Rabu, Jun 29, 2016

TIKI TAKA EMPIRE BEGINS.

Tarikh 29 Jun 2008, serentak dengan keberjayaan Sepanyol merangkul trofi UEFA Euro 2008, selepas menundukkan Jerman 1-0 dalam perlawanan akhir, tanda bermulanya era Tiki-taka Sepanyol menguasai pentas bola sepak dunia.
Sedari itu, mereka juga telah julang trofi ulung Piala Dunia pada edisi 2010 dan mengulang pencapaian menjadi juara berganda Eropah di EURO 2012.
Sekian banyak pasukan cuba atasi taktikal tiki-taka Sepanyol, sebanyak itu juga yang ketewasan di tangan La Roja.
Ramai berkata, empayar tiki-taka Sepanyol itu, 'raja' nya adalah Xavi dan Andrés Iniesta. Hendak label mereka sebagai enjin, buah fikir, nadi, jantung atau apa sahaja, mereka lah yang menghidupkan tiki-taka itu. 
Selepas bersaranya Xavi pasca tersingkirnya Sepanyol di saingan peringkat kumpulan Piala Dunia 2014 yang lalu, sedikit demi sedikit rentak tiki-taka Sepanyol juga kian pudar. 
Banyak pasukan sudah mula temui tonik danTaktikal BOLA Dunia terbaik untuk menyaingi Sepanyol.
Tempoh hari, sebaik tewasnya Sepanyol kepada Itali dalam saingan 16 pasukan akhir UEFA EURO 2016, ramai penganalisis mengandaikan bahawa, Sepanyol sejak tahun 2008, sebenarnya akan bergelut bertemu pasukan yang menggunakan taktikal tiga pertahanan tengah.
Samada 3-5-2, 3-4-1-2, 3-4-3, 3-1-4-2 atau 5-3-2, La Roja memang sukar sebenarnya untuk menang dengan variasi formasi sebegini. EURO 2012, masa saingan kumpulan Itali dah tunjuk cara nak kekang Sepanyol. Itali gunakan formasi 3-5-2, berjaya ikat Sepanyol seri 1-1. Cuma apabila final kemudiannya, Itali kembali ke formasi 'back-four', baharu lah Sepanyol mampu bermain tiki-taka mereka dengan mudah. Formasi yang sama juga Itali gunakan ketika bertemu Sepanyol di separuh akhir Piala Konfederasi 2013, berjaya mengikat Sepanyol tanpa jaringan sebelum tewas dalam penentuan penalti.
Piala Dunia 2014, Belanda juga adaptasikan sistem yang sama, tiga pertahanan tengah. Hasilnya cukup memberangsangkan. Belanda belasah Sepanyol 5-1. Dalam saingan kumpulan yang sama, wakil Amerika Selatan juga gunakan taktikal tiga pertahanan tengah, yang menyaksikan mereka menang 2-0 seterusnya menunjukkan Sepanyol jalan pulang.
Dan perlawanan beberapa hari lalu, Antonio Contemerapikan ramuan paling optimum untuk meneutralkan taktikal Sepanyol.
Konsep tiga pertahanan tengah yang kental, 'wing-back' di kedua-dua belah sayap yang sentiasa turun naik. Pemain tengah yang sentiasa berlari menutup ruang. Mengasak lawan setiap masa. Dua penyerang hadapan yang punyai peranan tersendiri, seorang gunakan kelebihan fizikal untuk asak pertahanan lawan, dan seorang lagi jadi tukang godak. Dan kena juga dipastikan punyai penjaga gol berkaliber. Semua ini disatukan melalui disiplin ketat dan kerjasama sepasukan.
'Blueprint' Conte ini bakal jadi ikutan. 
Cuma kalau pasukan yang bertemu lawan bertaktikal seperti konsep Conte ini, apa pula taktikal yang harus diterapkan?
Perancis di era millenium, kemudian Sepanyol danFC Barcelona di pentas dunia dan Eropah, dominasi A.C. Milan di Eropah era lewat 80an dan awal 90an, dominasi Liverpool FC dan Manchester United dalam liga Inggeris, kehebatan Real Madrid C.F. dalam saingan Piala Eropah, dominasi Thailand dalam pingat emas acara bola sepak Sukan SEA, atau apa sahaja contoh legasi dominasi pasukan-pasukan tertentu.
Pengakhirannya, setiap yang grande itu pasti berpenghujung...
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan