Khamis, Disember 07, 2017

ABIM SAMBUT BAIK SARANAN SOLAT BERJEMAAH SELEPAS SESI PERSEKOLAHAN.

Logo ABIM.
Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim
Presiden ABIM. Juga mantan
ABIM SAMBUT BAIK SARANAN SOLAT BERJEMAAH SELEPAS SESI PERSEKOLAHAN.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada laporan Free Malaysia Today (FMT) bertarikh 3 Disember 2017.
ABIM menyokong saranan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan, yang memberikan arahan terhadap para pelajar Islam untuk menunaikan solat Zohor secara berjemaah sebelum pulang ke rumah.
ABIM melihat saranan ini sebagai selaras dengan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang telah dirumuskan pada tahun 1988 dan dinyatakan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
FPK digubal selari dengan prinsip-prinsip Rukun Negara, di atas kesedaran bahawa negara kita mesti mempunyai tuju hala dan matlamat yang benar dan tepat di dalam sistem dan rancangan pendidikannya.
Memandangkan FPK adalah berpaksikan keTuhanan dan Rukun Negara menekankan prinsip kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, maka saranan daripada PPD Kuantan tersebut adalah tepat dan wajar.
Dalam pada masa yang sama, ABIM menyanggah kenyataan Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Rahim yang memberi amaran kepada PPD Kuantan berhubung isu tersebut.
Sesungguhnya memang benar, sekolah kebangsaan bukanlah ‘sekolah Melayu’ mahupun ‘sekolah agama’. Namun, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi asas kepada semua sekolah, maka sesi solat berjemaah ini dilihat sebagai satu jelmaan hasrat di dalam dasar pendidikan tersebut.
Sebagaimana isu Dual Language Program (DLP) – terdapat sesetengah pihak yang hanya melihat kepada kepentingan skor anak-anak dalam Sains dan Matematik (walaupun kajian membuktikan sebaliknya), di mana fungsi bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, ditolak tepi.
Hal ini berlaku kerana ada pihak yang memandang remeh dan memperlekeh tuntutan FPK yang telah menjadi dasar sejak sekian lama.
Orang Islam yang menunaikan solat secara berjemaah, akan lebih faham soal disiplin, kerukunan, kerja berpasukan dan sebagainya. Hal ini penting untuk kemenjadian para pelajar – dalam proses ‘memanusiakan’ mereka.
ABIM juga ingin menegaskan bahawa semangat kebangsaan tidak akan tergugat bilamana sesi solat berjemaah tersebut dijalankan. Memandangkan saranan ini hanya difokuskan kepada para pelajar Islam, sikap menghormati dan bertoleransi terhadap agama lain tetap terpelihara.
Di dalam Ayat 8 dan 9 Surah Al-Mumtahanah, disebut dengan jelas berkenaan kepentingan untuk hidup secara aman dan adil dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam. Umat Islam sebagai penganut agama yang penuh ‘rahmah’ (kasih sayang), sewajarnya terus menyebarkan misi keamanan dan keharmonian ke seantero alam. 
Sesungguhnya, sesi persekolahan tidak hanya perlu digunakan untuk belajar dan mendapat banyak ‘A’ dalam peperiksaan semata-mata. Sisi sosiologi dan psikologi sewajarnya diangkat dalam menilai isu ini.
Justeru, ABIM menyeru agar kecemerlangan anak-anak dinilai dari sudut kemenjadian para pelajar, pembangunan sikap serta sahsiah mereka yang cemerlang dan terpuji. 
Sementelah, ABIM menolak tanggapan dangkal bahawa ‘agama ada tempat dan masanya dalam kelas tertentu.’ Para pakar sosiologi sendiri melihat anak-anak terdidik dalam ruang lingkup lima institusi utama: agama, keluarga, sekolah, rakan sebaya dan media. 
Kita seharusnya bersama membantu melahirkan insan seimbang dari segi rohani, emosi, jasmani dan intelektual dengan menekankan kepentingan pemahaman agama, dan bukannya mempertikai saranan yang baik dan wajar dilaksanakan.
Bukan sekadar bersetuju dengan saranan PPD Kuantan, malahan ABIM menyarankan agar sesi solat berjemaah (selepas sesi persekolahan) dipakejkan sebagai aktiviti rasmi di semua sekolah kebangsaan di negara kita.
Bersama menegakkan kebenaran dan keadilan. Ayuh, sejahterakan Malaysia dengan dakwah!

SDR. MOHAMAD RAIMI AB RAHIM,
Presiden,

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan