Selasa, April 11, 2017

JATUH BANGUN.

JATUH BANGUN
Di suatu senja di musim nan lalu, ketika itu hujan rintik, nun di suatu tempat di Semenanjung Italia, sekitar pertengahan tahun 1970an.
Dua beradik sedang duduk membersihkan kasut but mereka yang padat dengan butir-butir tanah. Stokin mereka kotor terpalit benak becak lecah.
Usia di antara mereka berdua, cuma beza dua tahun. 
Si abang sudah pun berjaya menempatkan diri di sebuah akademi kelab bola sepak ternama di Milan. Kelab yang popular dengan rona hitam-biru telah menandatangani si abang untuk skuad remaja.
Si adik mahu ikut jejak si abang.
Mahu sama-sama bermain sekelab dengan abangnya.
Posisi mereka berdua juga sama, iaitu di bahagian benteng pertahanan.
Sesi pemilihan pagi sebelumnya serba tidak kena buat si adik. Dalam satu aksi perlawanan percubaan, si adik ini gagal menyaingi pemain lain yang berfizikal lebih besar berbanding beliau meskipun sebenarnya mereka semua dalam lingkungan usia yang sama.
Si abang yang berada dalam skuad remaja kelab disuruh beradu kuat dengan barisan kesebelasan pemain percubaan. Dari mula lagi si abang menelah bahawasanya adiknya bakal hadapi kesukaran disebabkan fizikalnya yang kecil. Aspek teknikal si adik boleh tahan, laju pun ya juga, tapi itu lah keterbatasan fizikal merencat prestasi beliau.
Jurulatih remaja kelab tersebut telah menyenarai pendek beberapa nama untuk diserap dalam skuad remaja. Malang buat si adik, namanya keciciran, dalam senarai menunggu pun tiada.
"Kamu datang lah lagi ke sesi percubaan pada tahun hadapan". 
Ujar jurulatih pada si adik.
Ketika semua pemain sedang besurai, sayup-sayup kedengaran perbualan antara para jurulatih skuad remaja.
"Adik dia kecil sangat lah, takut nanti dah sampai dewasa fizikalnya tidak membesar".
Kedua orang adik-beradik itu pulang ke rumah. Si adik sekadar diam. Diam yang simpan rasa kecewa yang mendalam.
Baldi besi berisi air sudah berkeladak dengan lumpur tanah hasil basuhan kasut-kasut but kedua orang adik-beradik tersebut.
Si abang cuba memulakan bicara. Tahu benar bahawasanya adiknya kecewa.
"Esok abang bagitahu pakcik akan hal ini, mungkin kamu boleh cuba nasib di kelab hitam-merah. Mana tahu, di hitam-biru tak boleh, di hitam-merah boleh".
Panjang lebar bicara si abang.
Pakcik mereka seorang jurulatih tempatan untuk sebuah pasukan kanak-kanak di kawasan kejiranan mereka. Barangkali pakcik mereka itu boleh suakan bakat si adik pada satu lagi kelab di kota tempat mereka tinggal.
Tuah itu takdir.
Gagal dalam percubaan untuk kelab hitam-biru, tapi berjaya pula untuk kelab hitam-merah.
Si adik meneruskan kariernya di kelab hitam-merah sehingga menjadi legenda, begitu juga si abang kekal bersama kelab hitam-biru.
Kehebatan dua beradik ini memang diakui, hinggakan pernah pada suatu-suatu masa, mereka berdua dipanggil untuk kem latihan skuad kebangsaan.
Kelab hitam-biru adalah F.C. Internazionale Milano, kelab hitam-merah adalah A.C. Milan, si abang adalah Giuseppe Baresi manakala si adik pula adalah pemain pertahanan berkelas dunia yang juga antara pemain pertahanan terbaik sepanjang zaman, legenda nombor 6, Franco Baresi
Macam biasa, ayat yang biasa Retro Bola Sepak coretkan sedari dahulu; "anda bukan gagal, cuma kejayaan sahaja tertangguh".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan