Khamis, April 05, 2018

ANAK ITU ANUGERAH.

ANAK ITU ANUGERAH.
Kejadian anak yang meninggal dunia, selepas 4 jam ditinggalkan dalam kereta ibunya kerana terlupa,
Adalah sekelumit realiti berkenaan betapa besarnya cabaran menjadi ibu dan bapa pada era dunia yang padat dan penuh menduga, hari ini.
Urusan rumah tangga, selain tanggungjawab di tempat kerja; bukanlah semudah mana yang disangka.
Semoga ALLAH pasakkan kecekalan buat sekalian ibu bapa yang sering berkorban raga jiwa dan masa mereka, demi kemaslahatan anak-anak dan keluarga tercinta.
----------------------
Ibu waras mana yang sengaja mahu membiarkan anaknya mati?
Setelah 9 bulan dikandung dengan penuh kasih sayang dan susah payah, selepas bertarung nyawa melahirkan anak kesayangan, ditatang bagai minyak yang penuh. Anugerah dan amanah TUHAN.
Semoga ibu tersebut redha dan sabar di atas pemergian anak Syurga tersebut.
Janganlah kita hanya mudah menuding jari dan menghukum. Pegawai penyiasat dan polis ada prosedur mereka sendiri. Biarlah pihak yang sepatutnya menjalankan siasatan dan tugas mereka.
----------------------
Kita? Usahalah untuk doa, bantu dan sebarkan kesedaran setakat termampu.
Jadikan pengajaran, buat peringatan hari ini dan masa depan.
Bukan sekadar menjadi pahlawan papan kekunci -- yang menaip butir dosa dan kata-kata kesat setiap hari.

BROTHERHOOD.

BROTHERHOOD.
Antara sikap brotherhood serta kemanusiaan paling tulen dan sejati,
Boleh dilihat dalam kalangan rider atau penunggang motosikal.
Walau tak kenal antara satu sama lain, tak ada masalah untuk angkat dagu dan senyum tanda bertegur sapa.
Walau tak kenal antara satu sama lain, tak berkira untuk menolak motor lain dengan kaki berkilometer jauhnya,
Tanpa mengharap apa-apa pulangan wang atau ganjaran dunia.
Kadang-kala, kita nak ucap terima kasih pun tak sempat.
Sampai je bengkel atau stesen minyak, dia pun angkat tangan dan berlalu pergi.
Mereka jugalah yang biasanya membantu pengguna kenderaan -- baik ada kereta yang rosak, atau bila berlaku kemalangan jalan raya.
------------------------------
Terima kasih buat semua brader penunggang motosikal yang berjasa.
Tapi buat para rider yang menyusahkan pengguna jalan lain tu, banyak-banyakkanlah bertaubat. Jalan bukan kita yang punya.
Hidup tak kekal selamanya.

SEDIKIT TENTANG LAGU.


SEDIKIT TENTANG LAGU.
Sama ada lirik "Mambang" merujuk kepada Malique dan "Gong Nekara" adalah respon (diss) kepada karya tulisan Altimet itu,
Bagi saya ia bukanlah isu pokok.
Kedua-dua lagu ini -- meskipun ada unsur bahasa saduran atau rojak; membuktikan bahawa bahasa Melayu punya khazanah kosa kata yang kaya serta bernilai.
---------------------------------
Sebagaimana lirik puitis lagu-lagu lama yang dihasilkan oleh Allahyarham JS Kevin (Zul Adnan Mohd Razali), Allahyarham Rosli Khamis (Loloq), M. Nasir, S. Amin Sahab, Nasir Jani, Bob Lokman dan lain-lain;
Kadang-kala lagu yang kedengaran seperti merujuk kepada kisah cinta dua manusia; sebenarnya menggambarkan cinta hamba kepada TUHAN nya – dengan jiwa yang tulen.
Ada juga karya yang sarat dengan mesej kemanusiaan, sindiran, kritikan sosial dan bermain dengan metafora.
“Suci Dalam Debu” (Iklim), “Pengabdian Ku Kekasih” (Wings), “Satelit Puaka” (Wings), “Tanya Sama Itu Hud-Hud” (M. Nasir), “Anak-Anak Kita” (M. Nasir), “Srikandi Cintaku” (M. Nasir), “Hamba Abdi” (XPDC), “Ntahapaapantah” (XPDC), “Bahalol” (XPDC), “Hijau Bumi Tuhan” (XPDC), “Titian Perjalanan” (XPDC) dan “Gothik Malam Edan” (Search) – sekadar menyebut beberapa buah karya, adalah antara karya yang punya kelainan serta bersifat nadir.
---------------------------------
Tatkala ada yang hanya tahu menempelak serta memperlekeh lagu-lagu terkini yang dikatakan kurang berkualiti, kita perlu berikhtiar untuk menghasilkan lebih banyak naskah yang kritis dan kreatif.
Ini bukan hal kecil. Ia berikat rapat dengan akar budaya serta masa depan generasi warisan kita.
Sungguh, air tangan sekalian karyawan yang merdeka jiwanya, akan punya impak serta kesan mendalam yang tersendiri. Moga ia tak lapuk dek zaman, dan terus dikenang -- bak lirik “Andalusia” karya Loloq,
“Biarkan warna kubah-kubahmu kian pudar, untukmu setanggi ini kubakar.”

POLITIK AJAIB.

POLITIK AJAIB.
Anda mahukan jalan raya yang berturap dan kurang berlubang?
Mintalah pemimpin atau pembesar negara turun ke tempat anda.
Jalan yang tak pernah diturap bertahun lamanya pun; akan terkambus segala lubangnya dalam sehari dua.
Selamat datang ke Malaysia -- yang politiknya penuh dengan silap mata!

AMIR NAUFAL: SESI MELAWAT ZOO MINI.



AMIR NAUFAL: SESI MELAWAT ZOO MINI.
Alhamdulillah, selepas sesi bertemu doktor di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, sempat bawa famili ke Zoo Mini di Menara Kuala Lumpur. Pengalaman yang menarik.
:)

WAKIL ABIM SUMBANG ARTIKEL DALAM MALAYSIA RACIAL DISCRIMINATION REPORT 2017.


WAKIL ABIM SUMBANG ARTIKEL DALAM MALAYSIA RACIAL DISCRIMINATION REPORT 2017.
21hb Mac 2018 (Rabu): Alhamdulillah, laporan yang ditulis oleh Sdr. Zairudin Hashim (Penolong Setiausaha Agung ABIM) telah diterbitkan dalam Malaysia Racial Discrimination Report 2017.
Artikel beliau bertajuk “Social Disparity In Sports And The Malaysian Experience” mengupas isu diskriminasi serta perkauman yang berlaku dalam sejarah serta pembangunan sukan di Malaysia.
Laporan ini telah diluncurkan sempena “International Day for the Elimination of Racial Discrimination” dalam satu majlis anjuran Pusat Komas dan The Malaysian Bar Human Rights Committee, yang dianjurkan di Auditorium Raja Aziz Addruse, Majlis Peguam Malaysia, Kuala Lumpur.
Turut dianjurkan, forum bertajuk “Eliminating Racial Discrimination in Malaysia – The Promotion of Tolerance, Inclusion, Unity and the Respect for Diversity” di lokasi yang sama, dan menampilkan para pembentang seperti Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin; Sdr. Jerald Joseph; Dr. Ananthi Al Ramiah; dan Sdr. Mansoor Saat.

DIALOG.



DIALOG.
Sebab itu dialog dan wacana umum itu penting.
Bukan sekadar dapat memberi pencerahan kepada masyarakat, tetapi juga memperlihatkan kewibawaan seseorang tokoh.
Banyak bezanya, berhujah berdasarkan fakta secara berdepan; serta berhujah di media sosial dengan tarian papan kekunci.
Berhujah bukan hanya bermaksud kepetahan berkata-kata. Jauh daripada itu – ia merujuk kepada kemampuan kita mengawal emosi dalam membentangkan dalil serta premis kita.
Buka minda, jernihkan jiwa. Dan, hormatlah mereka yang lebih tua.

THE SOCIAL MEDIA BOOTCAMP.

THE SOCIAL MEDIA BOOTCAMP.
Alhamdulillah, 25hb mac 2018 (Ahad) lepas mengisi salah-satu slot dalam program The Social Media Bootcamp anjuran Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan di Selangor Digital Creative Centre, Seksyen 7, Shah Alam.
Juga ada sesi pembentangan kempen advokasi di media sosial.
Program yang menarik dan ada jiwa.
Moga ada manfaatnya, in sya ALLAH.

ARMCHAIR LEADER.

ARMCHAIR LEADER.
Duduk di atas kerusi empuk dan menjadi pengkritik tetap program orang lain; memang mudah.
Itu kurang, ini tak betul.
Tak salah menegur untuk menjadi penyemak dan pengimbang, tapi lagi molek, kalau kita turut hulur tangan dan turun padang.
Bukan sedikit pengorbanan jawatankuasa yang terlibat, sebesar atau sekecil manapun program tersebut.
Menghambur kritikan dan menjadi pahlawan jadi-jadian di media sosial-- jagoan kesiangan memang mudah.
Tapi memberi penyelesaian dan bersama turun padang; lagi indah.
Terima kasih buat semua sukarelawan dan petugas yang ikhlas menabur khidmat di sekalian mayapada, dari dulu sampai akhir umur dunia.

HARI LAHIR.

HARI LAHIR.
Salam. Terima kasih sekudusnya, buat semua atas ucapan dan ingatan.
Semakin bertambah usia, semakin dekat kita dengan kematian. Hargailah hidup -- bersama nikmat dan dugaan; yang Tuhan kurniakan.
Harta kita adalah maruah. Penyelamat kita adalah iman.
Doakan yang baik-baik; untuk kita semua.
:)

CINTA.

CINTA.
Cinta; adalah kesesuaian jiwa dan kesatuan bahagia.
Sayang selalu.
:)

ADAB.


ADAB.
Etika atau kod berpakaian ni, asasnya mudah saja.
Bukan sekadar masjid atau surau; kebanyakan rumah ibadat agama lain pun ada kod berpakaian yang ditetapkan. Ada yang perlu sarung kepala, ada yang perlu memakai kain sarung.
Baik Ratu England mahupun selebriti Hollywood yang belum Islam pun, kalau mereka melakukan lawatan ke masjid, tidak kekok memakai selendang dan kain yang melepasi paras lutut.
Malah, banyak premis yang menetapkan kod berpakaian. Dari pejabat kerajaan, perpustakaan mahupun kolam renang, semua punya peraturan dan sebab tersendiri, mengapa ia dikuatkuasakan.
-------------------------------------
Terkenang dulu zaman sekolah rendah, pernah kena halau dari Perpustakaan Shah Alam bersama sepupu kamcing, Amirull Jaafar, kerana memakai seluar pendek.
Zaman 90an tu kami kalau ke mana-mana -- rambut mesti belah tengah macam Azman Adnan, berjalan kena pakai jersi dan seluar Lotto Selangor, yang dibasuh dan dipakai berulang kali.
Hihi. Kenangan.
--------------------------------------
Sebab apa? Semuanya adalah berkaitan dengan sikap hormat dan ‘common sense’ kita.
Untuk kita dihormati, hormatlah hak orang lain terlebih dahulu. Itulah yang dinamakan sebagai -- adab.