Jumaat, Mac 24, 2017

[SIDANG MEDIA SEMPENA SEMAKAN KEHAKIMAN KE ATAS PERJANJIAN PERKONGSIAN TRANS-PASIFIK (TPPA) DI ISTANA KEADILAN PUTRAJAYA]









#ABIM #BantahTPPA
[SIDANG MEDIA SEMPENA SEMAKAN KEHAKIMAN KE
ATAS PERJANJIAN PERKONGSIAN TRANS-PASIFIK
(TPPA) DI ISTANA KEADILAN PUTRAJAYA]
Pada hari ini (16 Mac 2016) adalah detik kemuncak kepada perjuangan yang dirintis barisan pertubuhan masyarakat madani ataupun NGO yang mewakili kepentingan rakyat Malaysia.
Semakan kehakiman terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang difailkan mulai 4 November 2015 akhirnya telah memberikan kemenangan secara moral kepada negara serta rakyat yang hampir-hampir dikhianati kedaulatannya atas nama perdagangan bebas.
Pada 23 Januari lalu, Presiden Amerika Syarikat (A.S) Ke-45, Donald J.Trump, menandatangani arahan eksekutif untuk menamatkan pembabitan negara tersebut dalam perjanjian tersebut yang sebenarnya turut mendapat bantahan meluas dalam kalangan rakyat A.S sendiri, sehingga menimbulkan tekanan politik yang menghalang ratifikasi TPPA di peringkat Kongres Amerika Syarikat .
TPPA juga turut mendapat tentangan meluas dalam kalangan rakyat negara-negara anggota yang lain. Sebagai contoh di negara Jepun pada tahun 2015; bekas menteri pertanian Jepun, Masahiko Yamada bersama 1,063 pemohon (plaintif) telah mengemukakan semakan perundangan untuk menghalang penglibatan Jepun dalam TPPA.
Kesimpulannya, tentangan terhadap TPPA di Malaysoa adalah sebahagian daripada rangkaian bantahan global terhadap perjanjian yang akan mencengkam kebebasan sosio-ekonomi sejagat.
Kami ingin merujuk kepada beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) yang antara lain menggambarkan bahawa kerajaan kurang berminat untuk meneruskan pembabitan negara ke dalam TPPA tanpa komitmen Amerika Syarikat.
Kenyataan ini seakan-akan menggambarkan persepsi sempit pihak tertentu yang mahu negara menyertai TPPA semata-mata untuk mendapatkan “akses” ataupun “spill over” ekonomi dari A.S.
Berdasarkan kepada kajian terperinci terhadap butiran perjanjian ini yang dikendalikan khususnya oleh Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), jelas terma-terma yang diketengahkan adalah berbentuk kompromi yang sememangnya menjejaskan kemandirian ekonomi rakyat negara kita.
Penyataan MITI ini juga amat disesali kerana kita terpaksa membayar harga yang sangat mahal (RM 15 Juta) dalam bentuk kos sepanjang proses perundingan dan pengurusan teknikal TPPA.
Tambahan pula perjanjian ini ditandatangani secara terburu-buru tanpa membabitkan konsultasi terbuka dengan pelbagai pihak serta stakeholder yang mewakili kepentingan rakyat seperti dalam sektor pertanian, industri, kesihatan dan alam sekitar.
Rangkaian polemik yang tercetus daripada TPPA ini seharusnya menyedarkan kita bahawa setiap rakyat Malaysia adalah stake holder utama dalam sebarang proses yang membabitkan kepentingan negara.
Era “government knows best” telah berakhir selari dengan perkembangan demokrasi serta teknologi semasa.
Semakan kehakiman ini adalah sebahagian daripada manifestasi utama keprihatinan rakyat dan masyarakat global terhadap TPPA.
Adalah menjadi harapan agar pihak kerajaan mengambil iktibar ini dengan lebih berhati-hati dalam sebarang proses perundingan serta perjanjian di peringkat antarabangsa pada masa akan datang tanpa menggadaikan maruah dan kedaulatan negara.
Untuk rakyat Malaysia; kami mendedikasikan usaha ini untuk kepentingan dan masa depan anda!
Mohamad Raimi Ab Rahim,
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan