Khamis, April 05, 2018

SEDIKIT TENTANG LAGU.


SEDIKIT TENTANG LAGU.
Sama ada lirik "Mambang" merujuk kepada Malique dan "Gong Nekara" adalah respon (diss) kepada karya tulisan Altimet itu,
Bagi saya ia bukanlah isu pokok.
Kedua-dua lagu ini -- meskipun ada unsur bahasa saduran atau rojak; membuktikan bahawa bahasa Melayu punya khazanah kosa kata yang kaya serta bernilai.
---------------------------------
Sebagaimana lirik puitis lagu-lagu lama yang dihasilkan oleh Allahyarham JS Kevin (Zul Adnan Mohd Razali), Allahyarham Rosli Khamis (Loloq), M. Nasir, S. Amin Sahab, Nasir Jani, Bob Lokman dan lain-lain;
Kadang-kala lagu yang kedengaran seperti merujuk kepada kisah cinta dua manusia; sebenarnya menggambarkan cinta hamba kepada TUHAN nya – dengan jiwa yang tulen.
Ada juga karya yang sarat dengan mesej kemanusiaan, sindiran, kritikan sosial dan bermain dengan metafora.
“Suci Dalam Debu” (Iklim), “Pengabdian Ku Kekasih” (Wings), “Satelit Puaka” (Wings), “Tanya Sama Itu Hud-Hud” (M. Nasir), “Anak-Anak Kita” (M. Nasir), “Srikandi Cintaku” (M. Nasir), “Hamba Abdi” (XPDC), “Ntahapaapantah” (XPDC), “Bahalol” (XPDC), “Hijau Bumi Tuhan” (XPDC), “Titian Perjalanan” (XPDC) dan “Gothik Malam Edan” (Search) – sekadar menyebut beberapa buah karya, adalah antara karya yang punya kelainan serta bersifat nadir.
---------------------------------
Tatkala ada yang hanya tahu menempelak serta memperlekeh lagu-lagu terkini yang dikatakan kurang berkualiti, kita perlu berikhtiar untuk menghasilkan lebih banyak naskah yang kritis dan kreatif.
Ini bukan hal kecil. Ia berikat rapat dengan akar budaya serta masa depan generasi warisan kita.
Sungguh, air tangan sekalian karyawan yang merdeka jiwanya, akan punya impak serta kesan mendalam yang tersendiri. Moga ia tak lapuk dek zaman, dan terus dikenang -- bak lirik “Andalusia” karya Loloq,
“Biarkan warna kubah-kubahmu kian pudar, untukmu setanggi ini kubakar.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan