Rabu, Januari 03, 2018

GEORGE BEST: PEMENANG BALLON D'OR YANG PERNAH MENYARUNG JERSI MALAYSIA.

GEORGE BEST: PEMENANG BALLON D'OR 
YANG PERNAH MENYARUNG JERSI MALAYSIA.
"Maradona good, Pele better, George Best" sering menjadi ungkapan peminat bola sepak Ireland Utara.
Dalam Kejohanan Pestabola Merdeka 1983, George Best, satu nama besar dalam sejarah bola sepak dunia, sebenarnya pernah beraksi untuk pasukan Harimau Malaysia (skuad pelapis) sebagai ketua pasukan dan pemain jemputan.
Selain Best, Kevin Keegan juga pernah menjadi pemain jemputan dalam kejohanan yang sama.
Pestabola Merdeka Ke-27 pada 1983 menyaksikan skuad Malaysia dibarisi oleh: Rashid Hassan, R. Arumugam, Lim Teong Kim, Santokh Singh, Soh Chin Aun, Serbegeth Singh,Wong Hung Nung, K. Gunasegaran, Ahmad Yusoff, G. Torairaju, Mohamed Nor Haji Yaacob, A. Rukumaran, Zainal Abdin Hassan, Roshidi Shaari, C. Nadarajan, Ho Hon Seong, Chen Wooi Haw, dan Hassamuddin Hassan. Jurulatihnya ialah Frank Lord.
Skuad Harimau Malaysia pula dibarisi oleh: Abdul Nasir, K. Ravindran, M. Ravindran, Ahmad Sobry Ismail, Azizol Abu Haniffah, Kamarulzaman Yusoff, Mohamed Razip Ismail, Abdul Karim Pin, Salim Mohamed Mohaidin, Mohamed Faridzul Kassim, Yusoff Din, Manja Man, Lahat Daduk, Abdullah Mohamed Din, P. Dharmalingam, Dzulkifli Ali, Azlan Johar, S. Krishnamoorthy, dan Mohamed Zakaria. Skuad ini dikendalikan oleh Abdullah Mohamad.
Pasukan yang bertanding adalah: Malaysia, Harimau Malaysia, Argentina Selection, Korea, Bangladesh, Nepal, Algeria, Rio de Janeiro Selection (Brazil), Korea Olympic 88 (Korean Youth), Thailand, Ghana, dan Team America.
George Best yang popular dengan gelaran "O Quinto Beatle", "the fifth Beatle" (ahli kumpulan Beatle kelima), kemudiannya mengunjungi Malaysia pada 1996.
Gelaran O Quinto Beatle timbul hasil tulisan para wartawan Portugal, apabila Best yang mengenakan gaya rambut 'mop top' ala Beatle, menyumbat dua gol, sewaktu pertembungan epik Manchester United dan Benfica pada peringkat suku akhir Piala Eropah 1966.
Dalam masa kira-kira 15 minit, Best menjaringkan dua gol tersebut dengan penuh bergaya, dan membantu John Connelly menambah jaringan United, untuk kedudukan kemudiannya menjadi 5-1.
Bukan calang-calang pasukan yang perlu didepani United, Benfica dibarisi oleh Eusebio, Germano, Jose Augusto Torres, dan Antonio Simoes.
Sebelum perlawanan tersebut, Eusebio baru saja dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Eropah. Namun, gaya, kemahiran dan perwatakan unik Best akhirnya menenggelamkan Raja Portugal tersebut.
'El Beatle' pun lahir dengan megahnya, malah sebelum beliau masuk ke dalam padang sekali pun. Bintang ini yang ketika itu telah tiga musim bersama United, hadir dengan reputasi Juara Liga Divisyen Satu.
Tarikh keramat itu, 9hb Mac 1966, Best beraksi di hadapan 75,000 penyokong setia Benfica dengan gelora sorakan yang dahsyat.
Namun, bak kata Best, "Sorakan penyokong - sendiri atau lawan, adalah seperti mendengar muzik di radio yang menghiburkan saya. Lagi kuat, lagi bagus."
Estadio da Luz (Stadium of Light) pada malam tersebut dilanda taufan hebat bernama George Best!
Dua pasukan ini bertemu lagi di Stadium Wembley pada Final Piala Eropah 1968, 10 tahun selepas tragedi udara Munich.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa penuh permainan. Best meletakkan United di depan kemudiannya dalam masa tambahan, sebelum Brian Kidd dan Bobby Charlton menempa nama dalam sejarah bola sepak dengan sumbangan gol masing-masing.
Best kemudiannya diumumkan sebagai pemenang Ballon d’Or pada 1968.
Pada 1969, Best mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan tabiat buruknya sebagai kaki botol dan kaki perempuan.
Tetapi, menjadi lumrah seorang Geoge Best, ianya hanya bertahan selama 20 minit!
Pada Januari 1974, Best membuat penampilan terakhir bersama United sewaktu menentang QPR.
Meskipun menyatakan akan membuat penampilan semula dalam saingan kompetitif, akhirnya Best mengumumkan persaraan pada 1984.
Tahun 1984 juga menyaksikan Best meringkuk dalam penjara selama 12 minggu.
Best meninggal dunia pada 2005 ketika berusia 50an, antara lain kerana ketagihan alkohol yang serius.
Meskipun dihimpit pelbagai skandal termasuk kes mahkamah dan masalah kewangan, Best akan dikenang sebagai antara bintang bola sepak yang paling dikenali di seluruh dunia.
Dengan penuh yakin, Best pernah menyebut bahawa, "Saya lah yang mula-mula meletakkan berita bola sepak ke muka surat depan, daripada muka surat belakang."
Best yang sangat diingati kerana kerdipan bintangnya di dalam dan luar padang; diletakkan sebaris legenda terbilang United seperti Denis Law dan Sir Bobby Charlton.
Demikianlah kisah George Best, pemenang Ballon d'Or yang pernah beraksi untuk Harimau Malaysia di Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan