Jumaat, April 29, 2011

Qathrunnada: Episod 5.

Ammar kelihatan masih tenang. Dia meredah pagi itu menuju Bangunan Syed Hussin Holdings. Ada terjinjing hajat yang perlu diselesaikannya. Di dalamnya, kelihatan ramai pekerja dan kakitangan syarikat tersebut yang asyik dengan kerja masing-masing.

Dan, Ammar terus menuju ke arah seorang penyambut tetamu yang kelihatan sangat anggun dan korporat.

“Assalamualaikum...” Ammar memberikan salam. Namun, penyambut tetamu itu seperti tidak menghiraukannya. Dia sibuk menghadap komputer di hadapannya. Tangannya laju menaip sesuatu.

“Macam robot,” bisik hati Ammar.

“Ehem, ehem.... Assalamualaikum, cik...” Sekali lagi Ammar memberikan salam.

Penyambut tetamu wanita itu berhenti menaip untuk seketika. Dia merendahkan sedikit cermin matanya dengan jari tangan kanannya. Dia memandang tubuh Ammar dari hujung ubun-ubun sampailah ke kasut sukan yang dipakai oleh Ammar. Rambut panjang, baju selekeh. Pakai seluar jeans lusuh pulak tu.

“Yes, may I... Ooops... Sorry. Hmm... Nak apa? Boleh saya bantu?” Tanya penyambut tetamu itu endah tak endah, sambil meneruskan kerja-kerja menaipnya. Ammar mencuri pandang ke arah komputer di hadapan wanita itu.

“Facebook?... Cis... Ingatkan busy sebab apa tadi. Kurang asam jawa betul. Mentang-mentang la aku pakai t-shirt dengan seluaq jeans ja,” Ammar berang. Bengang. Tapi tak terluah daripada mulutnya. Sekadar terpendam di kalbu. Malas dia nak kecoh-kecoh di pejabat yang berhawa dingin itu.

“Hmmm... Wahai cik adik manis yang tengah busy membuat ‘kerja’, bulihkah kiranya saya berjumpa dengan Tan Sri Zulkarnain?...” Sengaja ditekankan perkataan ‘kerja’ itu.

Tiba-tiba sahaja, penyambut tetamu itu berhenti menaip. Merenung Ammar dengan pandangan yang amat tajam. Tajam. Sampai tembus. Takutnya....

Penyambut tetamu itu mula bangun, sambil mencekak pinggang rampingnya. Mukanya kelihatan seperti menahan perasaan amarah yang membuak-buak dan menggelelegak.

“Garangnya... Macam Gunung Tangkuban Perahu, yang menunggu waktu nak meledak dan meletus!...,” bisik hati Ammar.

“Awak ni ada buat appointment dengan Tan Sri ke?”

“ALLAH, saya lupa la nak buat appoinment. Tan Sri ada dak? Cik adik habaq la kat dia saya mai nak jumpa dia. Bulih dak?...”

“Eh, awak ingat ni tempat ape, hah? Awak tau tak yang Tan Sri tu busy? Nak jumpa client sana, client sini. Dato’-Dato’, Tan Sri-Tan Sri. Meeting sana, meeting sini. Mana dia ada masa nak jumpa orang macam awak ni! Lain kali, nak jumpa Tan Sri, buat la appoinment dulu. Temu janji. Faham?!”

Serentak dengan itu, makcik cleaner yang sedang mengelap lantai berdiri kaku. Pelik melihat penyambut tetamu itu menengking lelaki yang berdiri di hadapan mejanya.

“Amboi... Cantiknya bahasa dia... Cik adik manis, saya tau la saya ni tak dak pangkat Dato’ ka, Tan Sri ka, tiang seri ka. Baju pun pakai t-shirt ja. Tapi, respect la saya sikit. Saya pun manusia jugak. Tetamu awak...” Ammar cuba berdiplomasi.

Hatinya sudah terbakar hangus. Hampir rentung mungkin.

Penyambut tetamu itu seperti buat endah tak endah. Dia terus menyambung ‘kerja’ menaipnya. Sibuknya dia...

“Harap muka ja segak. Tapi, bahasa, perangai, tuu diaaa, hancoq!...” Ammar menahan marah sambil mengetap bibirnya.

Ammar menghayunkan langkah yang berat menuju ke arah sofa yang sememangnya disediakan untuk para tetamu yang datang ke pejabat tesebut.

Ketika Ammar sedang mengatur langkah longlai, tiba-tiba pintu pejabat itu terbuka. Dan lelaki yang membuka pintu itu kelihatan cukup familiar padanya.

Penyambut tetamu yang kelihatan cukup dingin tadi tiba-tiba menyambut kedatangan lelaki tegap itu dengan senyuman yang cukup mesra.

“Eh, Pak Usu??...” Ammar menyapa lelaki tegap itu, dengan nada agak teruja.

Lelaki yang bertubuh tegap yang memakai kot yang mahal itu menoleh ke arah suara yang memanggilnya. Diamatinya betul- betul wajah pemuda itu.

“Astaghfirullahal‘azim, Am! Bertuah punya budak! Bila balik Malaysia? Tak bagitau dekat Pak Su, pun?!”

Ammar terus mencium tangan lelaki tegap yang berusia separuh abad itu selepas mereka berpelukan untuk beberapa ketika.

Penyambut tetamu itu bungkam. Dia membuat andaian, pastinya pemuda kampung yang dilayan seperti sampah tadi itu mempunyai hubungan yang akrab dengan Tan Sri Zulkarnain, bossnya.

“Ah, sudah... mampus aku,” bisik hati penyambut tetamu itu.

“Liyana, ni kenapa you tak jemput tetamu kita ni masuk ke dalam pejabat I ? Kenapa you tak hidangkan dia dengan minuman?”

Ooooo... Liyana. Sedap namanya. Cantik. Macam orangnya. Tapi perangai? Bahasa? Masya-ALLAH. Macam semut dipijak. Tak mati antan, dilanda patah tiga...

Penyambut tetamu yang kelihatan cukup angkuh ketika melayan Ammar tadi, kini terketar-ketar menundukkan pandangannya. “Saya... Saya...”

“Eh, tak pa aih, Pak Su. Saya pun baru lepas minum tadi. Baru sampai ja pun. Tadi ‘seronok’ sangat sembang dengan Cik Liyana kita ni, sampai terlupa tujuan saya mai sini. Hehehe,” Ammar cuba menutup kesalahan yang dilakukan oleh penyambut tetamu itu.

Dia ingat lagi pesan Tok Liah;
‘Mandi di olak-olak, cakap di bawah-bawah. Rendah diri. Jangan riak. Jangan takabbur. Jawatan, pangkat, nama, kemasyhuran, tu suma pinjaman ja. Sementara. Sat ja. Dunia suma tu. Tunduk kepala bukan minta dipijak. Jaga akhlak diri. Jangan tak dapat tanduk, telinga hang pulaskan. Jangan zalimi orang lain.

Ammar sedar, andai dia menceritakan perihal layanan penyambut tetamunya itu kepada bapa saudaranya, pasti perempuan itu dipecat. Tak baik aniaya orang...

Wahai TUHAN ku, lapangkanlah bagiku, dadaku; “Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; “Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, “Supaya mereka faham perkataanku” (Surah Taha: Ayat 25, 26, 27).

Wahai TUHAN kami ! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir” (Surah Al-Baqarah: Ayat 250.)


**********************************************************************************

Penyambut tetamu yang tadinya kelihatan cukup angkuh, kini semacam seekor tikus kecil yang ternampak seekor kucing besar. Dia risaukan masa depannya, seandainya dia dipecat akibat perlakuan bodohnya sebentar tadi.

Memang begitulah perangai penyambut tetamu itu, hanya melayan dengan baik para tetamu syarikat yang datang dengan pakaian yang segak, elegan dan korporat.

“Adusss... Entah-entah dia ni anak saudara Tan Sri Zulkarnain. Ah, sudah... Mati la aku kali ni!... Mana aku nak cari kerja lepas ni ?... Duit sewa rumah, bil air, api, kereta, insurans. Tolong aku, ya ALLAH!!” Penyambut tetamu itu bercakap sendirian dalam dunia hatinya.

“Hmm... Anyway, Liyana, this is Muhammad Ammar bin Syed Hussin, pewaris tunggal Syed Hussin Holding, yang selalu I cerita kat you and our staffs. My late sister’s only son. Anak Arwah Datuk Syed Hussin, my late brother- in-law. Hmm... hebat dia ni. Baru balik dari UK. Hmm... Apa nama tempat Am belajaq tu? Pak Su lupa la.”

“Hm... biasa-biasa ja, Pak Su. LSE. London School of Economics and Political Science.”

“Hah?! London School of Economics and Political Science?! United Kingdom?!” Liyana menjerit dalam hatinya. Hampir sahaja luruh jantungnya. Lemah longlai kakinya menahan ketakutan dan kebimbangan.

Dia sangat-sangat berharap bahawa dia kini hanya bermimpi, dan dia akan bangun daripada tidur sebentar sahaja lagi. Tapi, dia sedar dan tahu. Ini bukan mimpi. Bukan cobaan. Ini betul-betul.

Pemuda kampung yang dilayannya seperti sampah tadi rupa-rupanya adalah pewaris tunggal syarikat tempat dia bekerja.

Bukan itu sahaja, semua anak-anak syarikat di bawah Syed Hussin Holdings dan juga seluruh harta-harta, kekayaan serta saham-saham milik Allahyarham Datuk Syed Hussin juga adalah hak milik pemuda itu.

“Mati aku kali ni, mati aku...”

Liyana ingin sahaja sujud menyembah kaki Ammar, ingin meminta seribu kemaafan atas keterlanjurannya itu tadi. Tapi dia bungkam. Terkesima. Kaku. Macam batu.

“Ma... Maafkan saya, Encik... errr... Datuk... err... Tan Sri...”

“Am. Panggil Am ja,” Ammar menyampuk sambil tersenyum meleret.

“Eh, kenapa you minta maaf dari Am ni, Liyana? Actually, what’s going on here? Am? Liyana? Could both of you please explain it to me?”

“Oh, tak dak pa aih, Pak Su. Tadi, kami gurau-gurau. Ada terkasaq sikit kot. Tapi tak dak apa lah...” Am terus tersenyum. Senyuman yang menyimpan geram, tapi tak berisi dendam.

“Hmm... ada-ada sajalah kamu ni, Am. Dah, jom masuk office Pak Su. Office arwah papa Am. Office yang bakal jadi office Am tak lama lagi. Banyak yang Pak Su nak sembangkan dengan kamu ni.”

Ketika Tan Sri Zulkarnain masuk ke biliknya, Ammar masih lagi memerhatikan wajah bersalah yang dimiliki Liyana. Diperhatikan betul-betul wajah bersalah itu. Jika tadi Ammar tersinggung dengan herdikan penyambut tetamu itu, kini timbul pula rasa kasihan.

“Cik adik ni, cantik. Manis. Oghan Kedah habaq; segak. Pakai tudung pulak tu. Tapi, kalau dihiasi dengan bahasa dan akhlak yang indah, lagi cantik. Len kali, tak kiralah hat datang tu pakai baju selekeh ka, baju t-shirt ka, seluaq jeans ka, seluaq Superman ka, layanlah elok-elok. Kan tu tetamu kita. Tak baik tau layan orang macam yang cik adik manis layan tadi tu. Kecik hati dia nanti. Lagipun, it may affect our company’s image, right ?...”

“Ye, ye, betul tu, Datuk... eh! Encik... Ammar. Saya... saya nak... mintak maaf... sangat-sangat... Saya tahu saya salah, encik.”

“Haa... itu macamlah... Terbaik... Baru ada baguih. Lain kali, before you are going to do or say anything, always ask yourself, and consider carefully, whether what you do, or are going to do or say, is right or proper. Remember that carefully, okay?. It doesn’t mean that when a person is not wearing a great attire, he is not important. Semua yang datang ke pejabat ni, saya nak awak sambut dengan mesra. Treat them equally. Senyum. Macam masa awak sambut Tan Sri Zulkarnain tadi. Kan senyum tu satu sedekah. Awak jugak yang dapat pahala. Tak gitu, Cik Liyana?...”

“Ye, ye... gitu, gitu... Encik Ammar.”

“He he he... Dah, toksah buat muka macam ikan termenung tu. Dah macam tokua busuk ja saya tengok. Haha. Nasib baik saya ni bukan jenis peghongoih. Kalu oghang len, saya rasa, awak toksah harap la. Remember this; don’t expect to receive good treatment when you have done something wrong. Don’t you ever set a noose and put your own head into it. Don’t do things out of a sheer sense of bravado. Bahaya tu.”

Liyana mengangguk lemah. Sedar. Insaf.

“Seghabai-seghabai saya pun, MBA holder tau? Hehe. Gurau ja. Buat kerja elok-elok. Jangan dok chatting ja. Kalu Tan Sri tau, susah awak nanti. Okeylah, saya nak masuk bilik Tan Sri sat. Nice to know you...,” Shah mengakhiri tazkirah ringkasnya. Puas.

******************************************************

Tatkala anak matanya asyik memerhatikan ke seluruh ruang pejabat itu, hati Ammar berputik kagum. Bukan keindahan rekaan hiasan dalaman ruang pejabat yang buat ia jadi kagum, tetapi ketabahan arwah ayahnya yang bersusah-payah untuk membangunkan Syed Hussin Holding, yang membuatkan Ammar jadi tersentuh hati.

Sesungguhnya, Ammar cukup tersentuh dengan kemampuan arwah ayahnya untuk bersaing dalam segala macam pertarungan kehidupan di Kota Kuala Lumpur ini. Latar kehidupan di kota metropolitan ini sememangnya benar-benar menduga iman dan kesabaran jiwa para penghuninya.

Ammar memandang dalam-dalam wajah Tan Sri Zulkarnain. Tak tumpah seperti wajah arwah ibunya, Syarifah Zuraidah. Tan Sri Zulkarnain merupakan satu-satunya ahli keluarganya yang masih hidup selain insan tersayang di sekelilingnya seperti Tok Liah, Razak, Fauziah dan Nuha. Ya, Nuha

Bukannya ibu Ammar tidak mempunyai adik-beradik lain. Ada ramai. Sepuluh orang.
Tapi, semua tak mengaku saudara bila arwah ibu Ammar memilih untuk mengahwini Syed Hussin; arwah ayahnya.

Sebelum itu pun, hubungan arwah ibunya dengan adik-beradik yang lain memang renggang. Dingin.

Hal ini demikian kerana, arwah ibunya merupakan anak tiri. Arwah datuk tiri Ammar sebelah arwah ibunya - yang sudah mempunyai sepuluh orang anak, memilih untuk berkahwin dengan arwah nenek Ammar yang masih muda usianya ketika itu.

Arwah nenek Ammar - sebelah arwah ibunya - telah dituduh hendak merampas kekayaan arwah datuk tirinya. Dan, arwah ibu Ammar turut terasa tempias kebencian itu. Fuh! Complicated sungguh...

Tetapi, adik tiri bongsu arwah ibu Ammar, Tan Sri Zulkarnain tak pernah melayan Allahyarhamah Datin Syarifah Zuraidah seperti kakak tirinya. Dia menganggap arwah kakak tirinya itu seperti kakak kandungnya sendiri.

Dan, kerana layanannya yang baik kepada arwah ibu Ammar itulah, arwah ayahnya, Allahyarham Datuk Syed Hussin memilihnya sebagai rakan kongsi niaga.

Sampai adik ipar tiri arwah ayahnya dapat gelaran Tan Sri. Rezeki yang ALLAH beri...

Dan, kerana itu jugalah, Tan Sri Zulkarnain diberikan hak untuk menjadi pemangku Pengarah Urusan empayar Syed Hussin Holdings; selepas kematian Datuk Syed Hussin.

Hak yang bakal diserahkan kepada Shah Redha selepas Shah menjadi graduan- ada kelayakan untuk memimpin syarikat tersebut.

Mengikut perjanjian dan wasiat, Tan Sri Zulkarnain akan dilantik menjawat jawatan penasihat dan ahli lembaga pengarah Syed Hussin Holdings selepas Shah mengambil alih pimpinan syarikat tersebut.

Ketika arwah orang tuanya berkahwin dulu, arwah ayah Ammar hanyalah seorang peniaga kecil-kecilan di pasar malam. Pemuda kampung dari Baling yang miskin. Tiada memiliki harta. Pernah berniaga dengan meletakkan barangan buatan Siam dalam bonet kereta sewa milik rakannya.

Tapi arwah ayah Ammar cekal. Dia melanjutkan pelajaran pelajaran ke universiti terkemuka di luar negara dengan biasiswa kerajaan. Berbekalkan ilmu dan segulung ijazah yang dimiliki itulah, Syed Hussin mengembangkan sayap perniagaannya. Mencari setiap sudut, lubuk perniagaan yang halal.

Sampailah dia menjadi hartawan, jutawan. Ammar kagum dengan arwah ayahnya. Hebat...

Daripada Aisyah r.a katanya; “Sabda Rasulullah S.A.W: Sesungguhnya ALLAH mengasihi seseorang yang apabila melakukan kerja, dilakukan dengan baik.” (Riwayat al-Baihaqi).

Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual-beli dan berzikir kepada ALLAH dan mendirikan solat....” (Surah an-Nur: Ayat 37)


Bersambung....


Semua tulisan, grafik, gambar dan ilustrasi yang dinyatakan dan diterbitkan di dalam siri novel “Qathrunnada” ini merupakan hakcipta yang dimiliki oleh pemilik blog http://chedinsphere.blogspot.com/. Sahabat-sahabat bagaimanapun dibenarkan memaut entri ini ke laman atau blog kalian dengan meletakkan kredit ke atas blog ini. Terima kasih. :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan