Menangani Perubahan’ (Managing Change) terbitan Berita Publishing pada 1988 dan ‘Gelombang Kebangkitan Asia’ (The Asian Renaissance) terbitan Times Publications, Singapura pada 1997.

DSAI juga telah menulis banyak artikel dan rencana antaranya: “The Ardent Moderates” (Majalah Time, Ogos 1996); “Who Hijacked Islam?” (Majalah Time, Oktober 2001); “We Muslims Must Reform Our Own Politics” (The Asian Wall Street Journal, Oktober 2003); “There Is So Much to Do” (Majalah Time, September 2004); “The Quest for Social Justice” (Majalah Global Agenda: World Economic Forum Annual Meeting) (Januari 2005); dan banyak lagi.

_________________________________________________




Anugerah dan Pengiktirafan
Antara tempoh 1979 dan 1997, DSAI telah menerima 18 buah anugerah. Antaranya termasuklah ‘Pingat Allama Iqbal Centenary’ (Pakistan), ‘Malaysian Of The Year’ (1982), ‘Tokoh Pembaca/Reader of The Year’ (1988), ‘Top Finance Ministers of the Year’, Majalah Euromoney (1993) dan ‘Knight Grand Cross of Rizal’ (Sir) pada 1996.

Di atas sumbangannya terhadap kesefahaman antara kebudayaan, DSAI telah dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat oleh Ateneo de Manila University dan anugerah Presiden oleh Georgetown University.

Pada tahun 1998, Majalah Newsweek menamakan DSAI selaku ‘Asian of the Year.’ DSAI merupakan satu-satunya warga Malaysia yang pernah tersenarai di dalam 100 orang yang dikatakan paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time iaitu pada 2008.

_________________________________________________


Khatimah
Semenjak zaman kampusnya sehingga ke hari ini, DSAI terkenal sebagai seorang aktivis dan pemimpin yang acap kali bersuara berkenaan isu-isu sosial, ekonomi dan politik.

Meskipun sering dikritik sebagai seorang yang mempunyai ‘pelbagai wajah’ (bercakap berdasarkan khalayak), DSAI sebagai seorang yang dikenali di peringkat tempatan dan antarabangsa, DSAI telah cuba menzahirkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang progresif, intelektual yang sangat prihatin, dan seorang pemimpin Islam yang liberal dalam pandangan berkenaan kebebasan untuk berucap, media dan demokrasi.

DSAI telah menekankan tentang perlunya liberalisasi -- termasuklah sistem kehakiman dan media yang bebas -- untuk melawan rasuah yang tersebar luas, di mana beliau mendakwa menjadi sebab kepada penolakan negara menjadi status sebuah negara yang gagal.

DSAI, dengan wajahnya yang ‘pelbagai’, membuatkan beliau menjadi begitu dekat dengan segenap lapisan masyarakat – tanpa mengira suku dan agama yang berbeda.

Tuntasnya, sama ada kita menyokong atau membenci DSAI, kita tidak sewajarnya memadamkan fakta sejarah bahawa beliau merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri(1982-1983); Menteri Belia dan Sukan(1983-1985: sewaktu berusia 36 tahun); Menteri Pertanian(1985-1986: sewaktu berusia 37 tahun); Menteri Pelajaran(1986-1990: sewaktu berusia 39 tahun); Menteri Kewangan(1990-1998: sewaktu berusia 44 tahun) dan Timbalan Perdana Menteri(1993-1998: sewaktu berusia 46 tahun) kita. Khalas.

_________________________________________________


Rujukan dan pautan:
i. Ahmad Awang. Islam di Malaysia: Cabaran Sepanjang 80-an, 15 Januari 1980. Dewan Masyarakat;

ii. Abu Bakar Hamzah. Islam dan Nasionalisme di Malaysia, 1986. Kuala Lumpur: Gelanggang Kreatif;

iii. Abu Bakar Hamzah. Parti Islam dengan Tahalluf Siyasinya, 1992. Kuala Lumpur: Media Cendiakawan Sdn Bhd;

iv. Abu Bakar Hamzah. Quo Vadis PAS?, 1989. Selangor: Polygraphic Press Sdn Bhd;

v. Alias Mohamed. Malaysia’s Islamic Opposition: Past, Present and Future, 1991. Kuala Lumpur: Gateway Pub. House ;

vi. Aminuddin Mohd. Yusof dan Mohd Ali Kamaruddin. Kepimpinan Pemuda UMNO: Antara Personaliti dan Situasi, 1988. Bangi: Penerbitan UKM;

vii. Badlihisham Mohd Nasir, Da’wah And The Malaysian Islamic Movements, 2003. Semenyih: Synergymate Sdn. Bhd.;

viii. Badlihisham Mohd Nasir, Dinamisme Gerakan Islam Dan Cabaran Semasa, 2008. Shah Alam Karisma Publication Sdn. Bhd.;

ix. Buku-buku tulisan Ahmad Luthfi Othman “Memo Buat Bakal PM” (1993); “Anwar Lawan Ghafar” (1993); “Layakkah Anwar Ketuai Reformasi?” (1998); “Anwar : Skandal Seks atau Konspirasi Poitik” (1998) dan “Anwar Boneka Barat?” (1999);

x. Chamil Wariya. Muhammad Hj. Muhd. Taib: Dari Pendidik ke Pemimpin, 1992. Kuala Lumpur: Media Indah;

xi. Chandra Muzaffar. Islamic Resurgence in Malaysia, 1987. Petaling Jaya: Penerbit fajar Bakti Sdn Bhd.;

xii. Halim Mahmood. Senario Pemilihan UMNO, 1986. Semenyih: Marwilis Publisher;

xiii. Mohamad Fauzi Zakaria. Pengaruh Pemikiran Assyahid Sayyid Qutb Terhadap Gerakan Islam di Malaysia, 2007. Kuala Lumpur: Jundi Resources;

xiv. Mohd Aizat Mohd Salleh al-Hafiz. Pemikiran Tuan Guru, 2011. PTS Millennia Sdn Bhd.;

xv. Mohd Izani Mohd Zain. Islam Dan Demokrasi: Cabaran Politik Muslim Kontemporari di Malaysia, 2005. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya;

xvi. Riduan Mohammad Nor. Terbitan Sejarah & Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden, 2007. MHI Publication;

xvii. Ruhanie Haji Ahmad. Musa Hitam: Serene in the Storm, 1987. Petaling Jaya: Media Indah Sdn Bhd;

xviii. S.Husin Ali. The Malays: Their Problems and Future, 1981. Petaling Jaya: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd.;

xix. S. H. Al-Attas. Anwar Ibrahim : Wira, Juara atau Penderhaka, 1999. Jaharah Enterprise;

xx. Subky Latif. Istimewa Terkenang: Siri Koleksi Rencana Terpilih Siasah, 2009. Kuala Lumpur: Media Icon Sdn Bhd;

xxi. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi. Kebangkitan Gerakan Islam: Dari Masa Transisi Menuju Kematangan (al-Shahwah al-Islamiyyah min al-Murahiqah ila al-Rusyd), 2003. Jakarta: Pustaka al-Kautsar;

xxii. Syed Hussein Al-Attas. Musa A Traitor?, 1986. Kuala Lumpur: AlNujum Sdn Bhd;

xxiii. Syed Naquib, Al-Attas. Islam and Secularism, 1978. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia;

xxiv. Yahaya Ismail. Siapa Kebal: Mahathir atau Raja-Raja Melayu?, 1993. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd.;

xxv. Yahaya Ismail. Siapa Presiden UMNO 1987: Mahathir-Tengku Razaleigh?, 1987. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd.;

xxvi. Zabidi Mohamed. Lelaki UMNO Terakhir: Iktibar Untuk Pejuang Islam, 1999. Kuala Lumpur: Zabidi Publication;

xxvii. Zainuddin Maidin. Mahathir Di Sebalik Tabir, 1994. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd;

xxviii. Zakri Abadi. Mahathir Machiavelli Malaysia?, 1990. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise;

xxix. http://abimmesir.org/2009/dari-belia-gusar-ke-dewasa-matang.html;

xxx. http://adiselmerbawiy.blogspot.com;

xxxi. http://ahmadazam.blogspot.com/;

xxxii. http://anwaribrahimblog.com/;

xxxiii. http://belia.org.my/content/view/537/43/;

xxxiv. http://drhalimahali-bloggerlist.blogspot.com;

xxxv. http://en.wikipedia.org/wiki/Anwar_Ibrahim;

xxxvi. http://ensiklopedia-bahasa-malaysia.jbdirectory.com/Pergerakan_Pemuda_UMNO;

xxxvii. http://findarticles.com/p/articles/mi_hb6479/is_2_30/ai_n28567365/pg_6/;

xxxviii. http://www.facebook.com/photo.php?fbid=233226006713890&set=a.198731976829960.38831.100000794773604&type=1&ref=nf;

xxxix. http://anwaribrahim-admin.blogspot.com/2010/05/malaysians-next-premier.html;

xl. http://ms.wikipedia.org/wiki/Angkatan_Belia_Islam_Malaysia;

xli. http://pahangdaily.blogspot.com/2008/10/galeri-kenangan-zaman-kegemilangan.html;

xlii. http://www.abim.org.my/component/content/article/6-laporan-aktiviti/102-islamisasi-jana-perubahan-positif-presiden-abim.html;

xliii. http://idealis-mahasiswa.tripod.com/artikel-harian/nov2002/10nov01.html

xliv. http://www.anwaraidc.com/?p=10989; dan

xlv. http://www.pemudaumno.org.my/index.php.

6 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. artikel yang mantap. info dalam blog ni harap2 suatu hari dapat menjadi sumber apabila dibukukan di suatu hari nanti. seperti buku Dr.M; A Doctor in a House

    p/s; saya dah bookmark blog ni. harap saudara rajin-rajinlah mengupdate selalu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah, terima kasih atas respon yang baik. Juga, terima kasih kerana sudi ziarah blog yang sederhana ini. :)

      Padam
  3. buat pulak blog ketika selepas pru ke 14 pulak

    BalasPadam
  4. Hensem sungguh dsai semasa muda, beliau seorang insan yg sgt tabah begitu juga dgn kak wan & keluarga sy doakan semoga keluarga dsai sentiasa dibawah dilindungan Allah swt Aamiin

    BalasPadam
  5. Kata2 sinis mahathir apabila dia hendak menjatuhkan seseorang sering digunakan secara direct. Spt mana dia menyindir kononnya anwar sorang yg baru belajar menunggang tp suka menunggang dengan cepat sbb tu jatuh dan cuba salahkan pihak lain...
    Sindirian terus yg bg beliau ada 'asas' tetapi mahathir lupa..sepanjang tempoh anwar berkhidmat sehingga dipecat pd sept 1998...dan sehingga kini..anwar TIDAK PERNAH didakwa atas tuduhan rasuah dan tidak pernah ada satupun tuduhan penyalahgunaan wang.yang ada hanyalah tuduhan liwat dan kononnya salah guna kuasa.

    Ingat....siapa yg ada skandal misc...sepang

    BalasPadam