Khamis, April 21, 2011

Qathrunnada: Episod 3.



Ammar masih duduk di pangkin itu sambil diam dan kelu mematung. Lidahnya bagai terkunci rapat. Bibirnya bagai terkancing erat. Pandangannya asyik menjurus kepada pokok-pokok padi yang meliuk-lentuk disapa angin petang. Nyaman...

“Abang Am?...”

Suara lembut itu cukup dikenalinya. Suara yang sayup-sayup itu menusuk telinganya dari arah sisi kanan. Ammar berpaling, mencari pemilik suara lunak itu.

“Nuha?!...”

Mengkala Abang mai?...”

“Baru ja.” Jawab Ammar, ringkas, sambil mengukir satu senyuman bahagia. Dia dan Nuha sudah berkawan sejak kecil, sedari dulu.

Ayahnya, Hussin, dan ayah Nuha, Razak, juga sahabat sedari kecil.

**************************************************************************

Hussin anak tunggal Tok Liah, rakan sepermainan sejak kecil merangkap sahabat karib Razak. Tapi, Hussin rajin dan pandai, tak macam Razak. Ketika Hussin melanjutkan pelajaran ke universiti dulu, Razak masih lagi di sawah, mengusahakan bendang pusaka keluarganya.

Meski Hussin sudah duduk bandar besar dan sudah ada kehidupan mewah, Hussin tidak melupakan Razak. Kata Hussin, ia terlalu terhutang budi dan nyawa dengan Razak.

Kisahnya, dulu Razak pernah menyelamatkan Hussin ketika Hussin hampir lemas semasa mandi sungai. Itu kisah dulu. Dah lama. Razak pun hampir terlupa kisah itu. Sungguh, Razak sama sekali tidak suka mengungkit-ungkit pemberian atau jasanya kepada seseorang. Dia menolong seikhlasnya, tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Tapi, Hussin tak pernah lupa. Dan, kerana Hussin tak pernah lupa pada jasa Razak itulah, dia tidak pernah berkira bila Razak mahu meminjam duit. Modal untuk membuka kedai runcit pun Hussin beri kepada Razak. Meski tinggi risikonya. Entahkan rugi, entahkan untung. Tapi Hussin tak kisah, sebab dia terhutang budi pada Razak. Dan, kali inipun cerita sama diungkit kembali.

Nama Nuha itu sendiri diberikan Hussin. Nama itulah juga yang diniat untuk diberikan kepada anaknya jika Hussin dan isterinya dapat anak perempuan. Namun, hanya Ammar – anak lelaki tunggal mereka itu sahajalah rezeki yang diberikan ALLAH.

Dan, nama itu jugalah yang dihadiahkan Hussin dan isterinya buat anak perempuan Razak yang baru dilahirkan ketika itu: Nurul Nuha.


***************************************************************************


“Apa khabaq Nuha la ni ?... Tak berubah na... masih macam dulu... manis ja,” Ammar mengusik Nuha yang berada di sisi.

“Nuha biasa-biasa ja. Abang Am apa khabaq ?...”

“Khabaq baik... Bahagia, dapat jumpa Nuha... Hmm...Pelenggaq ni banyak menyimpan kenangan kita berdua kan?...” Kata Ammar.

“A’ah...”

“Nuha ingat lagi dak...? Dulu, kalau ada apa-apa hal, mesti Nuha mintak tolong daripada Abang, kan?...”

“Mestilah. Abang kan Superman Nuha. My hero!” Nuha tersenyum. Manis.

“Kalau jari masuk selumbaq pun Nuha jumpa Abang, kan? Sampai teghiak tuu... Wuu.... A... bang Am... jari Nuha.... kena masuk selumbaq... wuu.... haha.”

“Ish, mana ada sampai lagu tu ?!... Abang Am ni, suka tokok-tambah cerita. Tak baik tau!”

Ammar tersengih. Senyumannya meleret. Mindanya yang terusik terus terlontar. Jauh...

“Awat abang tiba-tiba ja Abang senyum ni?...”

“He he... Tak dak apa aih....,” balas Ammar dengan senyuman dan tawa kecil. Ekor matanya mencuri-curi pandang wajah Nuha.

Nuha yang menoleh, spontan bersuara, “Ha, tengok tu. Senyum lagi, sampai tersengih-sengih!! Kali ni awat pulak? Terkenang buah hati ka, cik abang?....”

Ammar terjeda dan terkesima. Terasa malu tatkala disoal begitu.

“Ehhhh.... Tak dak aih!” Balasnya selamba. “Kan hanya Nuha sorang ja yang bertakhta di hati abang ni?...”

“Ehmm... ya la, tu. Entah-entah, kat London nu, penuh marka keliling pinggang...”

“Uuuuish... Tak baik tau Nuha tuduh abang lagu tu. Tak dak bukti. Dosa.... Sebenaqnya... Abang tengah pikiaq, bila waktu hat sesuai nak masuk meminang Nuha ni...”

“Ish, abang ni! Ke situ pulak dia! Nuha tanya betui-betui ni...”

“Hmm... Abang terkenangkan kisah kita waktu kita kecik-kecik dulu. Pelik, kan?”

“Apa dia hat peliknya??...”

“Dulu kan kita kecik, la ni dah besaq. Dah jadi teruna dara,” jawab Ammar.

“La... Biasa la tu. Awat abang rasa pelik pulak?...”

“Yalah, dulu, kan Nuha tak pakai baju. Pakai seluaq pendek ja. La ni dah pakai kebaya labuh. Siap bertudung pulak tu. Manis ja,” Ammar ketawa di hujung kata-katanya serentak melirik ke wajah manis Nuha di sisi.

Si gadis mencebik geram. Pantas jejari runcing menggetus lengan Ammar. Berkerut-kerut muka si jejaka menahan sakit dek cubitan halus si gadis, pedihnya serasa sampai ke tulang. Lalu bekas cubitan diusap berkali-kali, berbirat merah.

“Aduuui... Okey, okey, Nuha, Superman surrender,” ujar Ammar pantas sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya ke atas. Mengaku kalah. Nuha tersenyum bangga.

“Eh, nak hujan la. Dah nak meghelop ni. Jom kita kelik,” pelawa Ammar tiba-tiba, tatkala memerhati cahaya lembayung melatari kaki langit. Pantas punggung diangkat. Nuha turut bangun.

Sekawan burung kelihatan riang terbang, bersiulan pulang ke sarang.

Senja nan indah, hari itu tampak membawa suasana menjadi cukup tenang. Butiran hujan pun turun, seolah-olah bertasbih memuji kebesaran ILLAHI. Subhanallah.


“...(Sambil mengucapkan) Salamun ‘alaikum bima shabartum (keselamatan atas kamu berkat kesabaranmu). Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu...” (Surah ar-Ra’d: Ayat 24)


Bersambung...

Kamus loghat Kedah/Utara :-
Mengkala = bila
Pelenggaq = pangkin
Selumbaq = selumbar(cebisan kayu kecil yang biasanya tertusuk dalam kulit)
Awat = kenapa
Hat = yang
Meghelop = maghrib/senja
Kelik = balik
La = sekarang

Semua tulisan, grafik, gambar dan ilustrasi yang dinyatakan dan diterbitkan di dalam siri novel “Qathrunnada” ini merupakan hakcipta yang dimiliki oleh pemilik blog http://chedinsphere.blogspot.com/. Sahabat-sahabat bagaimanapun dibenarkan memaut entri ini ke laman atau blog kalian dengan meletakkan kredit ke atas blog ini. Terima kasih. :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan