Jumaat, April 22, 2011

Malam itu di Balai Budaya (Keranda 152)


Malam itu di Balai Budaya

Malam itu di Balai Budaya
Api dan Air Mata

Malam itu di Balai Budaya
Seorang guru tua berbicara
Berarak ke Parlimen, aku di muka’

Malam itu di Balai Budaya
Seorang peguam muda berkata
‘Bakar Perlembagaan 152′

Malam itu di Balai Budaya
Seorang pemuda berteriak
‘Ayuh, mari kita berarak’

Malam itu di Balai Budaya
Para pelajar berikrar
‘Dada kami sedia dibakar’

Malam itulah juga
Parlimen jadi pertanda
Memenggal leher BAHASA


Puisi ini dicipta Almarhum Usman Awang pada 3 Mac 1967 ketika Parlimen membahaskan Rang Undang-Undang Bahasa berkaitan dengan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan. Pada masa itu Tun Syed Nasir ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Keranda 152 merujuk kepada perarakan bantahan para pejuang bahasa Melayu terutama penulis dari Dewan Bahasa dan Pustaka yang mencapai kemuncaknya pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Antara tokoh terpenting ialah Almarhum Usman Awang (Sasterawan Negara Dato’ (Dr) Usman Awang @ Tongkat Warrant @ Adi Jaya @ Atma Jiwa @ Pengarang Muda @ Amir @ Manis @ Rose Murni @ Setiabudi @ Zaini @ UA adalah di antara nama-nama pena/samaran beliau) yang ketika itu menjadi editor Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya yang diterbitkan DBP.

Perarakan ini merupakan simbolik kepada kematian bahasa Melayu apabila kerajaan Malaysia tidak menepati janji untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang kehakiman.

Peristiwa “api dan air mata” ini berlaku pada hari Jumaat, 3 Mac 1967, di Balai Budaya, DBP, apabila hampir 2,000 orang daripada 120 NGO berkumpul, “duduk berhimpit-himpit, berdiri berjejal-jejal, di pintu masuk bersesak-sesak, di anak tangga jengah-menjengah, yang di bawah berpusu-pusu”.

Dalam peristiwa tersebut, sekumpulan 9 orang peguam Melayu telah menghantar memorandum menyuarakan bantahan namun tidak dipedulikan oleh parti yang memerintah. Seramai 2,000 orang mewakili 120 pertubuhan orang Melayu telah berhimpun di Balai Budaya, DBP pada petang Jumaat 3 Mac, 1967. Sekumpulan aktivis menyatakan kesediaan untuk berarak ke Bangunan Parlimen. Mereka mahu mengusung Keranda 152 yang membawa jiwa bangsa yang sudah ditamatkan hayat oleh bangsanya sendiri.

Kemuncak perjuangan ini menyaksikan lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970 yang menyaksikan buat kali pertama, bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai pengantar utama.

Lebih 2,000 pejuang bahasa termasuk pengarah DBP, Tun Syed Nasir Ismail dan Usman Awang berhimpun dan berucap di Balai Budaya, DBP selepas sembahyang Jumaat pada 3 Mac 1967.

Mereka mahu berarak membawa keranda putih bertulis Perkara 152 ke bangunan Parlimen yang terletak di Jalan Mahameru, kira-kira 3 km dari DBP. Namun kerajaan Perikatan tetap bertegas dengan bahasa Inggeris.

Dalam perhimpunan yang diadakan di Balai Budaya itu, Syed Nasir hanya mampu bercakap dalam beberapa patah perkataan sahaja. Suaranya tak keluar, kerongkongnya tersekat, beberapa titis air matanya mengalir.

Katanya, “saya menangis, bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir dari keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tak boleh buat dan bercakap apa-apa sekarang ini. Saya terikat. Bila suatu hari nanti saya tidak terikat lagi, saya akan hamburkan kepada rakyat. Sekarang ada usaha yang hendak menghancurkan saya, menghina saya...”


Suara Syed Nasir tenggelam dalam tepukan dan jeritan yang menyatakan sokongan, menyatakan rakyat berdiri di belakang beliau.

Tetapi, Peristiwa 13 Mei menjadi detik penting dan peluang terbaik untuk menukar status bahasa Melayu kepada bahasa pengantar, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang sebenar-benarnya dalam semua majlis dan semua perkara. Menteri Pelajaran yang berani bertindak ketika itu ialah Abdul Rahman Yaakub dari Sarawak.

Konvensyen Ekonomi Melayu yang diadakan juga setuju menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia dengan seberapa segera sebagai alternatif Universiti Malaya di Singapura yang ditubuhkan oleh penjajah British. Ini adalah kejayaan terbesar yang dilakukan oleh kakitangan DBP sehingga ke hari ini.

Tuntasnya, Peristiwa Keranda 152 akan diingat sebagai satu episod penting dalam sejarah perjuangan bahasa Melayu. Balai Budaya yang menjadi saksi peristiwa bersejarah itu, kini sudah ditukar nama kepada Balai Tun Syed Nasir. Peristiwa 13 Mei 1969, kemudiannya seakan menjadi penyelamat bila bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama dalam dasar pendidikan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan