Jumaat, April 29, 2011

Qathrunnada: Episod 4.


Ammar baru sahaja sampai di banglo mewahnya di Bandar Utama, Damansara. Dia kepenatan, lantaran meronda-ronda di Kuala Lumpur tadi. Ternyata, keluarganya adalah sebuah keluarga yang berada. Namun begitu, ia tidak pula pernah sombong dan sentiasa merendah diri.

Damansara. Di sinilah tempat lahirnya seorang Ammar Hussin. Perkataan Damansara itu sendiri dikatakan diilhamkan daripada pelabuhan di Sungai Gombak iaitu Labuhan Sara.

Antara lain, perkataan Damansara juga dikatakan berasal dari dua perkataan India iaitu ‘daman’ dan ‘sara’. ‘Daman’ bermaksud ‘kaki bukit’, sementara ‘sara’ pula membawa maksud ‘air’ (dalam bahasa Sanskrit) atau kediaman besar penuh kekayaan dalam bahasa berkenan.

Berlatarkan pagar kayu, halaman rumah banglo dua tingkat ini menyerlahkan suasana desa di tengah kota. Ia menonjolkan pemiliknya sebagai seorang yang gemarkan alam semula jadi.

Berkonsepkan mesra tetamu, pastinya sesiapa saja berasa tenang ketika menghirup udara segar dengan deruan air terjun buatan di halaman rumah banglo berkenaan. Pepohon hijau yang tersusun rapi, melengkapkan lagi kedamaian di halaman rumah ini.

Kesuburan dan kesegaran semua pepohon hijau di sekitar kawasan banglo itu sedikit pun tidak menyakitkan mata, malah memukau pandangan kerana susun atur begitu kemas dan teliti. Pepohon hijau kecil disusun sebaris, begitu juga dengan pepohon yang sudah dewasa diletakkan selari bagi menampakkan seni taman idea sendiri.

Daripada luar rumah banglo dua tingkat di itu, kelihatan sama seperti rumah lain di sekitarnya, tetapi, apabila melepasi pagar, suasana nyaman mula terasa.

Halamannya dipenuhi pepohon hijau tropika pelbagai jenis, ternyata disusun sempurna dan kelihatan menarik tanpa perlu mengeluarkan belanja besar, paling penting sedap mata memandang.

Beberapa sangkar burung juga diletakkan untuk menarik perhatian binatang berkenaan. Dari ruang hadapan hingga belakang rumah, tumbuhan tropika menghiasi setiap sudut halaman dan turut diselitkan beberapa perhiasan tambahan seperti tempayan lama serta hiasan-hiasan lain.

Susun atur keseluruhan landskap tampil ringkas dan teratur dengan tanaman disusun selari pada bahagian tepi laman, membiarkan bahagian tengah kosong, memadai dengan kehadiran batu pemijak merentasi bahagian rumput.

Ammar terus duduk di sofa empuk, sambil jarinya menekan kemas punat ON pada remote control televisyen. Sudah dua hari dia berada di banglo tersebut, setelah hampir seminggu dia di rumah pusaka Tok Liah. Banglo itu cukup mewah dan serba indah, tapi ironinya, hanya dia dan pembantu rumahnya sahaja yang menjadi penghuninya.

**********************************************************************

Sejelasnya, ibu dan bapa Ammar telah maut dalam sebuah nahas jalan raya. Perlahan dia mengucap. Kemalangan ngeri itu berlaku di Jalan Kuala Kedah. Ketika itu, Ammar baru sahaja selesai menjawab kertas terakhir untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Ammar terperanjat besar bila dikhabarkan berita kematian orang tuanya. Tok Liah juga terperanjat besar mendengar perkhabaran yang disampaikan oleh adik tiri kepada ibu Ammar, iaitu Tan Sri Zulkarnain.

Ketika itu, pandangan Ammar menjadi gelap. Gelap dan gelap. Akhirnya dia tersepuk di kaki Tok Liah. Tok Liah kebengongan.

Ibunya, Syarifah Zuraidah dan pemandu kereta ayahnya, Wak Parjo meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian. Kereta yang dinaiki mereka remuk kerana berlanggar dengan sebuah lori.

Ayah Ammar, Datuk Hussin, yang cedera parah dalam kemalangan itu meninggal tiga hari kemudian di Hospital Alor Star. Ammar hanya duduk dengan arwah orang tuanya di banglo mewah itu sehingga umurnya lima tahun. Kemudian, dia menetap bersama Tok Liah di Baling, Kedah.

Niat untuk membawa Tok Liah untuk tinggal di rumah ini berehat-rehat menyedut angin kota memang sudah lama terselit di sudut hati arwah ayah Ammar, Datuk Hussin.

Setiap kali arwah ayah Ammar mengunjungi Tok Liah di kampung, cadangan itulah yang selalu diketengahkan. Tapi anehnya, Tok Liah menolak pelawaan yang baik daripada anak tunggalnya itu.

Dari arwah ayah Ammar tinggal di rumah pangsapuri hingga dia berpindah ke rumah banglo berhalaman luas, Tok Liah masih belum juga jejak ke rumahnya.

Tok Liah lebih senang sendirian di rumah pusaka. Tok Liah lebih senang menghayun tajak dan cangkul, membersihkan rumput-rumput di sawah atau membuat batas ubi dan keledeknya. Bagi Tok Liah, tanah bendang dan desa kecil tempat letak rumah pusaka sudah sebati dengan jiwa dan sanubarinya.

Kekadang, arwah Datuk Hussin berasa sangat bersalah dan malu. Dia mempunyai segala bentuk kekayaan dan kemewahan, namun Tok Liah masih tetap tinggal di rumah pusaka yang usang itu.

Bagi Tok Liah, membesarkan Hussin adalah kewajipannya sebagai seorang ibu. Tok Liah tidak pernah mengharapkan sebarang balasan, cukup sekadar jika anak tunggalnya itu datang menziarahinya sekali-sekala.

Tok Liah cukup bencikan kemewahan harta-harta duniawi, tapi cintakan kesederhanaan dan ibadah dalam kehidupan sehariannya. Baginya, hidupnya hanya untuk ibadah kepada TUHAN.

Namun, semenjak kehadiran Ammar, Tok Liah terasa yang dia perlukan teman. Tok Liah sangat-sangat menyayangi cucunya itu. Dan, sering kali diluahkan harapan dan hajatnya kepada Hussin dan Zuraidah. Tok Liah mahu menjaga dan membesarkan Ammar di rumah pusakanya, di Baling.

Tok Liah tak mahukan wang dan kemewahan dari Hussin. Dia hanya mahukan Ammar. Dia mahu menjaga dan membesarkan Ammar, seperti dia membesarkan anak tunggalnya, Hussin dulu.

Pada awalnya, arwah ibu Ammar, Datin Zuraidah tidak bersetuju dengan permintaan Tok Liah. Mana mungkin dia membiarkan Ammar dibesarkan di rumah pusaka yang serba kekurangan itu.

Namun, setelah puas dipujuk oleh Datuk Hussin dan permintaan daripada Ammar sendiri yang tidak boleh berenggang langsung dengan Tok Liah, Datin Zuraidah akhirnya akur. Dia redha.

Semenjak hari itu, arwah ibu dan ayah Ammar selalu menjenguknya di Baling, Kedah. Mereka selalu balik bila ada saja kelapangan.

Hari itu, sepasang suami isteri itu baliklah ke kampung. Namun, itulah kali terakhir...

***************************************************************************

Bibik Sapar melihat Ammar dari dapur dengan wajah kasihan. Bibik Sapar kenal benar dengan Ammar. Mungkin dia terkenang arwah orang tuanya, Bibik Sapar meneka di dalam dunia hatinya sendiri.

Pembantu rumah yang Ammar panggil Bibik itu sudah lama bekerja di banglo mewah itu, dari zaman arwah orang tua Ammar mula-mula duduk di situ, sehinggalah sekarang.

Dan, Bibik Sapar berasa senang hati dengan majikannya yang sangat baik hati dan pemurah. Lalu, Bibik Sapar pun berjalan menghampiri Ammar.

“Am mahu makan apa hari ini? Mahu Bibik masakkan?...” Tanya Bibik Sapar.

“Entah la, Bik. Saya rasa macam tak mau makan ja. Tak dak selera. Tapi, kalu Bibik nak masak, Bibik masak ja lah apa-apa hat Bibik suka. Am makan ja.” Jawab Ammar, sebelum sedikit mengeluh. Kepenatan.

“Hm... Baiklah. Bibik pergi masak dulu, ya? Malam nanti Am makan di rumah ya? Bibik masak gulai asam pedas dengan ikan pari, Am punya favourite...”

Ammar hanya mengangguk lemah, sambil tersenyum simpul. Bibik Sapar pun terus berlalu ke dapur. Waktu sudah pukul 6.00 petang. Ammar naik ke biliknya dengan membawa barang-barang yang dibelinya tadi.

Bersambung....

Wahai TUHAN ku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku - dengan limpah rahmat-Mu - dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh” (Surah An-Naml : Ayat 19).

Wahai TUHAN ku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu)” (Surah Al-Ahqaf : Ayat 15).


Semua tulisan, grafik, gambar dan ilustrasi yang dinyatakan dan diterbitkan di dalam siri novel “Qathrunnada” ini merupakan hakcipta yang dimiliki oleh pemilik blog http://chedinsphere.blogspot.com/. Sahabat-sahabat bagaimanapun dibenarkan memaut entri ini ke laman atau blog kalian dengan meletakkan kredit ke atas blog ini. Terima kasih. :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan