Ahad, Ogos 21, 2011

Supermokh: Lagenda yang tiada galang gantinya.


Untuk menjadi pemain bola sepak yang baik, kita memerlukan tiga perkara: disiplin, dedikasi dan kesungguhan. Latihan adalah sesuatu yang mesti dilakukan dan jangan sesekali mudah berputus asa.” -- Supermokh.
_________________________________________________


Dato’ Mokhtar Dahari ( 13 November 1953 – 11 Julai 1991) adalah legenda pemain bola sepak kebangsaan Malaysia dari Selangor. Beliau telah diberi gelaran Supermokh kerana ketangkasannya menjaringkan banyak gol sepanjang kariernya. Beliau mewakili Malaysia dari 1972 hinggalah 1985. 
_________________________________________________ 


Biodata Mokhtar Dahari

Dilahirkan di Setapak, Kuala Lumpur, Mokhtar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan (1960-1965) dan Victoria Institution (1966-1970). Sewaktu zaman persekolahannya, Supermokh turut bermain ragbi, hoki dan bola keranjang. Anak kepada Dahari Abeng dan Maimon Sadikin ini mula mewakili Selangor pada tahun 1971 pada Piala Burnley. 
_________________________________________________

Beliau juga Pernah menyertai beberapa kelab bola sepak antaranya Kelab Sultan Sulaiman, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Talasco, Kwong Yik Bank. Beliau pernah bertugas selaku Pegawai Eksekutif PKNS. Beliau meminati muzik dendangan kumpulan Air Supply dan Alleycats. 
_________________________________________________
Beliau berkahwin dengan Tengku Zarina Tengku Ibrahim dan dikurniakan 3 orang anak iaitu Mohamad Redza, Nur Azera dan Nur Arina. 
_________________________________________________ 


Pada usia 23 tahun, Supermokh diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976. Beliau merupakan satu-satunya pemain bola sepak yang dianugerahkan Olahragawan Kebangsaan. Kelebihan dimiliki Supermokh adalah larian deras dan sepakan bak peluru. Ia menjadi unsur yang penting hinggakan tiga jari bekas penjaga gol negara, mendiang R. Arumugam, pernah patah ketika cuba menampannya. Malah, penyerang ternama negara ini juga bijak dalam membaca gerakan lawan dan meloloskan diri dari kawalan pertahanan pihak lawan. 
___________________________________________________


Kisah kasut bola

Supermokh telah dihadiahkan sepasang but bola hanya berharga RM15 oleh ayahnya selepas menduduki Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1968 atau lebih tepat dipanggil LCE ketika itu. Dengan kasut itulah beliau menempa nama sebaris dengan wira-wira negara sebelumnya seperti Datuk Ghani Minhat dan Arthur Koh. Dan, beliau amat menghargai pemberian itu sambil berkata: “Kasut but yang diberi oleh ayah saya mungkin hanya berharga RM15, tetapi ia amat bermakna dalam kerjaya bola sepak saya.” 
___________________________________________________


Pertembungan ‘epik’ Supermokh

Stadium Merdeka merupakan rumah kedua Supermokh, yang dipenuhi dengan sorakan gemuruh daripada penyokong setia skuad Harimau Malaya. Beliau mempamerkan aksi hebat bersama penjaga gol, Mendiang R Arumugam, pertahanan, Santokh Singh dan Dato’ Soh Chin Aun, pemain tengah, Reduan Abdullah (sahabat baik Mokhtar) dan Shukor Salleh, serta pasangan terbaik Mokhtar di bahagian hadapan, Isa Bakar. 
_________________________________________________
Jaringan golnya sewaktu perlawanan persahabatan dengan Juara Piala FA Inggeris, Arsenal pada 1975 (yang dibarisi lagenda The Gunners seperti Rimmer, Mancini, Storey dan Kidd) mengejutkan dunia apabila Malaysia memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 2-0. 
_________________________________________________
Sementelah, beliau juga dikenang atas jaringannya sewaktu seri 1-1 sewaktu menentang England B (yang dilatih oleh Bobby Robson) pada tahun 1978, dengan gaya gelecek dari tengah padang ala Maradonanya. Perlawanan yang berlangsung pada 30 Mei 1978 itu menyaksikan Skuad Pilihan Harimau Malaya ketika itu, dibintangi oleh: Rashid Hassan, Jamal Nasir, Yahya Jusoh, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Shukor Salleh, Abdah Alif, Yip Chee Keong, Nasir Ibrahim, Mokhtar Dahari dan Abdullah Ali. Sementelahan, pasukan England B diwakili oleh para pemain professional seperti: Joe Corrigan (Manchester City), Viv Anderson (Nottingham Forest), Alan Kennedy (Newcastle United), Brian Talbot (Ipswich Town), Steve Sims (Leicester City), David Needham (Nottingham Forest), John Hollins (Queen's Park Ranger), Steve Daly (Wolverhamton Wanderers), Paul Mariner (Ipswich Town), John Richard (Wolverhamton Wanderers), dan Gordon Hills (Derby County). 
_________________________________________________
Mokhtar telah mengetuai pilihan Selangor menentang Boca Juniors yang diketuai oleh Diego Maradona dalam satu perlawanan persahabatan pada tahun 1982. Selangor tewas 2-1. 
_________________________________________________
Beliau juga telah membantu skuad Harimau Malaya memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran. Mokhtar telah membuat penampilan di padang bola sebanyak 167 kaps (penampilan), menjaringkan 117 gol dalam saingan Piala Malaysia dan 125 gol antarabangs, termasuklah sewaktu perlawanan-perlawanan di dalam Sukan Asia, Kelayakan Olimpik dan Kelayakan Piala Dunia. 
_________________________________________________


Garis Masa Karier Mokhtar Dahari

1971: Mewakili Selangor dalam Pertandingan Piala Burnley (sekarang Piala Razak), di Kuching, Sarawak. Perlawanan pertama menentang Kedah dan menjaringkan gol pertamanya pada perlawanan itu. 
_________________________________________________
1972: Kali pertama turun mewakili pasukan utama Selangor menentang Kelab Hitachi dari Jepun dan perlawanan akhir pertama Piala Malaysia ialah ketika Selangor menewaskan Perak 3-0 dengan Mokhtar menjaringkan satu gol. Mula mewakili Malaysia di Kejohanan Belia Asia, di Bangkok. Kali pertama terpilih mewakili pasukan utama Malaysia ke Kejohanan Piala Jakartaraya. Perlawanan pertama menentang Sri Lanka. 
_________________________________________________
1973: Mewakili Malaysia ke pra Piala Dunia di Seoul. Kali pertama beraksi di Pestabola Merdeka menentang Kuwait pada perlawanan akhir. Malaysia menang 3-1 dan Mokhtar jaringkan dua gol. 

1974: Mencipta gol terbanyak dalam satu perlawanan antarabangsa apabila menjaringkan lima gol ketika menentang Filipina di Sukan Asia Teheran. 

1975: Mewakili negara menentang Arsenal. Malaysia menang 2-0. Mokhtar menjaringkan kedua-dua gol itu. 

1976: Mendapat kaps Malaysia ke-100 ketika menentang Jepun di Pestabola Merdeka. 

1977: Mendapat Anugerah Olahragawan Kebangsaan 1976. 

1977: Membawa negara meraih pingat emas Sukan Sea pertama apabila menewaskan Thailand 2-0 pada perlawanan akhir. Mokhtar menjaringkan 1 gol. 

1978: Menjaringkan gol penyamaan ketika menentang England `B'. Perlawanan berkesudahan seri 1-1. 

1979: Kali pertama dipilih menjadi ketua pasukan Piala Malaysia Selangor (menentang Tentera) apabila Soh Chin Aun enggan meneruskan tugas itu. Mengakhiri zaman bujang selepas berkahwin dengan Tengku Zarina Tengku Ibrahim. Mempertahankan pingat emas Sukan SEA dengan mengalahkan Indonesia 1-0 menerusi jaringan gol tunggal. Mengumumkan persaraan arena bola sepak antarabangsa selepas motosikal yang digunakannya untuk perlawanan bola sepak dan berlatih di padang, dicuri orang. Sebagai seorang yang mempunyai pendapatan kecil, Mokhtar tidak mampu membeli motosikal baru. Kemudiannya, orang ramai dan Persatuan Bola Sepak Selangor mengumpul dana bagi menjaga kebajikan Supermokh, termasuklah membelikan beliau sebuah motosikal baru. 
_________________________________________________ 


1980: Kembali beraksi di Pestabola Merdeka dan membawa negara muncul naib juara selepas tewas kepada Maghribi di final. 

1981: Menerima kad merah pertama dan terakhir dalam kariernya ketika menentang Singapura (Piala Malaysia). Pengadil ‘bersejarah’ itu ialah Othman Omar. Mewakili negara ke pra Piala Dunia di Kuwait. Malaysia dikecam kerana gagal. Mokhtar mengumumkan persaraannya bagi kali kedua. 

1982: Mengetuai Pilihan Selangor menentang Boca Juniors yang diketuai Diego Maradona. 
_________________________________________________ 


1985: Kembali menyarung jersi negara ke pertandingan pra Piala Dunia di Seoul menentang Korea Selatan. Malaysia tewas 0-2 dan Mokhtar mengumumkan persaraannya bagi kali ketiga dan terakhir. 
_________________________________________________ 


1986: Memimpin Selangor menjadi juara Piala Malaysia dan muncul sebagai ‘Pemain Terbaik Perlawanan Akhir’. Mengumumkan persaraan peringkat negeri dan menghadiahkan jersi ‘keramat’ nombor 10 kepada Raja Muda Selangor. 

1987: Menarik balik persaraannya untuk mewakili Selangor semusim lagi. 

1987: Menyertai Kwong Yik Bank dan membawa kelab itu menjadi juara Liga Selangor. Khabar angin bertiup Mokhtar mengidap penyakit ganjil. 

1989: Disahkan mengidap penyakit Mascular Dystrophy. Berlepas ke London untuk mendapat rawatan lanjut. Pulang ke tanah air tanpa sebarang perubahan. 

1990: Keadaan Mokhtar semakin buruk. 
_________________________________________________
1991: Meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang pada Khamis, 11 Julai jam 8.25 pagi. 
_________________________________________________________________


Anugerah

i. 1976 : Olahragawan Kebangsaan; 
ii. 1977 : Ahli Mangku Negara (A.M.N); 
iii. 2000 : Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P), Pahang yang membawa gelaran Dato’; dan 
iv. 2001 : Darjah Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A), Selangor yang membawa gelaran Dato’. 
__________________________________________________________


Khatimah

Supermokh, lagenda yang sangat kita rindui, atas kesungguhan beliau, tahap penumpuan yang tinggi, dan seorang pemain bola sepak berdisiplin yang pasti dikenang atas kemahiran dan teknik, kepantasan berlari dan kemampuannya dalam menggelecek pertahanan lawan. Beliau merupakan penyerang terbaik yang pernah dilahirkan oleh negara kita dan Asia (dalam eranya). Malangnya, sepertimana Giggs dan George Best, beliau (selaku pemain yang unggul) tidak dapat beraksi dalam kejohanan Piala Dunia sepanjang kerjayanya. Walaupun kelibat pemain istimewa seperti Mokhtar yang tiada galang gantinya sehingga kini sudah lama meninggalkan kita, bayangan kehebatannya tidak pernah padam apatah lagi apabila mengingati susah payah anak kelahiran Setapak, Kuala Lumpur itu mencipta nama walaupun beliau memang sudah memiliki kurniaan yang tiada pada orang lain.
_________________________________________________ 


Al-Fatihah.
_______________________________________________________

Sumber dan pautan:
i. Mohd Sofi Munajir. 20 Tokoh Sukan (Siri Tokoh Malaysia), 2009. Batu Caves: Everbest Media;

ii. Zabidin Hj Ismail. Mokhtar Dahari: Wira Bolasepak Negara, 1999. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka;

iii. http://www.abinesh.com/delirium/posts/soccer-heroes-mokhtar-dahari/;

v. http://www.olympic.org.my/museum/hof/ind/md.htm;dan

vi. http://viweb.freehosting.net/SuperMokh.htm.

4 ulasan:

  1. teringat kenangan menghabiskan masa beberapa jam kat muzium shah alam semata-mata untuk menatap gambar2 mokhtar Dahari..hehe..;p

    BalasPadam
  2. Kisah legenda pemain bolasepak terbaik Malaysia, era 70 & 80an, yg harus ada pada setiap pemain zaman ini. Bermain bolasepak untuk negara dan bukan untuk glamour.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya percaya, masih ada pemain kita yang bermain sepenuh raga jiwa. Cuma, banyak sangat campur tangan dalam laman bola kita. Sayu.

      Padam