Isnin, Ogos 28, 2017

JAMSARI SABIAN: DARI PERTAHANAN KE PENJAGA GOL.


JAMSARI SABIAN: DARI PERTAHANAN KE PENJAGA GOL.
“Dulu, saya kekalkan ‘fitness’, dengan mengayuh basikal setiap kali turun dan balik daripada berlatih. Dari Kuala Lumpur ke Kelana Jaya, saya bawa basikal ke FAM.
Sedih bila teringat kenangan suka duka bermain bolasepak. Sayang (kepada) bola sepak terlampau sangat. Dengan bola sepak jugalah hidup ini penuh cabaran dan dugaan.”
---------------------------------
Melihat kepada sosok fizikal dan wajahnya yang bengis, pasti mengingatkan kita kepada Halim Napi. Ketinggian dan ketangkasannya di gawang pula, membuatkan kita terkennag kepada penjaga gol legenda Pahang dan Sabah, Khairul Azman Mohamed.
Hakikatnya, beliau adalah seorang budiman yang berjiwa besar. Jamsari Sabian, satu nama yang mekar dalam kalangan penyokong setia Selangor FA dan MPPJ FC.
Mula dicungkil bakatnya ketika menuntut di High School Setapak (1990-1995), Coach Jamsari asalnya beraksi sebagai pertahanan. Kemudian, jurulatih menukarkan posisinya kepada penjaga gawang.
Penjaga gol tinggi lampai yang lahir pada 8hb September 1978 ini, memulakan kerjaya bersama pelapis Kuala Lumpur FA.
Jamsari juga merupakan antara anggota pasukan Olimpik Sydney 2000. Skuad yang dibentuk kesinambungan dari skuad Piala Dunia Remaja 1997.
Diberi peluang bertanding di Liga Perdana, namun gagal memberikan saingan sengit kepada pasukan negeri yang lain.
Antara 'skuad mahal' selepas skuad Barcelona Babes ‘92.
Selepas Olimpik 2000, Jamsari menyarung jersi MPPJ FC.
Tahun 2003 menyaksikan The Black Widows dibarisi oleh pemain yang berumur yang digabung bersama mahasiswa universiti (kebanyakannya UiTM).
Namun, hasil pimpinan Khairil Zainal dan Yuzaiman Zahari, ketangkasan Jamsari Sabian, serta ketajaman gandingan Juan Arostegui dan Martelotto, mereka mengungguli persada 2003.
Menurut Coach jamsari, “MPPJ adalah pasukan yang hebat. Walaupun tanpa nama besar dan gaji besar, kami mampu pegang empat piala dalam masa empat tahun.”
Selepas menabur bakti bersama MPPJ FC pada 2002-2004, Jamsari dipancing oleh skuad deretan bintang Gergasi Merah pada 2005. Meskipun asalnya diketepikan kerana kecederaan bahu, Jamsari akhirnya mengambil alih posisi Shahrizan Ismail sebagai pilihan utama Coach Dollah Salleh.
D. Surendran, Ahmad Tharmini Saiban, Nazrulerwan Makmor, P. Gunalan, Elie Aiboy, K. Sanbagamaran, Mohd Shukor Adan, Mohd Amri Yahyah, Nazzab Hidzan, Bambang Pamungkas, dan Brian Fuentes, adalah antara barisan bintang yang membarisi skuad Merah Kuning ketika itu.
Setelah menabur bakti bersama KLFA, MPPJ FC dan Selangor FA, Coach Jamsari menyarung jersi Kedah FA (06/07) dan Proton FC (07/08). Selepas bersara, beliau turut melatih UiTM FC, selain menerima jemputan untuk klinik bola sepak di pelbagai tempat.
Musim ini, menabur bakti bersama SAMB FC Melaka (Piala FAM) selaku jurulatih penjaga gol.
Sepanjang kerjaya profesionalnya, Jamsari telah menjulang pelbagai piala - Malaysia, FA, Liga Perdana, Piala Sultan Selangor dan lain-lain.
Coach Jamsari sentiasa berpegang kepada falsafah hidup: baik ketika beraksi sebagai pemain mahupun selepas bersara:
“Kesungguhan dan azam untuk berjaya akhirnya membuahkan hasil.
Pasal teringat falsafah orang dulu-dulu: ‘dia ada dua tangan, kita pun ada. Dia ada dua kaki, kita pun ada.'
Jadi, nak takut apa lagi? Kita bagi 120% untuk berjaya!”
Terima kasih, Jamsari Sabian, jasamu kami kenang!
.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan