Isnin, Ogos 29, 2011

Bungkam dalam tenang.

Hari ini -- jika benar mengikut telahan ramai pihak -- merupakan hari terakhir Ramadhan.

Ramadhan: Bulan indah, yang mana di dalamnya terkandung malam Al-Qadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Aidilfitri, atau Hari Raya, seharusnya (dan kebiasaannya) disambut penuh kegembiraan oleh setiap insan Muslim.

Namun, bagi saya, lebaran ini adalah lebaran yang paling sayu. Sayu kerana Emak saya sudah tiada di sisi.

Sayu kerana saya takkan dapat lagi menanti saat paling indah hari Raya: iaitu merasai air tangan Emak -- ketupat daun palas, nasi himpit, kari ayam kampung dan ikan parang masak kicap kegemaran saya.

Sayu kerana saya tak dapat lagi menciumi pipi Emak dan memohon kemaafan atas segala khilaf saya sejak kecil.

Saya redha pemergian Emak. Tapi, kesayuan ini memang tak dapat saya sembunyikan. Setiap pagi, sebelum pergi ke tempat kerja, saya akan singgah sebentar ke pusara Emak. Berkongsi kesunyian saya bersama Emak.

Alhamdulillah, saya diberikan peluang oleh ALLAH untuk meraikan lebaran dan Ramadhan buat kesekian kalinya.

Emak telah mendidik saya untuk berpuasa penuh, sejak saya kecil. Alhamdulillah, sejak berusia 8 tahun (darjah 2), saya sudah mula berpuasa penuh.

Setiap kali saya mengadu lapar, Emak akan menenangkan saya dengan kata-kata yang menyenangkan, "Sabar... sekejap lagi buka puasalah tu."

Dan, Emak tidak akan jemu dan mengeluh dalam menenangkan saya untuk bersabar, menahan dahaga lapar. Sampailah pukul 5 petang, jika saya masih merungut, Emak akan menyatakan, "...kalau satu hari boleh tahan lapar, takkanlah lagi 2 jam pun tak boleh? Kuatlah sikit. ALLAH suka hamba-Nya yang sabar."

Rindu. Rindu saat itu. Rindu saat sahur dengan Emak. Rindu saat buka puasa dengan Emak. Rindu sambut kemeriahan hari Raya dengan Emak.

Terima kasih Emak, untuk semua indah kenangan. Buat Emak dan Ramadhan: Kita akan jumpa lagi, dengan izin ALLAH.

Salam.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan