Rabu, April 29, 2020

OLIMPIK MUNICH 1972: KISAH KLASIK UNTUK MASA DEPAN











OLIMPIK MUNICH 1972: KISAH KLASIK UNTUK MASA DEPAN
Meskipun Olimpik Moscow mencatat sejarah kali kedua skuad bola sepak kebangsaan layak ke Sukan Olimpik secara merit, tahun 1972 menyaksikan satu-satunya aksi skuad negara dalam temasya penuh gemilang itu.
Walaupun skuad tersebut tidak dibarisi dua nama besar: Mokhtar Dahari (dianggap terlalu muda) dan Syed Ahmad (dikatakan punya masalah dengan jurulatih serta pengurusan), ia tetap punya pencapaian tersendiri.

Semuanya bermula sewaktu Kelayakan Sukan Olimpik Bolasepak Asia (Kumpulan 1) di Seoul, Korea Selatan pada 23hb September hingga 2hb Oktober 1971.
Malaysia menewaskan Jepun 3-0, kalahkan Korea Selatan 1-0, tewaskan Taiwan 3-0, dan membenam Filipina 5-0.
Pada perlawanan pembukaan, Malaysia menewaskan Jepun 3-0, pemenang pingat gangsa di Sukan Olimpik, Mexico 1968. Penyerang sensasi, Syed Ahmad berjaya membuat hatrik. Beliau sekali lagi menjaringkan gol tunggal apabila negara kita membenam negara tuan rumah 1-0, Korea Selatan.
Secara keseluruhannya, Syed Ahmad berjaya meledakkan 5 gol, dengan 1 lagi gol dalam perlawanan yang terakhir menentang Filipina. Walau bagaimanapun, Syed Ahmad tidak dapat bersama skuad negara ke Munich kerana kecederaan dan diperkatakan juga ada perselisihan faham dengan jurulatih, Jalil Che Din.
Dek kegagalan layak ke Olimpik, skuad Korea Selatan berhempas-pulas sewaktu Pestabola Merdeka 1972 di Kuala Lumpur, yang berlangsung sebulan sebelum Malaysia ke Jerman Barat.
Hasilnya, pasukan Korea itu berjaya menundukkan pasukan kebangsaan dalam aksi final yang sengit di Stadium Merdeka, dan sejarah ini masih terpahat dalam lipatan bola sepak mereka.
http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/cerita-malaysia-ke-olimpik-1972-munich.html?m=1
Para pemain handalan negara telah berpeluang berentap bersama jaguh dunia, Jerman Barat yang turut dianggotai oleh Uli Hoeness dan Ottmar Hitzfeld.
Meskipun gagal melepasi peringkat kumpulan, Malaysia berjaya menewaskan Amerika Syarikat, 3-0.
Gol-gol epik Malaysia dijaringkan oleh Shaharuddin Abdullah, Salleh Ibrahim dan Zawawi Yusoff. Dalam perlawanan lain untuk Pusingan Pertama, Kumpulan A, Malaysia tewas 0-3 kepada Jerman Barat dan 0-6 kepada Maghribi. Skuad kebangsaan menduduki tempat kesepuluh daripada 16 buah pasukan secara keseluruhan.

Memang mudah untuk generasi sekarang memperlekeh dengan mendakwa suasana bola Asia ketika itu berbeza. Ada yang memandang rendah keupayaan pemain negara, ada yang ketawa bila disebut tentang Pestabola Merdeka.
Tapi realitinya, kita mempunyai skuad yang sangat berbakat dan berwibawa sehingga awal 80an, sebelum bola kita menjadi statik dan tidak semaju pesaing setia kita sewaktu dulu.
Dan lebih menghibakan, semangat kenegerian yang menebal serta hubungan akrab dan keterikatan dengan pengurusan, menyebabkan ramai pemain berbakat besar negara, yang memilih untuk beraksi dalam saingan tempatan, meski mendapat tawaran daripada banyak kelab luar.
Jika tidak, pastinya banyak jalan dan reputasi yang dibuka, untuk generasi baru menempa nama selaku pemain di liga asing.

Malangnya, kesedaran untuk serius mempersiapkan skuad untuk Piala Dunia agak lambat dibuat, kerana Olimpik dilihat yang paling berprestij sebelum itu.
Ketika kita mula bangun dari tidur untuk merealisasikan mimpi layak ke Piala Dunia, pasukan-pasukan yang dulunya sama tahap dengan kita, sudah mula membangun serta memajukan bola sepak mereka dengan ketelusan, komitmen serta kos yang tinggi.
Korea Selatan dan Jepun misalnya, sudah menjadi wajah normal dalam saingan Olimpik dan Piala Dunia. Malah, Jepun layak Piala Dunia 1998, sewaktu perlawanan kelayakan epik di Stadium Larkin, Johor.
Demikianlah sejarah kita. Sejarah 19 orang legenda skuad kebangsaan yang mencatat sejarah sebagai satu-satunya pasukan bola sepak Malaysia yang pernah menyepak bola di Sukan Olimpik.
Perjalanan kita masih jauh, tapi kita mesti berikhtiar keras untuk mengurangkan politiking, rasuah serta memperbaiki tatakelola pengurusan liga dan pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia.
Segalanya mungkin, dengan usaha, kejujuran dan keikhlasan.
Apa pun, kisah Olimpik 1972 adalah manifestasi sebenar, fakta bahawa kita pernah ada pasukan dan barisan pemain yang padu dan berkemampuan tinggi. Buat 19 wira negara, barisan kejurulatihan dan pengurusan, kalian akan dikenang dalam lipatan sejarah bola sepak negara, sampai akhir umur dunia.
Moga satu hari nanti, mimpi Harimau Malaya layak ke Piala Dunia dan Olimpik (lagi), jadi satu realiti. #Padu #Grande
#RetroBolaSepak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan