Khamis, April 27, 2017

SINOPSIS BUKU RETRO BOLA SEPAK (RBS).


BUKU RBS: DARI JAUH 
KU POHON BELI.
Kami menerima banyak mesej yang meminta kami menerbitkan kompilasi karangan kami -- tentang lipatan sejarah, kontroversi terdahulu dan semasa, isu serta cadangan; berkenaan bola sepak Malaysia dan dunia.
Maka besarlah harapan kami, agar Retrorians dan Tuan-tuan yang budiman sekalian; agar membeli dan menyokong naskah kami ini kelak.
Merujuk kepada sekalian mesej Facebook dan whatsapp yang dihantar oleh sahabat Retrorians yang budiman;
Inilah jawapannya: Buku Retro Bola Sepak (RBS) ada dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
Mohon jasa baik yang duk tanya dan PM kami tu, sungguh sokong dan beli lah buah tangan sulung kami ini.
Dipamer dan dijual di reruai (booth) Thukul di Legar Putra (L049-LO51), PWTC, Kuala Lumpur.
* Yang jauh dan tak berkesempatan, boleh juga beli secara atas talian: hanya perlu whatsapp "BACALAH" ke 017-3632143 (Ejen Thukul).
** P/s: Jika tiada aral, El Presidente-Canna dan beberapa Admin RBS lain akan turun ke PBAKL Sabtu ini (29 April): pagi sampai tengah hari. Boleh jumpa dan ngeteh sama; kalau sudi.
*** Beberapa cenderahati RBS juga akan diberi kepada pembeli bertuah karya kami.
--------------------
LAMA YANG MAHAL: SINOPSIS BUKU 
RETRO BOLA SEPAK (RBS).
Bola sepak bukan sekadar satu perlawanan. Ia suatu cerita, pengkisahan penghidupan manusia yang amat berikat-rapat dengan dunia bola sepak.
Sesetengah pihak bilang, apa guna diimbau sejarah bola sepak lampau, mengapa perlu diceritakan kembali.
Tapi, yang lebih utama adalah tauladan dan iktibar daripada sesebuah peristiwa bola sepak – Malaysia dan antarabangsa.
Kami di Retro Bola Sepak (RBS) bukan lah ‘otai’, hanya sekadar seumpama lebah. Bunga-bunga di luar sana, barangkali milik tuan-tuan. Di kebun-kebun bunga milik orang lain.
Kami ini sekadar mengekstrak madunya. Nyaman sekitarnya, maka sedaplah madunya. Jadi kelaziman, madu dicuri orang.
Tapi tidak mengapa lah, sebab madu itu barangkali boleh mengubati. RBS sekadar meriwayatkan kisah, namun cerita bola sepak sebenar ada, pada diri kita semua.
Maka, naskah ini kami tampilkan – kurang dan lebihnya untuk tatapan pembaca budiman sekalian. Baik untuk dibuat pedoman, buruk untuk dijadikan sempadan.
Kisah klasik untuk masa hadapan, imbauan Retro Bola Sepak.
Barang lama ditaksir antik, nilainya pasti mahal. Kisah lama ditafsir klasik, tauladan nya juga mahal. Cinta lama kenangan cantik, ingatannya juga mahal.
Sebab yang lama itu memang mahal. Semahal darjat ceritera nya.
Justeru, nantikan naskhah yang cukup ‘mahal’ ini saat terbit dan siap-cetaknya nanti.
Mahal, bukan pada harganya. Tapi pada kandungan isinya, serta keikhlasan para pembaca yang membelinya kelak.
Maka, kami mohon jasa baik dan sokongan semua -- untuk membeli naskah ini.
Sungguh, ‘lama itu mahal; tua itu emas’. Padu dan Grande, selamanya!





HORMAT.

HORMAT.
Hormatlah, bukan susah.
Hormatlah, tidaklah payah mana.
Betapa kita sangat mudah menjatuhkan, tanpa memikirkan kepedihan orang yang dijatuhkan.
Betapa besarnya pengorbanan, pencapaian serta sumbangan Watson Nyambek untuk negara.
The Flying Dayak; aset negara yang berjasa.
Hormatlah, kalau tak pandai menjadi lucu -- diam sajalah.
Prihatinlah. Pekalah. Nak berlawak juga kena ada falsafah.
Nak jadi hantu atau buaya, terserahlah. Asal jangan menghina keturunan orang lain.
Meminta maaf memang mudah. Namun jiwa yang terluka, melupakan pastinya susah.
Hormatlah!

RONALDO-IT

RONALDO-IT

Tiada siapa yang tahu, apa yang terjadi kepadaRonaldo Nazário de Lima sebelum perlawanan akhir Piala Dunia 1998, dan ia tidak pernah menghentikan sebarang spekulasi liar, teori konspirasi, politik dan sebagainya.
Edmundo Alves de Souza Neto yang terkenal dengan gelaran ‘the Animal’ rakan skuad Brazil, mendakwa beliau melihat Ronaldo kelihatan cergas meskipun detik sebelumnya Ronaldo menangis kesedihan. Roberto Carlos sempat menenangkan Ronaldo. Selepas itu menurut Edmundo, Ronaldo telah lena sejenak untuk beberapa ketika sebelum dibawa ke hospital untuk menjalani ujian.
Menurut Edmundo, ‘orang-orang Nike’ mempengaruhi Ronaldo untuk berada dalam kesebelasan utama. 
“Orang-orang Nike berada 24 jam sehari, seolah-olah mereka ini kakitangan teknikal. Ia suatu kuasa yang besar, itu sahaja yang mampu saya katakan”, ulas Edmundo.
Nama Edmundo asalnya disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang Perancis, namun telah digantikan dengan Ronaldo.
Segelintir pemain Brazil mendakwa doktor pasukanLídio Toledo kelihatan resah bilamana dia tiba di bilik Ronaldo. Toledo menafikannya, dan mendakwa Ronaldo telah pengsan sewaktu beliau sampai ke bilik, tetapi bernafas dengan kuat.
Ronaldo dihantar ke hospital untuk ujian nuerologi, yang mana semua orang pasti, beliau tidak akan bermain di final. Namun apabila keputusan ujian diperoleh, Toledo dan pengendali Brazil, Mário Zagallo mengesahkan Ronaldo cergas untuk perlawanan akhir tersebut.
Salah satu akhbar utama Brazil, Folha de S.Paulomenulis, Ronaldo mengalami perasaan gusar yang terlampau. Ronaldo sudah menunjukkan tanda-tanda kemurungannya, seminggu sebelum final berlangsung apabila menghempas sebuah basikal ke dinding. Pada malam sebelum final tersebut, Ronaldo mengalami krisis murung yang teruk. Toledo masuk ke dalam bilik dan Ronaldo sedang menangis. Ronaldo tidak diberi sebarang ubat, kerana khuatir risiko doping.
Pengendali teknikal Zico - Arthur Antunes Coimbramenentang keputusan menyenaraikan Ronaldo. Pada Zico, adalah satu risiko menyenaraikan pemain tidak cergas walaupun Ronaldo sangat menyumbang pada pasukan sedari awal saingan Piala Dunia.
Hal ini mengakibatkan berlaku krisis di dalam kem Brazil. 
Tiada sesi pemanas badan yang dijalankan. 
Satu kumpulan diketuai oleh Dunga, menyokong kemasukan Ronaldo dalam kesebelasan utama, manakala satu lagi kumpulan diketuai Leonardo menentang.
Konspirasi FIFA, dakwaan Brazil ‘menjual’ Piala Dunia berjumlah $23juta oleh sesetengah pihak, belum tentu kebenarannya. 
Dakwa mereka lagi FIFA mahu Perancis menjadi juara supaya rakyat Perancis dapat melupakan masalah sosial di negara tersebut dan FIFA berjanji akan memudahkan laluan Brazil di Piala Dunia 2002.
Pada tahun 2000, Suruhanjaya Parlimen ditubuh untuk menyiasat kes tersebut diantara Brazil dan Nike. Namun ianya masih tidak dapat merungkai tentang final Piala Dunia 1998. Dan kes tersebut akhirnya ditutup.
Pendek cerita, sebenarnya Ronaldo memang tidak cergas sepenuhnya untuk diturunkan dalam perlawanan akhir Piala Dunia 1998 menentang Perancis. Tambah pula dalam perlawanan tersebut, Ronaldo dikawal ketat oleh seorang pemain yang mendapat durian runtuh beraksi di perlawanan akhir apabila pemain utama digantung. Frank Leboeuf lakukan tugasnya dengan baik untuk merantai pergerakan Ronaldo. Kasut but Nike Mercurial yang dibuat khas untuk Ronaldo nyata tidak dapat bantu Ronaldo seperti sebelum-sebelumnya. 
Bab konspirasi itu, terserah pada penilaian masing-masing.
Dunia ini kan sandiwara sahaja.
Sungguhpun begitu, akhirnya di edisi 2002 di Korea Jepun, Ronaldo dan rakan-rakan Brazilnya akhirnya berjaya menebus kekecewaan di Perancis. Itu yang manisnya.
Retro Bola Sepak : Bak singkatan perkataan DUNHILL; Dunia Umpama Neraka, Hidup Ibarat Layang-Layang.

ANAK BAPAK

ANAK BAPAK
Anak Patrick Kluivert, bernama Justin Kluivert, yang berusia lingkungan 17 tahun dah sertai skuad utama AFC Ajax. Memang ikut jejak langkah bapa dia rupanya, cuma posisinya berbeza.
Patrick Kluivert seorang penyerang, si Justin ini bermain di posisi sayap di sebelah kanan, lebih kurang sama dengan datuk dia yang juga bapa Patrick Kluivert, bernama Kenneth Kluivert di posisi sayap kiri dan pernah mewakili skuad kebangsaanSuriname.

Patrick dahulu usia lingkungan 18 tahun pada tahun 1994 dah mula wakili Belanda. Yang mana sempat tonton aksi Patrick Kluivert di zaman puncaknya pasti ingat betapa berbahayanya si Patrick Kluivert ini di hadapan gawang. Mungkin sikit masa lagi si Justin Kluivert bakal peroleh caps Belanda nya yang pertama. Patrick Kluivert ada dua lagi anak lelaki yang juga bermain bola sepak iaitu abang kepada Justin, si Quincy Kluivert dan adik Justin, Ruben Kluivert.
Tua dah kita ini, anak Patrick Kluivert pun dah kian besar. 
Betapa cepatnya masa berlalu, betapa pantasnya zaman beralih.

ANAK BAPAK II

ANAK BAPAK II
Ini lagi seorang bintang dalam pembikinan.
Kalau tak kenal siapa lelaki yang letak tangan di dada itu, payah juga lah nak kata diri peminat bola sepak atau tidak.
Budak di sebelah lelaki itu, nama dia Ianis Hagi, anak kepada legenda sepanjang zaman Romania, Gheorghe Hagi!
Sekarang usianya dalam lingkungan 18 tahun dan bermain untuk skuad senior ACF Fiorentina dengan nombor jersi 24. Ianis ini dilabel sebagai antara 'wonderkid' terbaik di dunia. 
Gheorghe Hagi pernah kata, pada usia 16 tahun, anaknya Ianis lebih bagus berbanding beliau pada usia yang sama. Dan menurut Gheorghe Hagi lagi, satu hari nanti anaknya itu bakal jadi ketua pasukan Romania!
Benih baik, campak tengah laut sekalipun tetap jadi pulau.

SELAMAT PULANG, THAQIF, KAMI AKAN MENYUSULIMU.

SELAMAT PULANG, THAQIF, KAMI AKAN MENYUSULIMU.
Sudah terhantuk baru terngadah. Bubur sudah berterabur, nasi entah ke mana.
Bukan perkara baru -- soal pengurusan sekolah yang tidak profesional dan 'asal boleh'.
Anak-anak yang berimpian besar menjadi Hafiz dan Huffaz; akhirnya menempel di stesen petrol dan warung mamak -- meminta ihsan belas.
Mengutip derma, untuk membiayai sekolah, yang sepatutnya menjadi tempat mereka berteduh dan fokus menuntut ilmu.
Ibu bapa pula, ada yang mengambil jalan mudah. Asal anak nakal, dihantar ke sekolah agama, supaya menjadi orang katanya.
Tapi bila semua yang nakal berhimpun, maka adakah benar kita pula berlaku adil kepada anak, guru dan sekolah itu?
Tak semua sekolah begitu. Ramai yang gurunya komited, suasananya sederhana tapi membina jiwa.
Justeru, apa yang boleh kita lakukan? Sekadar mencaci-hina? Ataukah kita akan hadir dengan naratif penyelesaian tuntas yang sejati.
Anak-anak ini, anak-anak kita, Tuan-tuan.
Thaqif, dan semua anak-anak di luar sana, apa juga latar kulit dan tempat lahir mereka; juga anak kita.
Jangan jadikan kematian Thaqif sesuatu yang sia-sia. Hidupkanlah raga jiwa kita dengan kesedaran.
Selamat pulang, Thaqif, kami akan menyusulimu.
* Thaqif merupakan anak kepada Gadaffi Karim, bekas pemain Selangor FA era 90an.

TAU BUAT.

TAU BUAT.
Kalau sungguh sudah bertaubat, alhamdulillah....
Kalau lepas ni masih lagi ulang-buat, na'uzubillah....
Berapa banyak fokus dan berita penting-utama, yang telah 'ditelan' sensasi Raja Bomoh ini.
Sama ada benar diupah untuk berlakon, atau memang sengaja mencari publisiti, apa yang penting adalah;
Jagalah maruah agama, bangsa dan tanah air mu.
Berapa ramai yang menanggung malu, hanya kerana tersebarnya berita kita berikhtiar dengan teropong dan kelapa.
Khurafat dan aib. Aib, aib, aib.
Semoga ALLAH SWT memelihara kita daripada perkara-perkara buruk dan bala' bencana.
Bertabahlah, Malaysiaku.

Khamis, April 13, 2017

TAHNIAH AZIZULHASNI AWANG, JUARA KEIRIN DUNIA!

#TWC2017 #Negaraku #Malaysia #PocketRocketMan #Keirin
TAHNIAH AZIZULHASNI AWANG, 
JUARA KEIRIN DUNIA!
13hb April 2017 (Khamis): Sekalungan syabas dan tahinah buat jurulatih basikal negara, John Beasley dan Azizulhasni Awang, JUARA DUNIA acara Keirin, Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong sebentar tadi.
Beliau yang terkenal dengan gelaran #PocketRocketMan, menewaskan pelumba handalan seperti Fabian Hernando Puerto Zapata (Colombia) dan Tomas Babek (Republik Czech) dengan catatan masa 10.253 saat.
Hidup Malaysia kita!
#Padu #Grande

Selasa, April 11, 2017

JATUH BANGUN.

JATUH BANGUN
Di suatu senja di musim nan lalu, ketika itu hujan rintik, nun di suatu tempat di Semenanjung Italia, sekitar pertengahan tahun 1970an.
Dua beradik sedang duduk membersihkan kasut but mereka yang padat dengan butir-butir tanah. Stokin mereka kotor terpalit benak becak lecah.
Usia di antara mereka berdua, cuma beza dua tahun. 
Si abang sudah pun berjaya menempatkan diri di sebuah akademi kelab bola sepak ternama di Milan. Kelab yang popular dengan rona hitam-biru telah menandatangani si abang untuk skuad remaja.
Si adik mahu ikut jejak si abang.
Mahu sama-sama bermain sekelab dengan abangnya.
Posisi mereka berdua juga sama, iaitu di bahagian benteng pertahanan.
Sesi pemilihan pagi sebelumnya serba tidak kena buat si adik. Dalam satu aksi perlawanan percubaan, si adik ini gagal menyaingi pemain lain yang berfizikal lebih besar berbanding beliau meskipun sebenarnya mereka semua dalam lingkungan usia yang sama.
Si abang yang berada dalam skuad remaja kelab disuruh beradu kuat dengan barisan kesebelasan pemain percubaan. Dari mula lagi si abang menelah bahawasanya adiknya bakal hadapi kesukaran disebabkan fizikalnya yang kecil. Aspek teknikal si adik boleh tahan, laju pun ya juga, tapi itu lah keterbatasan fizikal merencat prestasi beliau.
Jurulatih remaja kelab tersebut telah menyenarai pendek beberapa nama untuk diserap dalam skuad remaja. Malang buat si adik, namanya keciciran, dalam senarai menunggu pun tiada.
"Kamu datang lah lagi ke sesi percubaan pada tahun hadapan". 
Ujar jurulatih pada si adik.
Ketika semua pemain sedang besurai, sayup-sayup kedengaran perbualan antara para jurulatih skuad remaja.
"Adik dia kecil sangat lah, takut nanti dah sampai dewasa fizikalnya tidak membesar".
Kedua orang adik-beradik itu pulang ke rumah. Si adik sekadar diam. Diam yang simpan rasa kecewa yang mendalam.
Baldi besi berisi air sudah berkeladak dengan lumpur tanah hasil basuhan kasut-kasut but kedua orang adik-beradik tersebut.
Si abang cuba memulakan bicara. Tahu benar bahawasanya adiknya kecewa.
"Esok abang bagitahu pakcik akan hal ini, mungkin kamu boleh cuba nasib di kelab hitam-merah. Mana tahu, di hitam-biru tak boleh, di hitam-merah boleh".
Panjang lebar bicara si abang.
Pakcik mereka seorang jurulatih tempatan untuk sebuah pasukan kanak-kanak di kawasan kejiranan mereka. Barangkali pakcik mereka itu boleh suakan bakat si adik pada satu lagi kelab di kota tempat mereka tinggal.
Tuah itu takdir.
Gagal dalam percubaan untuk kelab hitam-biru, tapi berjaya pula untuk kelab hitam-merah.
Si adik meneruskan kariernya di kelab hitam-merah sehingga menjadi legenda, begitu juga si abang kekal bersama kelab hitam-biru.
Kehebatan dua beradik ini memang diakui, hinggakan pernah pada suatu-suatu masa, mereka berdua dipanggil untuk kem latihan skuad kebangsaan.
Kelab hitam-biru adalah F.C. Internazionale Milano, kelab hitam-merah adalah A.C. Milan, si abang adalah Giuseppe Baresi manakala si adik pula adalah pemain pertahanan berkelas dunia yang juga antara pemain pertahanan terbaik sepanjang zaman, legenda nombor 6, Franco Baresi
Macam biasa, ayat yang biasa Retro Bola Sepak coretkan sedari dahulu; "anda bukan gagal, cuma kejayaan sahaja tertangguh".

Khamis, April 06, 2017

ABIM ANJUR FORUM “PERUBAHAN PIMPINAN FAM: ISU DAN CABARAN MASA DEPAN”.

Logo ABIM.
Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim
Presiden ABIM. Juga mantan
ABIM ANJUR FORUM 
“PERUBAHAN PIMPINAN FAM: 
ISU DAN CABARAN MASA DEPAN”.
Video forum boleh ditonton di pautan ini:
29hb Mac 2017 (Rabu): Kongres FAM ke-53, pada 25hb Mac 2017 menyaksikan perubahan pucuk pimpinan badan induk bola sepak negara tersebut.
Justeru, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menganjurkan satu forum bagi membincangkan isu dan cabaran masa depan liga serta pasukan kebangsaan Malaysia.
Pembentang dalam program ini adalah Sdr. Axello Tacts (Semuanya Bola); Sdr. Mohd Syazwan Bajuri (Retro Bola Sepak); dan Sdr. Alfadli Awaludin (Aktivis Bola Sepak). Moderator pula ialah Sdr. Zairudin Hashim Che Din (Exco ABIM Pusat).
Dianjurkan di Dewan Sekretariat ABIM Pusat, Taman Cemerlang, Gombak, para pembentang memasang harapan yang sama; agar barisan kepimpinan baru FAM di bawah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dapat membawa perubahan sebenar dalam bola sepak Malaysia.
Selain menyentuh mengenai gejala rasuah atau mengatur perlawanan yang masih berleluasa dalam kancah bola sepak Malaysia. Para pembentang turut menegaskan bahawa Liga Malaysia serta pasukan kebangsaan perlu diuruskan dengan penuh integriti dan profesional; selain mempunyai program pembangunan tunas yang berkesan.
Soal kebajikan dan kontrak pemain juga disentuh, di mana para pembentang mengesyorkan agar ‘salary cap’ (pembatasan jumlah gaji pemain) dibuat, selain tangga gaji diletakkan berdasarkan prestasi semasa para pemain.
Selain itu, para panelis sepakat bahawa soal statistik, arkib dan dokumentasi dalam bola sepak Malaysia adalah sangat signifikan jika bola sepak Malaysia mahu maju setara dengan kuasa bola sepak yang lain.
Turut hadir dalam program bersejarah ini adalah Presiden ABIM, Sdr. Mohamad Raimi Ab Rahim dan Setiausaha Agung, Sdr. Muhammad Faisal Abdul Aziz.
Ayuh, sejahterakan Malaysia dengan dakwah!
Sebarkan!
------------------------------------------
Jom, daftar segera sebagai ahli ABIM di sini: 
-----------------------------------------
Sekretariat ABIM Pusat: No.6 Jalan TC 2A/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur.
Hubungi Sekretariat ABIM Pusat melalui:
Tel: +603 - 4108 4500
Fax: +603-4108 2400
FB : Angkatan Belia Islam Malaysia
Website ABIM: http://www.abim.org.my/
---------------------------------------

.


TIMBALAN PRESIDEN ABIM HADIR KE PERSIDANGAN MUKTAMAR SYAABI-POPULAR CONGRESS, DI SUDAN.

Logo ABIM.
Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim
Presiden ABIM. Juga mantan
TIMBALAN PRESIDEN ABIM HADIR 
KE PERSIDANGAN MUKTAMAR SYAABI-POPULAR
CONGRESS DI SUDAN.
25hb Mac 2017 (Sabtu): Alhamdulillah, Timbalan Presiden ABIM, Al-Fadhil Ustaz Mohd Naim Mohd Noor telah mewakili Presiden ABIM, Sdr. Mohamad Raimi Ab Rahim ke Persidangan Agung Muktamar Syaabi – Parti Popular Congress (P.C.P) di Khartoum, Sudan.
Turut serta, YB. Senator Dr Muhammad Nur Manuty (bekas Presiden ABIM) serta Encik Mohd Halimi Abdul Hamid (Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat - WADAH).
Sementelah, Muktamar ini turut diadakan berseiring dengan peringatan setahun pemergian Almarhum Syeikh Dr. Hassan ‘Abd Allah al-Turabi, pengasas Parti Popular Congress (P.C.P) dan tokoh pemikir Islam yang mempunyai hubungan yang sangat erat dengan ABIM.
Almarhum Syeikh Hassan Turabi yang telah kembali ke Rahmatullah pada 5hb Mac 2017. Beliau adalah antara sarjana yang mula-mula (selepas tertubuhnya negara bangsa) membicarakan aspek politik dan demokrasi tatkala ia masih dianggap asing oleh sebahagian umat Islam; dan tiadanya karya khusus mengenainya.
Beliau telah cuba terjun ke dunia politik tetapi akhirnya menempuhi pelbagai dugaan dan cabaran yang penuh ranjau dan duri hingga beliau menerima hukuman oleh rakan dan musuh politiknya.
Terdahulu, pada 1hb Oktober 2013, Sdr. Elgasim Abdullah dan Sdr. Awad Babakir daripada Parti Popular Congress (P.C.P) telah mengunjungi Sekretariat ABIM Pusat dan bertemu dengan pimpinan ABIM.
Dalam sesi ziarah ke rumah Syeikh Turabi, delegasi turut mengadakan pertemuan dengan abang sulung Syeikh Turabi, anak kedua Syeikh Turabi, Esamuddin Turabi.
Mereka turut menziarahi kediaman Syeikh Ibrahim al-Sanusi, pengganti Syeikh Turabi dalam Parti Popular Congress (P.C.P).
Syeikh Ibrahim yang kini memegang jawatan lebih tinggi di negara Sudan, diganti oleh Syeikh Dr Ali al-Haj Muhammad.
-----------------------------------------------
Ucapan Penghormatan kepada 
Syeikh Dr. Hassan At-Turabi, di Majlis Memperingati
Pemergian beliau buat kali pertama.
26hb Mac 2017, Tapak Pameran Antarabangsa, Barri, Khartoum.
Ucapan Wakil ABIM-Malaysia oleh al-Fadhil Ustaz Mohd Naim Mohd Noor, Timbalan Presiden ABIM.
1. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengucapkan Tahniah kepada Penganjur yang memberi peluang untuk turut serta mengabdikan penghormatan kepada Syeikh At-Turabi.
2. Hubungan ABIM dengan Syeikh terbina sejak tahun 70an yang ketika itu dipimpin oleh Sdr. Anwar Ibrahim - DSAI (Semoga ALLAH SWT membebaskan beliau).
3. Hubungan ABIM dan Syeikh Turabi berkembang setelah itu dalam pelbagai sudut, sehingga Malaysia pernah menyaksikan kehadiran Syeikh Turabi sekurang-kurang tiga kali atas jemputan ABIM sendiri.
4. Kunjungan-kunjungan Syeikh itu meninggalkan kesan yang mendalam pada rakyat Malaysia, khususnya dalam pemikiran Tajdid, Politik, Diplomasi dan Fiqh semasa. Hal ini banyak membantu dalam merapatkan saf-saf Muslimin, juga dalam pemikiran tajdid dan hurriyah.
5. Hubungan ABIM-Turabi tidak terhenti di situ sahaja, malah berkembang lebih jauh dari itu ketika DSAI menjawat Menteri Kewangan dan juga TPM. Sudan ketika itu menghadapi masalah kewangan yang kritikal di awal-awal tahun Revolusi Penyelamat (1989). Seperti yang disebut oleh Pimpinan di Sudan sendiri, Kerajaan Malaysia menghantar Petronas ketika itu ke Sudan untuk mencari dan mengurus petroleum di sini. Hal ini diakui beberapa kali di hadapan kami oleh pimpinan-pimpinan di Sudan.
6. Pada tahun kembalinya Syeikh ke Rafik Al-A’la (Mac 2016), Pihak Jamaah ABIM dan pihak Syeikh Turabi sedang mengatur ziarah beliau ke Malaysia, namun panggilan ALLAH SWT telah mendahului kita. Semoga ALLAH SWT merahmati Roh Almahum Syeikh; dengan rahmat-NYA yang maha luas.
7. Dari Malaysia, kami menyeru diri kami dan juga hadirin, agar kita beriltizam mengikuti jejak-jejak yang ditinggalkan oleh Syeikh sepanjang hayat beliau, agar kita tidak terkeluar dari ajaran Al-Quran dan Sunnah, dan menjadikan negara-negara kita sebagai Baldatan Toyyibatan wa Rabban Ghafura.
8. Akhir sekali, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur yang mengadakan Muktamar dan Majlis Peringatan untuk Syeikh Turabi ini. Semoga ALLAH SWT memberkati usaha mulia ini, dan menghimpunkan kita bersama Syeikh di bawah Panji Rasulullah SAW di hari yang tiada perlindunga; kecuali Perlindungan-NYA sahaja.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.