Isnin, November 13, 2017

JERSI TERAPI JIWA.

JERSI TERAPI JIWA.
Menatap sehelai demi sehelai koleksi jersi dan majalah lama yang tak seberapa, boleh meruntun air mata.
Suka duka, senyum tawa: kenangan dan pengalaman yang tak mudah nak diungkap, dengan kata-kata.
Naik bas dari Shah Alam ke Chowrasta; semata-mata mencari majalah dan buku sukan era 70an-90an -- yang langka.
Menyelongkar stok bahan bacaan yang sudah berdekad lama, di stor kedai-kedai buku terpakai.
Menghabiskan masa berjam-jam di pelbagai perpustakaan, membelek makro-filem dan makalah-makalah, yang sudah berlubang-lubang: terpotong dan digunting oleh entah hamba ALLAH mana. 
Semuanya atas nama rujukan, untuk diri sendiri dan sahabat-sahabat yang mencari. Secara percuma, tanpa ada habuan dunia.
Menyelam di kedai-kedai 'bundle' dan kedai barangan sukan lama.
Menebalkan muka demi mengejar jersi idaman yang kelihatan dipakai bermacam jenis orang; di pasar malam, di stadium, di pasar raya, di kawasan lampu isyarat.
Ada yang menjual pada harga yang 'keras'; ada juga yang menghadiahkan secara percuma saja.
Menempuh hujan lebat, panas terik dan meredah kesesakkan jalan raya; asal saja dapat bertemu dan menemukan sesama para sahabat pengumpul jersi, yang budiman belaka.
Dapat kenal dengan ramai sahabat dan kenalan, dari seluruh pelusuk tanah air.
Dapat berjumpa dengan bekas-bekas pemain bola sepak negara yang berjasa; yang dulu hanya mampu ditatap di kaca TV dan dada akhbar.
Menemubual dan memperoleh pelbagai maklumat-fakta; yang pasti langka, unik dan istimewa.
Semuanya ada nostalgia yang tersendiri. Ada cerita yang tak boleh dilupa. Kisah-kisah pemburu jersi yang setia.
Saya mungkin bukan siapa-siapa; dan pastinya ramai yang tak pernah baca blog saya yang banyak kurangnya.
Sumbangan saya pun; mungkin sebesar butir biji sawi cuma.
Tapi, saya tetap bersyukur dan gembira; kerana meski ada pasang-surutnya, 'scene' jersi Liga-M tetap ada komuniti - pengikut dan peminatnya.
Dan, makin ramai yang rajin menggali sejarah sukan dan bola sepak negara; membolehkan masyarakat umum punya akses yang lebih mudah berbanding dulu.
Sementelah, para bekas pemain Liga-M juga, meski bukan semua, semakin ramai yang dihargai dan dilimpahi dengan rezeki yang tersendiri.
Buat sekalian teman, selamat bertebaran dan membina komuniti jersi yang kuat dan kukuh, atas semangat ilmu dan persaudaraan.
Cerita saya mungkin tiada nilai besarnya, tapi nostalgia ini adalah pengalaman hidup; untuk saya kongsikan dengan anak cucu saya.
Bersama martabatkan jersi serta liga tempatan kita. Padu dan grande selamanya.
Salute tinggi buat semua!
.
.
-- Che Din,
Peminat Jersi dan Liga-M.
.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan